Thursday, November 28, 2013

Lihatlah dengan hati, fahami dengan aqal....

Assalamualaikum wrt wbt....

Hujan turun dengan lebatnya........aku melihat kepulan wap dari kopi panas yang dipesan, sambil menyambung sembang dengan teman ku ini. Saat itu sedang bermusafir, lalu kami berhenti seketika untuk solat jamak qasar Magrib dan Isya di RnR ini....


Hiruk pikuk dek ramainya orang di situ seolah olah tidak kami hiraukan......Kami mengimbau kembali zaman kami di kampung....temanku punya cerita sendiri yang dikongsikan bersamaku, begitu juga aku. Keadaan sudah amat berbeza sekarang. Kemajuan yang dikecapi telah mengubah peristiwa dan gaya hidup. Dulu lain sekarang lain. Kami berbicara tentang Gen X dan Gen Y......ada lompong yang amat besar di situ.


old people photography wisdomHakikatnya ialah, keterbukaan telah mengubah gaya interaksi. Nilai nilai yang dahulunya dijunjung tinggi seolah olah telah luntur. Itu antara isi bicara antara aku dengan sang teman. Tiba tiba aku di sapa oleh satu susuk yang datang mendekati....."Assalamualaikum Encik Alwi, apa khabar?" ujarnya. Aku menjawab salam itu lalu termenung seketika. Sekilas itu fikiran ku seolah olah melayang layang umpama mencari cari sesuatu ingatan yang hilang dari lipatan lipatan memori yang ada. Bagai Lebai Google yang putar putar merayapi segenap pelosok lokasi dan maklumat yang ada mencari kata carian yang tertera.....aku cuba mengingati kembali dimana pernah ketemu susuk ini seraya mengungkap "Eh, saya rasa saya kenal, kat mana yea" ujarku. "Alaa...ini Iskandar la Encik Alwi, bekas anak murid Encik Alwi masa diploma dulu...kita ada bertemu di UPSI beberapa ketika dahulu" ujarnya. Setangkas itu memori itu kembali......aku terus mengajaknya duduk seraya bertanya khabar berita. Di dalam hati aku terkesima sekali kerana bekas pelajarku ini masih mengingati aku, sesuatu yang amat aku hargai.....itulah untungnya jadi Guru....penghargaan dan ingatan itu sudah cukup membuat hati berbunga. Aku fikir situasi yang sama juga dialami oleh para guru lain termasuk bekas guru guruku....tentunya apabila disapa dan ditegur, bertanya khabar sedemikian, ia sesuatu yang amat menggembirakan. Di dalam hati, aku mengucap syukur ke hadrat Illahi. Ia seolah olah suatu hadiah bermakna dariNya buat ku.....ia membuat hati gembira dan bahagia. Keletihan bermusafir hilang sebegitu sahaja. Lalu aku menjemputnya duduk disamping ku. "Dudukla...dari mana nak kemana?" tanyaku. "Oh saya dari Langkawi, nak balik Tg Malim, ada kursus di sana".


Lalu kami teruskan bicara yang temanya tentang generasi masa kini, Gen Y dan Gen X serta pandangan hidup. Aku suka bicara sebegini. Ia seolah olah menajamkan pisau yang tumpul, membangkitkan ghairah fikiran dan nafsu bicara. Buat seketika, aku lupakan sementara kisah musafir ku.


"Sekarang amat berbeza Encik Alwi, serakah perjuangan sudah berubah...generasi kini sudah semakin terbuka, segalanya dihambur begitu sahaja." ujarnya. Aku mengangguk menyetujui padangannya. "Dahulu semangatnya berbeza...hari ini mereka 'want more no less', generasi sekarang lebih kepada 'what is right diorang sokong, what is wrong is wrong'...." katanya lagi. Aku terus menyetujui pendapatnya agar terus terusan dia boleh mengungkap pandangannya lagi. Aku tidak mahu menahan dirinya dari berbicara lagi dengan menyampuknya. Ku biarkan dia.....dia menyambung lagi "Hari ini saya lebih melihat keluhuran dan ketelusan, itu penting, saya tidak mahu diperolok"...lebih kurang sebegitu ujarnya.


