Showing posts with label cara berfikir. Show all posts
Showing posts with label cara berfikir. Show all posts

Saturday, May 16, 2015

Ku beli ESOK pada hari INI.....

Assalamualaikum wrt wbt...

Suatu hari....

Saya ungkapkan didalam hati -- tak mengapa wahai hati dan diri, aku sedang melabur masa dan keuntungan demi masa hadapan --- ku beli hari esok pada hari ini.

Nanti kan tiba saatnya aku kan tersenyum puas lalu saat itu mungkin mereka iaitu manusia akan berkata kepada ku untunglah kamu kerana engkau telah membeli masa mu saat yang lalu lantas engkau nikmati hasilnya hari ini.....Saat itu juga manusia kan berkata--untunglah dikau kerana keberhasilan yang kau raih hari ini.....

Lalu aku menjawab --ini kerana aku telah membeli hari ini di masa yang lalu--kalian tidak tahu betapa peritnya usaha membeli hari ini dimasa yang lalu--hanya aku yang mengerti bagaimana rasanya......lalu persoalannya mengapa kalian tidak melakukan perkara yang sama, sedemikian juga. Bermulalah....


Saat aku berhempas pulas membeli hari ini dimasa yang lalu--kalian dimana? Adakah kalian enak sahaja di rumah atau berseronok dimana mana---lalu hari ini salah kah jika aku ungkapkan bahawa aku ingin memberi hadiah buat diri ku dengan membelanjakan hasilan dari kutipan yang aku usahakan dimasa lalu?

....lalu bagaimana jika aku katakan kepada kalian, belilah masa dan hari hadapan dengan keringat dan usaha tanpa jemu atau lelah, ingatlah saat jiwamu merintih kapan harinya kan tiba buat mu lalu engkau katakan masanya akan tiba buat ku nanti kerana Tuhan tidak pernah menipu dalam firmanNya--sesungguhnya setiap kesusahan itu akan diikuti selepasnya dengan kesenangan....(Surah al insyiraah)

Sent from my iPhone

Thursday, May 8, 2014

Sentiasa memilih

Assalam dan salam sejahtera.....

(renungi kehidupan dan berfikir demi kebenaran agar kita sentiasa jadi hambaNYA......latarbelakang Jabal Tariq@Algeciras menuju ke Morocco dari Sepanyol melalui Gibraltar untuk ke Pelabuhan Tangiers...dalam misi melihat laluan sejarah dan keagungan alam ciptaan Allah)


Amanah dan tugas sebagai pendidik tidak terhad sekadar 'balligh aayatan' akan tetapi lebih dari itu. Walau diatas kertas ia tidak dinyatakan sebagai skop tugas namun ia menjadi lumrah yang perlu dilaksana samada suka atau tidak. Apa yang penting biarkan ia menjadi amal jarih dan dilakukan dengan ikhlas. Benarlah ungkapan bahawa guru itu menerangi bak lilin yang membakar dirinya sendiri untuk faedah orang lain.....

Atas rasa tanggungjawab, insaf dan sedar betapa anak bangsa ini perlu dimajukan dan potensi mereka perlu dikembangkan sewajarnya maka inilah yang SAYA pilih dan inilah yang SAYA perlu lakukan. Aku pasrah! Kisahnya begini.......

"Kelmarin saya mendapat tahu bahawa ada seorang pelajar (tidak perlu diketahui siapa) ini ingin berhenti belajar dari meneruskan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda atas alasan pelbagai. Berita itu saya terima dalam keadaan terkejut kerana apabila disemak keputusan semasa peperiksaannya, keputusannya memberangsangkan.....akan tetapi itulah faktanya, dia ingin berhenti! Saya semak latar diri dan cuba mendapat maklumat pelbagai termasuk menghubungi teman baik saya Cikgu Zawawi Salikin (terimakasih kepada beliau kerana walau di tidak kenal ibubapa pelajar ini akan tetapi dia berusaha mendapatkan maklumat dan pergi ke kampung dan tempat tinggal pelajar tersebut. Dia telah 2,3 kali pergi ke lokasi walau saat itu dia sedang bertugas akan tetapi tetap berusaha untuk menemui ibubapa pelajar tersebut atas dasar tanggungjawab bahawa sesuatu perlu dilakukan walau pelajar tersebut bukan bekas anak muridnya atau dia mengenali keluarga pelajar tersebut. Beliau berkongsi aspirasi dengan saya maka isu ini perlu ditangani sebaiknya demi masa depan pelajar dan keluarga tersebut) Alhamdulillah misi itu berjaya dan saya mendapat maklumat lengkap untuk saya hadap akan kes pelajar ini. Pelajar ini bukan pelajar saya dalam erti kata saya pernah mengajarnya akan tetapi dia adalah pelajar yang mengikuti kursus sarjana muda yang saya kendalikan". 

