Friday, June 21, 2019

Ceritaku dengan abah: Redha ibu dan ayah...

Assalamualaikum wrt.wbt.

Salam sejahtera buat semua...

Kisah ini ku perap buat beberapa ketika. Aku seolah tidak mahu berganjak dari Ceritaku dengan Abah. Sukar sekali sebenarnya mahu 'move on'. Tapi hakikat tetap hakikat. Aku seolah olah tidak mahu menulis lagi kecuali Ceritaku dengan Abah. Benar, bukan aku sahaja yang merindui abah. Malah adik beradik ku bahkan mak dan saudara maraku. Aidilfitri 1440H yang baru berlalu seakan sunyi dan sepi tanpa abah. Walau abah telah pergi kira kira 4 tahun yang lalu. Namun ia seolah olah baru semalam, perit rasanya mahu meninggalkan kenanganku dengan abah.

Coretan ini suatu ketika dahulu....
Semalam Harimau Malaya mengaum di bumi Rajamangala. Gajah Putih tersungkur lesu. Ah berdebar tak terkata. Tahniah Harimau Malaya.

Petangnya aku mendapat panggilan telefon dari nombor yang tidak ku kenali. Tidak pernah ku menerima panggilan dari nombor itu. Nun jauh di Utara. Kalau mengikut kod kawasan ia dari Pulau Pinang.

Lalu ku jawab. Dari Pulau Pinang. Rupa rupanya ia panggilan dari sahabat lama dan sahabat rapat arwah abah. Alhamdulillah. Setelah bertanya khabar seketika aku pun bertanya apakah hajat beliau yang sebenarnya. Rupa rupanya, Sabtu ini dia akan turun dari Pulau Pinang dan ingin sekali singgah ke rumah dan menziarahi mak. Dia sekadar memaklumkan dan bertanya jika mak ada di rumah ketika itu. 

Pada waktu yang sama, dia hadir untuk menghadiri mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawsan Hilir Perak. Oh, begitu ceritanya. Aku pun lantas menjemput dan mengalu alukan beliau ke rumah. Kebetulan mak memang ada di rumah.

Kemudiannya beliau menyatakan hajatnya yang kedua berkenaan dengan saham beliau di PPK tersebut yang akan ditukar atau tukar nama kepada anak beliau. Namun, gaya ungkapannya agak tersekat sekat. Rupa rupanya, saham milik beliau di PPK itu adalah usaha bersama yang dikongsi dengan arwah abah. Beliau memaklumkan bahawa arwah abah telah menyerahkan saham itu menjadi hak milik beliau sejak dahulu lagi. Setiap kali mendapat dividen hasil saham tersebut, beberapa kali beliau ingin menyerahkan hasilnya kepada arwah abah. Namun menurut beliau, arwah abah tetap menolaknya.

Jadi kali ini, sebelum memindahkan saham tersebut, beliau bertanya aku jika aku punya tuntutan apa apa terhadap saham tersebut. Aduh...aku terasa sedih dan sayu kerana betapa sahabat arwah abah ini begitu meraikan arwah abah dan bimbangkan jika ada tuntutan dari kami warisnya.


Sekonyong konyong itu, aku merasa hiba dan ku ungkapkan ayat ini kepada beliau;


"Minta maaf cikgu, kami anak anak abah sentiasa menghormati dan mematuhi apa apa keputusan yang telah arwah abah buat ketika dia masih hidup. Err, tiada apa apa Cikgu. Bagi kami, keputusan arwah abah itu masih lagi sah dalam menyerahkan saham dan hasilnya kepada Cikgu. Ermmm, sesekali ia tidak berubah. Harap Cikgu faham, kami tiada tuntutan apa apa. Kami tidak berhak mengubah keputusan abah. Takdirnya, jika ada hak abah didalamnya, harap Cikgu ambil maklum, sebagai sahabat abah yang paling rapat sekali, ketahuilah Cikgu, kami anggap ia sebagai sedekah jariah arwah abah buat bekalnya di alam sana...." Mengalir airmataku, dalam keadaan aku juga turut bersedih ketika mengungkap sedemikian. Buat seketika, panggilan itu terasa sunyi. Kami masing masing diam. Aku terdengar sedikit esakan disebelah sana.

Akhirnya, dia menjawab, suaranya tersekat sekat, sambil mengucapkan syukur kerana arwah abah dikurniakan anak anak yang baik. Aku terkelu sebentar. Aku bukan baik sangat. Aku cuma berusaha melakukan yang terbaik buat abah dan mak sejak dahulu lagi. Sebegitu juga adik beradikku.


Ku ungkapkan sedemikian dalam keadaan aku tidak merujuk kepada mak atau adik beradikku yang lain. Amatlah tidak beradab sekali jika aku kata aku perlu berbincang dengan mak dan adik beradik yang lain, walhal dia ialah sahabat arwah abah yang paling rapat. Kesana kemari bersama abah. Aku menghargai keakraban mereka.


Malah ketika abah dikebumikan, beliau turut hadir, datang jauh dari Pulau Pinang. Selepas pencen beliau berpindah ke sana. Sebelum ini, beliau bertugas di daerah Bagan Datuk ini berdekatan dengan sekolah abah. Selalu beliau menemani abah kemana sahaja. Beliaulah juga insan paling akhir sekali bingkas bangun dari tepi kubur abah (aku sempat mengambil gambar beliau duduk disisi kubur abah). Beliau menangisi perginya seorang sahabat. Berseorangan beliau disisi kubur abah sambil melontarkan kalimah kalimah suci buat abah. Itulah sahabat abah yang aku kenal sejak kecil.


Peristiwa dulu dan sekarang amat memberi kesan dalam diri dan jiwaku. Aku lihat cara arwah abah menangani pelbagai perkara dalam hidupnya. Dalam banyak ketika, abah banyak diam dan bermenung. Sebenarnya arwah abah sedang berfikir banyak perkara. Dia memilih jalan yang mudah dan sederhana sekali. Antaranya ialah dengan banyak memberi dalam kehidupan ini. Jangan difikir soal imbuhan. Serahkan ia kepada Allah. Kelak, akan Allah kurnia kemudahan yang pelbagai dalam mengharungi hidup.

Sebegitu juga aku pelajari konsep, "jika tiada buat cara tiada, jika ada buat cara tiada bukannya ada buat cara ada...pasti melimpah ruah nanti, dan saat melimpah itu, terus utamakan sedekah kepada yang terdekat dan orang lain yang lebih memerlukan walau kita juga memerlukan ia namun, apa yang penting bantu kepada yang LEBIH MEMERLUKAN...."

Friday, October 26, 2018

Ceritaku dengan abah: Harapan abah

Ceritaku dengan abah...