Akhirnya selepas beberapa ketika, aku menyampuk juga setelah dia sudah agak selesa dan selesai menyuarakan isi hatinya...."Ya saya setuju...itulah keadaan sekarang". Lalu aku memberi contoh bahawa di musim durian, dalam satu dusun, tidak semua buah durian yang gugur itu elok dan baik isinya, terutamanya sekali buah pertama. Tentu ada buah yang baik dan buruk. Itu nilai universal. Justeru, mana mungkin kita katakan dan mengambil kesimpulan bahawa dusun durian itu menghasilkan buah yang buruk walhal ada yang buruk dan ada buah yang baik dan enak isinya. Hari ini, kita mudah mengambil kesimpulan umum berbanding melihat dan memahami satu persatu kes dan isu dan tidak semudah itu juga kita membuat kesimpulan. Buah yang buruk masih ada gunanya, boleh dibuat tempoyak, manakala buah yang baik boleh dijual. Itulah nilainya. 

old people photography wisdomJadi jika cara berfikir dan menganalisa serta usaha untuk memahami tidak dilakukan dalam diri, bagaimana mungkin kita akan menjadi seorang individu yang matang dan bijak memahami keadaan. Itulah kedewasaan. ia tidak memerlukan seseorang untuk punya phd mahupun sijil master atau segulung ijazah untuk jadi sebegitu...ia bermula dengan luasnya pembacaan dan pemahaman. Jika individu malas membaca, ia sudah satu masalah, jika dia hanya membaca apa yang disukai, itu juga satu masalah. Ini kerana jika malas membaca, maka aqal tidak terdedah kepada pemikiran pemikiran universal, jika hanya membaca satu kelompok bahan tertentu sahaja, maka akal dan cara berfikir hanya terbentuk dalam kerangka maklumat apa yang dibaca sahaja.......inilah yang membentuk diri dan pemikiran individu. 

Analoginya mudah, jika suka membaca bahan picisan, maka akal akan berfikiran dalam kerangka picisan, jika membaca alQuran dan Hadis, memahami maksud dan tafsirannya yang muktabar maka akal dan otak akan dibentuk oleh nilai universal, akal akan mengerti maksud berTUHAN yang menatijahkan akan murninya akhlak kemanusiaan, malah berertinya kehidupan lalu mengubah tanggapan tentang makna sebenar hidup di dunia dan hakikat kehidupan di akhirat. Begitu juga jika suka hiburan, maka hiburan lah yang menjadi hidangan dan menu utama yang menjadi pilihan tatkala suis TV di dibuka........




Perkara yang sama juga berlaku apabila mahu menilai, memahami, menganalisa isu. Kita perlu melihat lebih dalam dan menilai dengan pertimbangan pertimbangan alQuran dan asSunnah utamanya dan kaedah pertimbangan lain......perlu difahami bahawa segalanya berlaku dalam suatu PROSES panjang yang ada hubungkaitnya antara yang LALU yang KINI dan yang AKAN DATANG. Kita tidak boleh menilai secara sembrono. PROSES berlakunya sesuatu perkara sangat bergantung dengan faktor MASA. Sepertimana tumbuhnya pokok dari benihnya. 

Cuba bayangkan, kita kembali kepada analogi pokok durian, jika tidak kerana nenek moyang kita dahulu yang berusaha membuka kebun dan menanam pokok durian, mana mungkin kita hari ini akan menikmati buah durian tatkala musim durian tiba? Adakah nenek moyang kita bersikap mementingkan diri? Jika mereka menanam pokok durian tentunya mereka tidak merasa buahnya, kerana PROSES nya lama untuk satu satu pokok durian itu tumbuh, jadi mengapa perlu ditanam? Akan tetapi tidak, mereka menanamnya walau menyedari hakikat, mereka mungkin tidak akan merasai enaknya buah durian itu. Akhirnya anak cucu mereka lah yang merasa buahnya. 

