Showing posts with label ibrah. Show all posts
Showing posts with label ibrah. Show all posts

Thursday, May 8, 2014

Sentiasa memilih

Assalam dan salam sejahtera.....

(renungi kehidupan dan berfikir demi kebenaran agar kita sentiasa jadi hambaNYA......latarbelakang Jabal Tariq@Algeciras menuju ke Morocco dari Sepanyol melalui Gibraltar untuk ke Pelabuhan Tangiers...dalam misi melihat laluan sejarah dan keagungan alam ciptaan Allah)


Amanah dan tugas sebagai pendidik tidak terhad sekadar 'balligh aayatan' akan tetapi lebih dari itu. Walau diatas kertas ia tidak dinyatakan sebagai skop tugas namun ia menjadi lumrah yang perlu dilaksana samada suka atau tidak. Apa yang penting biarkan ia menjadi amal jarih dan dilakukan dengan ikhlas. Benarlah ungkapan bahawa guru itu menerangi bak lilin yang membakar dirinya sendiri untuk faedah orang lain.....

Atas rasa tanggungjawab, insaf dan sedar betapa anak bangsa ini perlu dimajukan dan potensi mereka perlu dikembangkan sewajarnya maka inilah yang SAYA pilih dan inilah yang SAYA perlu lakukan. Aku pasrah! Kisahnya begini.......

"Kelmarin saya mendapat tahu bahawa ada seorang pelajar (tidak perlu diketahui siapa) ini ingin berhenti belajar dari meneruskan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda atas alasan pelbagai. Berita itu saya terima dalam keadaan terkejut kerana apabila disemak keputusan semasa peperiksaannya, keputusannya memberangsangkan.....akan tetapi itulah faktanya, dia ingin berhenti! Saya semak latar diri dan cuba mendapat maklumat pelbagai termasuk menghubungi teman baik saya Cikgu Zawawi Salikin (terimakasih kepada beliau kerana walau di tidak kenal ibubapa pelajar ini akan tetapi dia berusaha mendapatkan maklumat dan pergi ke kampung dan tempat tinggal pelajar tersebut. Dia telah 2,3 kali pergi ke lokasi walau saat itu dia sedang bertugas akan tetapi tetap berusaha untuk menemui ibubapa pelajar tersebut atas dasar tanggungjawab bahawa sesuatu perlu dilakukan walau pelajar tersebut bukan bekas anak muridnya atau dia mengenali keluarga pelajar tersebut. Beliau berkongsi aspirasi dengan saya maka isu ini perlu ditangani sebaiknya demi masa depan pelajar dan keluarga tersebut) Alhamdulillah misi itu berjaya dan saya mendapat maklumat lengkap untuk saya hadap akan kes pelajar ini. Pelajar ini bukan pelajar saya dalam erti kata saya pernah mengajarnya akan tetapi dia adalah pelajar yang mengikuti kursus sarjana muda yang saya kendalikan". 

Itulah senario kes ini. Sebelum meneruskan bicara ini, saya mohon maaf jika cerita ini memalukan pelajar tersebut akan tetapi bukan itu maksud saya.....ada ibrah yang ingin saya kongsikan. Saya bukan mahu menceritakan isi kandungan kisah pelajar itu akan tetapi ingin berkongsi penghargaan dan usaha mereka yang berada disekeliling saya buat pengajaran (jika ada pengajaran dan kebaikan darinya) kepada semua.

Dalam kehidupan ini kita perlu memilih. Antara dua persimpangan yang perlu kita lalui. Malah dunia hari ini ia bukan sekadar dua persimpangan akan tetapi bersimpang siur pilihan dan keputusan yang perlu dibuat. Isunya ialah memilih dan keperluan memilih! Apa sebab dan apa perlu memilih? Adakah pilihan yang perlu dibuat itu berlaku atas desakan atau keperluan hidup atau hanya disebabkan oleh diri sendiri (maksud saya ialah dalam keadaan tiada pasal tetapi mencari pasal-selalunya ini antara sebab utama walau kebanyakan kita pasti menafikan sebab ini).....

