Showing posts with label pemikiran. Show all posts
Showing posts with label pemikiran. Show all posts

Saturday, May 16, 2015

Ku beli ESOK pada hari INI.....

Assalamualaikum wrt wbt...

Suatu hari....

Saya ungkapkan didalam hati -- tak mengapa wahai hati dan diri, aku sedang melabur masa dan keuntungan demi masa hadapan --- ku beli hari esok pada hari ini.

Nanti kan tiba saatnya aku kan tersenyum puas lalu saat itu mungkin mereka iaitu manusia akan berkata kepada ku untunglah kamu kerana engkau telah membeli masa mu saat yang lalu lantas engkau nikmati hasilnya hari ini.....Saat itu juga manusia kan berkata--untunglah dikau kerana keberhasilan yang kau raih hari ini.....

Lalu aku menjawab --ini kerana aku telah membeli hari ini di masa yang lalu--kalian tidak tahu betapa peritnya usaha membeli hari ini dimasa yang lalu--hanya aku yang mengerti bagaimana rasanya......lalu persoalannya mengapa kalian tidak melakukan perkara yang sama, sedemikian juga. Bermulalah....


Saat aku berhempas pulas membeli hari ini dimasa yang lalu--kalian dimana? Adakah kalian enak sahaja di rumah atau berseronok dimana mana---lalu hari ini salah kah jika aku ungkapkan bahawa aku ingin memberi hadiah buat diri ku dengan membelanjakan hasilan dari kutipan yang aku usahakan dimasa lalu?

....lalu bagaimana jika aku katakan kepada kalian, belilah masa dan hari hadapan dengan keringat dan usaha tanpa jemu atau lelah, ingatlah saat jiwamu merintih kapan harinya kan tiba buat mu lalu engkau katakan masanya akan tiba buat ku nanti kerana Tuhan tidak pernah menipu dalam firmanNya--sesungguhnya setiap kesusahan itu akan diikuti selepasnya dengan kesenangan....(Surah al insyiraah)

Sent from my iPhone

Thursday, June 20, 2013

Tugasan akademik dan diri!

Assalamualaikum wrt.wbt.

Minggu ni cukup sibuk dan sangat sibuk. Minggu terakhir untuk para pelajar, siswa siswi di fakulti ini menyerahkan tugasan akademik masing masing. Ia memang mencabar buat si pembuat dan si penerima. 

Saya sibuk meladeni mereka, sibuk melayani pertanyaan mahupun membuat semakan kualiti tugasan akademik para siswa dan siswi satu persatu. Ia suatu tekanan buat saya akan tetapi ia sudah menjadi tugas. Namun, terfikir juga, alangkah lebih baik jika para siswa siswi ini membuat persediaan sejak awal lagi, mengajukan pertanyaan sejak awal lagi......kita sangat kurang bertanya. Lalu apabila telah sesat, saat itu sibuk mencari panduang dan GPS untuk mencari jakan pulang.

Friday, December 21, 2012

Jom salahkan orang lain!

Salam ukhuwwah, salam Jumaat yang mulia....

Ungkapan dari seorang yang aku hormati malam tadi (aku juga senada dengannya dalam hal ini)...ia berbunyi hampir sebegini "kita tidak tahu dan selalu alpa bahawa kita lebih bernasib baik dari orang lain...." Ia ungkapan yang benar. Jika kita tidak susah dan tidak merasai kesusahan dan kepayahan, hatta betapa banyak atau sedikitpun kesusahan itu, kita sebenarnya tidak akan tahu betapa bernasib baiknya hidup kita ini selama ini.

Sedari atau tidak, kita telah kehilangan nilai "APPRESIASI" atau "RASA BERTUAH" yang sepatutnya diterjemah dalam bentuk kesyukuran kepada Allah swt. Kesyukuran ini pula diterjemah lanjutnya dalam bentuk pemikiran dan perbuatan. Adakah ada makna syukur atau bertuah itu jika seharian kita asyik mengeji dan sentiasa tidak berpuashati dengan kehidupan kita ini. Seharian kita 'marahkan' orang lain, itu tidak kena, ini tidak kena. Apakah sudah hilang 'kebaikan' langsung pada diri sifulan dan sifulan itu hingga hampir setiap hari kita terjemahkan kemarahan itu dalam bentuk makian, sinis, sindiran dan kejian! Apakah jenis manusia kita ini yang berbuat sedemikian?? Aku sendiri bimang jika sebegitu...aku bimbang jika sentiasa tidak berpuashati dengan keadaan lalu bersikap menyalahkan orang lain atas keadaan itu!