Nilai pengorbanan begini seolah olah telah luntur pada generasi kini, proses memahami pengorbanan dan menghargai pengorbanan ini juga memerlukan penelitian dan kefahaman yang jitu. Begitu juga hari ini.....justeru, menikmati hasil buah durian yang enak dan bagus isinya adalah satu pengalaman dan nilai berbeza dan tentunya tidak sama nilainya dengan pengorbanan, usaha, penat lelah, jerit payah menanam pokok durian tersebut. Inilah yang perlu difahami. 

Ada fenomena kebejatan fikiran disini yang kita tempelkan jenamanya sebagai 'generation gap'......hari ini kita kurang menghargai apa yang orang orang terdahulu lakukan, pengorbanan orang orang terdahulu. Hari ini kita hanya suka menikmati hasilnya tanpa tahu bagaimana ia terhasil. Kurang penghayatan, kurang kesedaran dan kefahaman adalah faktor yang menjadikan generasi hari ini tidak bersyukur. Mengapa? Kita selalu ungkapkan 'dulu lain sekarang lain'...benar dulu lain sekarang lain, hakikatnya yang berbeda ialah keadaan akan tetapi kefahaman bagaimana PROSES itu berlaku perlu difahami dengan bersungguh sungguh. Janganlah hanya kerana formula dulu lain sekarang lain maka kita sewenangnya merubah cara dan strategi yang terbukti berkesan dan berjaya lalu memilih cara dan kaedah yang belum tentu keberhasilannya. Kita perlu usaha dengan cara dakwah....bukan mudah mengubah manusia akan tetapi mudah sahaja meruntuh ketamadunan.

Insyaallah, coretan ini akan bersambung dalam nukilan dilain masa dan ketika....apapun LIHATLAH DENGAN HATI DAN FAHAMI DENGAN AQAL..........kerana dari situlah KITA BERTINDAK dan BERTINGKAH LAKU.....

Friday, November 22, 2013

Ia pahit tapi benar....

Assalamualaikum wrt wbt. kepada semua sahabat dan para pembaca dimana kalian sekalipun......

Moga Jumaat yang berkat ini membawa kebaikan buat kalian semua.

Beberapa hari yang lalu........insiden didalam bicara Whatsapp (saya salah seorang ahli yang dijemput ke dalam kumpulan tersebut yang kebanyakannya ialah ustaz dan ustazah [maaf, saya bukan berniat memburukkan ustaz dan ustazah dan bukan semuanya sebegitu, hanya seorang dua yang bersikap seperti dialog dibawah] di kawasan saya)...perbualannya sebegini.....saya ambil matan perbualan seperti mana tertera di dalam Whatsapp tersebut....

Sdra A: Mana hero yang dok pertahan Islam.....pertahan nama Allah....senyap jer. 

Sdra B: Mufti pun duk diam jer

Sdra A: Mufti tu ada kepentingan. Kalau untung kat ???? (nama parti) dia diam w/pun orang hina Allah dan hina Islam. Kalau untung kat Islam dan rugikan ???? (nama parti) mrk bising.

Sdra B: Kalau isu kalimah Allah, habis smua ulama ??? (nama parti) kena bantai dek puak2 Ulama Senyap ni....
Sdra A: Mufti sudah jadi ibarat rerompah (terompah) kayu. Hanya dipakai utk masuk jamban je....