Suatu hari abah bawa aku naik motor ke pekan kecil di kampungku, sambil itu abah bercerita dengan aku.  Motor Honda Cup buruk C70 bernombor AY3276 abah bawa dengan perlahan....

Abah: Masa kecik kecik dulu, abah naik basikal ke sekolah...tiap minggu ulang alik ke kampung... Sekolah abah tu kat Sg Sumun...SM Khir Johari Sg Sumun. Abah takde duit. Kakak abah (mak saudaraku) selalu bekalkan nasi dan ikan kering atau belacan. Makan nasi dengan ikan kering atau belacan goreng.

Aku: (sambil diam dan mengangguk) aku mendengar celoteh abah antara dengar dengan tidak kerana bercampur suara abah dengan bunyi ekzos pecah Honda Cup abah. Aku lebih enjoy perjalanan itu berbanding cerita abah. hehehe
Abah: Dulu Abah hidup susah. Adik beradik 14 orang (aku pernah cerita kisah ini dengan para pelajarku--terkadang aku silap sebut jumlah adik beradik abah sebabnya ramai dan aku pun terkadang tak ingat nama betul dan hanya ingat nama panggilan)....atuk wasiatkan kepada nenek supaya hantar abah ke sekolah SM Khir Johari (English school). Masa tu orang kampung panggil sekolah kapir.

Aku terus mendengar....isk apahal pulak sekolah orang kapir nya? Ujar ku dalam hati. Ermmm adik beradik abah memang ramai. Sepupu aku berpuluh orang. Yang kat Johor tu kalau tak silap ada 17 orang sepupu...tak semua aku ingat nama. Anak sulung pakcik aku yang di Johor tu pun anak dia dah berbelas.


Abah: Jadi, abah nak Awi belajar rajin rajin rajin sampai universiti. Belajar kuat kuat supaya jadi pandai. Bila dah habis belajar boleh dapat kerja yang bagus. Abah tak nak Awi hidup susah. Tak mengapalah abah habis duit beli buku dan sekolahkan semua anak anak abah, tak mengapa abah tak beli baju baru atau beli kereta atau pergi mana mana asalkan anak abah boleh belajar dan dapat pendidikan yang bagus.


Benarlah harapan itu membangkitkan usaha.

Itu antara yang aku ingati sehingga hari ini. Ia harapan abah kepada aku. Aku tahu abah juga bercakap perkara yang sama kepada adik adikku yang lain. Aku juga mengerti ini juga harapan semua ibubapa kepada anak anak mereka.

Lewat waktu yang lain, abah akan bercakap perkara yang sama kepada ku. Ia suatu bentuk pengulangan supaya berbekas dihati anak anaknya. Terkadang aku merasa cemuh juga mendengar isi cerita yang sama namun itulah sebenarnya yang berbekas dihatiku sehingga hari ini.

Sehinggalah ketikanya aku masuk ke sekolah berasrama di Ipoh. Abah memesan perkara yang sama. "Belajar rajin rajin sehingga berjaya, sampai peringkat tertinggi, abah sokong dan akan bantu" ujarnya. Itulah juga yang berbekas dihatiku dan aku sematkan dihati. Sehinggalah aku habis degree di UIA dan menyambung kemudiannya ke peringkat Master. Abah mengulangi ucapan yang sama.

Sering abah bertanya bagaimana pengajian master aku saat aku pulang ke kampung. AKu katakan selalu kepada abah, "Insyaallah abah, ok jer". Begitulah girangnya dia bila aku serahkan kad konvo master di UiTM pada tahun itu (2000), abah tersenyum bangga. 




Terus dia bertanya "Bila nak buat phd?" ujarnya. "Adusss...sabarlah dulu abah", getusku dalam hati. Namun aku hanya senyum. "Nantilah, Awi sambung", ujarku kepada abah.

Saat abah terbaring lesu akibat sakit dan stroke 5 tahun yang lalu, tiap kali aku balik, abah akan sentiasa tanya soalan yang sama "Bila nak habis phd?" tanya abah. Aku kelu. Bercahaya anak mata abah menantikan jawapanku. Dalam sakit itu dia masih punya "harapan" terhadapku. "Lambat lagi abah, banyak benda nak kena siapkan", ujarku sambil tangannya menggengam erat tanganku. Tanda pengharapan penuh abah terhadapku. 

Tanggal 21 Mac, waktu Maghrib itu abah pergi buat selamanya. Selang sebulan pula aku mendapat surat kelulusan VIVA phd ku. Sungguh surat itu lewat sekali hadirnya untuk hadiah terbesarku buat abah yang ku kasihi. 







Mengenang kembali




Aku konvo tanpa abah pada Oktober tahun itu. Mak pula mungkin terlalu sedih dengan pemergian abah dan dalam keadaan tidak sihat tidak dapat hadir ke konvo ku. Berair mataku tanpa kelibat abah dan mak. Aku tahu mak begitu mengerti dan memahami harapan abah kepada ku, dan mungkin itu jugalah yang akan membuat mak sedih dan pilu untuk menyaksikan aku menerima skrol Phd ku. Mungkin itulah sebab mengapa mak agak reluctant untuk pergi ke konvo ku. Mak beri alasan tidak sihat. Aku memahami perasaan mak.

Hari Ahad lepas aku diminta untuk hadir ke Majlis Konvokesyen UiTM ke 89. Aku update di FB ku tentangnya. 



Tiba tiba notification FB ku masuk dan ku lihat mak memberi komen terhadap post ku ketika konvo tersebut. Bila ku baca komen mak, aku jadi sangat sangat sayu. 

Perjalanan PhD tak mudah. Isteriku memberi nukilannya terhadap cerita PhD ku. Kami bersama sama mengharungi jatuh bangun dan resam dalam perjalanan menggenggam segulung skrol Phd.







Moga Allah kurnia keampunan buat abah dan redhai rohnya serta menempakan abah di syurgaNYA

Thursday, September 13, 2018

Seadanya.....

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua...

Sudah usang blog ini sejak kali terakhir aku menulis. Banyak perkara yang berlaku dan telah dilalui. Ia rencam dalam hidup. Ada tikanya pelbagai masalah melanda dan ada tikanya berita sedih datang bertalu. Tidak kurang juga khabar gembira.


Itulah hidup kita. Suka atau tidak ia termateri sebagai kehidupan yang fana dan ujian buat diri. Kita lepasi tahap ujian dengan pelbagai keputusan, ada yang gagal, ada yang lulus, ada yang cemerlang ada yang 'cukup cukup makan'.