Itulah senario kes ini. Sebelum meneruskan bicara ini, saya mohon maaf jika cerita ini memalukan pelajar tersebut akan tetapi bukan itu maksud saya.....ada ibrah yang ingin saya kongsikan. Saya bukan mahu menceritakan isi kandungan kisah pelajar itu akan tetapi ingin berkongsi penghargaan dan usaha mereka yang berada disekeliling saya buat pengajaran (jika ada pengajaran dan kebaikan darinya) kepada semua.

Dalam kehidupan ini kita perlu memilih. Antara dua persimpangan yang perlu kita lalui. Malah dunia hari ini ia bukan sekadar dua persimpangan akan tetapi bersimpang siur pilihan dan keputusan yang perlu dibuat. Isunya ialah memilih dan keperluan memilih! Apa sebab dan apa perlu memilih? Adakah pilihan yang perlu dibuat itu berlaku atas desakan atau keperluan hidup atau hanya disebabkan oleh diri sendiri (maksud saya ialah dalam keadaan tiada pasal tetapi mencari pasal-selalunya ini antara sebab utama walau kebanyakan kita pasti menafikan sebab ini).....

Kita mudah memberi justifikasi apa apa sekalipun terhadap keputusn yang dibuat akan tetapi isunya adakah justifikasi itu memenuhi selera sendiri atau tidak. Apapun sebab atau justifikasi yang menjadi dorongan kita membuat keputusan hendaklah didasari oleh keperluan memenuhi (KPI) atau kehendak Allah dan Rasulnya dan bukan mendahului kehendak diri. 

Jika terlalu jitu memenuhi kehendak diri, akan wujud kecenderungan akan berlaku pilihan pilihan yang silap mahupun salah. Atau pilihan yang dibuat itu TIDAK DIBERKATI kerana tiada REDHA Illahi pada pilihan pilihan tersebut. Malah lebih buruk lagi ia menyebabkan keadaan hidup menjadi lebih kelam kabut dan lebih buruk. Akhirnya individu yang mendahului kehendak diri berbanding kehendak Allah dan Rasulnya akan rugi serugi ruginya seperti mana yang dinyatakan dalam Surah al-Asr:



"Demi waktu Asr, sesungguhnya manusia itu SENTIASA dalam kerugian, kecuali mereka yang BERIMAN dan BERAMAL SOLEH dan mereka yang berpesan pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan sabar"

Mengapa rugi? Mengapa kebenaran dikaitkan dengan sabar? Mengapa sebelum itu ialah keimanan yang menjadi tunjang lalu disulami dengan amal soleh, barulah boleh berpesan atau menasihati dengan kebenaran yang perlu dilakukan dengan sabar?

Jika difikir sedalamnya, ternyata ada sebab mengapa sedemikian. Renungkan sedalamnya.

Terkadang kita memilih kerana berlaku cabaran dalam hidup, desakan atau masalah menyebabkan kita terpaksa atau perlu memilih. Suka saya mengaitkan (saya juga memberi contoh ini kepada pelajar saya itu dalam sesi kaunseling yang saya jalankan semalam) soal memilih ini dengan Sirah Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw menunjukkan contoh kepada kepada kita semua selaras dengan Surah Al-Asr ketika Baginda wahyu pertama belum turun lagi.....apa yang berlaku? 

Nabi Muhammad melihat kebobrokan dalam masyarakat, idealisme Jahiliah berleluasa, dan semua itu amat tidak disenangi oleh Baginda. Nabi Muhammad saw seorang yang mulia dan terpuji malah terkenal amanah dengan gelaran alAmin, lalu dalam suasana yang tidak serasi dengan jiwa dan hatinya maka Baginda membuat PILIHAN beruzlah/berkhalwat atau mengasingkan diri (tidaklah baginda memulaukan mahupun langsung tidak bergaul dengan ahli keluarganya mahupun saudara maranya) dari masyarakatnya.....hingga akhirnya wahyu pertama turun. 