Kita mudah memberi justifikasi apa apa sekalipun terhadap keputusn yang dibuat akan tetapi isunya adakah justifikasi itu memenuhi selera sendiri atau tidak. Apapun sebab atau justifikasi yang menjadi dorongan kita membuat keputusan hendaklah didasari oleh keperluan memenuhi (KPI) atau kehendak Allah dan Rasulnya dan bukan mendahului kehendak diri. 

Jika terlalu jitu memenuhi kehendak diri, akan wujud kecenderungan akan berlaku pilihan pilihan yang silap mahupun salah. Atau pilihan yang dibuat itu TIDAK DIBERKATI kerana tiada REDHA Illahi pada pilihan pilihan tersebut. Malah lebih buruk lagi ia menyebabkan keadaan hidup menjadi lebih kelam kabut dan lebih buruk. Akhirnya individu yang mendahului kehendak diri berbanding kehendak Allah dan Rasulnya akan rugi serugi ruginya seperti mana yang dinyatakan dalam Surah al-Asr:



"Demi waktu Asr, sesungguhnya manusia itu SENTIASA dalam kerugian, kecuali mereka yang BERIMAN dan BERAMAL SOLEH dan mereka yang berpesan pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan sabar"

Mengapa rugi? Mengapa kebenaran dikaitkan dengan sabar? Mengapa sebelum itu ialah keimanan yang menjadi tunjang lalu disulami dengan amal soleh, barulah boleh berpesan atau menasihati dengan kebenaran yang perlu dilakukan dengan sabar?

Jika difikir sedalamnya, ternyata ada sebab mengapa sedemikian. Renungkan sedalamnya.

Terkadang kita memilih kerana berlaku cabaran dalam hidup, desakan atau masalah menyebabkan kita terpaksa atau perlu memilih. Suka saya mengaitkan (saya juga memberi contoh ini kepada pelajar saya itu dalam sesi kaunseling yang saya jalankan semalam) soal memilih ini dengan Sirah Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw menunjukkan contoh kepada kepada kita semua selaras dengan Surah Al-Asr ketika Baginda wahyu pertama belum turun lagi.....apa yang berlaku? 

Nabi Muhammad melihat kebobrokan dalam masyarakat, idealisme Jahiliah berleluasa, dan semua itu amat tidak disenangi oleh Baginda. Nabi Muhammad saw seorang yang mulia dan terpuji malah terkenal amanah dengan gelaran alAmin, lalu dalam suasana yang tidak serasi dengan jiwa dan hatinya maka Baginda membuat PILIHAN beruzlah/berkhalwat atau mengasingkan diri (tidaklah baginda memulaukan mahupun langsung tidak bergaul dengan ahli keluarganya mahupun saudara maranya) dari masyarakatnya.....hingga akhirnya wahyu pertama turun. 

Nah lihatlah reputasi dan prinsip yang diamalkan oleh Nabi Muhammad saw yang sangat selaras dengan Surah alAsr itu......BERIMAN + BERAMAL SOLEH (dengan menjauhi perbuatan Jahiliah dan maksiat) = Pesan KEBENARAN + SABAR (iaitu proses dakwah yang Baginda lakukan selepas wahyu yang pertama iaitu Iqra = ILMU) yang bermaksud, untuk berpesan dengan kebenaran dan menasihati mesti perlu ILMU dan ia kewajipan UTAMA untuk melengkapkan diri dengan ILMU.......

Kenyataan kenyataan inilah yang saya katakan kepada pelajar saya itu. Saya katakan kepada pelajar saya itu, bagaimana perjalanan dakwah Nabi Muhammad saw, betapa susahnya baginda menghadapi tentangan, menghadapi kerenah manusia, cabaran dan kesusahan serta kepayahan yang pelbagai. Saya juga katakan bahawa menuntut ilmu itu adalah amanah. Ia DAKWAH. Bagaimana mungkin kita mahu memikul amanah DAKWAH jika diri sendiri lemah dalam, jika dakwah kepada diri sendiri gagal. Jika DAKWAH KEPADA DIRI SENDIRI GAGAL, bagaimana mungkin dakwah untuk orang lain? Bagaimana mungkin Islam akan gagah perkasa suatu hari nanti......