Sdra B: xblh bgi statement yg hot2 nnt kontraknya xdisambung

Sdra A: Kalau gitu mufti pun dah syirik. Sbb takut pad makhluk sama dgn takut pd Allah. Mufti perlu ditarbiah dgn kitab MASTIKA HADITH karangan jabatan Perdana Menteri

Sdra B: Betul tu. Mufti kena berani kerana tegakkan agama allah & prlu mencontohi Mufti Brunai Darussalam. 

Akhirnya rakan saya menjawab dengan sebegini:

Rakan Saya: Betul tu, Tp satu soalan, Mufti dh baca ke statement deme nih....sapa leh sahkan bahawa mufti dh baca statement deme nih, Jika tiada siapa sahkan@mufti xtahu lg statement diorg, kita ni lak dh wat 1 salah, iaitu sangka buruk! Sangka buruk ni salah dan dilarang walaupun apa yg disangka tu betul@salah

Sdra B: Ni bkn sgka buruk ini ada komen peribadi..

Rakan Saya: Sbnrnya sangka buruk ni bukan standard tuan puan ustaz ustazah hehehe....Maafkan sy jika sy salah,sy xmau komen pasai mufti atau ulamak sbb sy pun xmengaji mcm diorg, Soal dia mufti@ulamak dunia@akhirat, kita hanya dimaklumkan dlm hadis bahwa akhir zaman nnt ada ulama@mufti dunia@akhirat,hadis tu xsuruh pun kita label@kenalpasti dan membuat kategori ulama mana,cuma dia suh kita ikut jln Allah dan rasulNya. Kalau sesapa tu ulama dunia@akhirat,  terserah kt DIA

Sdra B : Hbis tu klu ada org hina hukum islam, siapa org yg pling sesuai utk mengambil tindakn pengarah2 & pelakon2 sketsa yg hina hukum hudud yg tsebar luas di youtube pd saat ini?

Rakan Saya : Sbb tu sy tanya,mufti dh baca@tengok ke utube diorg ni

Sdra B: Sy nk tanya awk mufti ada dlm group ini ke??

Rakan Saya: Siapa yg leh sahkan mufti dah baca@tengok statement diorg...: Xde kot

Sdra B: Xde tak payah lah nk berpanjangan.. ini kan komen..

Rakan Saya : Kalau gitu falyatafaddhal....silakanlah sambung statement n komen tuh. Maafkan sy. Moga2 dpt pahala komen2 tu.

Begitulah berakhirnya perbualan di Whatsapp tersebut.......nilaikan sendiri berdasarkan mizan alQuran dan as Sunnah.........bukan penilaian berpihak. Ia pahit tapi benar.

Pandangan saya-

Dakwah itu luas dan penuh berliku, para Daei (pendakwah) perlu menjadi contoh teladan yang baik walau diakui mereka tidak lah sempurna, apapun perkara paling asas perlulah diperkukuh, jika perkara asas tidak diperkukuh, contohnya dalam konteks bermuamalah/berhubung dan bermasyarakat, bagaimana mungkin mesej dakwah kan diterima mahupun diberkati oleh Allah swt.

Moga moga Allah ampunkan kita semua atas segala kesilapan dan kekurangan diri.....

Para pembaca yang budiman, ambillah hikmah dan jangan pula mudah menuding jari kepada sesiapa....setiap dari kita adalah Daei kepada diri, keluarga, sahabat handai, sanak saudara malah masyarakat keseluruhannya......

Tuesday, November 19, 2013

Bicara tanpa sempadan

Assalamualaikum wrt wbt.

Bejat, bejat dan bejat!

Itulah yang dapat diungkap apabila semakin hari melihat laku dan tingkah bejat terpapar di laman sosial, ungkapan tanpa sempadan diluah atas nama KEBEBASAN!

Peribadi terlondeh dek kebebasan mengutarakan sesuatu tanpa sedar bahawa landas agama melarangnya. Perilaku tersebar dek kerana sukanya kita berkongsi sesuatu yang negatif. Malah penyebar tidak sedar bahawa ia sebenarnya sesuatu yang negatif dan fitnah semata mata. Malu telah pupus dari dalam diri. Maruah menjadi murah. Ia bagai 'jual beli' murahan sempena hari perayaan umpamanya.