Nah lihatlah reputasi dan prinsip yang diamalkan oleh Nabi Muhammad saw yang sangat selaras dengan Surah alAsr itu......BERIMAN + BERAMAL SOLEH (dengan menjauhi perbuatan Jahiliah dan maksiat) = Pesan KEBENARAN + SABAR (iaitu proses dakwah yang Baginda lakukan selepas wahyu yang pertama iaitu Iqra = ILMU) yang bermaksud, untuk berpesan dengan kebenaran dan menasihati mesti perlu ILMU dan ia kewajipan UTAMA untuk melengkapkan diri dengan ILMU.......

Kenyataan kenyataan inilah yang saya katakan kepada pelajar saya itu. Saya katakan kepada pelajar saya itu, bagaimana perjalanan dakwah Nabi Muhammad saw, betapa susahnya baginda menghadapi tentangan, menghadapi kerenah manusia, cabaran dan kesusahan serta kepayahan yang pelbagai. Saya juga katakan bahawa menuntut ilmu itu adalah amanah. Ia DAKWAH. Bagaimana mungkin kita mahu memikul amanah DAKWAH jika diri sendiri lemah dalam, jika dakwah kepada diri sendiri gagal. Jika DAKWAH KEPADA DIRI SENDIRI GAGAL, bagaimana mungkin dakwah untuk orang lain? Bagaimana mungkin Islam akan gagah perkasa suatu hari nanti......

Jangan lari atau putus asa atau merasa tewas dalam usaha mencari ILMU. Ada sebab mengapa Allah letakkan kita dalam situasi begini. Ia penuh IBRAH atau PENGAJARAN....cari IBRAH itu agar ia dapat memujuk hati dengan hakikat kebenaran. Allah TIDAK PERNAH zalim terhadap hambaNYA.....maka atas dasar itu mengapa kita gundah gulana. Tidakka dia mengatakan kepada Nabi Yaaqub mengatakan satu nasihat kepada anak anaknya (adik beradik Nabi Yusuf a.s.)

A087
Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Saya doakan pelajar saya itu akan dapat membuat pilihan yang diredhai dan diberkati Allah swt, dan semoga pilihan yang dibuat itu akan membawa kebaikan dunia akhirat buatnya. Saya hanya mampu berpesan pesan dengan kebenaran dan insyaallah akan cuba terus komited dan sabar dalam menyampaikan pesanan pesanan ini.....kita adalah apa yang kita fikir, jika positif maka positiflah kehidupan begitu juga sebaliknya.

Moga moga Allah swt sentiasa memberi kekuatan kepada diri saya untuk sentiasa memberi nilai tambah dalam kehidupan ini demi faedah dan kebaikan orang lain. Insyaallah, amiin!


Sent from my iPhone

Thursday, November 28, 2013

Lihatlah dengan hati, fahami dengan aqal....

Assalamualaikum wrt wbt....

Hujan turun dengan lebatnya........aku melihat kepulan wap dari kopi panas yang dipesan, sambil menyambung sembang dengan teman ku ini. Saat itu sedang bermusafir, lalu kami berhenti seketika untuk solat jamak qasar Magrib dan Isya di RnR ini....


Hiruk pikuk dek ramainya orang di situ seolah olah tidak kami hiraukan......Kami mengimbau kembali zaman kami di kampung....temanku punya cerita sendiri yang dikongsikan bersamaku, begitu juga aku. Keadaan sudah amat berbeza sekarang. Kemajuan yang dikecapi telah mengubah peristiwa dan gaya hidup. Dulu lain sekarang lain. Kami berbicara tentang Gen X dan Gen Y......ada lompong yang amat besar di situ.