Jangan lari atau putus asa atau merasa tewas dalam usaha mencari ILMU. Ada sebab mengapa Allah letakkan kita dalam situasi begini. Ia penuh IBRAH atau PENGAJARAN....cari IBRAH itu agar ia dapat memujuk hati dengan hakikat kebenaran. Allah TIDAK PERNAH zalim terhadap hambaNYA.....maka atas dasar itu mengapa kita gundah gulana. Tidakka dia mengatakan kepada Nabi Yaaqub mengatakan satu nasihat kepada anak anaknya (adik beradik Nabi Yusuf a.s.)

A087
Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Saya doakan pelajar saya itu akan dapat membuat pilihan yang diredhai dan diberkati Allah swt, dan semoga pilihan yang dibuat itu akan membawa kebaikan dunia akhirat buatnya. Saya hanya mampu berpesan pesan dengan kebenaran dan insyaallah akan cuba terus komited dan sabar dalam menyampaikan pesanan pesanan ini.....kita adalah apa yang kita fikir, jika positif maka positiflah kehidupan begitu juga sebaliknya.

Moga moga Allah swt sentiasa memberi kekuatan kepada diri saya untuk sentiasa memberi nilai tambah dalam kehidupan ini demi faedah dan kebaikan orang lain. Insyaallah, amiin!


Sent from my iPhone

Thursday, November 1, 2012

Perjuangan yang panjang dengan berprinsip!

Salam ukhuwwah...

Membelek kembali lipatan sejarah 'sirah Rasulullah'....aku teringat suatu peristiwa ketika Fathul Makkah. Saat itu genting dan gawat kerana pihak Kuffar sangat ketakutan, gempar dan huru hara, memikirkan apa akan berlaku kepada nasib diri. Mereka telah mengangkat pedang memerangi Nabi, malah menyeksa saudara saudara seagama, mereka memerangi kaum Muslimin dari segenap sudut buat beberapa lama. Justeru, mereka merasa amat gentar dan takut akan nasib mereka sendiri. Masing masing cuba lari dan menyelematkan diri. Gerombolan muslimin yang tidak takut mati itu sedang berbondong bondong memasuki Mekah dari segenap penjuru. Para pemuka Quraisy juga semakin gempar, resah dan sangat gelisah. Diraut muka Abu Sufyan, pembesar dan pemimpin golongan Kuffar, antara yang paling kuat memerangi Nabi saw terpancar wajah ketakutan dan cemas. Tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku. Abu Sufyan membayangkan saat kematian dirinya yang sangat hampir! Tenteranya telah lemah, tiada siapa yang akan menghalang kemaraan gerombolan kaum Muslimin. Segalanya makin gawat! Itulah senarionya. Lalu disaat saat tidak keruan itu, disaat saat setiap diri merasa teramat dekat dengan kebimbangan akan kematian yang menjelma kerana menjangka balasan dari perbuatan mereka terdahulu, terdengar suara Baginda Rasulullah saw sayup sayup.....antara yang kedengaran ialah "sesiapa yang masuk rumah Abu Sufyan, dia akan selamat"....berbondonglah kaum Kuffar memasuki rumah Abu Sufyan. Abu Sufyan sendiri terpinga pinga! 

Inilah sebahagian dari senario dalam peristiwa pembukaan Mekah oleh Baginda Rasulullah saw ribuan tahun hijrah yang dahulu. Beberapa persoalan menerjah kotak fikiranku. Mengapa Nabi saw berbuat sedemikian? Apakah perolehan strategi dari sikap Nabi saw itu? Apakah kesan dakwah dan kesan politik dari sikap Nabi saw yang sangat pemaaf itu?