Bagaimana keputusannya dalam mendepani kehidupan semuanya bergantung kepada diri. Sebab itulah Allah katakan ujian untuk hambaNya ialah untuk meningkatkan darjat dan memberi ibrah. Jika darjat itu tidak naik kerana gagalnya ujian itu, pasti ujian lain pula melanda, jika ujian itu sekadarnya 'cukup cukup makan' maka Allah beri ujian lain sehingga insan itu melepasi tahap yang Allah kehendaki dan jika ia naik tahap dan darjat, maka Allah beri pula modul ujian yang lain.


Semuanya ialah satu proses yang panjang dan berulang ulang buat kita semua. Hanya sanya kita mahu segera mengambil ibrah atau pelajaran dari semua ujian itu atau tidak. Justeru, Allah beri kita panduan dalam menghadapi ujian ujian itu. Satu sahaja kalimah, iaitu SABAR. Sabar pula berkait rapat dengan REDHA, jika hanya sabar sahaja tetapi tidak redha atas ketentuannya, insan akan berpaling dari jalanNya. 


Sebegitu juga dengan bersabar kita pula diingatkan agar segera dan sentiasa mengingati nya iaitu kalimah lain "ZIKRULLAH" yang perlu sentiasa dilakukan. Maka sentiasa lah SABAR, REDHA dan ZIKRULLAH kepadaNYA setiap ketika. Insyaallah, DIA akan permudah segalanya untuk kita.

Jika ini dibuat, nescaya, insan akan melepasi ujian ujian itu dan naik darjatnya. Maka, para pembaca yang budiman sekalian, mengapa tidak kita laksanakan pesanan Illahi dengan SABAR dan ZIKRULLAH? Bahkan sebenarnya dengan melaksana sedemikian, banyak kebaikan kita akan perolehi untuk diri kita sendiri. 


Allah sayangkan para hambaNYA. DIA beri ujian kepada kita supaya kita teguh berpegang kepada taliNYA. 


Image result for seadanya imagesAllah beri ujian dalam kita berurusan dengan insan lain. Ada insan perengus, ada insan pemarah, ada insan ego, ada insan baik hati, ada insan kejam, ada insan zalim, ada insan jahat, ada insan yang bertaqwa, ada insan yang mesra dan pelbagai lagi. Kita bertembung dengan insan insan ini hampir setiap hari.

Pertembungan ini adalah hasil interaksi kita manusia. Ia kerana manusia ialah makhluk  bermasyarakat. Justeru, dalam bermasyarakat perlu ada prinsip dan nilai pelbagai yang perlu kita pegang, antaranya ialah berlapang dada, menerima seadanya.


Ringkas ayatnya, tapi sukar melaksanakannya. Jika mudah untuk dilaksanakan maka sudah tentu tiada persengketaan sesama kita.


Prinsip menerima seadanya perlu dipupuk dan ia melalui proses yang panjang juga. Harus diingat dalam kehidupan manusia, tiada yang sifatnya "kun fayakun" kerana prinsip "kun fayakun" ini hanya milik Allah bukan milik manusia. 


Image result for kun fayakun imagesAkan tetapi, walaupun insan sebenarnya cukup tahu bahawa dalam kehidupan ini, segalanya yang berlaku dalam kehidupan adalah dalam proses atau 'cycle' yang panjang namun nafsu mereka bergejolak mahukan apa apa dalam kehidupan manusia seumpama "kun fayakun". 

Ini konsep yang salah kerana cuba menjadi Tuhan. Walhal Allah menyatakan dalam Surah Yaasin akan ayat kun fayakun ini dengan terangnya bahawa jika DIA mahu maka DIA hanya "kun fayakun". Ini kekuasaan Allah bukan sifat manusia. Justeru, jangan cuba jadi Tuhan atau bersikap tidak sedar diri bahawa diri itu adalah insan@manusia.


Usaha perlu dibuat, ia mesti berterusan, jika tidak menjadi, buat usaha lagi, tukar strategi dan tukar cara sehinggalah ia tercapai. Jangan putus asa.

Tuesday, November 7, 2017

Susah itu natijahnya senang...

Assalamualaikum wrt wbt.

Sebenarnya, apa yang tidak boleh dinikmati oleh orang susah@tidak mampu@miskin lalu kita nikmati maka itulah tahap senang/kesenangan.
Justeru, jika mahu tahu apa orang yang susah rasai maka kita perlu ‘duduk’ dalam suasana dan keadaan mereka.

Inilah hikmah kepada puasa malah ibrah dalam ibadah ibadah yang lain. Rasa berlapar tanpa makanan itu bagaimana. Ia proses memahami dan mendidik diri dengan mengalami sendiri RASA tersebut. Bagi orang yang susah, mereka apabila ada makanan, maka cukup untuk sekadar mengisi perut tanpa mengira apa menunya atau jenis makanan tersebut asalkan ia halal. Sebegitu jua, sunnah juga dalam bab makanan, berhenti sebelum kenyang. Untuk jaga perut serta kesihatan perut dan jaga kesihatan tubuh badan keseluruhannya.

Jika mahu tahu betapa susahnya orang ditimpa musibah banjir contohnya, turun lah ke padang dan bantu serta rasai sendiri peritnya mereka yang ditimpa musibah. Barulah nilai kemanusiaan akan terangsang dalam diri. Sebegitu jua menguruskan jenazah saat adanya kematian. Konsepnya sama. Mewujudkan RASA dan mengembalikan NILAI KEMANUSIAAN dalam diri. Ketika inilah boleh dibawa anak anak yang mungkin alaminya terbiasa dengan kehidupan yang mewah, diajak agar merasai sendiri pengalaman menanggapi dan merasai kepayahan orang lain.


Malah dalam aspek kehidupan juga sama. Prinsip yang sama terlaksana. Merasa susah dan bersusah susah supaya senang kemudian. Ia perlu disiplin dan cara fikir yang tertentu dan lurus.

Sebagai contohnya, mengawal nafsu juga salah satu usaha bersusah susah agar senang kemudian. Nafsu mahu makan sedap sedap, dikawal dengan makan sederhana dengan menu yang sederhana. Nafsu berbelanja dan membeli barang itu ini dikawal agar beli yang perlu sahaja pada ketika perlu sahaja. Bukan berbelanja mengikut rasa. Supaya pengurusan kewangan jadi sihat pada masa ini atau akan datang. Supaya generasi seterusnya dapat menjadi contoh kepada apa yang kita lakukan pada hari ini.

