Friday, January 29, 2010

Kita sombong...

Salam buat kalian..sudah agak lama tidak menulis di ruangan ini dek kerana kekangan masa utk menghadap komputer.

Hari ini Jumaat, mendengar khutbah tadi, merasa terpanggil utk mencoret sedikit di sini. Duduk dikelilingi rakan rakan jemaah yg lain,aku terdetik seketika apabila imam menyebut tentang ciri ciri manusia yg dipetik dari kitab tersohor Imam al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin. Sudah agak seketika buat kali terakhir aku menjengah dan meneliti kitab Imam Besar ini,karya agungnya pelbagai namun yg paling tersohor ialah Ihya' Ulumuddin ini.

Namun,imbauan itu seketika cuma bila tuan Imam menyatakan dengan memetik apa yg diungkapkan oleh al-Ghazali bahawa hati kita gelap dek kerana dosa,lantas kita jadi sombong dan angkuh. Uhh...memag benar hakikatnya..cumanya terdetik,adakah kita sedar,sekotor mana hati kita,kerana menurut al-Ghazali,kotornya hati membuatnya keras seperti batu,terserlah umpama perangai manusia yg degil,angkuh dan bongkak, sombong dengan segala gala yg dimiliki. Hati yg keras itu akan menyebakan diri sukar dan tidak dpt menerima nasihat,sukar mengakui kebenaran, tidak langsung berasa belas dan ihsan, tidak dpt memahami kenyataan sebenar,tertutup pada pandangannya segala yg terbentang luas didepan mata.

Kita begitu sombong..ya benar! Kita jadi begitu sombong! Benarkah sedemikian? Lihatlah tanda tandanya..lalu jawablah sendiri samada ia benar atau tidak..hanya diri sendiri yg mampu mengiyakan mahupun tidak...bukan org lain,cumanya langkah dan detik permulaan hanya dicetuskan oleh soalan soalan sebegini.

Adakah kita sombong atau sebenarnya merendah diri dihadapan Allah swt dalam keadaan yg saya nyatakan dibawah, tepuk dada tanyalah diri;

Kita terlentuk,tersengguk sengguk mengantuk mahupun tertidur ketika tuan khatib sedang membacakan khutbah dgn berapi api@dengan apa jua cara sekalipun?

Kita tak tahu sebanyak mana dosa yg kita lakukan dlm kehidupan kita seharian samada dosa kecil mahupun dosa besar,namun kita boleh selesa dan rasa aman seolah olah tiada apa yg berlaku? Kita merasa aman utk tidak rasa ngeri dgn seksaan yg bakal Allah timpakan ke atas kita dengan segala dosa dosa kita? Kita tidak merasa terpanggil utk bertaubat? Solat taubat tidak sekalipun,seminggu sekali,sebulan sekali,sehari sekali,setahun sekali? Boleh jamin ke hayat kita sehingga esok hari?? Kita merasa aman seolah olah segalanya adalah atas usaha sendiri? Betul ke sebegitu?

Adakah tidak sedikit pun kita merasa terpanggil utk menyahut seruannya dgn bersikap sebaik baiknya dgn org lain,menjaga hubungan dgn org lain dgn sebaik baiknya walaupun dgn musuh politik,mahupun pesaing dlm perniagaan atau rakan sepejabat? Mengapa perlu mementingkankan diri? Hanya kerana pulangan@kelebihan yg sgt bersifat sementara,kita sanggup menyakiti org lain...

Fikirkanlah...renungilah seketika. Ambil sedikit masa utk merenung setiap detik dlm kehidupan kita,apa yg telah kita lakukan. Benar..ia tidak mudah, benar ia selalunya amat menyakitkan hati dan memerlukan pengorbanan emosi dan perasaan yg amat besar utk melakukan sesuatu perubahan. Fikirkanlah....

Thursday, January 14, 2010

Keterbukaan perlaksanaan....

Bicara kecil, seruan buat diriku dan saranan untuk rakan taulan....

Apa sikap kita bila kita sedang bersiar siar, 'window shopping' di kompleks dan pasaraya pasaraya besar tiba tiba masuk waktu solat? Adakah kita bergegas utk solat?

Solat satu hal, adakah kita bergegas utk solat jemaah? Adakah kita tercari cari tempat solat baru nak solat? Kita membiarkan masa berlalu dan menunggu hingga akhir waktu baru kita bersolat? Kita selesaikan dulu membeli belah baru kita solat? Kita selesaikan dulu hal kita baru kita solat? Kita mengutamakan hal peribadi baru kita melaksanakan urusan dengan Allah?