Syugia diingatkan bahawa, peristiwa pembukaan Mekah itu terakam dalam alQuran....ia adalah peristiwa kemenangan perjuangan Islam menentang kaum Musyrik. Berbondong bondong orang yang dahulunya menentang sekarang sudah mengucap dan masuk Islam. Inilah natijah strategi dakwah dan jihad Rasulullah saw yang sering kita tidak ambil tahu akan ibrahnya.

Ada beberapa ibrah atau pengajaran utama yang ingin saya kongsikan dari peristiwa ini yang boleh kita kaitkan dengan senario kita pada hari ini, antaranya ialah:


  • Islam bukan agama peperangan, peperangan dan memperjuangkan sesuatu adalah demi mempertahankan agama dan hak, justeru dakwah dan keamanan adalah diutamakan.


  • Terpancar suatu sikap mulia, nilai kepimpinan yang tinggi oleh Nabi saw dari peristiwa ini, iaitu bagaimana cara yang ditonjolkan oleh Rasulullah saw dalam mengguna kaedah dakwah dengan cara aman terhadap penentang penentang Islam seperti Abu Sufyan...tiada benci, tiada dendam, tiada pertumpahan darah, tiada pergaduhan atas peristiwa yang berlalu. Hari ini ialah hari ini, yang berlalu itu tidak perlu diungkit kembali. Justeru itulah bagaimana Nabi saw menetapkan polisi sedemikian kepada semua orang Kuffar iaitu untuk berlindung di rumah Abu Sufyan agar mereka selamat. Bagi saya ia juga adalah manifestasi kaedah penghormatan dan pemeliharaan maruah Abu Sufyan sebagai pemimpin kepada golongan Kuffar pada masa itu. Ia bukan pengiktirafan kepada kepimpinan Abu Sufyan akan tetapi suatu bentuk dakwah yang halus yang mana akhirnya ia membuka pintu hati Abu Sufyan sendiri untuk memeluk Islam! Jika sedemikian sikap terhadap pemuka pemuka Kafir, bagaimana pula kita terhadap pemimpin pemimpin kita sendiri. Tidakkah seharusnya lebih baik dan murni. Maksudnya ialah cara kita menangani saudara seagama sendiri yang memegang tampuk kepimpinan. Benar, mereka mungkin telah berbuat kesilapan di sana sini, berlaku zalim, namun sudahkah kita tunaikan hak kita terhadap saudara seagama sebagaimana Nabi saw menunaikan hak kepada orang orang kafir (sebelumnya) seperti Abu Sufyan? Saya akur bahawa pemimpin perlu menunaikan hak rakyat, tidak berlaku zalim! Dalam keadaan sedemikian, jika keadaan berlaku sebaliknya, kita pula perlu menunaikan hak hak kita kepada pemimpin. Tidak perlulah kita memaki hamun, menghina dan mencerca kerana itu bukan sebahagian dari model dan contoh akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi saw. Pernah suatu ketika Saidina Ali dalam suatu peperangan (sila rujuk sirah dan kehidupan Saidina Ali) ingin memenggal kepala musuhnya akan tetapi disaat saat akhir, Saidina Ali tidak meneruskan niatnya kerana khuatir akan 'sebab musabab'? Apabila ditanya mengapa engkau tidak membunuhnya wahai Ali? Lalu Saidina Ali menjawab "aku bimbang memenggal kepalanya kerana aku marah berbanding kerana Allah"
Cuba fikirkan......ambillah ibrah dari peristiwa Sirah Nabi saw dan para sahabat! Jadikan ia prinsip kehidupan kita pada hari ini. Kelak kita akan selamat dari api neraka! Tidakkah itu akhirnya yang kita mahu? Mendapat redha Allah dan dimasukkan ke syurgaNya....berbanding ke neraka yang azabnya sangat dahsyat! 

Inilah kaedah dan prinsip yang perlu kita fahami dalam konteks perhubungan sesama manusia, sesama saudara seagama dan juga prinsip apabila berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Ia sangat sesuai dan relevan dalam konteks kita pada hari ini. Benar! Kita ingin perjuangkan Islam, akan tetapi hendaklah kita berlandas jalan, kaedah, prinsip dan akhlak yang benar walaupun dengan sedemikian ia seolah olah kita 'kalah' atau seakan akan 'kalah'!