Jika boleh berlaku sedemikian dalam diri setiap orang, pasti kegilaan bersenang lenang tiada dalam kamus hidup setiap diri. Bersenang lenang apabila perlu, saat lainnya perlu berusaha (berusaha itu ialah ertinya bersusah payah). Menuntut ilmu itu ialah kepayahan. Jika rasa senang dan menyenangkan diri ketika proses belajar, itu akan menatijahkan kegagalan atau pencapaian yang biasa biasa. Jika orang lain tidur, kita bersengkang mata didinihari untuk belajar dan mentelaah. Itulah peritnya menuntut ilmu lalu akan turunnya keberkatan dalam ilmu dan seseorang itu akan diberkati hidupnya dengan ilmunya.

Bukankah “addunya mazra’atul aakhirah”. Bahkan dunia jua ialah penjara bagi orang mukmin. Ia memenjara nafsu agar tidak buas dan gelojoh. 


Image result for dunia ini penjara bagi orang mukminAkan sampai tikanya kita mampu tersenyum dipenghujung perjalanan kehidupan kerana kita telah bersusah payah mengorbankan usaha, masa, fikiran, tenaga dan segala yang ada untuk menggapainya.

Sebegitu juga akan ada tikanya mereka yang awalnya gembira kesenangan akan menerima imbalan lalu termenung kesedihan dan kesusahan.

Inilah maknanya bahawa hidup ini penuh dengan pelbagai pilihan. Hanya sanya kita perlu berusaha membuat pilihan pilihan yang tepat dan betul berdasarkan manhaj serta fikiran yang betul yang menepati kehensak al Quran dan Sunnah Nabi saw.

Prinsip ini telah dinyata dalam wahyu 1438H yang lalu. Namun, sering kita tidak berdisiplin dalam mengikutinya. Ambillah ibrah dari ayat ini.

Thursday, October 12, 2017

Ku Jelajahi Morocco: Malaga ke Casabalanca Siri 3

ku sambung ceritaku...

Setelah selesai urusan tiket pergi balik ke Morocco dan Madrid di stesen bas Malaga. Oleh kerana perjalananku ini banyak ku lakukan dengan menaiki bas, maka aku telah mengatur urusan tiket bas dengan sebaiknya. Aku memastikan ada langka masa antara bas yang aku perlu naiki dari stesen bas Malaga ke stesen bas Casablanca dan kemudian pulang semula melalui Tangiers dengan menaiki keretapi dari stesen keretapi Casabalanca dan sampai ke pelabuhan Tangiers. Kemudian menaiki feri menuju ke pelabuhan Algeciras di sebelah Sepanyol. Dan setelah itu menaiki bas lain dari Algeciras menuju ke Barcelona dan Madrid. 

Kami memulakan langkah melawat bandar Malaga yang bersih dan cantik. Di dalam bas, kami bersua dengan seorang gadis Sepanyol yang pernah belajar di Amerika dan sekarang bekerja di Malaga. Ia membuat kami mudah mesra kerana dia tahu berbahasa Inggeris. Banyak perbualan yang kami bicarakan sepanjang di dalam bas, malah dia menunjukkan kami pelabuhan dan kawasan pantai di bandar Malaga. Dia juga memberikan tips untuk kami melawat Morocco. 'Berhati hati melawat Morocco-tidak begitu banyak perkara menarik di Morocco' ujarnya. Aku mengangguk kepala tanda memahami. Apapun, aku perlu juga melihat sendiri Casabalanca, Rabat dan Tangiers dengan pengalaman sendiri. 

Di Malaga, aku berkesempatan melawat kubu lama di pelabuhan Malaga yang dibina oleh orang Islam di atas sebuah bukit di pinggi bandar Malaga. Kukuh sehingga hari ini kubu itu. Cantik dipandang dari kejauhan. Sedang asyik bergambar di kubu itu, sarung tangan isteriku telah terjatuh disebalik dinding kubu sebelah luar. Tinggi kubu itu kira kira 10 kaki. Mengenangkan sarung tangan itu adalah sarung tangan kesayangan isteriku, aku memanjat kubu itu dan melompat kesebelah luar ke dalam semak semak pokok renek yang penuh ranting dan mengambil sarung tangan itu. Setelah itu, baru terfikir bagaimana nak memanjat kembali kubu tersebut. hati berdebar debar takut dimarahi oleh pengawal di situ. Kelakar sebenarnya kisah ini. Sudah semacam detik kecemasan menyelamatkan mangsa jatuh lubang pula kisahnya. Akhirnya aku berjaya juga dengan bantuan temanku. Kami kemudian ketawa sesama sendiri mengenangkan kisah ini. 

Setelah itu kami meneruskan perjalanan, kami kembali ke stesen bas Malaga dan menanti bas menuju ke Casabalanca. Sengaja aku memilih menaiki bas ke Casablanca kerana aku fikir aku akan beroleh pengalaman bercampur dengan lebih ramai orang yang bakal ku temui nanti....pesan seorang perempuan muda Sepanyol yang bku temui di dalam bas ketika menuju ke Stesen Bas Malaga-

"You are leaving to Casablanca?" katanya.
"Yes we are..." jawabku.
"Be careful of pick pockets there....don't get yourself ended up being cheated by people around there....anyway nothing much to be seen there" katanya. "Ouch...really, thanks a lot for the reminder" jawabku....

"Aaah begitu pulak yea nanti di Casabalanca" getus hatiku. Aku sudah mula merasa kurang sedap hati lalu menyampaikan pesanan itu kepada isteriku.

Mengapa dia memberikan ku pesanan sedemikian. Aku tiba di Stesen Bas Malaga ketika malam mula menjengah. Suasana sejuk. Sesjuk sedemikian, aku sering mencari tandas. Selalu merasa 'terkucil' untuk buang air. Kemudian aku menuju ke Malaga Station Cafe...menikmati teh panas di situ. Penjualnya kelihatan seperti orang arab yang aku fikir keturunan Morocco. Aku melihat lihat sambil itu di kedai kedai bersebelahan dan membeli seketul kebab buat mengisi perut. Aku makan kongsi dengan isteri. Cuaca sejuk membuat aku lebih cepat lapar.

Tidak lama kemudian bas yang ditunggu sampai dan kami semua menaiki bas sekitar jam 10.00 malam di Malaga menuju ke Casablanca.

Ada benarnya maklumat yang dia berikan. Nanti akan aku ceritakan.....

Sunday, August 20, 2017

Dipandang dan memandang.....

Salah satu tulisan yang sangat mengesankan ditulis oleh Syekh Thanthawi (Grand Syeikh Al Azhar Assyarif):

كُلُّنَا اَشْخَاصٌ عَادِيٌّ فِى نَظْرِ مَنْ لاَ يَعْرِفُنَا
Kita semua adalah orang biasa dalam pandangan orang-orang yg tidak mengenal kita..

وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ رَائِعُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَفْهَمُنَا
Kita adalah orang yang menarik di mata orang yang memahami kita..

، وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ مُمَيِّزُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يُحِبُّنَا
Kita istimewa dalam penglihatan orang - orang yang mencintai kita..

وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ مَغْرُوْرُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَحْسُدُنَا
Kita adalah pribadi yg menjengkelkan bagi orang yang penuh kedengkian..

، وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ سَيِّئُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَحْقِدُ عَلَيْنَا
Kita adalah orang-orang jahat di dalam tatapan orang - orang yang iri...

، لِكُلِّ شَخْصٍ نَظْرَتُهُ، فَلاَ تَتْعَبْ نَفْسَكَ لِتُحْسِنَ عِنْدَ الآخَرِيْنَ
Pada akhirnya, setiap orang memiliki pandangannya masing masing, maka tak usah berlelah lelah agar tampak baik di mata orang lain..

، يَكْفِيْكَ رِضَا اللّٰهُ عَنْكَ ، رِضَا النَّاسِ غَايَةٌ لاَ تُدْرَك
Cukuplah dengan redha Allah bagi kita, sungguh mencari redha manusia adalah tujuan yang tak kan pernah tergapai..

، وَرِضَا اللّٰهُ غَايَةٌ لاَ تُتْرَك ، فَاتْرُكْ مَا لاَ يُدْرَكْ ، وَاَدْرِكْ مَا لاَ يُتْرَكْ
Sedangkan Redha Allah, destinasi yang pasti sampai,

Maka tinggalkan segala upaya mencari keredhaan manusia, dan fokus saja pada redha Allah...

Sunday, June 11, 2017

Nota dakwah...


Nota dakwah.

Sepanjang beratus artikel yang aku tulis di blogku ini, berbagai rasa pengalaman dan pandangan yang aku coretkan. Tiada lain tujuan agar hikmah pengajaran dan kefahaman itu dapat diperolehi oleh kalian para pembaca. Tanpa pengajaran dan kefahaman maka gagal lah sifat individu dan jiwa menjadi manusia yang sebenar. 

Motif utama kehidupan ialah bertaqwa kepada Allah dengan tunduk dan patuh kepadaNya lalu berperanan sebagai khalifah diatas mukabumi ini. Mengakui dan memahami bahawa kewujudan diri itu adalah kerana dengan izinNya. Ini difahami atas prinsip bahawa keadaan kehidupan itu bagai umpama penjara (sebagaimana maksud hadis - dunia itu umpama penjara bagi orang mukmin). 

Aku akui ada komen pintar yang menyentuh rasa bahawa aku dikatakan sebagai penulis picisan. Bahkan ada juga mengatakan bahawa aku ini hanya "syok sendiri" dengan ungkapan "dancing on". Aku akui mungkin tulisanku berbaur sedemikian. Mungkin itu kelemahanku. Namun aku tidak dapat lari dari pentas sedemikian sepenuhnya kerana cara gaya tulisanku lebih kepada usaha menjentik rasa dalam diri pembaca. Ia bukan coretan yang bertujuan untuk  menambah gah ku akan tetapi menghayati kisah pengajaran dalam coretan coretan ku melalui berbagai peristiwa dan pengalaman yang ku lalui. 

Benar, semakin kita melangkah jauh dalam perjalanan ini, semakin dekatlah kita ke pengakhiran kehidupan. Ia mungkin melelahkan bahkan menjerihkan. Ia acuan pelbagai warna pengalaman dan peristiwa. Lalu aku pikir mengapa tidak ku kongsikan sebahagian darinya untuk para pembaca. Mungkin ia bermanfaat atau mungkin ia menjadi sempadan ingatan buat kalian agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah aku lakukan.


Ku lakukan sedemikian kerana aku memahami bahawa ini sebahagian yang diajar oleh Nabi saw. Kalian lihat dalam sirah kehidupan Nabi Muhammad saw, saat diawal waktu kehidupannya di Mekah. Fahami apakah tema yang Nabi saw tunjukkan. Bukankan Nabi saw menunjukkan tema akhlak terpuji sebelum baginda saw diangkat menjadi rasul terakhir? Nabi saw dikenal oleh masyarakatnya dan mencontohkan atau menjadikan dirinya sebagai 'role model' lalu sangat popular dengan gelaran "al-Amin" iaitu yang benar. Bertitik tolak dari itu, boleh kita teladani bahawa akhlak mulia dan motif menjadi yang amanah atau yang benar itu perlu dibina dan dijadikan pembangunan diri. Ia acuan bagi menghadapi kehidupan sebenar.

Lalu kemudiannya tema yang dibawa oleh Nabi saw adalah berupa kesatuan ummah, kepentingan kelompok berbanding kepentingan sendiri. Bahkan bukan jua memenuhkan tembolok sendiri, barulah kejayaan dapat diperolehi. Satu kejayaan yg padu dan memberi manfaat kepada seluruh ummah.

Kisah Badar dan bagaimana ia berlaku, tanpa senjata yang mencukupi bahkan kekurang sumber yang bersangatan. Saat iman diuji bukan dengan bilangan orang dan persenjataan bahkan logik akal menyatakan (jika kita berada disitu pada ketika itu berbanding hanya sekadar mendengar cerita dan membaca sirah) bahawa pasukan ini kalah dan sumbang sekali. Pasti tewas. Akan tetapi sebaliknya pasukan yang sangat kekurangan ini akhirnya menghancurkan ego ego para strategis bahkan pengkaji mahupun pakar peperangan saat itu. Menang moral, iman dan menang perang walau ramai yang syahid. 

Ambillah ibrah dan jadikan ia pengajaran bermakna dalam hidup. Moga kita akan jadi mukmin yang dinamik serta progresif dalam pemikiran dan tindakan..









Sent from my iPhone

Saturday, June 10, 2017

Ruginya ia berlalu...


Salam ukhuwwah.....

Berapa kali kita khatam alQuran sepanjang 33 tahun Ramadhan? 3 kali, atau 10 kali atau setiap kali! Ya benar, apabila masa berlalu begitu, lalu kita tanyakan berapa kali kita khatam alQuran, pasti wujud rasa tersentak pada diri! Ini juga berlaku kepada diriku sendiri...aku hanya mampu mengkhatami alQuran sekitar 10tahun kebelakangan ini! Hakikat bahawa sudah banyak tahun tahun berlalu tanpa apa apa...aku rasakan sangat sedih dan rugi masa yang berlalu! Alangkah bobroknya diri, membiarkan masa masa emas itu berlalu tanpa apa apa, mujur jua DIA berikanku sedikit ruang masa itu aku sedar bahawa, masa yang mendatang itu jangan lah pula dipersiakan!

Friday, June 9, 2017

Getirnya Ramadhan

Para pembaca budiman sekalian...