Ada beberapa persoalan yang berbangkit dari ungkapan sedemikian, antaranya;
  1. "Ramai orang lain dari negara lain berbondong bondong datang ke Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih baik, lalu KITA di sini mengungkap betapa teruknya kehidupan di negara ini..."....ini dalam konteks dan perspektif negara kita ini. Jika difikirkan sedalamnya, jika Malaysia ini teruk, tentu ramai orang tidak mahu datang ke sini mencari kehidupan yang lebih baik di sini! Akan tetapi mengapa kita masih fikir tanahair kita ini teruk?
  2. Jika kehidupan kita teruk, mengapa kita asyik menyalahkan orang lain? 
  3. Adakah dengan menyalahkan orang lain itu akan menyebabkan kehidupan kita lebih baik? 
  4. Adakah dengan menyalahkan orang lain itu akan menyelesaikan masalah kita?
  5. Adakah beralasan bahawa faktor ORANG LAIN itulah yang menyebabkan kehidupan kita teruk?
  6. Tidakkah kita fikirkan bahawa kehidupan kita menjadi teruk kerana kita sentiasa menyalahkan orang lain berbanding menyalahkan diri sendiri?
  7. Bagaimana proses MUHASABAH atau "mengira nasib diri" atau "belajar dari kesilapan diri" akan berlaku jika kita sentiasa menyalahkan orang lain, beralasan bahawa ia adalah sebab musabab orang lain lah yang menyebabkan kehidupan kita teruk? 
  8. Jika begini lah sikapnya kita ini, adakah kita ini umat ISLAM yang mendokong 'Khaira Ummah'? Adakah ciri ciri utama 'khaira ummah' ini ialah menyalahkan orang lain? 
  9. Khas kepada umat Islam di Malaysia....soalan saya ialah; Islamkah kita jika kita asyik menyalahkan orang lain?
  10. Jika 28 juta rakyat Malaysia dan 14@17 juta umat Islam Melayu di Malaysia ini masing masing menyalahkan orang lain berbanding menyalahkan diri sendiri, fikirkan suatu hari nanti, siapa lagi yang perlu dituding dan disalahkan untuk menanggung beban teruknya kehidupan sendiri? Justeru, bilakah kemajuan dunia dan ukhrawi akan dicapai jika begini sikapnya?
Jika kalian rasa bahawa menyalahkan orang lain itu adalah suatu perbuatan yang mulia, sesuatu yang sangat diseru, sesuatu yang sangat disaran oleh Nabi Muhammad saw maka saya seru JOM SALAHKAN ORANG LAIN!

Jika tidak sedemikian, JOM SALAHKAN DIRI SENDIRI, JOM MUHASABAH DAN PERBETULKAN DIRI SENDIRI...jika sedemikain, soalan diatas boleh diulang sekali lagi dan kali ini, kita ungkapkan bahawa ia SALAH DIRI SENDIRI, maka pembetulan, perubahan, hijrah diri perlu dibuat agar kehidupan menjadi lebih baik! ini tentunya sangat rasional kan??

Jadilah INSAN yang lebih menghargai nikmat, bersyukur dengan kehidupan, menghargai apa yang ada dan jangan diungkap kita orang yang bersyukur akan tetapi mulut, kata kata, perbuatan tidak sedemikian! 

Nota ini aku titipkan  untuk aku mengingati diri sendiri dan cuba untuk mengingatkan kalian! Perbetulkan tanggapan dan cara berfikir agar kita benar benar menjadi INSAN yang BERSYUKUR dan MENGHARGAI dengan apa yang telah DIA kurnia dalam kehidupan ini! Insyaallah!

Friday, December 14, 2012

Menumpukkan ganjaran!

Salam ukhuwwah...



Diri membentuk sikap, sikap lahir dari diri. Sikap setiap individu yang bergabung antara satu sama lain akan membentuk sikap masyarakat. Sikap masyarakat ini akan menjadi budaya, budaya ini punyai nilai tersendiri. Jika positif maka positiflah masyarakat atau kumpulan. Jika negatif, maka negatiflah natijahnya. Sikap yang positif wujud dari input yang positif. Jika input negatif, maka sikap negatif lah yang terbentuk.