Adakah jika tiada musolla kita tangguhkan solat hingga kita temui musolla atau tempat solat? Sebenarnya solat boleh sahaja dimana mana asalkan bukan di dalam tandas. Agak agaknya, boleh tak kita solat di tempat tempat membeli belah, tepi tangga dan sudut sudut tertentu serta ruang yang tidak menjadi tempat lalu lalang lalu kita solat ataupun jika musolla itu jauh lalu kita solat sahaja di tepi tangga dan sudut yang sesuai? Sebenarnya boleh sahaja. Utamakanlah solat, utamakanlah solat diawal waktu, bergegaslah solat ketika masuk waktu solat, jangan ditangguh jangan dibiarkan masa berlalu. Solatlah walau tiada musolla ditempat kita pergi asalkan tempat itu bersih dan tidak mengganggu orang lain utk lalu lalang.

Sering kita terlalu bimbang tentang persepsi dan pandangan orang lain dalam hal solat ini. Ini menyebabkan kita sering melewatkan solat kerana kita hanya bersolat di musolla. Apa salahnya kita solat dimana mana tempat yang sesuai tanpa mencari adanya musolla, jika waktu solat telah tiba. Kita lihat ramai pelancong arab datang ke Malaysia, mereka akan solat berjemaah di tepi tepi tangga di pasaraya pasaraya jika telah masuk waktu solat. Tiada masalah apapun. Mengapa kita tidak berbuat sedemikian. Alhamdulillah kebanyakan tempat tempat membeli belah di Malaysia ini ada musolla, lebih teratur namun agak sempit untuk menempatkan jemaah ramai pada satu satu masa.

Pandangan biasa, di tempat tempat solat, musolla, surau dan sebagainya, kita selalu solat sendirian, walhal solat berjemaah itu lebih afdal, lebih baik, lebih terpuji, lebih banyak pahala, tapi kita tetap solat sendirian. Jika berhenti di tempat rawat dan rehat, akan kita dapati kebanyakan dari kita solat sendirian. Justeru, saya menyeru semua umat Islam, marilah kita solat berjemaah sedapat yang mungkin kecuali jika tiada orang lain di situ, maka harus kita solat sendirian.

Kita perlu bersikap terbuka dalam hal ini. Yakni kita perlu mempunyai pandangan bahawa kita boleh solat dimana jua, hatta ditepi jalan sekalipun asal tidak membahayakan, dan ketika itu telah masuk waktu solat, jangan ditangguh jangan diakhirkan solat melainkan kita telah berniat untuk solat jamak takhir dan qasar serta ketahuilah bahawa solat berjemaah itu lebih baik.

Kita sering terleka membeli belah lalu mengakhirkan solat. Utamakanlah Allah dalam setiap aspek kehidupan kita. Hendaklah sentiasa bersedia menyahut seruan Illahi bila bila masa dan dimana jua kita berada, samada dalam perjalanan, ketika membeli belah, dalam penerbangan mahupun ketika sedang bermesyuarat. Utamakanlah Allah pasti Allah akan mengutamakan kita dikala kita memerlukan pertolongannya.

Janganlah ada dikalangan kita merasa pelik jika ternampak orang lain solat ditepi tangga, di sudut sudut tertentu. Sepatutnya kita perlu merasa terpanggil untuk turut solat sekali dan berjemaah dengan mereka. Jangan beralasan walau apa sekalipun kerana solat itu wajib dalam apa jua keadaan sekalipun melainkan kita gila atau mati. Tiada alasan, tiada 'excuse' utnuk tidak solat. Salah kita sendiri jika pakaian kita menyebabkan kita tidak sah solat kerana kita berpakaian yang tidak menutup aurat (terutamanya kepada para wanita) namun lelaki juga sama. Pakailah pakaian yang menutup aurat kerana dengannya kita boleh terus solat, pakailah pakaian yang bersih dan suci supaya kita boleh solat tanpa ragu dan was was, dan pakailah pakaian yang menurut lunas lunas Islam (terutamanya kaum wanita) yang dengannya kita boleh terus solat tanpa perlu kepada telekung. Jangan beranggapan bahawa jika tiada telekung tidak boleh solat walhal jika pakaian yang kita pakai itu menutup aurat tentunya kita boleh solat terus.