Sudah bersawang lama blog ini. Kesibukan memelukku erat sekali. Tiada ruang dan peluang untuk aku menulis. Sehingga saat ini saat saat ini, sisa sisa kesibukan itu masih sahaja membaluti ruang masa yang masih tersisa. Kini Ramadhan kembali lagi...

Getirnya Ramadhan kali ini kerana cuacanya yang panas. Benar, sejak berzaman mentari kan terik di bulan yang mulia ini. Saat perangnya Badar juga sebegitu, malah saat peperangan zaman Sallehudin Al Ayubi juga begitu. Ramadhan seolah olah membakar segala dosa dan maksiat dalam diri dan jiwa manusia. Allahuakbar. Kering dan panas. Begitulah aku fikir saat di Mahsyar nanti bahkan berkali ganda lipatnya akan kepanasan itu seperti yang dikhabarkan oleh Allah swt melalui wahyunya.

Ku ukirkan coretan getir Ramadhan kerana ini pertama kalinya aku terkenang Ramadhan tanpa abah. Seolah siri Ceritaku dengan Abah tak mampu kutuliskan lagi. Abah telah pergi menemui Penciptanya tanggal 20 Mac 2017.....aku sunyi. Aku teringatkan abah selalu. Aku sibukkan diriku kerana mahu melupakan ingatan ku terhadap abah. Getirnya Ramadhan kali ini.

Sesekali aku pulang dan ku ziarahi kubur abah. Aku bercakap cakap seorang diri dengan harapan abah mendengar ku. Tiapkalinya airmata bergenang membasahi pipiku tanpa ku sedar. Abah tiada lagi dan telah pergi selamanya. Tiada gantinya akan abah ku ini.

Saat terserempak dengan kawan kawan abah di kampung, aku bergenang air mata pula. Segalanya tentang abah akan ku ingati. Terasa bersangatan bahawa masa telah berlalu dengan pantas sekali dan aku dalam keadaan menyesali dan rugi.....seolah olah terlalu banyak perkara yang belum habis ku bicarakan dengan abah. Cukup banyak cerita yang ingin ku kongsi tapi tiada maknanya kerana abah telah pergi selamanya. Air mataku bergenang lagi.

Getirnya Ramadhan kali ini tanpa abah.....  




Friday, March 31, 2017

Integriti = a(A+C+E)-C

Assalamualaikum wrt wbt.

Zaman ini segalanya dekat walau hakikatnya jauh. Sebegitu juga Whatsapp, WeChat, Telegram dan lain lain lagi mendekatkan kami teman teman persekolahan dahulu. Sehari dua ini, ada perbualan yang menarik diantara teman teman aku. Ada seorang yang bergelar Profesor bercakap dalam satu sidang di IC-BOS di Putrajaya Covention Center pagi ini. Beliau bercakap soal pengurusan korporat. Beliau ialah sahabat karib kami semua, Profesor Azlan Amran dari USM.

Seorang teman pula bertemu secara kebetulan di Kota Kinabalu iaitu Sdra Taqiyuddin Amini ialah Chief Operating Officer di MNZWJ and Associates dan Sdra Dr Ahmad Fadzli yang lebih dikenali sebagai Dr. Afat ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia. Mereka saling memberi maklumbalas di Whatsapp group sekolah kami. Dalam perbualan di Whatsapp, mereka telah berkongsi formula berikut;

Integriti = a(A+C+E)-C

a=alignment
A=Accountability
C=Competency
E=Ethics
c=Corruption

Image result for integrity images and quotes from quran and hadithIntegriti ialah suatu nilai. Nilai diri atau organisasi. Ia subjektif mengikut budaya dan aliran sesebuah organisi mengikut acuan pimpinan. Pada diri pula ia suati nilai diri yang dipegang sebagai prinsip. Integriti ilah salah satu nilai yang menentukan tindakan dan pekerti seseorang atau organisasi.

Namun, dalam banyak hal, integriti mungkin dengan mudahnya tergadai. Ia dikorbankan apabila bertembung dengan perkara lain atau tindakan yang memerlukan pengorbanan kepada nilai integriti. Bolehkah sedemikian? Tidak sama sekali jika seseorang itu ialah insan yang punya integriti utuh kerana ia memberi kesan kepada soal amanah dalam pengurusan diri dan organisasi. Lalu mengakibatkan rosaknya seseorang dan organisai lalu akan hilang kepercayaan masyarakat.

Tetapi hari ini, rasukan media dan pelbagai serangan fitnah yang menjalar diruangan siber menerjah masuk ke sempadan pemikiran lalu merubah tanggapan insani. Integriti tergadai. Ia mungkin dimulai oleh sesiapa sahaja akan tetapi kesannya langsung menerjah memusnahkan lingkungan murni kesopanan, kesusilaan, amanah, kepimpinan dan nilai masyarakat.

Image result for integrity images and quotes from quran and hadithMengembalikan integriti ke tahap murni tidak mudah. Membinanya tidak mudah. Menjadikannya suatu nilai yang dipegang oleh semua juga adalah sesuatu yang sangat sukar. Tetapi sekelip mata, ia boleh sahaja diruntuhkan oleh anasir dalaman atau luaran. Siapa yang terlibat? Hakikatnya ialah kita semua. Kita tidak boleh membiarkan anasir fitnah menghancurkan nilai ini. Walaupun diakui bahawa bukan hanya semata mata fitnah bahkan runtuhnya tembok integriti ini boleh terjadi dek kerana ketamakan dan nipisnya iman, akan tetapi faktor penggalak utama dalam konteks dunia siber pada hari ini menjadi sebab mengapa fitnah adalah penyebabnya.

Justeru, kembalilah kepada asas yang asal. Amalkan semak, tapis dan sebar. Atau semak dan semak dan tidak perlu sebar. Terjahan maya dunia sosial menyebabkan kita suka menyebar. Samada ia berita betul atau tidak, ada kecenderungan besar untuk menyebarnya tanpa usul periksa. Seolah olah insan ingin menjadi juara dengan menjadi penyebar utama atau paling awal. Akhirnya dosa bertimbunan, masyarakat kacau pemikiran walau alasannya ialah untui mencegah kemungkaran atau salah laku, namun ia cara yang sangat salah sama sekali. 





Saturday, November 26, 2016

Kita berdemonstrasi namun kita rugi....

Assalamualaikum wrt.wbt.

Suatu petang ada seorang sahabat, menegur ku. Sudah agak lama kami tidak bersua. Kami pernah bersama sama sejak kecil. Kemudian menempuhi alam persekolahan dan hari ini setelah puluhan tahun kami terserempak.