Harus diingat bahawa perjuangan adalah suatu proses yang panjang, dakwah pula perlu berterusan! Kita mulai dakwah dan perjuangan dengan diri sendiri dahulu, sempurnakan dengan sebaiknya hak hak untuk diri, kemudian keluarga-anak isteri dan keluarga terdekat! Jika semua orang melakukan sebegini, suatu 'wave' atau perubahan besar pasti berlaku! Jika kita terjun ke masyarakat akan tetapi rumahtangga kacau bilau, anak anak tidak terdidik sempurna, fikrah dan akhlak tidak utuh, dimana kemurnian perjuangan kita? Lebih lebih lagi jika kita membawa lesen ISLAM dalam perjuangan itu, tentunya akauntabiliti lebih berat terhadap diri! Sesungguhnya ia bukan mudah dan sangat berat amanah itu! Justeru, hendaklah kita bersederhana dalam apa jua tindakan dan kata kata! Moga moga Islam akan terus unggul pada hari ini dan pada masa akan datang! Marilah kita sama sama berjuang dengan sebaiknya mengikut landas yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw dan para sahabatnya! Insyaallah, amiin!


Sunday, February 12, 2012

Mencari RedhaNya!

Salam ukhuwwah!

Mencari dan mendapatkan redhaNya adalah keutamaan hidup! Mungkin ada orang lain punya fikiran bahawa keutamaan hidupnya adalah perkara lain dan bukan mendapatkan redhaNya. Sedangkan nyawa kita ini pun milikNya, sedangkan PELUANG untuk HADIR dan WUJUD dalam kehidupan ini, lalu menjalani kehidupan ini adalah jua merupakan keizinan dariNya, mana mungkin tidak kita sentiasa perlu mencari dan mendapatkan redhaNya!


Bagaimana mencari dan mendapatkan REDHANYA? Mudah sebenarnya! Ia ada dalam alQuran dan Sunnah Nabinya! Buat apa yang disuruh, tinggal apa yang dilarang! Konsep buat yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang ini perlu menyeluruh! Tidak boleh buat sedikit sedikit, ambil mana yang kita suka@buat mana yang kita suka sebahagiannya dan tinggalkan apa yang@tidak buat apa kita tak suka!


Sebenarnya, apa yang disuruh untuk kita lakukan dan dilarang untuk kita tinggalkan bukanlah ia untuk kebaikan Allah swt! Ia sebenarnya untuk kebaikan kita sendiri! Semua kebaikan itu@faedah itu berupa natijah kebaikan kepada fizikal, rohani, mental dan sebagainya! Tidak satupun ia memberi impak kepada Allah swt! Allah tidak perlukan amalan kita, Allah tidak perlu zikir kita, Allah tidak perlu alunan bacaan alQuran kita, Allah tidak perlu sesuatu apa pun dari kita. Kita yang perlukan semua itu! Asasnya ialah, jika kita solat, zikir dan mengikuti segala perintahNya, ia adalah manifestasi kepatuhan kita kepadaNya sebagai hamba kepadaNya, ia memberi faedah jasmani dan rohani kepada kita. Juga segala macam kebaikan untuk kita! Tiada satupun dari segala amalan yang kita lakukan adalah kerana ia (amalan2) diperlukan oleh Allah swt.! Tidak sama sekali! Allah tidak perlukan amalan amalan, atau kita! Kita yang perlukan Allah, kerana kita dicipta olehNya! Allah mencipta kita, Dia tidak dicipta! Dia tiada awal dan akhir! Dia wujud, qidam, baqa'! Hakikatnya, kita bergantung kepadanya! Udara yang kita hirup, Dia yang menciptanya! Pandangan mata yang boleh menyaksikan segalanya, adalah anugerah dariNya! Sifat dan kecukupan fizikal, rohani, aqal dan fikiran, Dialah yang menjadikan!