Sikap diri ini juga yang memberi kesan kepada cara berfikir? Adakah sedemikian? Atau sebenarnya pemikiran membentuk sikap? Dari mana datangnya pemikiran? Sumber paling jelas ialah ILMU. Ia adalah input input pemikiran. Tanpa ilmu, maka pemikiran akan jadi jumud. Kejumudan ini membentuk sikap atau melahirkan kebodohan dan kejahilan. Walau apa teorinya, perlu diingat bahawa input itu penting dalam membentuk sikap dan pemikiran! Dari mana datangnya ILMU? Dari Allah jua ia datang dan kembali! Justeru, telusurilah wahyuNYA kerana ia terkandung segala macam ilmu yang membentuk pemikiran dan sikap.


Cuba sesekali perhatikan kenyataan dan 'posting' yang ada dilaman sosial seperti Facebook. Kalian akan terlihat beberapa aliran pemikiran atau kenyataan yang kalian boleh fahami sebagai manifestasi pemikiran dan sikap! Lihat kecenderungan, lihat gaya dan bentuk semua kenyataan tersebut! Mana yang positif? Mana pula yang negatif? Perhatikan dan buatlah pilihan! Pilihan sentiasa ditangan kalian! Jika pilihan yang baik dan mengutamakan kebaikan, maka akan tercernalah sikap dan pemikiran yang baik, manakala sebaliknya!

Ada sesetengah pemikiran terpencar sebagai sikap yang selalu bergantung, sikap yang selalu menyalahkan keadaan atau orang lain! Ini budaya tidak sihat! Apa sebabnya? Harus diingat, apa yang kita ungkapkan dilaman sosial akan menjadi tatapan orang lain, dan akhirnya kesan darinya akan turut membentuk pemikiran orang lain! Jika input kita positif, maka orang lain akan turut terkesan dengan sikap positif tersebut manakala sebaliknya. Justeru, jika kita memberi kenyataan negatif sentiasa, itu ertinya pada masa yang sama, kita turut mengajak. membawa, memberi input negatif kepada orang lain! Soalan saya BERDOSA atau TIDAK kah tindakan kita sebegitu? Berdosakah kita jika kita memberi input negatif, lalu input tersebut turut menyebabkan orang lain turut menjadi negatif! Tentunya kita berdosa, lalu dosa itu terus menjadi rantaian yang tidak putus apabila orang lain tersebut turut memberi dan menyambungkan kenyataan negatif tersebut kepada orang lain....akhirnya, berganda gandalah dosa yang kita sebarkan melalui laman sosial! Siapa yang rugi??? Sebaliknya jika input positif kita sebarkan, lalu ia akan turut sama menjadi berganda ganda seperti mana dosa juga turut berganda!

Harus diingat, KITA ADALAH APA YANG KITA BERI DALAM KEHIDUPAN INI....jika kita lontarkan najis, maka percikan najis tersebut akan terkena kepada diri, jika kita lontarkan kebaikan, maka kebaikan jugalah yang mendatangi diri! Mengapa perlu kita menyalahkan keadaan kehidupan yang berlaku, musibah yang berlaku dengan menyalahkan orang lain walhal tidakkah kita ingat bahawa mungkin suatu ketika dahulu kita pernah melontarkan kekejian perbuatan, sikap dan tingkah laku malah tuturkata, lalu "percikan" lontaran itu tiba pada hari ini, terkena pada diri sendiri! Apakah kita lupa?? Ya...manusia mudah lupa! Manusia mudah menyalahkan keadaan, mudah menyalahkan orang lain berbanding menyalahkan diri sendiri lalu saat menyalahkan diri sendiri itulah manusia perlu langsung bermuhasabah dan membuat pembetulan yang sepatutnya agar perkara sama tidak berulang! Ini isu paling asas sekali dalam kehidupan kita! Apakah kita lupa???

APA YANG KITA DAPAT PADA HARI INI ADALAH APA YANG KITA 'TANAM' PADA MASA LALU.....what we sow we will reap! Sowing the best and so reaping the best in life! Apa yang perlu dilakukan ialah membentuk dan menjadi KHALIFAH kepada DIRI sendiri.....bangkitkan khalifah jiwa dalam diri...kalian kan ketemu bahagia!

Sekadar lontaran di pagi Jumaat ini......


Friday, November 23, 2012

Bayang bayang....

Salam ukhuwwah!

Sepagi Jumaat ini aku tiba tiba tersedar dan teringat akan ungkapan suatu kata kata yang pernah ku baca suatu ketika dahulu....."JIKA ENGKAU MENGEJAR BAYANG BAYANG, TIDAK MUNGKIN ENGKAU AKAN MENDAPATNYA, AKAN TETAPI JIKA ENGKAU BERPALING DARINYA, SUDAH TENTU BAYANG BAYANG AKAN MENGEJARMU".....

