Showing posts with label hubungan sesama manusia. Show all posts
Showing posts with label hubungan sesama manusia. Show all posts

Tuesday, June 9, 2015

Warna kehidupan

Image result for sincere imagesAssalamualaikum dan salam sejahtera


Sekian lama, menjejak umur ke 43...pelbagai peristiwa....
Hari ini dan semalam juga penuh cerita....



Alhamdulillah diberi peluang untuk kita berbakti....
Bukan semestinya pada diri sendiri....


Malah orang lain yang ditepi....
Itulah kita jika mengerti....
Bahawa upaya diri perlu diberkati....
Dengan bantuan dan pertolongan yang mampu dan pasti.....


Image result for sincere images
Apa yang dicari...
Melainkain redha Illahi...
Walau penat membakar diri....
Rebah dan lelah menyakiti....
Kita sebentar kan kembali lagi...
Mengadap Illahi dengan timbangan amal diri...
Tidak pasti kan memberat kekanan mahupun ke kiri....

Saat berteleku aku menyendiri....
Bertanya mengapa aku sebegini...
Lalu kusedari jawapan ini....
Bahawa Allah sedang memberi....
Biarkan ia berupa ujian mahupun rezeki....
Dia hanya mahu tahu samada aku seikhlas hati....
Menongkah arus dan memberi erti....
Buat insan lain mahupun diri....
Dalam kehidupan yang singkat ini....

Image result for sincere images
Redha tidak datang sendiri...
ia datang dengan erti....
bagi yang mahu memahami....
jiwa pasrah hati mengerti....
ikhlas menjadi timbangan amal insani....

Dalam menyoal aku memahami.....
ini adalah warna kehidupanku ini.....





Ada yang datang lalu mengatakan:
"Tolong khabarkan kepadaku bagaimana harus ku lakukan dengan hidup ku ini...."

Ada yang ber'whatsapp' dengan aku:
"Tolong bantu bagaimana mahu menyelesaikan masalah hubungan ku dengan pasangan ku..."
"Tolong nasihatkan bagaimana mahu memulihkan hubungan saya dengan rakan saya..."

Ada yang ber'email':
"Tolong bantu mendapatkan pekerjaan buat ku....."

Ada yang bertelefon:
"Tolong kongsikan bagaimana engkau melakukan itu dan ini lantas upaya mengongsikannya..."

Ada yang ber'fb messenger':
"Tolong rawati dia.....kesayanganku....."

Hakikatnya....aku tidak punya segala jawapan.....
Sekadar butiran kecil kerana jawapan mutlaknya hanya padaNYA.....
Aku katakan kepada mereka, mengadulah kepadanya di sepertiga malam......



Tuesday, January 27, 2015

Faham itu berbeza.....

Assalamualaikum wrt. wbt.

Faham itu berbeza dengan tahu, faham juga berbeza dengan alim, cerdik juga berbeza dengan faham, bijak juga tidak semestinya faham. Menjadi bijak tidak semestinya faham. Cerdik juga tidak menunjukkan seseorang faham. Berilmu juga tidak semestinya faham. Menjadi cerdik, atau bijak, atau alim perlu kepada faham atau kefahaman.

Faham atau kefahaman itu ialah "faqqih' iaitu suatu kurniaan Illahi kepada sesiapa yang Allah kehendaki akan kebaikan. Jika kita faham walau ilmu tidak melangit, ia lebih baik berbanding ilmu banyak akan tetapi tidak memahami. Apabila kita memahami maka kita akan lebih bijaksana dalam tindakan tindakan, akan lebih berhikmah dalam perhubungan sesama insan dan lebih bersifat tawadhuk.

Kita gagal memahami maka kita juga gagal menerima mesej mesej hikmah dalam kehidupan. Kita gagal memahami bahasa tubuh badan. Apabila kita memahami kita akan lebih 'responsif' terhadap indikator indikator kehidupan.

Belajarlah untuk memahami, dengan bersungguh memerhati dan menganalisa apa jua yang berlaku dalam kehidupan. Belajarlah untuk lebih mendengar daripada memperdengarkan ucapan atau kata kata kita kepada orang lain. Jadilah pendengar yang baik agar dapat lebih memahami.

Kefahaman itu anugerah untuk kita tahu dan mendalami insan lain. Jika kita faham maka kita akan tahu dan mendalami serta menyelami mengapa seseorang itu marah, sedih, kecewa, murung, gembira dan pelbagai lagi kerenah dan gaya seseorang.

Kefahaman itu juga anugerah untuk kita memahami dengan ilmu mengapa Allah menjadikan kita dan menghidupkan kita di dunia ini. Memahami apa tujuan hidup. Mengerti akan hakikat hidup.