Kebebasan telah membawa manusia jatuh ke gaung yang dalam. Tanpa sedar, kewarasan telah luput kerana kewarasan tidak dipandu dengan agama. Iman telah luntur walau mengaku beriman akan tetapi laku dan tingkah menggarap nipisnya iman umpama kulit bawang. Aduh, perit melihat sebegini. Sakitnya jiwa melihat asakan asakan begini ke minda. Sesungguhnya, ia cabaran besar buat diri dalam dunia tanpa sempadan apabila laku songsang semakin dipaparkan di dunia maya. 

Kata kata tidak lagi semurni dahulu. Potensi meluah segalanya begitu menjadi jadi. Maka BERJAYALAH agenda sulit musuh musuh kita dalam melemahkan daya saing dan fikiran umat. Apabila seharian dimomokkan dengan perkara perkara keji, ungkapan ungkapan negatif yang meruntuhkan daya saing dan corak fikir setiap dari kita. Tidakkah dari segi psikologinya, jika setiap hari dan setiap tikanya kita membaca, melihat perkara yang negatif itu, maka akhirnya diri yang melihat perlakuan jelik, ungkapan kotor, fikiran negatif itu akan turut 'hanyut' dalam ombak kebobrokan akhlak dan akhirnya terjerumus menjadi negatif?

Itulah yang dilakukan, yang terpampang setiap hari melalui media TV atau media elektronik yang lain. Jika setiap hari kita dimomokkan dengan isi kandungan yang menonjokkan kebobrokan akhlak, tidakkah kita nanti akan turut bobrok akhlaknya secara beransur ansur? Bayangkan jika ini berlaku setiap hari selama bertahun tahun? Tidakkah ia umpama barah yanng memakan kebaikan dan kemuliaan hati dan akhlak? 

Jika seharian yang kita tonton adalah unsur unsur negatif, tidakkah kita akan terpalit jua dengan unsur unsur negatif itu? Ia adalah pencerobohan dan kolonialisasi AQAL. Kita umpan aqal kita dengan unsur unsur lucah. Kita ladeni jiwa yang kononnya kosong itu dengan input sia sia, maka jadilah kita seorang yang lucah, ungkapan kita turut lucah, tingkah laku kita turut tercemar. Kita umpan aqal dengan bertindak menyebar berita fitnah, maka kita tururt bergelumang dengan melakukan dan membuat berita fitnah dan sensasi. Sampai bilakah kita begini?

Tidakkah kita sedar bahawa kita turut sama menjadi PENYUMBANG kepada kebobrokan orang lain dengan menyebarkan berita fitnah, mengungkap kata kata berunsur lucah, kata kata negatif, keburukan orang lain berbanding menyebarkan kebaikan, ilmu, dan ungkapan ungkapan positif. Tidakkah itu DOSA yang BERANTAIAN. Lalu kita mengharapkan doa kita dimakbulkan oleh Allah swt dalam keadaan kita memakan daging busuk saudara kita sendiri? Lihat sendiri di Facebook...apa yang ada ialah butang LIKE

Ya benar, jika dahulu musuh musuh kita begitu bersusah payah untuk meruntuhkan tamadun sesuatu bangsa. Begitu berusaha melakukan segala macam upaya, membuat berbagai strategi untuk melemahkan pemikiran umat, namun HAKIKATnya pada HARI INI, mereka sudahpunya PENGIKUT dan WAKIL yang akan melakukan semua itu tanpa DISURUH....ia umpama butang SHARE yang sifatnya automatik, mudah sahaja tersebar luas ke merata rata tempat. Oh bangsaku!