Jangan berfikir dan mengakali Allah swt dalam kerangka dan perspektif sepertimana pandangan kita terhadap makhluk lain! Ia boleh menyesatkan! Maksud saya ialah kita tidak boleh menganggap bahawa Allah itu seperti makhluk kerana makhluk itu, perkataan makhluk itu bermaksud 'diciptakan', tetapi Allah tidak diciptakan! Dia menjadikan dan menciptakan sesuatu daripada tiada kepada ada! Seolah olah bahawa Allah swt perlukan kita! Itu salah!....kita kena ubah cara berfikir yang sedemikian! Allah swt adalah segala galanya. Justeru, mengapa perlu gundah gulana jika Allah swt adalah segalanya bagi kita, tentunya apa yang terjadi kepada kita hari ini adalah dalam pengetahuanNYA. Binalah matlamat kehidupan atas dasar mencari REDHANYA!


Menyedari hakikat ini, tiada lain yang perlu kita lakukan melainkan mencari dan mendapatkan redhaNya! Mengapa? Kerana jika Dia redha terhadap kita dan apa yang kita lakukan, Dia menjanjikan syurga buat kita iaitu kehidupan kekal abadi yang tidak tergambar dek fikiran manusia kerana ia berlaku sesudah kita mati dan dibangkitkan semula nanti! Carilah redhaNya! Jika kalian berfikir tentang matlamat kehidupan yang sifatnya sementara iaitu hanya untuk kehidupan duniawi ini semata mata, kalian silap! Carilah redhaNya! Pasti kan selamat! Biasakanlah membuat keputusan dan pilihan dalam kehidupan ini hanya untuk mencari redhaNya! Ameen, insyaallah!


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, January 16, 2012

Mengapa kita tidak mendapat Rahmat Allah-2

Salam ukhuwwah!


Perbezaan orang Islam dan kafir ialah soal keislaman! Beriman@tidak! Mengakui Allah sebagai tuhan@ilah! Dan sebaliknya!


Dalam konteks lain ia bermaksud 'pengetahuan' dan 'perbuatan'...spt mana yang dikatakan oleh Syed Qutb, bahawa pengetahuan itu mengenal siapa tuhannya, apa perintahnya, tahu carta menuruti perintahNya, mana yang disukaiNya mana yang tidak! Dan 'perbuatan' itu selari dengan 'pengetahuan' yang dimiliki seseorang itu!


Cuba kalian renungkan sebentar persoalan persoalan yang saya utarakan ini:


1. Kita ada formula luarbiasa buat mengatasi permasalahan hidup dan penyelesaian terbentang luas dihadapan kita, namun, kita membiarkan ia, malah tidak ambil peduli! Bagaimana kalian rasa?


2. Alquran yang diwahyukan, khas untuk mereka yang beriman kepadaNya, dilupakan, tidak diselongkar isi kandungannya, malah apa apa yang disarankan didalamnya, langsung tidak dipedulikan...atau mengambil mana yang disenangi oleh diri dan meninggalkan sebahagian yang lain! Adakah cara begini boleh mengundang Rahmat Allah?


3. Kita melayani AlQuran sama seperti bagaimana orang bukan Islam melayani...tidak memahaminya, mempelajarinya, mengambil ibrah, bertadabbur dengan AlQuran walhal ia datang terus dari Sang Khaliq! Jenis manusia apa kita ini! Keimanan yang sebagaimana kita ini? Adakah ini mengundang Rahmat Allah?


4. Kita akui Nabi saw adalah utusanNya, namun kita tidak menjadikan dia contoh kehidupan...kita hanya ikut dan mencontohi mana yang kita suka sahaja, selainnya tidak sama sekali! Orang mencela, kita membalasnya dengan celaan juga, walhal Nabi saw menyarankan supaya kita membalas kejahatan dengan kebaikan! Orang memaki kita malah melebihi makian, orang menghina, kita juga membalas dengan penghinaan juga! Orang celupar, kita juga turut celupar! Orang memfitnah, kita tidak mampu bersabar dengan fitnah itu, malah kita hilang sabar, marah dan bengang, lalu kita memfitnahnya kembali, mencari segala aib yang ada dan menjatuhkan maruahnya dengan membuka aib teman kita itu! Adakah itu juga mengundang Rahmat Illahi?