Inilah keberkatan Jumaat...sekurang kurangnya aku terpanggil untuk bicara tentang ungkapan di atas. Sesungguhnya benarlah adanya bahawa dalam kehidupan kita di dunia ini, tidak dapat tidak, kita perlu cetusan! Cetusan cetusan inilah yang merangsang daya pemikiran! Apalah kita ini jika hanya hidup tanpa punya pemikiran? Pemikiran inilah yang akan menentukan pemahaman diri terhadap kehidupan, lantas membentuk tindakan tindakan khusus dan memberi makna dalam tindakbalas tindakbalas tertentu terhadap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan sehari hari.

Justeru, aku termenung panjang memikirkan ungkapan diawal mula nukilan ini. Maaf, aku sudah lupa siapa yang mengungkapnya namun ia sangat benar benar bermakna bagiku! Ia adalah manifestasi kefahaman seorang insan terhadap kehidupan dan isi dunia ini. Si fulan itu merujuk ungkapan itu kepada kaedah kita meladeni kehidupan dan dunia ini. Dengan kata lain, jika kehidupan ini berupa sesuatu yang sentiasa kita kejar, maka kita tidak akan dapat sekalipun untuk memilikinya, manakala sebaliknya jika kita fokuskan inisiatif diri terhadap amalan dan ibadah kepada Yang Esa....kalian akan melihat bahawa dunia akan mengejar kalian...di saat itu, dunia menjadi sudah tidak bermakna kerana manisnya ibadah kepada Yang Esa itu mengatasi segalanya.

Aku pernah membiarkan diriku mengejar bayang bayang itu.....suatu ketika dahulu! Tiada apa pun yang aku capai! Aku membazirkan umurku hanya untuk menghabiskan tenaga mengejar bayang bayang! Ia sangat dekat namun tidak tercapai! Kini aku rasa rugi, aku sudah kehabisan sisa umur! Alangkah ruginya aku, walhal banyak peluang yang ada itu jika aku tujukan buat mengejar akhirat....tidakkah aku beruntung?? Ia seolah olah aku sedang membuat suatu pusingan besar dalam kehidupan ini lagi sekali. Walhal, jika awalnya aku membuat pusingan itu, tentulah aku orang yang beruntung hari ini (ini sekadar anggapan). Namun hakikatnya, mungkin inilah ibrah yang DIA mahu beri kepada diri ini agar mampu bermuhasabah dan menyesali perkara sia sia yang berlalu itu lalu memperbaiki dalam saat dan masa yang tersisa. Jika tidak demikian mana mungkin seruan hijrah akan dapat disahut?? Itulah pengajaran yang sebenarnya. Suatu pengajaran yang sangat mahal harganya. Ia menghabiskan separuh dari usiaku hanya untuk memahami pengajaran dan ibrah kehidupan ini.

Aku tidak sesal, cuma sedikti terkilan namun aku cukup mengerti, demikianlah Rabbku mengajarku erti kehidupan. Demikianlah jua DIA membimbingku dengan caranya sendiri. Aku yakin, perkara yang sama juga berlaku terhadap kalian. DIA sebaik baik perancang! DIA merancang dalam cara yang tidak dapat kita fikirkan! Wajib kita pasrah dan redha terhadap segala ketentuanNYA. Segalanya berlaku dengan kehendakNYA. Apa yang kita kita kehendaki tidak semestinya terjadi dan kehendakNYA jualah yang pasti akan terjadi! Itulah sikap yang sebenar dan sepatutnya kita fahami!

Jika dikejar bayang bayang itu, tidak mungkin kita kan mendakapnya! Justeru, berpalinglah dari bayang bayang dunia, kerana dunia ini umpama bayang bayang buat insan! Ia sementara, ia nampak indah dan rupawan namun hakikatnya, kesementaraan dunia itu menyekat keindahan! Apa ertinya keindahan dan kenikmatan dunia ini jika ia sementara. Ia tidak kekal, bahkan keindahan yang serupa malah berkali ganda lebih baik akan tetapi KEKAL sifatnya kan kita temui di akhirat kelak! Tidakkah benar, yang kecantikan akan pudar? Tidakkah benar yang baharu itu akan jadi buruk dan luput. Yang muda akan jadi tua? Justeru dimana KEKALnya sifat itu?? Cuba fikirkan, yang muda akan terus muda, yang cantik akan terus cantik malah sentiasa lebih cantik, yang indah akan selalu indah malah lebih indah sentiasa.....bukan di dunia ini, akan tetapi di akhirat kelak! Itulah tawaran yang TERBAIK dari Illahi! Fikirkan! Pilihlah! Perkara inilah yang telah diajar dan ditunjukkan dengan fikiran dan perbuatan oleh Nabi saw 1434H dahulu! Pilihan inilah yang menjadi role model untuk kehidupan kita! Berubahlah dari perkara buruk kepada yang baik, dari perkara baik kepada yang lebih baik! Ini kerana hijrah ialah manifestasi keimanan yang sentiasa diperbaiki!