Wednesday, January 6, 2010

Kita merayakan...dengan sambutan.

Bismillah..

Kedatangan Tahun Masihi 2010 disambut dengan penuh gilang gemilang. Berbagai program diatur untuk menyambut detik 12 tengah malam tanda berakhirnya 2009 dan datangnya 2010. Berduyun duyun sebahagian besar dari kita ke Dataran Merdeka mahupun tempat tempat lain. Kita berpusu pusu seawal yang mungkin untuk turut sama merayakan kedatangan Tahun Masihi 2010. Ia umpama suatu pesta keramaian dengan datangnya 2010. Ada konsert hiburan, ada nyanyian dan ada percikan bunga api di seluruh dunia. Ia disambut sedemikian rupa penuh harapan bahawa 2010 akan menjanjikan detik baru buat kita semua.

Alhamdulillah, kedatangan 2010 menandakan bermulanya detik tahun baru buat kita semua. Begitu jua hadirnya Maal Hijrah 1431 juga menandakan detik tahun baru berdasarkan kalendar Islam. Keduanya merujuk kepada tempoh masa perubahan masa dan tahun namun keduanya disambut dengan begitu berbeza. Dapat kita perhatikan bahawa kita suka dan sememangnya sangat suka akan kemeriahan, sambutan serta perayaan seumpama suatu pesta bergembira. Tidaklah salah merayakan suatu apapun namun hendaklah kita bersandarkan kepada adab yang telah ditentukan oleh Islam. Kebanyakkan dari kita lebih menantikan detik 2010 berbanding detik 1431 hijrah. Ini persoalan besar buat umat Islam. Kita mengambil sikap endah tidak endah dengan kedatangan tahun Hijrah 1431 namun membuat segala persiapan yang rapi untuk kedatangan 2010. Inilah kesilapan, contoh yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Penulis percaya, akan tiba detik dimana kedatangan tahun hijrah akan dipandang sepi oleh generasi akan datang berbanding dengan kedatangan tahun Masihi.

Islam itu ialah cara hidup, justeru sebagai suatu cara hidup ia mesti dituruti keseluruhannya dalam setiap detik dan perkara dalam kehidupan kita. Islam bukan agama yang memisahkan. Ia tidak pernah memisahkan antara kehidupan beragama dengan berpolitik. Ia tidak memisahkan ekonomi dan agama. Ia tidak memisahkan sosial dan agama. Islam itu lengkap dan cukup komprehensif. Ia meliputi semua. Ia syumul. Oleh itu, dalam konteks merayakan dan membuat sambutan, patut kita bertanya kembali, adakah perayaan itu, mahupun sambutan itu dibuat mengikut lunas dan adab serta akhlak islami? Adakah itu benar mengikut apa yang terkandung didalam Al-Quran. Adakah itu tidak bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw.

Kita sering keliru dengan pemahaman dan apa sebenarnya yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Bagi penulis, menyambut kedatangan Tahun 2010 dengan penuh kesyukuran kerana kita dipanjangkan nyawa dan diberi masa lagi oleh Allah swt. adalah suatu anugerah. Kita perlu bersyukur dan memanjatkan kesyukuran dengan cara penuh harmoni, berakhlak, beradab dan tawaduk. Bukan dengan cara berpeleseran, bercampur gaur lelaki dengan perempuan dalam suatu pesta yang boleh menjebakkan diri kepada perlakuan perlakuan yang mengundang dosa. Apatah lagi jika ia dipenuhi dengan pengisian yang bertentangan dengan Islam, dengan nyanyian yang mengasyikkan.

Dalam hal ini, kita boleh memilih kerana kita sentiasa mempunyai pilihan. Memilih untuk terjun sama seperti orang lain menyambut dengan penuh suka dan gembira mahupun memilih untuk berada di rumah bersama ahli keluarga dengan mengadakan majlis zikir, solat berjemaah, solat tasbih dan hajat atau tazkirah serta majlis muhasabah diri dengan mengingati diri mahupun ahli keluarga lain betapa perlunya kita bersyukur kerana dipanjangkan umur, diberi rezeki, serta melihat kembali apakah matlamat dan pencapaian yang telah dicapai, apakah lagi yang belum dicapai, apakah proses penambah baikan yang perlu dilakukan terhadap diri, keluarga dan kehidupan serta sama sama mengingatkan betapa perlunya untuk kembali kepada Allah swt serta ajaran Rasulullah saw. Pda waktu yang sama boleh juga berbincang sesama tentang perancangan yang perlu dilakukan, stratregi perlaksanaan terhadap matlamat serta objektif mahupun azam 2010. Bukan sekadar ungkapan kosong tentang azam tahun baru 2010 namun tiada perlaksanaan konkrit atau perancangan yang jitu. Tidakkah itu lebih bererti. Tidakkah itu lebih bermanfaat kepada diri serta keluarga.