Dia: Assalam bro, apa khabar? Lama tak jumpa...
Aku: Eh bro...khabar baik, lama tak jumpa.
Dia: hang buat apa kat sini.
Aku: Cari barang sikit.

Dia: Hang tak pergi Bersih ka...
Aku: Hahaha aku ketawa.....aku tak pasti samada aku sudah bersih atau masih kotor, mungkin kerana aku pikir lebih baik aku membersihkan diri solat berjemaah 5 waktu itu lebih utama maka aku ketepikan Bersih.
Dia: hahaha hang nih...same old guy.
Aku: hahaha aku masih sama macam dulu

Begitulah sebahagian perbualanku dengan dia. Masa terus berlalu dan inilah kesempatan aku bertanya khabar tentang keluarganya, anak anaknya serta ayah dan ibunya. Lewat petang itu, kami memilih haluan kami sendiri.

Dalam perjalanan pulang, persoalah tentang Bersih itu sesekali menyentak kotak fikiranku. Aku ini disekolahkan oleh ayah dan ibu ku dan aku berpeluang menadah ilmu dengan para guru guruku. Hasilnya, aku punya pemikiran dan prinsip tersendiri. Mungkin sama dan mungkin tidak sama dengan kalian. Apapun, aku dan kalian punya hak berfikir dan berpegang dengan prinsip masing masing.

Bagiku, yang salah itu tetap salah dan yang betul dan benar itu tetap sebegitu. Malah aku juga berpegang bahawa yang salah itu tidak sentiasa salah dan yang benar itu tidak sentiasa benar. Kita kena kembali kepada sirah Nabi saw dan fitrah manusia. Nabi saw mengajarkan sikap sederhana dalam menanggapi sesuatu atau memberi reaksi kepada sesuatu. Nabi saw tidak pernah mengajar kita membenci insan lain, akan tetapi kita perlu membenci tindakan dan tinglaku yang buruk itu. Hari ini berbagai fitnah melanda kepada umat ini. Yang salah dikaburi seolah olah ia benar dan yang betul itu dikaburi seolah olah ia salah. Akhirnya terjadilah fitnah besar besaran. Akhirnya yang rugi ialah umat ini. 

Displaying 2016-11-25-PHOTO-00000649.jpg
Aku tidak bersetuju dengan Bersih kerana aku memahami asal usul dan sejarah gerakan ini. Aku memahami bahawa dunia hari ini banyak berkecamuk antaranya disebabkan التدخلات الخارجية yakni unsur luaran yang dirancang musuh - musuh Islam untuk mula masuk ke negara umat Islam kononnya sebagai penyelamat. (sepertimana yang diungkap oleh seorang rakan).

Cuba baca apa yang dinukilkan oleh mereka ini (seperti yang telah dialihbahasa kepada bahasa Inggeris dalam blog - https://ahlusunnahwaljamaah.com/2011/02/10/islamic-ruling-on-protests-demonstrations/

"On the 11th of Rabee’ al Awwal, 1432H corresponding to 14th of February, 2011 the shaykh (Abdul-Muhsin Al-’Abbaad Aal-Badr) said: “I do not know anything that proves that these demonstrations are legislated (the shaykh is referring to the demonstrations in Libya). We do not know the basis in the religion that proves these (demonstrations and protests) matters. Rather these matters are newly invented (demonstrations are bidah (innovation)), that the people invented and that they have imported from their enemies in the Western and Eastern countries (imitating the kuffaar which is haram)."

"Shaykh al-Islam Ibn Taymiyya said a magnificent statement on the topic of rebellion and rebelling against the Muslim ruler: ‘And perhaps the group that rebelled against the leader do not know that in their rebellion is a great corruption and it is greater than the corruption that they wanted to remove’.  Indeed splitting the Jamaah and rebelling against the leader has with it:"
  1. Replacing the security with fear
  2. Replacing satisfaction with hunger
  3. The shedding of blood
  4. Indecent Attacks
  5. Looting wealth
  6. Cutting off the paths
  7. The spreading (increase) of fools (and foolishness)
  8. Spreading of ignorance, and increasing the ignorance
  9. Reducing knowledge, and making its people strangers
  10. Weakening of the religion, and making it strange

Inilah jua yang berlaku di Syria, malah almarhum Imam Sa'ied Ramadhan al - Bouti rahimahullah pernah berkata ketika beliau melarang jatuhkan kerajaan, walaupun beliau dicerca sebagai ulama' kerajaan dsb. Lihat apa hasilnya. Syria telah hancur. Libya juga hancur sehancur hancurnya selepas matinya Ghaddafi dan campur tangan pihak asing di Libya. Iraq juga telah hancur lebuh dan negaranya dijarah oleh kuasa asing. Kita telah termakan oleh dakyah asing. Ketika ini, sesalan menjadi tidak berguna langsung.

Image result for gambar BERSIH 5Ada masanya kita perlu bersuara dan ada masanya kita perlu berdiam diri. Ada juga ketikanya kita perlu melakukan tindakan dan ada juga ketikanya kita perlu mengubah pemikiran. Semuanya bercampur baur. Kita perlu bijak memilih tindakan yang perlu dibuat dan bersikap dengan sikap yang sederhana. 

Imam Ibn Qayyim rahimahullah dalam kitabnya إعلام الموقعين antara kitab dalam Maqasid Syariah telah meletakkan 4 tahap menghilangkan mungkar;
١ - أن يزوله ويخلفه ضده 
٢ - أن يقل وإن لم يزل بجملته 
٣ - أن يخلفه ما هو مثله 
٤ - أن يخلفه ما هو شر منه
Maksudnya;

Pertama, ia hilangkan mungkar itu dan ia gantikan mungkar itu denganbenda baik,
Kedua, dikurangkan mungkar itu sekalipun mungkar itu tidak hilang dengan keseluruhannya,
Ketiga, ia gantikan mungkar itu dengan mungkar yang lain
Keempat, ia gantikan mungkar dengan mungkar yang lebih buruk dan lebih keji.

Kata Imam Ibn Qayyim rahimahullah, tahap pertama dan kedua itu Masyru' yakni disyarakkan. Tahap ketiga itu atas Ijtihad. Dan tahap keempat itu Haram.

Janganlah kita terjebak dalam perangkap musuh. Kebencian itu ada hadnya. Asas yang utama bukan leh membenci individu akan tetapi membenci perbuatan (jika telah disahihkan). Usaha perlu dilakukan untuk menegur bukan merosakkan. Jika teguran tidak diterima atau belum sampai tahapnya atau belum sampai wujudnya perubahan, maka berusahalah lagi seupaya yang mungkin. 