old people photography wisdomHakikatnya ialah, keterbukaan telah mengubah gaya interaksi. Nilai nilai yang dahulunya dijunjung tinggi seolah olah telah luntur. Itu antara isi bicara antara aku dengan sang teman. Tiba tiba aku di sapa oleh satu susuk yang datang mendekati....."Assalamualaikum Encik Alwi, apa khabar?" ujarnya. Aku menjawab salam itu lalu termenung seketika. Sekilas itu fikiran ku seolah olah melayang layang umpama mencari cari sesuatu ingatan yang hilang dari lipatan lipatan memori yang ada. Bagai Lebai Google yang putar putar merayapi segenap pelosok lokasi dan maklumat yang ada mencari kata carian yang tertera.....aku cuba mengingati kembali dimana pernah ketemu susuk ini seraya mengungkap "Eh, saya rasa saya kenal, kat mana yea" ujarku. "Alaa...ini Iskandar la Encik Alwi, bekas anak murid Encik Alwi masa diploma dulu...kita ada bertemu di UPSI beberapa ketika dahulu" ujarnya. Setangkas itu memori itu kembali......aku terus mengajaknya duduk seraya bertanya khabar berita. Di dalam hati aku terkesima sekali kerana bekas pelajarku ini masih mengingati aku, sesuatu yang amat aku hargai.....itulah untungnya jadi Guru....penghargaan dan ingatan itu sudah cukup membuat hati berbunga. Aku fikir situasi yang sama juga dialami oleh para guru lain termasuk bekas guru guruku....tentunya apabila disapa dan ditegur, bertanya khabar sedemikian, ia sesuatu yang amat menggembirakan. Di dalam hati, aku mengucap syukur ke hadrat Illahi. Ia seolah olah suatu hadiah bermakna dariNya buat ku.....ia membuat hati gembira dan bahagia. Keletihan bermusafir hilang sebegitu sahaja. Lalu aku menjemputnya duduk disamping ku. "Dudukla...dari mana nak kemana?" tanyaku. "Oh saya dari Langkawi, nak balik Tg Malim, ada kursus di sana".


Lalu kami teruskan bicara yang temanya tentang generasi masa kini, Gen Y dan Gen X serta pandangan hidup. Aku suka bicara sebegini. Ia seolah olah menajamkan pisau yang tumpul, membangkitkan ghairah fikiran dan nafsu bicara. Buat seketika, aku lupakan sementara kisah musafir ku.


"Sekarang amat berbeza Encik Alwi, serakah perjuangan sudah berubah...generasi kini sudah semakin terbuka, segalanya dihambur begitu sahaja." ujarnya. Aku mengangguk menyetujui padangannya. "Dahulu semangatnya berbeza...hari ini mereka 'want more no less', generasi sekarang lebih kepada 'what is right diorang sokong, what is wrong is wrong'...." katanya lagi. Aku terus menyetujui pendapatnya agar terus terusan dia boleh mengungkap pandangannya lagi. Aku tidak mahu menahan dirinya dari berbicara lagi dengan menyampuknya. Ku biarkan dia.....dia menyambung lagi "Hari ini saya lebih melihat keluhuran dan ketelusan, itu penting, saya tidak mahu diperolok"...lebih kurang sebegitu ujarnya.


Akhirnya selepas beberapa ketika, aku menyampuk juga setelah dia sudah agak selesa dan selesai menyuarakan isi hatinya...."Ya saya setuju...itulah keadaan sekarang". Lalu aku memberi contoh bahawa di musim durian, dalam satu dusun, tidak semua buah durian yang gugur itu elok dan baik isinya, terutamanya sekali buah pertama. Tentu ada buah yang baik dan buruk. Itu nilai universal. Justeru, mana mungkin kita katakan dan mengambil kesimpulan bahawa dusun durian itu menghasilkan buah yang buruk walhal ada yang buruk dan ada buah yang baik dan enak isinya. Hari ini, kita mudah mengambil kesimpulan umum berbanding melihat dan memahami satu persatu kes dan isu dan tidak semudah itu juga kita membuat kesimpulan. Buah yang buruk masih ada gunanya, boleh dibuat tempoyak, manakala buah yang baik boleh dijual. Itulah nilainya. 

old people photography wisdomJadi jika cara berfikir dan menganalisa serta usaha untuk memahami tidak dilakukan dalam diri, bagaimana mungkin kita akan menjadi seorang individu yang matang dan bijak memahami keadaan. Itulah kedewasaan. ia tidak memerlukan seseorang untuk punya phd mahupun sijil master atau segulung ijazah untuk jadi sebegitu...ia bermula dengan luasnya pembacaan dan pemahaman. Jika individu malas membaca, ia sudah satu masalah, jika dia hanya membaca apa yang disukai, itu juga satu masalah. Ini kerana jika malas membaca, maka aqal tidak terdedah kepada pemikiran pemikiran universal, jika hanya membaca satu kelompok bahan tertentu sahaja, maka akal dan cara berfikir hanya terbentuk dalam kerangka maklumat apa yang dibaca sahaja.......inilah yang membentuk diri dan pemikiran individu. 