Fikirkanlah!

Tuesday, January 5, 2010

Aku di mana..kita di mana

Ya saban tahun menjelang tengah malam tahun baru Masihi...seawal jam lapan malam..berduyun duyun manusia membanjiri 'hot spot' di Kuala Lumpur ini samada di Dataran Merdeka, Bangsar, Subang Parade, Shah Alam, Bukit Bintang, Damansara dan merata rata tempat lagi. Lautan manusia membanjiri mahu menyaksikan pesta. Alasannya mahu lihat percikan bunga api yang dibazirkan atas duit rakyat buat mengisi nafsu hiburan sebahagian dari kita. Jalan jalan sesak teruk di serata Kuala Lumpur, perkhidmatan awam, bas, teksi, keretapi, LRT, KTM Komuter dilanjutkan tempoh perkhidmatan hingga dinihari. Pasti jua bilik hotel penuh samada yang tiada bintang hinggalah yang berbintang bintang. Bagi yang cukup cukup ongkosnya akan mencelah di rumah tumpangan yang menawarkan sewa yang murah. Bagi yang lagak mampu, bergegas ke hotel berjenama bulan dan bintang. Persoalannya siapa mereka? Lihat dulu, periksa dulu, teliti dan buat pemerhatian. Akan kita dapati remaja Melayu, muda mudi kita berpasang pasangan...tidak pasti samada sudah ada ikatan 'akad nikah' atau tidak. Namun mereka lah yang menghuni kebanyakan hotel hotel itu. Samada datang dengan menaiki pengangkutan awam, menaiki motorsikal, kereta bahkan berkereta mewah. Kadang kadang tertanya juga berapa ramai agaknya pada malam itu yang telah 'terkorban' pria atau dara?  Itulah gelagat manusia menyambut datangnya lembaran baru iaitu TAHUN MASIHI 2010 bahkan tahun tahun masihi yang lain.

Siapa mereka? Pastinya kita semua.Mereka yang Islam mahupun yang bukan Islam, yang Cina, yang India, dan yang paling ramainya Melayu, samada lelaki mahupun perempuan, mereka teruja untuk menanti detik berlabuhnya jam 12.00 malam dan datangnya jam 12.01am. Sementara menunggu mereka disajikan dengan alunan muzik yang menjadi halwa telinga dan siulan dibibir, sambil terlompat lompat dan terkinja menuruti rentak lagu. Suka dan seronok sambil berhimpitan himpitan dan bergesek tubuh sesama yang pasti menaikkan ghairah dan nafsu. Itu belum lagi perlakuan tidak senonoh dalam kesesakan dan kebanjiran manusia di Dataran Merdeka umpamanya.

Bicara ini ingin menimbulkan beberapa persoalan. Apakah yang mahu dicapai dalam sambutan tahun baru Masihi ini? Apakah objektif utamanya? Apakah faedah spiritual yang akan dicapai? Perpaduan? Keharmonian kaum? Semangat bersatu padu?Sikap toleransi? Gotong royong? Jika benar itulah motifnya, nyatakan teori mana yang dipakai, ajaran mana yang dirujuk yang mengatakan bahawa perpaduan dan toleransi kaum perlu dijana melalui sambutan tahun baru dengan pengisian yang merosakkan jiwa? Adakah majlis bacaan yasin beramai ramai, mahupun tahlil, mahupun berzikir umpamanya atau beramai ramai membaca Alquran di Dataran Merdeka dilakukan? Tentunya tidak? Malah budaya hedonisme sebenarnya yang di tonjolkan, lantas kemudiannya apabila remaja kita rosak akhlaknya, kita pun bising bising sana sini, berbincang sana sini, kursus sana sini, gubal dasar sana sini, yang cumanya retorik semata mata untuk menunjukkan bahawa kita amat prihatin? Tidakkah anda rasa kelakar? Lucu bukan? Saya bukan tidak bersetuju dan menolak agenda perpaduan mahupun pelancongan namun perlaksanaan serta aspirasi yang tidak konsisten sejak dulu lagi menjadi masalah dalam pembangunan negara bangsa Malaysia. Mungkin anda tidak bersetuju dengan penulis, tidak mengapa, cumanya beri ruang sedikit untuk kita rasionalkan, fikirkan secara waras.