Justeru, fahamilah mengapa orang lain menghadapi kehidupan yang susah agar kita mengerti akan erti kesusahan itu, lalu kita mampu mengusahakan sesuatu agar bantuan dapat diberi dalam apa jua bentuk sekalipun. Fahamilah mengapa anak yatim itu perlu perhatian kita. Fahamilah juga mengapa orang sakit itu perlu semangat dan sokongan kita. Fahamilah mengapa sesuatu itu berlaku dalam kehidupan kita. Tidak berlaku sesuatu peristiwa dalam hidup kita sama sekali tanpa izin dan ketentuan Illahi.Ia takdir yang ditentukan kepada kita semua.

Berdoalah kepada Illahi agar setiap dari kita diberi anugerah kefahaman agar kita jadi insan yang perihatin dan mengerti akan kehidupan, mengerti akan kehidupan dan mengerti akan hakikat Allah swt. Banyak perkara akan selesai, kedamaian akan mendatangi, kebahagiaan akan meliputi hidup jika kita memahami dengan ilmu yang benar........

Wednesday, July 3, 2013

Antara kek, pencetak dan acuan!

Assalamualaikum wrt wbt.



Bicara tentang manusia ini biasa dan utama. Ia topik tidak pernah terhad. Tidak pernah terhenti. Berbagai teori dan pandangan dibuat untuk menangani isu manusia ini. Bahkan alQuran diwahyukan ialah tentang manusia dan perjalanan hidup manusia.

Aku bukan pakar manusia. Aku hanya memerhati keletah dan perangai manusia. Ia bak pensil warna yang mengeluarkan pelbagai warna pabila lakaran dan proses mewarna itu dibuat diatas sekeping kertas. Menarik bukan. Ia subjek yang menarik untuk dibicarakan. Ia luas dan berbagai. 'Man arafa nafsahu faqad arafa rabbahu' Sesiapa yang tahu tentang dirinya, maka dia akan tahu RABBnya atau Penciptanya, inilah ungkapan yang biasa didengari bagi mereka yang memulai musafir ilmu dalam hidupnya (tolong semak sendiri samada ia ungkapan mutiara kata kata ulama mahupun hadis Nabi saw). Apapun, ia relevan bagi saya.




Thursday, May 30, 2013

Sedunia berkasih sayang! Mustahil?

Assalamualaikum wrt. wbt.

Emosi paling penting dan utama dalam dunia ini ialah kasih sayang. Sebab itulah Allah mengajar permulaan segala perbuatan dengan basmalah, ini lah yang sangat dianjurkan oleh kekasihNya, Nabi Muhammad saw. Mengapa BASMALAH? Cuba fikirkan kandungan yang ada dalam perkataan BASMALAH. Itulah sebabnya.

Sunday, April 21, 2013

21 April-mereka pergi tidak kembali!

Assalamualaikum wrt. wbt.


Sekitar Subuh hari, isteri saya menerima panggilan, akan tetapi terputus! Cuba untuk menelefon kembali, akan tetapi tidak pula berjawab. Jam 8.30am, sekali lagi kami dikejutkan oleh panggilan dari Johor dan juga dari Bangi....

Sunday, March 10, 2013

Tanah gersang dan tanah subur!


Salam ukhuwwah!

Pohon kan tumbuh subur dengan izinNYA ditanah subur berbanding di tanah gersang! Tanah akan terus subur jika terus dibajai dengan baja yang akan menyuburkan tanah, dan jika ia terus di airi! Hingga suatu ketika diungkap bahawa 'dunia ini hanyalah ladang (tempat bercucuk tanam) akhirat'....itulah hakikat, dan itulah makna kehidupan!

Perhatikan...mengapa matahari kelihatan jauh dan kecil berbanding bumi? Kita sedang melihat matahari dari bumi menyebabkan kita tidak sedar betapa kecilnya bumi yang kita pijak ini berbanding matahari! Fahami kenyataan dan fakta ini, kerana dengannya kita akan memahami rasional mengapa dunia ini selalunya lebih dilihat sangat bermakna berbanding akhirat! Ini kerana kita tidak sedar betapa akhirat itu lebih bermakna, lebih baik, lebih bererti dari kehidupan dunia ini! Mengapa? Mengapa dunia lebih dilihat amat bermakna? Manakala akhirat dilihat kurang menarik dan tiada makna?

Ini kerana faktor IMAN dan sangat dangkal ilmu serta tidak memahami konsep kehidupan!

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Thursday, November 1, 2012

Perjuangan yang panjang dengan berprinsip!

Salam ukhuwwah...