5. Kita diajar dan diberitahu bahawa solat berjemaah itu 27 kali ganda besar pahalanya, tapi kita sering seronok solat sendirian, menjauhi masjid dan surau atas pelbagai alasan remeh! Atas alasan politik dan sebagainya, malah atas alasan tidak menyukai Imam atau seseorang di masjid dan surau itu lalu itu menjadi halangan untuk kita pergi ke masjid berjemaah! Perlu diingat, kita ke masjid bukan kerana manusia, tapi kerana Allah! Jadi pedulikan bisikan hati dan nafsu berkaitan isu isu remeh itu! Adakah ini juga mengundang Rahmat Illahi?


Bukanlah niat saya mengecam sidang pembaca apabila mengutarakan persoalan persoalan di atas. Malah ada banyak persoalan persoalan lain yang akan saya nyatakan kemudian nanti! Begitu juga, tiada niatnya saya menunjukkan bahawa saya lebih baik dari kalian...ini peringatan buat diri dan kalian semua!


Isu ini mengajak kita semua berfikir sejenak....merenung jauh ke dalam hati, menilai kembali segala tindakan kita....mungkin pernah kita 'terlaung2, terjerit' bersorak sana sini, lalu mengungkap...."Marilah kita banteras kebejatan ini", "mari kita semua bersatu demi Islam","sedarlah dan insaflah wahai umat Islam"....disebalik semua laungan, saranan yang pelbagai, nasib kita tetap tidak berubah! Mengapa??


Hanya ada satu jawapan! Kita tidak membetulkan diri sendiri-dalam aspek keimanan, kepercayaan, pemikiran, pengetahuan, perbuatan dan tingkah laku....mana mungkin RahmatNya akan turun kepada kita jika apa yang disarankan olehNya dan utusanNya tidak kita laksanakan! Berapa banyak laungan sekalipun, berapa banyak jeritan sekalipun....jika tidak kita perbetulkan diri, sampai bila kita akan terus terusan begini! Masyaallah! Insyaallah dan ameen!!!!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Jika kalian melihat dari LUAR!

Salam ukhuwwah!


Jika kalian pernah bermusafir, keserata tempat di alam ini, samada ke luar negeri mahupun hanya didalam negeri sahaja, pasti akan kalian akan ketemu beberapa insiden yang menjengah hati nurani....ada sesetengah dari kita, yang membiarkan ia berlalu tanpa mengambil 'ibrah' mahupun pengajaran, yang pasti sikap sedemikian amat merugikan kerana 'ruh dan jiwa' musafir ialah untuk mengambil 'ibrah' dari titipan pengalaman yang dikutip disepanjang jalan musafir.....ada pula yang mengambil 'ibrah' dari laluan pengalaman yang ditempuhi, sesungguhnya, dia orang yang beruntung...kerana proses mengambil 'ibrah' ini penting agar proses hijrah diri atau memperbaiki diri dapat dilakukan secara terus menerus! Ingatlah, terkadang ALAM yang mengajar kita! Hanya sanya kita mahu atau tidak mengambil 'ibrah' dari pengalaman alam itu!


Ada banyak ibrah namun dalam sesi kali ini saya hanya mahu fokus kepada satu aspek 'ibrah' iaitu pengalaman menjadi Mukmin/Muslim yang bermusafir!


Persoalannya, pernahkah terfikir mengapa Islam tidak dihormati? Pernahkah terfikir mengapa orang bukan Islam memandang remeh kepada kita orang Islam? Pernahkah mengalami pengalaman bagaimana Islam itu diamalkan di daerah majoritinya bukan Islam! Jika persoalan persoalan ini tidak terlintas difikiran kalian, maka sebenarnya kalian perlu keluar dari kepompong sendiri, perlu melakukan explorasi di dunia lain, kelak kalian kan mengetahui pengalaman pengalaman itu! Kita sudah terlalu lama duduk dalam suasana sendiri, bergerak dalam kelompok sendiri sehingga kita tidak mampu melihat dari kacamata LUAR bagaimana kita ini!