 Sedarlah kalian, aku hanya berkongsi berdasarkan pemerhatianku, aku mengajak kalian turut sama bermuhasabah sejenak, fikir dan fahami sejenak. Marilah kita BANJIRI laman sosial dengan input input yang positif, yang membangun sahsiah dan akhlak yang murni berbanding menjadi pak turut yang bergelumang dosa dengan menyebarkan adu domba, permusuhan, rasa BENCI SESAMA, FITNAH sesama, tingkah laku jelik sesama lalu berBICARA TANPA SEMPADAN. Ayuh! Hentikan kebobrokan ini demi kebaikan umat dan generasi akan datang.......

JANGAN DIUNGKAP BERJIHAD DAN BERJUANG KE JALAN ALLAH DAN DEMI KEBAIKAN jika kebobrokan, ungkapan negatif, lucah dan jelik adalah apa yang kita paparkan dan disebarkan di atas muka bumi ini. Wahai rakan taulan, sahabat handai, MARILAH KITA PERBAIKI SOLAT KITA agar kita tidak terjebak dengan kebobrokan ini.

Allahummagfirlanaa zunuubanaa, allahuma inna nauuzubika min azaabi jahannam, wa n'auzubika min azaaabil qabri wa min fitnatil mahya wal mamaat wa min fitnatil masiiihid dajjaal.......

Friday, November 8, 2013

Disebut berulang 28 kali....

Assalamualaikum wrt wbt dan Salam sejahtera.....

Alhamdulillah, sudah punya sedikit ruang untuk menulis. Benar benar sibuk dan capek dengan urusan tesis Phd ku akhir akhir ini. Saat ini masih sibuk akan tetapi hati meronta untuk menulis dan berkongsi.

Syukur Ya Rabb kerana diberi kekuatan untuk berkongsi.....terpanggil untuk menyatakan kepada kalian bahawa didalam alQuran, perkataan HIJRAH disebut sebanyak 28 Kali......apa maknanya secara logik dan matematika. Ia memberi gambaran betapa seolah olah hijrah ini sangat dominan dalam proses kehidupan manusia. Betapa banyaknya pengulangan dibuat, ia semakin utama sifat hijrah itu malah kepentingan....

Jika tiada hijrah maka tiadalah perubahan. Jika tiada perubahan, maka kita kan sentiasa ditakuk lama. Jangan silap memahami bahawa hijrah ini hanya dalam kerangkan pembangunan, malah sikap diri, pemikiran, cara berfikir, cara menganalisa dan memahami sesuatu perlu juga berubah kearah yang lebih baik agar natijah dan hasilan hasilan jitu kan menjelma. Tanpa hijrah, maka matilah kehidupan itu. Cuba lihat, dalam kehidupans seharian, proses lapar dan kenyang.....sebentar kita kenyang lalu kemudian lapar kembali. Ia proses perubahan@hijrah dalam sistem tubuh badan manusia yang konsisten dengan fitrah diri insani. Contoh lain, sebentar kita mengantuk, kemudian setelah tidur dan bangun tidur, kita segar kembali....tidakkah itu proses dan proses itu adalah bentuk perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, iaitu perkataan besarnya ialah HIJRAH.....

Justeru.....dengan ruang masa yang semakin hari semakin mengurang dan tidak bertambah sama sekali, dengan nikmat fizikal yang semakin hari semakin susut.....tidakkah ruh hijrah itu semestinya ditujukan kearah mendekatkan diri kepada Allah swt semata mata. Atau sekurang kurangnya keseluruhan daya usaha dan kerja ditumpukan untuk keuntungan akhirat namun tidaklah pula faedah dunia dilupakan.....bahkan urusan dunia jika diniatkan kerana Allah swt tentunya kan mendapat ganjaran dariNya....

Rakan taulan, kawan dan sahabat.....ayuh hijrah seupayamu agar kebaikan dunia dan akhirat kan diperolehi...allahuma taqabbal minnaa.....
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Thursday, November 7, 2013

Fw: Ringkas tetapi tidak mudah...