Membelek kembali lipatan sejarah 'sirah Rasulullah'....aku teringat suatu peristiwa ketika Fathul Makkah. Saat itu genting dan gawat kerana pihak Kuffar sangat ketakutan, gempar dan huru hara, memikirkan apa akan berlaku kepada nasib diri. Mereka telah mengangkat pedang memerangi Nabi, malah menyeksa saudara saudara seagama, mereka memerangi kaum Muslimin dari segenap sudut buat beberapa lama. Justeru, mereka merasa amat gentar dan takut akan nasib mereka sendiri. Masing masing cuba lari dan menyelematkan diri. Gerombolan muslimin yang tidak takut mati itu sedang berbondong bondong memasuki Mekah dari segenap penjuru. Para pemuka Quraisy juga semakin gempar, resah dan sangat gelisah. Diraut muka Abu Sufyan, pembesar dan pemimpin golongan Kuffar, antara yang paling kuat memerangi Nabi saw terpancar wajah ketakutan dan cemas. Tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku. Abu Sufyan membayangkan saat kematian dirinya yang sangat hampir! Tenteranya telah lemah, tiada siapa yang akan menghalang kemaraan gerombolan kaum Muslimin. Segalanya makin gawat! Itulah senarionya. Lalu disaat saat tidak keruan itu, disaat saat setiap diri merasa teramat dekat dengan kebimbangan akan kematian yang menjelma kerana menjangka balasan dari perbuatan mereka terdahulu, terdengar suara Baginda Rasulullah saw sayup sayup.....antara yang kedengaran ialah "sesiapa yang masuk rumah Abu Sufyan, dia akan selamat"....berbondonglah kaum Kuffar memasuki rumah Abu Sufyan. Abu Sufyan sendiri terpinga pinga! 

Inilah sebahagian dari senario dalam peristiwa pembukaan Mekah oleh Baginda Rasulullah saw ribuan tahun hijrah yang dahulu. Beberapa persoalan menerjah kotak fikiranku. Mengapa Nabi saw berbuat sedemikian? Apakah perolehan strategi dari sikap Nabi saw itu? Apakah kesan dakwah dan kesan politik dari sikap Nabi saw yang sangat pemaaf itu?

Syugia diingatkan bahawa, peristiwa pembukaan Mekah itu terakam dalam alQuran....ia adalah peristiwa kemenangan perjuangan Islam menentang kaum Musyrik. Berbondong bondong orang yang dahulunya menentang sekarang sudah mengucap dan masuk Islam. Inilah natijah strategi dakwah dan jihad Rasulullah saw yang sering kita tidak ambil tahu akan ibrahnya.

Ada beberapa ibrah atau pengajaran utama yang ingin saya kongsikan dari peristiwa ini yang boleh kita kaitkan dengan senario kita pada hari ini, antaranya ialah:


  • Islam bukan agama peperangan, peperangan dan memperjuangkan sesuatu adalah demi mempertahankan agama dan hak, justeru dakwah dan keamanan adalah diutamakan.


  • Terpancar suatu sikap mulia, nilai kepimpinan yang tinggi oleh Nabi saw dari peristiwa ini, iaitu bagaimana cara yang ditonjolkan oleh Rasulullah saw dalam mengguna kaedah dakwah dengan cara aman terhadap penentang penentang Islam seperti Abu Sufyan...tiada benci, tiada dendam, tiada pertumpahan darah, tiada pergaduhan atas peristiwa yang berlalu. Hari ini ialah hari ini, yang berlalu itu tidak perlu diungkit kembali. Justeru itulah bagaimana Nabi saw menetapkan polisi sedemikian kepada semua orang Kuffar iaitu untuk berlindung di rumah Abu Sufyan agar mereka selamat. Bagi saya ia juga adalah manifestasi kaedah penghormatan dan pemeliharaan maruah Abu Sufyan sebagai pemimpin kepada golongan Kuffar pada masa itu. Ia bukan pengiktirafan kepada kepimpinan Abu Sufyan akan tetapi suatu bentuk dakwah yang halus yang mana akhirnya ia membuka pintu hati Abu Sufyan sendiri untuk memeluk Islam! Jika sedemikian sikap terhadap pemuka pemuka Kafir, bagaimana pula kita terhadap pemimpin pemimpin kita sendiri. Tidakkah seharusnya lebih baik dan murni. Maksudnya ialah cara kita menangani saudara seagama sendiri yang memegang tampuk kepimpinan. Benar, mereka mungkin telah berbuat kesilapan di sana sini, berlaku zalim, namun sudahkah kita tunaikan hak kita terhadap saudara seagama sebagaimana Nabi saw menunaikan hak kepada orang orang kafir (sebelumnya) seperti Abu Sufyan? Saya akur bahawa pemimpin perlu menunaikan hak rakyat, tidak berlaku zalim! Dalam keadaan sedemikian, jika keadaan berlaku sebaliknya, kita pula perlu menunaikan hak hak kita kepada pemimpin. Tidak perlulah kita memaki hamun, menghina dan mencerca kerana itu bukan sebahagian dari model dan contoh akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi saw. Pernah suatu ketika Saidina Ali dalam suatu peperangan (sila rujuk sirah dan kehidupan Saidina Ali) ingin memenggal kepala musuhnya akan tetapi disaat saat akhir, Saidina Ali tidak meneruskan niatnya kerana khuatir akan 'sebab musabab'? Apabila ditanya mengapa engkau tidak membunuhnya wahai Ali? Lalu Saidina Ali menjawab "aku bimbang memenggal kepalanya kerana aku marah berbanding kerana Allah"
Cuba fikirkan......ambillah ibrah dari peristiwa Sirah Nabi saw dan para sahabat! Jadikan ia prinsip kehidupan kita pada hari ini. Kelak kita akan selamat dari api neraka! Tidakkah itu akhirnya yang kita mahu? Mendapat redha Allah dan dimasukkan ke syurgaNya....berbanding ke neraka yang azabnya sangat dahsyat! 