Analoginya mudah, jika suka membaca bahan picisan, maka akal akan berfikiran dalam kerangka picisan, jika membaca alQuran dan Hadis, memahami maksud dan tafsirannya yang muktabar maka akal dan otak akan dibentuk oleh nilai universal, akal akan mengerti maksud berTUHAN yang menatijahkan akan murninya akhlak kemanusiaan, malah berertinya kehidupan lalu mengubah tanggapan tentang makna sebenar hidup di dunia dan hakikat kehidupan di akhirat. Begitu juga jika suka hiburan, maka hiburan lah yang menjadi hidangan dan menu utama yang menjadi pilihan tatkala suis TV di dibuka........




Perkara yang sama juga berlaku apabila mahu menilai, memahami, menganalisa isu. Kita perlu melihat lebih dalam dan menilai dengan pertimbangan pertimbangan alQuran dan asSunnah utamanya dan kaedah pertimbangan lain......perlu difahami bahawa segalanya berlaku dalam suatu PROSES panjang yang ada hubungkaitnya antara yang LALU yang KINI dan yang AKAN DATANG. Kita tidak boleh menilai secara sembrono. PROSES berlakunya sesuatu perkara sangat bergantung dengan faktor MASA. Sepertimana tumbuhnya pokok dari benihnya. 

Cuba bayangkan, kita kembali kepada analogi pokok durian, jika tidak kerana nenek moyang kita dahulu yang berusaha membuka kebun dan menanam pokok durian, mana mungkin kita hari ini akan menikmati buah durian tatkala musim durian tiba? Adakah nenek moyang kita bersikap mementingkan diri? Jika mereka menanam pokok durian tentunya mereka tidak merasa buahnya, kerana PROSES nya lama untuk satu satu pokok durian itu tumbuh, jadi mengapa perlu ditanam? Akan tetapi tidak, mereka menanamnya walau menyedari hakikat, mereka mungkin tidak akan merasai enaknya buah durian itu. Akhirnya anak cucu mereka lah yang merasa buahnya. 

Nilai pengorbanan begini seolah olah telah luntur pada generasi kini, proses memahami pengorbanan dan menghargai pengorbanan ini juga memerlukan penelitian dan kefahaman yang jitu. Begitu juga hari ini.....justeru, menikmati hasil buah durian yang enak dan bagus isinya adalah satu pengalaman dan nilai berbeza dan tentunya tidak sama nilainya dengan pengorbanan, usaha, penat lelah, jerit payah menanam pokok durian tersebut. Inilah yang perlu difahami. 

Ada fenomena kebejatan fikiran disini yang kita tempelkan jenamanya sebagai 'generation gap'......hari ini kita kurang menghargai apa yang orang orang terdahulu lakukan, pengorbanan orang orang terdahulu. Hari ini kita hanya suka menikmati hasilnya tanpa tahu bagaimana ia terhasil. Kurang penghayatan, kurang kesedaran dan kefahaman adalah faktor yang menjadikan generasi hari ini tidak bersyukur. Mengapa? Kita selalu ungkapkan 'dulu lain sekarang lain'...benar dulu lain sekarang lain, hakikatnya yang berbeda ialah keadaan akan tetapi kefahaman bagaimana PROSES itu berlaku perlu difahami dengan bersungguh sungguh. Janganlah hanya kerana formula dulu lain sekarang lain maka kita sewenangnya merubah cara dan strategi yang terbukti berkesan dan berjaya lalu memilih cara dan kaedah yang belum tentu keberhasilannya. Kita perlu usaha dengan cara dakwah....bukan mudah mengubah manusia akan tetapi mudah sahaja meruntuh ketamadunan.