Allah ilahku...

'High Court ruling on the word of Allah'......


Isu ini sudah lama sebenarnya, namun baru sekarang timbul kerana pihak pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas huru hara umat Islam di negara ini samada dari segi kelemahan polisi, dasar, Akta dan perundangan. Akhirnya mereka berjaya mengheret kita ke kancah isu Allah ini.


Diskusi ini bukan untuk menjelaskan apakah yang benar dan yang salah namun penulis merasa terpanggil untuk membicarakan sikap kita terhadap isu ini dan yang berkaitan dengan perkara seharian dalam hidup kita.


Cukup dikesali kerana perkara ini seang dan telah berlaku, pastinya ada isu isu lain nanti yang menyentuh sensitiviti umat Islam 'already in the pipeline' yang akan berlaku, kita tidak tahu. Namun adakah kita cukup utuh? Adakah kita cukup bersedia untuk menghadapi segala macam bentuk 'serangan' itu? Adakah kita cukup sedar bahawa usaha secara sistematik dan terperinci telah dan sedang dijalankan.


Bagi penulis, tidak menghairankan isu ini boleh timbul dek kerana kelemahan kita sendiri. Sikap kita yang menyebabkan kita sering tewas. Tewas sebelum berjuang pun. Sikap kita menyebabkan kita hanya sedar apabila sudah 'terhantuk' baru kita tersedar dari lamunan bak kata sudah terhantuk baru termengadah. Mungkin ada baiknya isu ini timbul, sekurang kurangnya bila ada isu sebegini ia umpama desakan untuk bersatu suara, bersatu hati dan merapatkan saf. Apapun janganlah ia hanya bersifat sementara...namun selalunya, memang bersifat sementara, hangat hangat tahi ayam. Apa sudah jadi dengan Melayu Islam di Malaysia. Apa sudah jadi dengan pemimpin pemimpin Islam kita, tidak kira pembangkang mahupun kerajaan. Sedarlah bahawa Islam dilihat lemah dan kerdil walau penganutnya ramai dek kerana sikap orang Islam sendiri. 


Manakala majalah atau penerbitan Herald-The Catholic Weeklyni pun satu...gunakan sahaja  perkataan TUHAN. Itu sudah cukup untuk memberi maksud yang sepatutnya. Mengapa perlu menggugat sensitiviti umat Islam di Malaysia ni. Mengapa perlu bersikap sinis dalam tindakan. Setelah segala ruang dan kebebasan yang diberi, mengapa perlu mengguris umat Islam yang majoritinya Melayu di negara ini. Cukuplah, bertimbang rasa lah terhadap bangsa dan agama lain yang wujud di negara ini. 


Manakala, saudara seagama sekalian, suarakan desakan, bangkitkan rasa dan semangat yang jitu dan berterusan, tunjukkanlah bahawa Islam ini kuat, Islam ini mulia, jangan malukan lagi agama Islam ini dengan perangai sebahagian dari kita yang tak senonoh, tak sehaluan dengan syariat, akhlak yang tercemar dan perlakuan yang tidak berlandaskan Islam. 



Monday, January 4, 2010

Ulama tegur Pemimpin..bukan membontoti Pemimpin

Dalam tradisi ilmu Islam, ulama diberi penghormatan tinggi dan mulia. Ini dirakamkan dalam al-Quran dan hadis mengenai penghormatan yang diberikan kepada mereka. Persoalan adab kepada golongan ulama tidak boleh dipertikaikan lagi. Burhanuddin Zarnuji dalam kitab mashyurnya Ta'lim Muta'alim Tariq Ta'alum (Bimbingan Bagi Penuntut Ilmu Pengetahuan) menulis,


- menghormati guru ialah jangan berjalan di depannya, duduk di depannya, duduk di tempatnya, memulai mengajak berbicara atas perkenan darinya, berbicara hal lagha di depannya dan menanyakan hal yang membosankan. Hal seperti ini sememangnya kita sudah bersetuju sejak azali lagi bahawa ini bentuk penghormatan yang diberikan kepada mereka.