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

-----Original Message-----
From: alwiyunus@gmail.com
Date: Wed, 6 Nov 2013 16:44:04
To: <alwiyunus.akin@blogspot.com>
Reply-To: alwiyunus@gmail.com
Subject: Ringkas tetapi tidak mudah...

Assalamualaikum wrt wbt.

HIJRAH.....mudah, ringkas, penuh erti tetapi sukar difahami. Kita sekarang keliru bukan dengan makna hijrah akan tetapi pengertian mendalam hijrah dalam konteks hidup hari ini. Kita lalai konteks sebenar hijrah bahkan kita teralpa bahawa hijrah ialah sebenarnya strategi insani dan bersifat wahyu serta perintah.....

Kita perlu melihat hijrah dari sudut yang lebih dalam. Dalam konteks yang lebih segar dan mengaitkannya dengan kehidupan hari ini. Hakikatnya, peristiwa yang dijana 1435 tahun yang lalu, amatlah relevan dengan apa yang berlaku sekarang.....

Ada beberapa persoalan yang perlu kita lihat sebelum itu, antaranya ialah.....

1) Nabi saw dan umat Islam melakukan hijrah ke Madinah dalam keadaan Islam tidak kuat lagi, kuasa dan pemerintahan dikuasai oleh kaum kuffar, ekonomi dan politik orang Islam belum utuh malah aktiviti ekonomi dimiliki dan dikuasai oleh kaum musyrikin.

Justeru, dalam senario di atas, strategi yang dipilih oleh Baginda Nabi saw ialah tidak melakukan pertentangan bersemuka dengan puak kuffar akan tetapi menjalinkan kesepaduan, membina kekuatan dalaman, merangka strategi memperkukuh umat, melaksana perintah Allah dalam konteks diri dan ummah (quu anfusakum wa ahliikum naaraa), membina kekuatan umat dalam konteks penubuhan sebuah negara, menyemarak perdagangan dan memperkukuh ekonomi selepas berlakunya Hijrah serta membentuk kekuatan sosial. Inilah yang dilakukan oleh Nabi saw.

2) Persoalan kedua ialah apakah strategi paling mampan dalam menghadapi cabaran dakwah Islamiah?

Dalam konteks Hijrah, pembinaan strategi paling mampan adalah membina kekuatan dalaman, kekuatan diri, kekuatan ummah, kekuatan politik, kekuatan ekonomi dan sosial. Dalam konteks ini, bukan lah matlamat utama bagi mencapai kejayaan ummah ialah dengan 'memperoleh kuasa semata mata'. Ia perlu bersepadu dengan penyusunan strategi yang sifatnya menyeluruh iaitu membina kekuatan politik, ekonomi dan sosial serta memperkukuh jatidiri dan keteguhan aqidah serta iman. Untuk siapa? Bagaimana? Ia untuk seluruh individu Muslim, ia perlu dilakukan melalui proses tarbiah yang panjang. Aspek pengukuhan ilmu itu perlu dilaksanakan secara tuntas.

Ia kelihatan ringkas namun ia adalah satu proses yang bukan mudah. Ia perjalanan proses yang panjang dan mengambil masa dan kesungguhan atau istiqamah yang berterusan. Justeru, perlu sabar dan sentiasa berusaha sehingga usaha dakwah dan kecemerlangan Islam ini dipersada jaya kan tercapai.

Hakikatnya, tidak semudah yang disebut dan diungkap......Hijrah berupa perubahan fizikal, membina kekuatan diri dan dalaman dalam diri setiap Muslim dan akhirnya diterjemah dalam konteks perpaduan dan kekuatan ummah.

Hijrah lah diri dengan ilmu dan pemahaman yang jelas. Ya rabb, permudahkanlah usaha ini. Allahumma ameen..

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.