Insyaallah, coretan ini akan bersambung dalam nukilan dilain masa dan ketika....apapun LIHATLAH DENGAN HATI DAN FAHAMI DENGAN AQAL..........kerana dari situlah KITA BERTINDAK dan BERTINGKAH LAKU.....

Thursday, May 30, 2013

Sedunia berkasih sayang! Mustahil?

Assalamualaikum wrt. wbt.

Emosi paling penting dan utama dalam dunia ini ialah kasih sayang. Sebab itulah Allah mengajar permulaan segala perbuatan dengan basmalah, ini lah yang sangat dianjurkan oleh kekasihNya, Nabi Muhammad saw. Mengapa BASMALAH? Cuba fikirkan kandungan yang ada dalam perkataan BASMALAH. Itulah sebabnya.

Tuesday, August 14, 2012

Bersatu dek fikrah dan pemikiran yg sama!

Salam ukhuwwah...

Aku termangu memikirkan soal ini...kufahami bahawa kita berada dizaman yang sangat mencabar pemikiran dan kewarasan pemikiran! Natijah dari pembacaan dari buku Sejarah Pemikiran dan Tamadun Islam siri 1, oleh Dr. Sulaiman Noordin telah membuatkan aku mengambil daya usaha untuk menganalisa dan muhasabah, lalu ku kongsikan cebisan darinya buat tatapan kalian!

Sebenarnya aku tercari cari jawapan mengapa berlaku dengan berleluasa pertentangan pendapat dan pemikiran yang sangat menjelekkan berlaku didalam masyarakat kita dan umat Islam di nusantara ini! Bahkan pertentangan pendapat ini sangat remeh dan terlalu menjurus kepada perpecahan! Emosi dan kebencian bercampur aduk dengan justifikasi dan pendapat. Ini sebenarnya trend yang tidak sihat kerana ia menjurus kepada perpecahan ummah yang melahirkan kecenderungan berpuak puak antara sesama saudara Islam. Satu pihak ingin memenangkan pihaknya sendiri, dan sebaliknya! Asas kepada persamaan dan nilai nilai bersama tidak diambil kira sebagai faktor kawalan terhadap kecenderungan melewati adab adab perbezaan pendapat! Ini sangat mengecewakan!

Ketahuilah, saya mengingatkan diri sendiri dan teman teman semua, paksi dan hakikat sebenar pemikiran dan pemahaman ilmu hendaklah@mesti bersandarkan kepada Allah swt terlebih dahulu....bukan kebebasan rasionalisasi pemikiran dan logik akal! Bahkan logik akal dan rasional pemikiran tetap perlu bertunjangkan kepada ketauhidan kepada Allah swt, tidak boleh tidak. Jika kita sentiasa sedar dan faham bahawa ketauhidan dan ketaqwaan kepada Allah dan Rasulnya itu menjadi tunjang kepada bagaimana pemikiran itu terbentuk, nescaya hilanglah kepentingan peribadi, kecenderungan pemikiran yang diselaputi emosi dan perasaan....lalu akan lebih jernih dan bermaknalah sesuatu perbincangan lalu menghasilkan ibrah yang lunak dan berhikmah yang memberi kesan bermakna kepada sesebuah masyarakat. Sebaliknya, jika idea dan pemikiran lahir hanya semata mata dek nilai kreativiti logik akal dan rasionalisasi pendapat sendiri tanpa tunjang dan paksi kepada paradigma Tauhid kepada Allah, pasti ia menatijahkan perbincangan yang tumpul lantas longlai yanh hanya menghasilkan perbezaan pendapat penuh emosi dan kebencian serta berpuak puak!

Atas dasar dan prinsip inilah, hendaklah kita bersikap terbuka, sedarilah hakikat bahawa pendapat dan pemikiran serta ilmu perlu berpaksikan tauhid kepada Allah yang Esa....jika tidak, ia hanya menjurus kepada perbincangan yang jelek dan menjijikkan. Inilah yang berlaku dewasa ini. Hanya kerana masing masing begitu jumud, taksub terhadap aliran aliran tertentu, maka keterbukaan tidak wujud, kebencian hanya kerana perbezaan pendapat semakin meluas, semangat berpuak puak semakin membara lalu masyarakat dan umat Islam semakin melebar jurang perpecahan berbanding penyatuan.