Ulama yang wibawa tidak perlu merasa gentar berdepan dengan pemimpin. Mereka menyampaikan risalah kebenaran, nasihat mahupun teguran ikhlas. Bagi pihak pemimpin pula, kedudukan mereka ialah mendengar dengan ikhlas nasihat itu dan dengan rendah diri cuba menerima kelemahan jika ada bentuk teguran diberikan. 


Nasihat ulama yang ikhlas tidak sama sekali untuk menjatuhkan air muka seseorang pemimpin, bahkan itu sebenarnya tugas hakiki seseorang ulama dalam sejarah tradisi keilmuan dan kepemimpinan Islam. Ulama yang menegur pemimpin tidak sama sekali bertujuan menggantikan kedudukan pemimpin itu. Justeru, pemimpin tidak perlu melatah bila ditegur. Manakala teguran itu tidak perlu disiar raya di media, lalu menjadikan media sebagai alat provokasi, alat populariti dan alat politik, yg penting ialah, tindakan hasil dari teguran itu perlu dilaksana dengan segera selaras dengan kehendak Allah mengatasi kehendak peribadi demi kepentingan rakyat. 


Itulah sebenarnya yang perlu dilakukan oleh pemimpin dan ulama. Bukanlah keduanya sering bercakaran dan berselisih pendapat, tanpa mengira bahawa akibatnya ialah kerosakan yang besar akan berlaku kepada ummah secara keseluruhannya. Pemimpin sepatutnya merujuk ulama, manakala ulama perlu dan wajib menegur pemimpin jika apa yg dilakukan dalam mendokong amanah kepimpinan itu telah tersasar dari matlamat asal iaitu mencari redha Allah, dan memenuhi hak rakyat dan semua pimpinannya. Apa yang berlaku hari ini, pemimpin telah tidak mengendahkan ulama dan pandangan mereka, terasing dalam dunia tersendiri, diperlukan bila sahaja sesuatu isu itu tidak dapat ditangani secara biasa dan perlu ditangani secara 'agama', lalu timbul salah anggap bahawa agama itu telah dipisahkan dari politik. Mengapa tidak mengimarahkan politik dengan menggabungkan peranan pemimpin dan ulama?

Alternatif kepada GULA


Stevia alternatif ganti gula dalam makanan

KUALA LUMPUR: Ketika kenaikan harga gula bermula Jumaat lalu mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk negara, sebuah syarikat tempatan bercadang membuka sebuah ladang terbesar dan pusat pemprosesan biotekologi menggunakan tumbuhan herba `stevia’ secara komersial. Stevia, sejenis pokok berasal dari negara Amerika Selatan, khususnya Paraguay adalah pemanis semula jadi yang tidak mengandungi kalori. Pemanis itu diperoleh daripada daun pokok stevia yang dikeringkan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan A'Azam, Dr Sharifah Sabrina berkata, secara tradisional, stevia mengandungi sifar kalori, lemak, kolesterol, gula dan karbohidrat.“Ia boleh dijadikan satu alternatif utama untuk mengurangkan pengambilan gula,” katanya kepada Bernama. Katanya, selain menjadi pemanis semula jadi, stevia juga boleh mengurangkan kadar gula dalam darah, melawaskan kencing, menurunkan tekanan darah, membunuh bakteria, membunuh kulat, membunuh virus, mengurangkan keradangan dan boleh membantu mengurangkan berat badan. Dr Sharifah Sabrina mencadangkan penggunaan stevia diperluaskan di Malaysia bagi mencegah penggunaan dan kandungan gula yang berlebihan di kalangan rakyat Malaysia ketika ini. Kumpulan A'Azam dengan kerjasama anak syarikatnya, BNG Global Holdings Sdn Bhd, sudah menjalankan kajian dan penyelidikan dengan beberapa pakar sains dari Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Bioteknologi di India, yang berpusat di Poona untuk menanam anak pokok stevia secara ujian terlebih dulu. 

Usaha sebegini perlu disokong, dan digalakkan oleh kerajaan...perlu sokongan berterusan .....bila dah ada 'replacement' untuk gula, subsidi gula leh hapus terus...let us see what will happen next? Lagi jimat duit rakyat (iaitu duit subsidi untuk gula) boleh diguna pakai untuk bantuan kesihatan rakyat iaitu kira kira RM1.2 bilion setahun subsidi gula tu salur untuk bantuan kesihatan rakyat.