Assalamualaikum wrt. wbt.
Faham itu berbeza dengan tahu, faham juga berbeza dengan alim, cerdik juga berbeza dengan faham, bijak juga tidak semestinya faham. Menjadi bijak tidak semestinya faham. Cerdik juga tidak menunjukkan seseorang faham. Berilmu juga tidak semestinya faham. Menjadi cerdik, atau bijak, atau alim perlu kepada faham atau kefahaman.
Faham atau kefahaman itu ialah "faqqih' iaitu suatu kurniaan Illahi kepada sesiapa yang Allah kehendaki akan kebaikan. Jika kita faham walau ilmu tidak melangit, ia lebih baik berbanding ilmu banyak akan tetapi tidak memahami. Apabila kita memahami maka kita akan lebih bijaksana dalam tindakan tindakan, akan lebih berhikmah dalam perhubungan sesama insan dan lebih bersifat tawadhuk.
Kita gagal memahami maka kita juga gagal menerima mesej mesej hikmah dalam kehidupan. Kita gagal memahami bahasa tubuh badan. Apabila kita memahami kita akan lebih 'responsif' terhadap indikator indikator kehidupan.
Belajarlah untuk memahami, dengan bersungguh memerhati dan menganalisa apa jua yang berlaku dalam kehidupan. Belajarlah untuk lebih mendengar daripada memperdengarkan ucapan atau kata kata kita kepada orang lain. Jadilah pendengar yang baik agar dapat lebih memahami.
Kefahaman itu anugerah untuk kita tahu dan mendalami insan lain. Jika kita faham maka kita akan tahu dan mendalami serta menyelami mengapa seseorang itu marah, sedih, kecewa, murung, gembira dan pelbagai lagi kerenah dan gaya seseorang.
Kefahaman itu juga anugerah untuk kita memahami dengan ilmu mengapa Allah menjadikan kita dan menghidupkan kita di dunia ini. Memahami apa tujuan hidup. Mengerti akan hakikat hidup.
Justeru, fahamilah mengapa orang lain menghadapi kehidupan yang susah agar kita mengerti akan erti kesusahan itu, lalu kita mampu mengusahakan sesuatu agar bantuan dapat diberi dalam apa jua bentuk sekalipun. Fahamilah mengapa anak yatim itu perlu perhatian kita. Fahamilah juga mengapa orang sakit itu perlu semangat dan sokongan kita. Fahamilah mengapa sesuatu itu berlaku dalam kehidupan kita. Tidak berlaku sesuatu peristiwa dalam hidup kita sama sekali tanpa izin dan ketentuan Illahi.Ia takdir yang ditentukan kepada kita semua.
Berdoalah kepada Illahi agar setiap dari kita diberi anugerah kefahaman agar kita jadi insan yang perihatin dan mengerti akan kehidupan, mengerti akan kehidupan dan mengerti akan hakikat Allah swt. Banyak perkara akan selesai, kedamaian akan mendatangi, kebahagiaan akan meliputi hidup jika kita memahami dengan ilmu yang benar........
No comments:
Post a Comment