Inilah kaedah dan prinsip yang perlu kita fahami dalam konteks perhubungan sesama manusia, sesama saudara seagama dan juga prinsip apabila berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Ia sangat sesuai dan relevan dalam konteks kita pada hari ini. Benar! Kita ingin perjuangkan Islam, akan tetapi hendaklah kita berlandas jalan, kaedah, prinsip dan akhlak yang benar walaupun dengan sedemikian ia seolah olah kita 'kalah' atau seakan akan 'kalah'!

Harus diingat bahawa perjuangan adalah suatu proses yang panjang, dakwah pula perlu berterusan! Kita mulai dakwah dan perjuangan dengan diri sendiri dahulu, sempurnakan dengan sebaiknya hak hak untuk diri, kemudian keluarga-anak isteri dan keluarga terdekat! Jika semua orang melakukan sebegini, suatu 'wave' atau perubahan besar pasti berlaku! Jika kita terjun ke masyarakat akan tetapi rumahtangga kacau bilau, anak anak tidak terdidik sempurna, fikrah dan akhlak tidak utuh, dimana kemurnian perjuangan kita? Lebih lebih lagi jika kita membawa lesen ISLAM dalam perjuangan itu, tentunya akauntabiliti lebih berat terhadap diri! Sesungguhnya ia bukan mudah dan sangat berat amanah itu! Justeru, hendaklah kita bersederhana dalam apa jua tindakan dan kata kata! Moga moga Islam akan terus unggul pada hari ini dan pada masa akan datang! Marilah kita sama sama berjuang dengan sebaiknya mengikut landas yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw dan para sahabatnya! Insyaallah, amiin!


Monday, July 30, 2012

Ini perang yg satu lagi...Siri 4:Bila lagi? Inilah tikanya!

IMG-20120728-00007.jpgIMG-20120728-00008.jpgSalam ukhuwwah!

Benarlah! Sesiapa ikut pilihan pilihan yang ditentukan Allah swt...dia akan menerima syahadah daripada Allah, pengakuan daripada Allah, radiallahu anhum waradhuu anh! Allah redha kepada mereka dan mereka ialah orang orang yang mendapat redhaNya! Rujuk Surah at Taubah ayat 100.




وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
And the first to lead the way , of the Muha ' jirin and the Ansar , and those who followed them in goodness Allah is well pleased with them and they are well pleased with Him and He hath made ready for them Gardens underneath which rivers flow , wherein they will abide for ever . That is the supreme triumph .

Secara umumnya, mudah sebenarnya formula untuk mendapat redha Illahi...formula ringkasnya ialah "ikuti apa yang Allah suruh buat, tinggal apa yang dilarang"... dalam konteks ayat at Taubah di atas...KITA SEMUA ikuti atau turuti jejak langkah para SAHABAT Nabi saw dengan kebaikan iman dan taqwa!