Image result for gambar BERSIH 5

Dakyah dan hasutan berlaku dalam berbagai cara. Tambahan pula denganmedia dihujung jari, sekelip mata rasa dan emosi diapi apikan oleh dakyah dakyah yang menyusup halus ke dalam sanubari setiap insan. Kita perlu matang dalam menanggapi semua perkara. Bersikap waras itu terpuji dan natijah dari keimanan. Kita perlu sedar plot plot halus yang dmainkan oleh musuh agar umat Islam berantakan malah masa dan tenaga dicurahkan untuk berantakan ini walhal fokus dan tujuan yang lebih utama boleh dicurahkan berbanding menangani perbalahan dan kekacauan ini. Plot inilah yang digunakan oleh Barat dengan kononnya skandal pemimpin itu dan ini untuk menjatuhkan kerajaan supaya mereka boleh menjarah bumi umat Islam. Lihatlah apa yang berlaku di Iraq dan Libya. Lihat juga Mesir pada hari ini. 


Benarlah kata Imam Syafie rahmatu Allah 'alaihi sebagaimana dinaqal oleh Mufti Wilayah Persekutuan hafizahullah,
سياسة الناس أشد عليَّ من سياسة البهائم
Politik manusia lebih sukar atas saya berbanding politik menguruskan segala binatang.

Walau apapun warnanya.......siapapun pihaknya, kita berdemonstrasi namun kita jua yang rugi.

Monday, August 15, 2016

Dosa maya



Assalamualaikum wrt wbt.



Baru baru ini sedang aku bersembang dengan seorang teman tiba tiba masuk mesej ditelefon ku. Ia berbunyi begini;




Ißc Sp0rt

H@ppy FIsH

S"c*R
pLay*tECh
4''D
a""G
ñEw't0Wñ
WEchat> jombét_wechat




Sudah beberapa kali aku menerima mesej sedemikian rupa. Setiap kali ia mesej yang berbeza dari nombor yang juga berbeza. Aku kira ia dari nombor prabayar dan dihantar secara rawak atau menggunakan sistem 'sms blast' yang kini banyak dijual dipasaran.


Setiap kali juga aku memadamnya dari peti mesej telefonku. Namun ia terus berterusan dari masa kesemasa aku menerimanya. Dan setiap kali juga aku tidak pernah menghiraukannya. Aku tidak pernah tertarik dengan perkara 'judi secara online' ini.



Bagi sesetengah orang ia mungkin sesuatu yang menarik perhatian mereka. Ia sesuatu permainan yang menjadi ketagihan dalam diri. Akhirnya ia memerangkap seseorang untuk terus bermain dan menggunakan wangnya untuk tujuan berseronok lalu wangmya habis dibelanjakan untuk permainan ini. Inilah judi yang diharamkan oleh Allah swt dalam apa jua cara sekalipun.


Judi dewasa ini telah berleluasa secara 'online'. Ia judi moden yang memerangkap mereka yang terlibat dengannya.


Aku tidak ingin berbicara soal kesan dan buruknya judi kerana kalian tentunya sudah tahu betapa kesan negatifnya sangat merosakkan diri, keluarga, bangsa dan negara.


Apa yang ingin kunyatakan disini ialah betapa penyedia penyedia perkhidmatan judi ini telah beroperasi dalam pelbagai cara dan bentuk hingga menerjah ke ruang peribadi kalian. Terus ke telefon sesiapa sahaja. Strategi yang digunakan begitu cekap dan berkesan dan mencapai kepada sesiapa sahaja yang punya nombor telefon. Sesiapa sahaja tidak mengira usia.


Bayangkan jika ia berjaya menembusi  dan menarik minat golongan remaja, belia yang pada saat dan umur sedemikian amat teruja untuk mencuba dan mencuba? Bayangkan kesan buruk berpanjangan yang akan berlaku. Tentunya rosak lah sesuatu bangsa dan negara jika remaja terdedah kepada perkara sedemikian.


Sudah sampai masanya pihak yang berkuasa mengambil tindakan tegas, cekap dan berkesan bagi membanteras kegiatan buruk sebegini, dalam konteks artikel ini ialah judi secara online. Malah pihak berkuasa seperti PDRM, KDN, SKMM mengambil inisiatif secara proaktif untuk menyekat kegiatan kegiatan merosakkan ini.


Agensi agensi kerajaan yang terlibat perlu menubuhkan 'task force' dan bekerjasama mengatur strategi bagi membanteras kegiatan judi secara online ini. Tindakan penyiasatan secra menyeluruh, pengenalpastian agen agen dan siapa yang terlibat, penutupan talian telefon, mahupun akses kepada laman sesawang yang ada perlu dibuat. Kerjasama dan bantuan dari pakar IT tempatan perlu dijalin agar tindakan penutupan dan pencegahan lama web inibdapat dibuat secara tuntas. Manakala tindakan tindakan perundangan dengan kadar segera perlu dibuat terhadap pengendali pengendali laman web judi secra online ini dapat dibuat.


Ia sebenarnya satu ancaman kepada negara dan generasi akan datang. Pada waktu yang sama, kegiatan judi secara berlesen atau tidak perlu ditutup dan dihapuskan sama sekali.


Benar, secara ekonominya ia mendatangkan hasil kepada negara dari segi sumbangan kepada sektor ekonomi yang dihasilkan oleh syarikat syarikat judi berlesen. Namun, kesan buruk jangka panjang akan aktiviti perjudian ini lebih merosakkan berbanding hasil yang diterima. Ingatlah akan amaran Allah swt akan HARAMNYA judi dan mencuba nasib ini.


Sebagai ibubapa atau ahli keluarga, perlu ada usaha pengawasan dan tindakan pencegahan yang dibuat dikalangan ahli keluarga agar tiada siapa yang terjebak dalam kancah judi 'online' yang hukumnya HARAM ini. Sebagai ibubapa, perlu ambil tahu pergerakan dan aktiviti anak anak. Jangan bersifat lepas tangan. Sebaiknya, anak anak tidak perlu dibelikan 'smartphone'. Perlukan disiplin dan perlaksanaan kawalan ini. Jangan beralasan bahawa telefon tangan adalah suatu keperluan kepada anak anak remaja dan anak anak kecil. Kita selalu ambil mudah akan perkara ini. Jika tiada disiplin maka dibimbangi kita akan menyesal dikemudian hari. Jika keperluan sangat mendesak cukuplah sekadar telefon biasa sahaja. 


Ia usaha kecil kita bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini. Jangan jadi insan yang tidak endahkan perkara ini. Kita perlu bersatu salam usaha menghalang perkara ini dari berleluasa. Moga moga usaha ini mendapat keberkatan dari Illahi dan moga moga ia berjaya sekurang kurangnya menyedarkan masyarakat akan sindrom yang sedang membarah dalam masyarakat kita.



Sent from my iPhone