Sebagai contoh, jika kumpulan A tidak setuju dengan kumpulan B, maka sesiapapun dari kalangan kumpulan A atau B, malah para pengikutnya, akan bermati matian memenangkan, menyokong, membela dan menjustifikasikan segala macam fakta dan pendapat yang cenderung kepada kumpulan masing masing. Itu belum lagi jika wujud kumpulan C, D, E dan seterusnya! Tidakkah perbezaan pendapat itu menjadi rahmat buat umat Islam, akan tetapi dewasa ini, ia menjadi sebaliknya! Mengapa sedemikian? Ini kerana masing masing tidak memahami semangat perbezaan pendapat untuk mecapai kebaikan sesama! Masing masing punya objektif dan tujuan tersendiri, eksklusif untuk pihak masing masing, samada kepentingan sendiri atau kepentingan kumpulan masing masing! Ini menjadi masalah dan barah kepada usaha penyatuan ummah! Disiplin ilmu tidak dihormati dan dijunjung tinggi. Masing masing menegakkan pendapat dan pendirian masing masing sewenang wenangnya, tanpa ada rasa tanggungjawab dan keterbukaan. Ini dicanang pula melalui laman web, blog, media sosial yang dipanggil sebagai 'media baru'. Lalu ia diikuti oleh jutaan pengikut maya, samada fitnah yang tersebar, fakta yang tidak benar, cerita cerita gossip, tanpa kesahihan dan keabsahan fakta, lantas membentuk dan mempengaruhi pemikiran, menumbuhkan sentimen sentimen, sangkaan sangkaan buruk, fitnah fitnah yang merosakkan, cerita cerita 'panas' yang mengaibkan....ia benar benar merosakkan masyarakat dan umat Islam.

Justeru, berhati hatilah, dalamilah ilmu, fahamilah prinsip dan ketahuilah adab apabila berhujjah dan memberi pendapat@menyebarkan maklumat, jangan sewenangnya kita menyebarkan maklumat tidak benar, maklumat yang mengaibkan dan menjelekkan walau dipihak mana sekalipun. Berhujjahlan untuk mencapai kebaikan dan menyelesaikan masalah dan bukannya meraih sokongan dan membenci pihak 'lawan'. Jauhilah kepentingan peribadi dalam apa jua perkara sekalipun. Jangan jadi penyebar fitnah yang merosakkan pemikiran dan perpaduan! Bersangka baiklah, tutuplah aib orang! Jika tiada sesiapa memulai ini, maka ia akan berterusan sebegini! Sampai bila kita akan memburukkan saudara kita sesama! Kembalilah kepada usaha nasihat menasihati dan dakwah sesama dengan cara yang paling berhikmah! Insyaallah kita akan terpelihara dari murka Allah jika kita mematuhi prinsip dan adab adab apabila berbahas dan berhujjah...raikan perbezaan pendapat dan berusaha untuk menambahkan nikmat dan kebaikan dalam perbezaan pendapat.

Ketahuilah bahawa perbezaan pendapat bukan satu jalan untuk satu pihak menang ke atas pihak yang lain, sebenarnya ia satu jalan untuk kita sama sama berpadu bagi menutup kelemahan dan kekurangan agar kekuatan dapat dijana demi kebaikan semua dan kebaikan umat Islam seluruhnya! Ameen....

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.



Monday, June 25, 2012

Kita di jalan yang sama!

Salam ukhuwwah...

Senario 1;

Si C menegur si A, dengan caranya sendiri kerana si C tidak setuju beberapa perkara yang dilakukan oleh si A. Lalu pengikut pengikut si A mem'boo' dan menuduh si A berpihak dengan si B.

Senario 2;

Si C menegur si B kerana tidak bersetuju dengan tindakan si B dalam beberapa perkara. Peristiwa yang sama juga berlaku dimana pengikut si B mem'boo' dan menuduh si C berpihak dengan si A.
Cuba fahamkan dua senario yang berlaku! Tidakkah pelik apabila teguran yang dibuat kepada mana mana pihak samada si A atau si B, lalu si C mendapat tentangan dan dituduh berpihak samada dengan si A@si B. Jika demikian berlaku, sampai bilakah teguran itu akan dapat dilakukan? Gambarannya seolah olah sesiapa pun dari mana mana pihak yang bertelagah sebenarnya tidak boleh ditegur??