Pada Ramadhan yang mulia ini...inilah masa, saat dan tikanya! Saat nafsu lemah dan hilang kuasa, geraf IMAN meningkat mendadak....atau peluang untuk IMAN berkuasa sepenuhnya ke atas nafsu...maka inilah saatnya kita meraih redha Illahi...jangan terlepas peluang ini! Tingkatkan amal...tadarus alQuran, kerjakan solat fardhu, terawih, taubah, tasbih, tahajjud dan sunat sunat yang lain, jangan pentingkan diri sendiri, dalam pada kita beribadah, kita juga diseru untuk menjalin ukhuwwah samada meningkatkan ukhuwwah sedia ada atau menjalin ukhuwwah yang baru...ajak rakan dan teman berbuka puasa mahupun bersahur bersama sama serta tazkirah sesama!Kalian kan temui keseronokan dan kebahagiaan dengan cara menyumbang usaha kearah membahagiakan orang lain! Seronok apabila kita boleh meningkatkan usaha agar perhubungan dan ukhuwwah menjadi lebih erat (maaf, saya bermaksud ukhuwwah yang syariah compliance, dan bukannya hubungan atau permainan cinta mahupun perasaan antara seorang lelaki dan perempuan bukan muhrim yang melewati batas syariah!!!!!). Persahabatan 'fillah' itu menjadi sandaran....kerana ia salah satu golongan yang menerima 'dzilluhu' atau naungan dariNYA di akhirat kelak! Mudah bukan! Hanya dengan mengekalkan dan menjalin ukhuwwah, Allah swt janjikan perlindunganNYA di akhirat kelak! Masyaallah!....justeru saat ini mengapa kita menjadi manusia yang mudah sahaja memutuskan perhubungan? Tidakkah dengan mengaibkan orang, menunjukkan buruk sesama, saling bercakaran dan berbahasan melewati batas itu adalah punca dan faktor ke arah memutuskan suatu perhubungan???? 


Pada waktu yang sama....tidakkah selama ini kita tercari cari kebahagiaan dalam hidup selama ini? Mengapa tidak kita usaha mencari kebahagiaan itu....kaedah dan cara telah terhidang didepan mata! Allah dan RasulNya telah menunjukkan jalan itu...ia juga dicontohi oleh mereka selepas Baginda Rasulullah saw! Mengapa kita masih tercari cari walhal ia ada didepan mata! Jangan jadi malas dan manja....gali khazanah ilmu, baca kisah kisah mereka! Contohi cara dan kehidupan mereka....pasti kalian kan temui kebahagiaan yang dicari selama ini! Amiin! Insyaallah!



Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Thursday, June 7, 2012

Yang lebih tahu, yang berilmu...lebih utama!

Salam ukhuwwah...


Kembali berbicara disini, agak kurang segar beberapa ketika! Alhamdulillah sekarang bertambah baik. Syukur Allah sentiasa mengingatkan dengan nikmat sakit! Aku pasrah!
Saat terlantar, banyak masa membelek dan menelaah buku dan mushaf alQuran...tak terlepas melihat lontaran perasaan, idea dan juga keluhan di FB...berbagai manusia ini! Apapun terpulang kepada kalian! Mahu mengecam, mahu mengomel, mahu marah, mahu menonjolkan diri, mahu berniaga, mahu mempromosi, mahu berkongsi, mahu berMLM, mahu berbagai lagi!


Namun, sudah sekelian lama saya perhati satu budaya yang tidak surut dan habis habis persoalannya....perbalahan antara dua pihak! Ini nyata dan hakikat yang terjadi! Cuma komen saya (ingin juga mengomel tapi ini bukan omelan sia sia, malah ini sekadar lontaran idea) tidak mengapa jika tidak setuju dengan saya! Cuma lontaran idea ini saya mulakan dengan beberapa persoalan!





Jika kita orang yang lebih tahu, lebih berilmu, patut atau tidak kita berperangai lebih buruk@lebih teruk@terbawa bawa@serupa dengan orang yang tidak tahu, kurang berilmu, atau berfikiran seperti rakyat jelata?


Tidakkah ia benar bahawa orang yang lebih tahu, lebih berilmu itu lebih tinggi darjatnya? Mengapa perlu merendahkan darjat dan maruah dengan berperangai buruk dan hodoh yang mencemarkan ketinggian pendidikan yang diterima!


Dan yang paling utama sekali, orang yang lebih tahu, lebih berilmu itu pula adalah orang yang berilmu luas dalam agama iaitu Islam berbanding dengan orang lain yang juga tinggi ilmunya tapi bukan bidang agama, tidak terlatih dalam aspek agama dan perjuangan! Dalam hal ini, siapa yang paling utama untuk memberi teladan yang baik? Siapa yang lebih patut menjadi qudwah dalam kehidupan? Siapa yang lebih patut berusaha untuk mengajak pihak satu lagi untuk berbuat kebaikan, berubah berbanding mengajak bermusuhan, membenci sesama sendiri!


Tidaklah PELIK sebenarnya jika yang tiada latarbelakang agama itu (kalau ada pun dia punya pengetahuan agama yang sangat sedikit) walhal dia saudara seagama kita untuk berperangai buruk dan tidak sepertinya! (Maaf! Bukan saya membela mahupun membenarkan keadaannya, ini adalah senario sebenarnya yang berlaku)...isunya ialah tidakkah lebih utama dan menjadi tanggungjawab kita untuk menabur benih benih persaudaraan, berusaha dengan berbagai cara yang mungkin untuk mengajak saudara seagama kita itu kembali@benar benar berada di jalan yang lurus!