Islam ini mudah....laksanakan apa yg disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang...memang sukar melakukan buat pertama kali kesemuanya yang diperintahkan, justeru perlu ada proses pentarbiahan diri, perlahan lahan buat mana yang mampu, dan semakin hari sentiasa dipertingkatkan. Ia dilakukan dengan proses mencari ilmu, menambah ilmu, memperkembangkan ilmu. Bukan melalui proses ikut ikutan semata mata dari mula hingga usia dan umur meningkat tua. Ingatlah bahawa wahyu pertama ialah gesaan yang kuat untuk menuntut ilmu, "iqra" iaitu "bacalah" sebanyak 3 kali! Betapa menuntut ilmu amat digesa! Jika sudah tahu, maka dalami lagi, ia perlu sentiasa berkembang! Jika malas membaca, maka hadiri majlis ilmu! Apapun tidak dapat tidak, perlu berusaha untuk belajar, terus membaca buku buku, kitab kitab dalam usaha pencerahan! Jika malas membaca, maka kejumudan akan melanda pemikiran dan itu membuahkan pemikiran dan tindakan yang jumud, tidak terbuka, lalu tentunya ia terpercik kepada orang lain. Hanya kerana kita bersikap dan berfikiran jumud, maka tindakan tindakan kita juga akan menjurus kepada perkara perkara yang jumud dan pada wkatu yang sama orang lain juga 'terpengaruh' dengan kejumudan kita! Ditambah pula kesukaan kita untuk melahirkan idea dan pendapat kejumudan melalui laman sosial seperti Facebook dan sebagainya, lalu dibaca oleh orang lain, tentunya asimilasi kejumudan itu merebak kepada orang lain. Secara tidak langsung, kita memulakan proses secara tidak disedari untuk menjebak orang lain untuk turut sama jumud, sejumud fikiran kita! Disinilah masalahnya!


Oleh itu, perlu sentiasa berlaku proses pencerahan melalui tarbiah diri dengan ilmu! Dalami konsep yang sedia ada difahami, galilah ia didalam rujukan rujukan, didalam kitab kitab "MUKTABAR" yakni kitab kitab atau buku buku yang sahih! Tidaklah maksud saya hanya semata mata belajar melalui buku sahaja kerana ia juga konsep yang sempit dalam proses menuntut ilmu! Perlu juga berguru, 'fas aluu ahlaz zikri in kuntum laa taklamun'...tanyalah orang yang tahu jika kamu tidak tahu...tanya dahulu, sahkan dahulu baru buat! Bukan buat dahulu kemudian muncul 'tidak pasti' lalu bertanya!....


Justeru, apabila bermusafir, maka akan terjadi proses proses praktikal amalan dan ibadah di sepanjang musafir, maka lakukanlah dengan ilmu, bukan membabi buta! Pada waktu yang sama, kalian akan mengalami dan mendapati perbezaan perbezaan perlaksanaan, maka disitu akan timbul persoalan persoalan! Segala persoalan ini perlu pencerahan, boleh sahaja dirujuk kepada yang pakar, ilmuwan atau merujuk kitab kitab muktabar! Saat itu, kalian akan memahami bahawa bukan hanya kita malah orang lain melakukan dengan kaedah dan cara tersendiri, mesti ada hujjah, mesti ada dalil, mesti ada nas! Disitulah lahir pemahaman, lalu pertentangan pendapat dapat dilayan dengan sebaik dan seadilnya. Kita bina jambatan dan duduk dijalan yang tengah! Itulah wassatiyyah namanya! Maka, rajin rajinlah melihat dari luar berbanding terkongkong dalam dunia sendiri! Insyaallah!!!