Tuesday, November 7, 2017

Susah itu natijahnya senang...

Assalamualaikum wrt wbt.

Sebenarnya, apa yang tidak boleh dinikmati oleh orang susah@tidak mampu@miskin lalu kita nikmati maka itulah tahap senang/kesenangan.
Justeru, jika mahu tahu apa orang yang susah rasai maka kita perlu ‘duduk’ dalam suasana dan keadaan mereka.

Inilah hikmah kepada puasa malah ibrah dalam ibadah ibadah yang lain. Rasa berlapar tanpa makanan itu bagaimana. Ia proses memahami dan mendidik diri dengan mengalami sendiri RASA tersebut. Bagi orang yang susah, mereka apabila ada makanan, maka cukup untuk sekadar mengisi perut tanpa mengira apa menunya atau jenis makanan tersebut asalkan ia halal. Sebegitu jua, sunnah juga dalam bab makanan, berhenti sebelum kenyang. Untuk jaga perut serta kesihatan perut dan jaga kesihatan tubuh badan keseluruhannya.

Jika mahu tahu betapa susahnya orang ditimpa musibah banjir contohnya, turun lah ke padang dan bantu serta rasai sendiri peritnya mereka yang ditimpa musibah. Barulah nilai kemanusiaan akan terangsang dalam diri. Sebegitu jua menguruskan jenazah saat adanya kematian. Konsepnya sama. Mewujudkan RASA dan mengembalikan NILAI KEMANUSIAAN dalam diri. Ketika inilah boleh dibawa anak anak yang mungkin alaminya terbiasa dengan kehidupan yang mewah, diajak agar merasai sendiri pengalaman menanggapi dan merasai kepayahan orang lain.


Malah dalam aspek kehidupan juga sama. Prinsip yang sama terlaksana. Merasa susah dan bersusah susah supaya senang kemudian. Ia perlu disiplin dan cara fikir yang tertentu dan lurus.

Sebagai contohnya, mengawal nafsu juga salah satu usaha bersusah susah agar senang kemudian. Nafsu mahu makan sedap sedap, dikawal dengan makan sederhana dengan menu yang sederhana. Nafsu berbelanja dan membeli barang itu ini dikawal agar beli yang perlu sahaja pada ketika perlu sahaja. Bukan berbelanja mengikut rasa. Supaya pengurusan kewangan jadi sihat pada masa ini atau akan datang. Supaya generasi seterusnya dapat menjadi contoh kepada apa yang kita lakukan pada hari ini.

Jika boleh berlaku sedemikian dalam diri setiap orang, pasti kegilaan bersenang lenang tiada dalam kamus hidup setiap diri. Bersenang lenang apabila perlu, saat lainnya perlu berusaha (berusaha itu ialah ertinya bersusah payah). Menuntut ilmu itu ialah kepayahan. Jika rasa senang dan menyenangkan diri ketika proses belajar, itu akan menatijahkan kegagalan atau pencapaian yang biasa biasa. Jika orang lain tidur, kita bersengkang mata didinihari untuk belajar dan mentelaah. Itulah peritnya menuntut ilmu lalu akan turunnya keberkatan dalam ilmu dan seseorang itu akan diberkati hidupnya dengan ilmunya.

Bukankah “addunya mazra’atul aakhirah”. Bahkan dunia jua ialah penjara bagi orang mukmin. Ia memenjara nafsu agar tidak buas dan gelojoh. 


Image result for dunia ini penjara bagi orang mukminAkan sampai tikanya kita mampu tersenyum dipenghujung perjalanan kehidupan kerana kita telah bersusah payah mengorbankan usaha, masa, fikiran, tenaga dan segala yang ada untuk menggapainya.

Sebegitu juga akan ada tikanya mereka yang awalnya gembira kesenangan akan menerima imbalan lalu termenung kesedihan dan kesusahan.

Inilah maknanya bahawa hidup ini penuh dengan pelbagai pilihan. Hanya sanya kita perlu berusaha membuat pilihan pilihan yang tepat dan betul berdasarkan manhaj serta fikiran yang betul yang menepati kehensak al Quran dan Sunnah Nabi saw.

Prinsip ini telah dinyata dalam wahyu 1438H yang lalu. Namun, sering kita tidak berdisiplin dalam mengikutinya. Ambillah ibrah dari ayat ini.