Tidakkah lebih 'aula'@utama untuk kita berusaha membetulkan dan 'menarik' seseorang itu ke arah jalan yang lurus berbanding mengambil hukum sendiri bahawa si fulan itu sudah diberi nasihat, sudah dibicara namun dia tidak berubah...lalu lebih baik kita biarkan dia begitu? Adakah ini wajar? Adakah kita sudah hilang segala usaha, kreativiti dan akal untuk mengajaknya ke jalan yang lurus! Mengapa tidak kita bersabar dengan usaha berterusan sedangkan hasilnya masih jauh diperolehi untuk mengajaknya berubah dan terus berubah! Mengapa benih benci dan permusuhan terus terusan kita taburkan! Mengapa kita turut sama mengkeji apabila mereka mengkeji!


Tidakkah apabila kita turut sama mengkeji, menghina, mencerca, mengaib, mencemar maruah seperti mana mereka lakukan terhadap kita, sebagai balasan terhadap perbuatan kita ia menunjukkan kita ini tiada bezanya dengan mereka? Tidakkah lebih utama untuk kita sebagai pemimpin yang dihormati untuk mendidik anak buah dan pengikut kita supaya lebih bersikap mulia berbanding turut sama mencerca?


Ini antara perkara perkara yang saya ajukan kepada diri sendiri kerana inilah jua yang saya fahami dari kisah Sirah Rasulullah saw yang patut dan mesti kita contohi!
Bagi pihak yang satu lagi, yang tidak PELIK jika kalian berperangai buruk, mencerca dan menghina sesama hanya kerana itulah cara untuk menjatuhkan perjuangan orang !
Sudah masuk hari ketiga: sedang mencuba kaedah Sunnah dalam merawat sakit..nantikan coretan saya tentang ini kemudian!


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Friday, March 23, 2012

Lebih memberi dari menerima....

Salam ukhuwwah!


Lewat pertemuan, kelmarin dengan Prof Dr. Muhaya dipejabatnya...keadaan agak sibuk. Pesakit ramai, manakala temu janji yang dijadualkan jam 11.30am terpaksa ditunda. Aku dan isteri menunggu sehingga jam 12.45, Prof Muhaya rupanya sedang melakukan pembedahan Lasik kepada pesakitnya....tidak mengapa!


Aku memahami dunia sibuk hidupnya sehari hari...paginya Prof Muhaya 'on air' di Ikim.fm...jam 11.30 am sudah kembali dari konti Ikim.fm, sampai di pejabatnya di Prince Court Medical Center, terus melakukan pembedahan Lasik kepada pesakitnya. Habis pembedahan dia menemui kami....raut wajah agak keletihan, mata kemerahan. Dia penat, aku faham!



"Maaf la, agak sibuk hari ini, you all terpaksa tunggu" ujarnya. "Maaf juga, sms tempohari lambat respon, saya hilang telefon, nombor tak cam, duk ingat2 siapa Sakinah nih......tapi lepas beberapa ketika, saya fikir, tak patut kecewakan orang" tambahnya lagi. Aku dan isteri hanya mengangguk angguk...kami simpati dan faham situasinya! "Rupa rupanya you all ker! Laa nape tak cakap awal awal...lama kita tak jumpa yer" katanya lagi. "Tak apa Prof...ingat dah lupa kat kami...apapun kami faham Prof sibuk!" ujar isteriku.


Lalu pertemuan itu dilangsung sebagaimana diharapkan...terungkap kata kata ini "kita hidup hari ini mengikut geraf kehidupan yang kita lakar dahulu...jika kita lakar geraf dengan baik, dan cemerlang...maka hari ini kehidupan akan baik dan cemerlang, begitulah sebaliknya...kita perlu lebih memberi berbanding menerima..."ujarnya. Prof Muhaya mengungkap demikian bersebab. Ia kerana isteri saya memberitahu beliau "Prof, saya ada add friend di fb Prof...sy Likes juga fan page.." Prof Muhaya jawab" eh..saya tak update fb saya hanya guna fan page saya..saya tak sempat nak jawab dan respon...banyak sangat"



Itulah insiden yang menyebabkan saya menukilkan LEBIH MEMBERI DARI MENERIMA....kita selalu lebih mahukan perhatian, lebih mahukan input lebih mahukan 'recognition' dari orang lain! Kita selalu lebih mahu tahu apa yang orang lain buat berbanding apa kita buat. Kita nak tahu apa yang orang lain dah sumbang berbanding apa yang kita sumbang....malah pada tahap yang ekstrem dan sudah menjadi budaya hari ini...kita lebih mahu mengkritik daripada mahu melakukan, kita lebih mahu mencari kesalahan berbanding melihat kebaikan, kita suka cari yang tak kena berbanding melihat apa yang kena. Kita lebih mahu untuk tidak suka sifulan dan tidak suka kepada kata kata sifulan berbanding melihat apa kebaikan yang ada pada sifulan dan menyukai sifulan...saya faham, semuanya adalah hak individu untuk suka atau tidak suka kepada sifulan, sesiapa sekalipun dia!