Inilah bagaimana cara berfikir telah junud dan terikat tanpa melihat kepada isi dan intipati teguran. Hanya cenderung kepada landasan emosi memihak! Sampai bilapun bila begini, keadaan sukar untuk diperbaiki! Sebagai pengikut mana mana sekalipun, jika benar kita sokonglah, jika salah kita betulkanlah! Itulah cara Islam! Islam tidak meletakkan kecenderungan emosi dan memihak sebagai satu prinsip yang mendasari sokongan kepada mana mana pihak! Katakanlah yang benar walau ia pahit!

Mungkin senario begini berlaku kerana budaya berfikir yang 'berpihak' yang telah tertanam dalam corak pemikiran kita semua! Kenyataan ini juga tentunya mengundang kepada kecaman dari pihak yang tidak setuju dengan kenyataan ini, namun, hakikat sebenarnya, inilah murninya akhlak dalam soal hablum minannaas! Hubungan sesama manusia!

Proses menegur juga sering kita alpakan, ada teguran yang tidak perlu dibuat secara terbuka dan itu lebih baik, ada teguran yang tidak perlu sinis dan menyindir kerana sindiran dan sinis sangat jarang membawa impak positif kepada sipelaku itu kecuali sipelaku atau insan yang ditegur itu benar benar berjiwa besar dan bersikap terbuka! Itu hakikatnya!

Namun si penegur perlu dalam setiap masa dan ketika mematuhi adab dalam menegur orang lain atau mana mana pihak! Adalah tidak elok jika sipenegur melaungkan teguran lantas ia memberi aib, memalukan dan menjatuhkan maruah si pelaku@si kena tegur! Hendaklah teguran dilakukan dengan penuh hikmah, telusn ikhlas serta 'direct' kepada si pelaku bukan dengan cara membuat hebahan terbuka! Jika menegur dengan cara hebahan terbuka, itu cara yang sangat batil dari segi dakwah!

Tujuan teguran adalah supaya perlakuan@kata kata@perbuatan itu tidak diulangi, dibetulkan dan kembali mengikut jalan yang benar dan bukan bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan maruah sesiapa. Ini yang selalu kita lupa sebab sudah terbiasa melulu! Jadilah seorang insan yang matang, penuh tawadhuk, menghormati orang lain, memandang tinggi maruah! Inilah ajaran Allah dan Rasulnya iaitu mengajak orang ke jalan Allah dengan dengan hikmah dan teladan yang mulia!

Dari sudut psikologi, jika seseorang itu ditegur dengan cara penuh akhlak dan hikmah, ia lebih memberi kesan! Pendekatan kita adalah kasih sayang sesama insan, berlembut sesama insan. Perlu sabar dan kreatif serta istiqamah. Kita tidak boleh mengharapkan seseorang yang ditegur itu berubah langsung, terus berubah serta merta namun kita perlu tanpa jemu untuk menariknya ke jalan yang diredhai Allah! Itulah dakwah Islam! Prinsipnya ialah kekerasan hendaklah dibalas dengan kelembutan terlebih dahulu dan bukan kekerasan dibalas dengan kekerasan....teringat Nabi saw kesayangan kita kena baling batu oleh kanak kanak dan penduduk Taif saat dakwah baginda ditolak oleh mereka...adakah Nabi saw membalasnya dengan kekerasan? Kenapa ini tidak dijadikan contoh dalam kita mengurus orang lain! Adakah perasaan geram, marah telah mengelabui diri kita lalu cercaan dibalas dengan kata nista juga!

Kita perlu lebih berhikmah dan sabar! Sabar itu 'panjang' kisahnya, lama masanya, namun perlu sentiasa sabar! Jadilah insan yang sabar, matang dan terbuka! Mungkin insan yang kita tegur tidak berubah hari ini tapi insyaallah esok atau lusa. Jangan putus harap, munajatlah kepada Allah swt agar si A@si B berubah! Insyaallah, amiin!

Nukilan di kedai tayar saat menunggu tayar kereta ditukar......huhuhu!

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.