Wednesday, July 13, 2011

Ayuhh!!!.....hidupkan SUBUH kalian!

Assalam semua....


Nukilan ini saya petik dari blog rakanku Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib Presiden I I-Medik Blog: Peduli Ummah ;


Jika kalian menginginkan  kekuatan jiwa, rohani dan fizikal....hidupkanlah Subuh kalian.....jika ini masih 'problematic' jangan harap kejayaan kan mendatangi kalian.......bahkan kejayaan semakin menjauhi kalian....jika inginkan kejayaan hidup, begitu juga kejayaan hakiki...hidupkan Subuh kalian....jika kalian perhati di masjid masjid dan surau surau...pada siangnya atau malamnya gegak gempita seruan mereka, hidup dengan segala macam aktiviti...akan tetapi dikala Subuh menjelma...hanya ada setengah baris dari 4,5 baris yg mendatangi Isya atau Magrib......lupakanlah soal meraih kejayaan perjuangan!!.....Justeru itu, serulah diri sendiri, ahli keluarga dan saudara mara serta jiran tetangga kalian...hidupkan Subuh!!.............ikutilah bicara yg dinyatakan oleh Dr. Zainur ini buat titipan kalian semua...ringkas tetapi penuh makna!!......alwi mohd yunus, tanggal 11 Syaaban 1432H
Waktu subuh adalah waktu perdana kepada kehidupan buat seseorang insan. Inilah waktunya apabila bermulanya kehidupan setelah insan mati buat sementara. Tidak menghairankan bahawa waktu subuh adalah salah satu daripada lima waktu solat yang wajib disempurnakan.
Waktu subuh hari adalah ujian kepada segala kekuatan. Kekuatan untuk bangun di awal pagi melepaskan diri daripada dakapan erat syaitan yang membisikkan, kekuatan untuk terus bingkas keluar dari litupan selimut hangat dan bantal empuk, malahan kekuatan untuk mengenakan air yang dingin ke muka, tangan, dahi dan ke kaki sebelum lantas bergerak ke tempat istimewa dan bermunajat bersama-sama insan pilihan Tuhan. Ini adalah kekuatan yang luar biasa yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja selagi dia mempunyai keinginan jiwa yang tinggi.
Perkara yang sama ini juga telah dijadikan indikator dan penanda aras kepada kekuatan generasi pejuang ketika berlakunya peperangan-peperangan besar di zaman yang terdahulu. Kekuatan kebangkitan dan kekuatan barisan ketenteraan bukanlah kepada fizikal dan persiapan kelengkapan semata-mata, malahan persiapan yang lebih penting ialah persiapan kekuatan generasi pejuang di dalam menagih simpati untuk menang daripada Ilahi.
Tidak hairanlah bahawa inilah penanda kekuatan yang telah digunakan oleh Solahuddin Al-Ayyubi dahulunya sebelum menang ketika mendepani kekuatan tentera Salib yang merupakan kesatuan gabungan ketenteraan daripada 22 buah negara-negara Eropah.
Tidak hairanlah juga bahawa soalan-soalan yang ditujukan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh mengikut urutan menggambarkan peringkat kekuatan seseorang. Lima waktu solat fardhu kemudian solat rawatib dan kemudiannya solat tahajjud. Di waktu penghujung malam sehingga subuh itu dijadikan indikator terakhir kepada kekuatan para pejuangnya. Tidak dapat dibayangkan di manakah kedudukan kita jika berada di dalam barisan tentera baginda al-Fateh. Mungkin juga kita dan barisan pemuda kebangkitan kini bakal berada di barisan tercorot sekali.
Di atas alasan yang sama inilah juga menyebabkan agen-agen KGV di Chechnya dan agen-agen Gaddafi di Libya akan menangkap pemuda-pemuda yang bersolat subuh secara berjamaah dengan keyakinan bahawa mereka adalah pemuda kebangkitan yang bakal menggegarkan kerajaan Russia dan Libya.
Setelah kau berkeringat menyiapkan semua kelengkapan. Setelah kau canangkan semangat ke seluruh negara. Setelah kau iklankan kepada dunia seluruhnya. Namun, jangan lupa untuk menagih simpati dan pertolongan daripada Pemberi Kemenangan yang hakiki.
Wahai teman seperjuangan! Sekiranya kita ingin memiliki kemenangan, jangan alpa dengan kekuatan yang ada pada waktu subuh, walhal terang dan nyata bahawa ianya merupakan petunjuk agung ciptaan Ilahi. Untukmu teman pejuang, inilah permulaan kepada semua kekuatan yang sebenar.
Ingatlah sumpahan Pemilik kepada segala kerajaan agar kita bisa meraih kemenangan.
Demi waktu fajr (89:1)

1 comment:

Izzah said...

Ermmm...rasa menggigil lutut...
kewajipan yg belum sempurna!