Apa yang ingin diutarakan dan ditekankan disini ialah, betapa kita ini lebih mahukan orang lain melakukan, berbuat sesuatu berbanding kita sendiri yang melakukan. Atau kita suka melihat apa yang tidak kena berbanding apa yang kena dimata kita! Mengapa? Jawabnya mudah, kita lebih suka menerima berbanding memberi! Dengan sebab kita lebih suka menerimalah maka kita merasa bebas tekanan dan bebas tanggungjawab lalu kita dengan mudahnya 'menunjuk kepada kesalahan@kesilapan orang lain'....cuba letakkan diri dalam keadaan memberi, tak kiralah apa yang diberi, samada sumbangan wang ringgit, khidmat tenaga, kepakaran, idea, fikiran, ungkapan dan sebagainya....cubalah letakkan diri dalam keadaan menyumbang....bukan terhad kepada keluarga terdekat akan tetapi kepada masyarakat kerana Allah...demi untuk ummah, demi untuk Islam. Cuba letakkan diri dalam keadaan berhabis masa tenaga, wang ringgit demi ummah! Cuba rasai nikmat melakukannya dan mengharapkan redhaNya.


Maaf kata, kalau setakat mencari apa yang tak kena, mana yang tidak betul...ia bukan sesuatu yang sukar. Tak perlu pergi sekolah, tak perlu pandai membaca pun, tak perlu masuk universiti, malah ia juga dilakukan oleh cerdik pandai, pakar itu ini....hampir semua orang boleh melakukannya...tak susah! Apa yang susah ialah menyumbang kebaikan kepada agama, berkorban demi agama! Ganjarannya syurga! Yang paling sukar sekali ialah mengubah DIRI SENDIRI.....


Nukilan ini inspirasi dari diskusi dengan Prof Dr Muhaya dan ceramah yang didengar pada malam ini oleh Sham Kamikaze!


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile. 

Friday, February 17, 2012

Jaga diri dengan menjaga Allah......

Salam Ukhuwwah...salam Jumaat!


Sepagi bersama teman, sedikit bicara bertanya khabar namun tiba tiba, aku ditanya....ini transkrip perbualan kami.....


Dia: Bro....aku nak tanya ko sikit!
Aku: Apa dia.....hermm, aku leh agak ada la tu musykil kat mana mana tu!


Dia: hehehe...biasa la! Hari tu ko cakap pasal Allah suruh jaga diri dan keluarga dari api neraka....tidakkah itu lebih nampak macam pentingkan diri!
Aku: look at positive side bro....seimbas lalu ia sebegitu! Namun, ia patut macam tu pun demi kebaikan semua...kan ayat hujung tu ialah "dari api neraka"....mudah je! Sebenarnya, besar makna ayat ni...kena fahami dengan meluas dan mendalam.


Dia: Apa dia yang meluas/mendalam tu! Kan straight forward jer ayat tu...melindungi diri dan keluarga dari api neraka!
Aku: hehehe.....pandangan aku yang cetek ni ialah: ayat tu bermaksud amanah dan tanggungjawab diri, ia merujuk kepada dakwah, ia juga bersifat politik, ia juga soal keseimbangan hidup di dunia dan akhirat bro....amanah kat situ ialah soal tanggungjawab setiap insan untuk buat apa yg Allah suruh dan tinggal apa Allah larang....bukan ambik sikit sana sikit sini dalam erti kata lain buat apa yang kita suka jer....bukan gitu, ia soal kepatuhan kita kepada perintahNYA...itu menjadi tanggungjawab kepada kita yang sudah beriman! Mana boleh ko claim ko beriman kepada Allah tapi ko buat suka hati jer kat dunia ni! cakap ikut sedap mulut, caci maki dalam perhubungan, aurat tak jaga...fitnah sana sini, memang la kita tak sedar kita seang memfitnah, akan tetapi sekarang ni makin berleluasa, kalau ko tengok, kita sampaikan atau wawarkan dalam  FB tu pun dah kira fitnah walau hanya share atau klik like sebab benda tu mendorong orang lain untuk membacanya, idak itu kira memanjangkan fitnah ke! Tak kira la benda yang diperkatakan tu betul atau salah....kalau betul, kita telah melanggar perintah untuk tidak mengaibkan atau menjelekkan orang lain atau memburukkan orang lain, tak kira atas alasan apa dan dasar apapun! Kalau betul dakwaan, kenapa tak pergi report dan rujuk kepada hakim...habis cerita, ni kita duk usung cerita ke sana ke sini. Tak de kerja lain ke! Macam mana umat Islam hendak diliputi rahmat dan perlindungan Allah jika asas kepada perhubungan ni tidak kita perbaiki dan buat!


