Membelek kembali lipatan sejarah 'sirah Rasulullah'....aku teringat suatu peristiwa ketika Fathul Makkah. Saat itu genting dan gawat kerana pihak Kuffar sangat ketakutan, gempar dan huru hara, memikirkan apa akan berlaku kepada nasib diri. Mereka telah mengangkat pedang memerangi Nabi, malah menyeksa saudara saudara seagama, mereka memerangi kaum Muslimin dari segenap sudut buat beberapa lama. Justeru, mereka merasa amat gentar dan takut akan nasib mereka sendiri. Masing masing cuba lari dan menyelematkan diri. Gerombolan muslimin yang tidak takut mati itu sedang berbondong bondong memasuki Mekah dari segenap penjuru. Para pemuka Quraisy juga semakin gempar, resah dan sangat gelisah. Diraut muka Abu Sufyan, pembesar dan pemimpin golongan Kuffar, antara yang paling kuat memerangi Nabi saw terpancar wajah ketakutan dan cemas. Tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku. Abu Sufyan membayangkan saat kematian dirinya yang sangat hampir! Tenteranya telah lemah, tiada siapa yang akan menghalang kemaraan gerombolan kaum Muslimin. Segalanya makin gawat! Itulah senarionya. Lalu disaat saat tidak keruan itu, disaat saat setiap diri merasa teramat dekat dengan kebimbangan akan kematian yang menjelma kerana menjangka balasan dari perbuatan mereka terdahulu, terdengar suara Baginda Rasulullah saw sayup sayup.....antara yang kedengaran ialah "sesiapa yang masuk rumah Abu Sufyan, dia akan selamat"....berbondonglah kaum Kuffar memasuki rumah Abu Sufyan. Abu Sufyan sendiri terpinga pinga!
Inilah sebahagian dari senario dalam peristiwa pembukaan Mekah oleh Baginda Rasulullah saw ribuan tahun hijrah yang dahulu. Beberapa persoalan menerjah kotak fikiranku. Mengapa Nabi saw berbuat sedemikian? Apakah perolehan strategi dari sikap Nabi saw itu? Apakah kesan dakwah dan kesan politik dari sikap Nabi saw yang sangat pemaaf itu?
Syugia diingatkan bahawa, peristiwa pembukaan Mekah itu terakam dalam alQuran....ia adalah peristiwa kemenangan perjuangan Islam menentang kaum Musyrik. Berbondong bondong orang yang dahulunya menentang sekarang sudah mengucap dan masuk Islam. Inilah natijah strategi dakwah dan jihad Rasulullah saw yang sering kita tidak ambil tahu akan ibrahnya.
Ada beberapa ibrah atau pengajaran utama yang ingin saya kongsikan dari peristiwa ini yang boleh kita kaitkan dengan senario kita pada hari ini, antaranya ialah:
- Islam bukan agama peperangan, peperangan dan memperjuangkan sesuatu adalah demi mempertahankan agama dan hak, justeru dakwah dan keamanan adalah diutamakan.
- Terpancar suatu sikap mulia, nilai kepimpinan yang tinggi oleh Nabi saw dari peristiwa ini, iaitu bagaimana cara yang ditonjolkan oleh Rasulullah saw dalam mengguna kaedah dakwah dengan cara aman terhadap penentang penentang Islam seperti Abu Sufyan...tiada benci, tiada dendam, tiada pertumpahan darah, tiada pergaduhan atas peristiwa yang berlalu. Hari ini ialah hari ini, yang berlalu itu tidak perlu diungkit kembali. Justeru itulah bagaimana Nabi saw menetapkan polisi sedemikian kepada semua orang Kuffar iaitu untuk berlindung di rumah Abu Sufyan agar mereka selamat. Bagi saya ia juga adalah manifestasi kaedah penghormatan dan pemeliharaan maruah Abu Sufyan sebagai pemimpin kepada golongan Kuffar pada masa itu. Ia bukan pengiktirafan kepada kepimpinan Abu Sufyan akan tetapi suatu bentuk dakwah yang halus yang mana akhirnya ia membuka pintu hati Abu Sufyan sendiri untuk memeluk Islam! Jika sedemikian sikap terhadap pemuka pemuka Kafir, bagaimana pula kita terhadap pemimpin pemimpin kita sendiri. Tidakkah seharusnya lebih baik dan murni. Maksudnya ialah cara kita menangani saudara seagama sendiri yang memegang tampuk kepimpinan. Benar, mereka mungkin telah berbuat kesilapan di sana sini, berlaku zalim, namun sudahkah kita tunaikan hak kita terhadap saudara seagama sebagaimana Nabi saw menunaikan hak kepada orang orang kafir (sebelumnya) seperti Abu Sufyan? Saya akur bahawa pemimpin perlu menunaikan hak rakyat, tidak berlaku zalim! Dalam keadaan sedemikian, jika keadaan berlaku sebaliknya, kita pula perlu menunaikan hak hak kita kepada pemimpin. Tidak perlulah kita memaki hamun, menghina dan mencerca kerana itu bukan sebahagian dari model dan contoh akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi saw. Pernah suatu ketika Saidina Ali dalam suatu peperangan (sila rujuk sirah dan kehidupan Saidina Ali) ingin memenggal kepala musuhnya akan tetapi disaat saat akhir, Saidina Ali tidak meneruskan niatnya kerana khuatir akan 'sebab musabab'? Apabila ditanya mengapa engkau tidak membunuhnya wahai Ali? Lalu Saidina Ali menjawab "aku bimbang memenggal kepalanya kerana aku marah berbanding kerana Allah"
Cuba fikirkan......ambillah ibrah dari peristiwa Sirah Nabi saw dan para sahabat! Jadikan ia prinsip kehidupan kita pada hari ini. Kelak kita akan selamat dari api neraka! Tidakkah itu akhirnya yang kita mahu? Mendapat redha Allah dan dimasukkan ke syurgaNya....berbanding ke neraka yang azabnya sangat dahsyat!
Inilah kaedah dan prinsip yang perlu kita fahami dalam konteks perhubungan sesama manusia, sesama saudara seagama dan juga prinsip apabila berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Ia sangat sesuai dan relevan dalam konteks kita pada hari ini. Benar! Kita ingin perjuangkan Islam, akan tetapi hendaklah kita berlandas jalan, kaedah, prinsip dan akhlak yang benar walaupun dengan sedemikian ia seolah olah kita 'kalah' atau seakan akan 'kalah'!
Harus diingat bahawa perjuangan adalah suatu proses yang panjang, dakwah pula perlu berterusan! Kita mulai dakwah dan perjuangan dengan diri sendiri dahulu, sempurnakan dengan sebaiknya hak hak untuk diri, kemudian keluarga-anak isteri dan keluarga terdekat! Jika semua orang melakukan sebegini, suatu 'wave' atau perubahan besar pasti berlaku! Jika kita terjun ke masyarakat akan tetapi rumahtangga kacau bilau, anak anak tidak terdidik sempurna, fikrah dan akhlak tidak utuh, dimana kemurnian perjuangan kita? Lebih lebih lagi jika kita membawa lesen ISLAM dalam perjuangan itu, tentunya akauntabiliti lebih berat terhadap diri! Sesungguhnya ia bukan mudah dan sangat berat amanah itu! Justeru, hendaklah kita bersederhana dalam apa jua tindakan dan kata kata! Moga moga Islam akan terus unggul pada hari ini dan pada masa akan datang! Marilah kita sama sama berjuang dengan sebaiknya mengikut landas yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw dan para sahabatnya! Insyaallah, amiin!
No comments:
Post a Comment