Dia: mak aih...panjangnya!
Aku: Tu la pasal....ada lagi ni! Ia merujuk kepada dakwah, diri sendiri (merujuk kita sebagai suami/anak etc)...dalam konteks ko, ko ialah suami, ko pemimpin kepada isteri dan anak anak, ko kena jaga amanah itu, ko kena betulkan mereka mengikut acuan Islam....ia jadi proses dakwah! Jika semua suami, bapa dan anak atau isteri, ibu dan anak memainkan peranan ni....jika semua keluarga Islam buat gini, masing masing jaga (akhlak, perbuatan, ibadah, hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia), cuba ko bayangkan berapa ramai keluarga Islam kat Malaysia nih....jika semua buat gini, alangkah bagusnya! Tidakkah itu dakwah bro! Contoh la....dalam isu solat, jika para suami, para bapa dan para ibu serta para anak, jaga diri sendiri dengan menjaga solat fardhu secara berjemaah.....agak agak la, ko rasa penuh tak masjid masjid kat Malaysia ni setiap kali masuk waktu solat fardhu......ni sibuk menjerit terlalak sana sini macam mana cahaya iman nak masuk....mana boleh yang mungkar bercampur dengan maaruf! Selamanya kebaikan tidak akan bercampur dengan kejahatan atau maksiat! Ini kita campur kedua duanya...agak agak sapa yang menang?? dah tentu yang mungkar menang sebab maksiat mengikis iman!


Dia: huisshh...panjangnya...ok aku faham, aku nak gi ofis dah ni.....nanti sambung balik...
Aku: no problem bro....kalau ko faham bagus! Mudah mudahan Allah memberkati kita semua dengan halaqah sebegini, diskusi yang bermanfaat! Aku hanya berkongsi apa yang aku faham jer, kalau salah mana mana, itu kerana aku jahil dan daif ilmu! Sorry bro kalau statement aku tu pedas kat ko!
Dia: no hal la...you are telling me the fact man! Ada lagi ko tak cerita pasal ayat tu, bab politik ngan seimbang dunia akhirat....! Simpan yang tu utk lain masa, aku agak mesti yang tu lagi panjang berjela! Haahahahaha
Aku: hehehehe...Assalamualaikum bro! insyaallah jumpa lagi!



Friday, January 27, 2012

Mengintip aib orang!

Salam ukhuwwah!

Dipetik dari buku Abdurrahman Asy-Syarqawi...Satu ketika Umar alKhattab pergi ke rumah Abdurrahman bin Auf diwaktu tengah malam! "Ada apa Amirulmukminin datang pada waktu tengah malam ini?" Tanya Abdurrahman. Umar menjawab "tadi aku melihat serombongan orang menuju ke pasar, aku khuatir mereka akan mencuri, mari kita pergi menjaga pasar mereka"

Saat di pasar itu, sambil duduk duduk mengawasi pasar, Umar ternampak cahaya lampu dari kejauhan, dia bertanya, "Mengapa mereka tidak mematikan lampu jika mereka sudah tidur?". Mereka berdua mendekati lampu yang masih bernyala tersebut dan mendapati ada beberapa orang sedang berjaga sambil minum khamar@arak! Umar berkata, "Mari kita pergi, aku sudah tahu siapa mereka."

Esoknya, Umar memanggil orang itu dan menanyakan dengan pertanyaan yang keras, "Malam tadi dirimu dan beberapa kawanmu minum minuman keras!" Orang itu bertanya, "Dari mana Amirulmukminin tahu?" Umar menjawab "Aku melihat dengan mata kepalaku sendiri!" Orang itu malah mengingatkan Umar, "Bukankah Allah berfirman dan melarang kita semua untuk mengintip orang lain?" Umar sedar dia telah melakukan kesalahan kerana telah memeriksa rumah orang tersebut tanpa pengetahuannya sehingga dia tidak jadi menghukumnya! Umar tidak ingin membuka aib dan cela orang lain, sebagaimana dia juga tidak ingin mengintip kekurangan rakyatnya. Bahkan sebaliknya, dia selalu menutup kekurangan kekurangan mereka, dan seboleh mungkin memperbaiki kesalahan mereka dengan mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

Bagaimana kita? Adakah kita menutupi aib dan keburukan orang lain? Adakah kita menghentikan kata kata yang mengumpat orang lain? Contoh diatas adalah contoh dan fakta sejarah yang perlu menjadi rujukan dan sandaran perbuatan yang perlu dilakukan dalam hidup bermasyarakat! Insyaallah!



Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.