Pilihan ditangan kita...kita yang menentukan apa yang kita pilih manakala pilihan pilihan yang berbagai rupa itu ada di depan mata yang dikurnia buat manusia! Hanya sanya kita perlu memilih yang kekal selamanya berbanding memilih yang indah akan tetapi sementara sekali sifatnya! Sentiasa muhasabah diri! Sentiasa fikirkan dan imbau apa kesilapan dan kesalahan yang telah kita lakukan di dunia ini! Hadirkan penyesalan lalu ubahlah langkah...lakukan TRANSFORMASI HIJRAH DIRI demi fitrah, demi sunnah dan demi amanah!

Jom Hijrah!

Tuesday, August 14, 2012

Bersatu dek fikrah dan pemikiran yg sama!

Salam ukhuwwah...

Aku termangu memikirkan soal ini...kufahami bahawa kita berada dizaman yang sangat mencabar pemikiran dan kewarasan pemikiran! Natijah dari pembacaan dari buku Sejarah Pemikiran dan Tamadun Islam siri 1, oleh Dr. Sulaiman Noordin telah membuatkan aku mengambil daya usaha untuk menganalisa dan muhasabah, lalu ku kongsikan cebisan darinya buat tatapan kalian!

Sebenarnya aku tercari cari jawapan mengapa berlaku dengan berleluasa pertentangan pendapat dan pemikiran yang sangat menjelekkan berlaku didalam masyarakat kita dan umat Islam di nusantara ini! Bahkan pertentangan pendapat ini sangat remeh dan terlalu menjurus kepada perpecahan! Emosi dan kebencian bercampur aduk dengan justifikasi dan pendapat. Ini sebenarnya trend yang tidak sihat kerana ia menjurus kepada perpecahan ummah yang melahirkan kecenderungan berpuak puak antara sesama saudara Islam. Satu pihak ingin memenangkan pihaknya sendiri, dan sebaliknya! Asas kepada persamaan dan nilai nilai bersama tidak diambil kira sebagai faktor kawalan terhadap kecenderungan melewati adab adab perbezaan pendapat! Ini sangat mengecewakan!

Ketahuilah, saya mengingatkan diri sendiri dan teman teman semua, paksi dan hakikat sebenar pemikiran dan pemahaman ilmu hendaklah@mesti bersandarkan kepada Allah swt terlebih dahulu....bukan kebebasan rasionalisasi pemikiran dan logik akal! Bahkan logik akal dan rasional pemikiran tetap perlu bertunjangkan kepada ketauhidan kepada Allah swt, tidak boleh tidak. Jika kita sentiasa sedar dan faham bahawa ketauhidan dan ketaqwaan kepada Allah dan Rasulnya itu menjadi tunjang kepada bagaimana pemikiran itu terbentuk, nescaya hilanglah kepentingan peribadi, kecenderungan pemikiran yang diselaputi emosi dan perasaan....lalu akan lebih jernih dan bermaknalah sesuatu perbincangan lalu menghasilkan ibrah yang lunak dan berhikmah yang memberi kesan bermakna kepada sesebuah masyarakat. Sebaliknya, jika idea dan pemikiran lahir hanya semata mata dek nilai kreativiti logik akal dan rasionalisasi pendapat sendiri tanpa tunjang dan paksi kepada paradigma Tauhid kepada Allah, pasti ia menatijahkan perbincangan yang tumpul lantas longlai yanh hanya menghasilkan perbezaan pendapat penuh emosi dan kebencian serta berpuak puak!

Atas dasar dan prinsip inilah, hendaklah kita bersikap terbuka, sedarilah hakikat bahawa pendapat dan pemikiran serta ilmu perlu berpaksikan tauhid kepada Allah yang Esa....jika tidak, ia hanya menjurus kepada perbincangan yang jelek dan menjijikkan. Inilah yang berlaku dewasa ini. Hanya kerana masing masing begitu jumud, taksub terhadap aliran aliran tertentu, maka keterbukaan tidak wujud, kebencian hanya kerana perbezaan pendapat semakin meluas, semangat berpuak puak semakin membara lalu masyarakat dan umat Islam semakin melebar jurang perpecahan berbanding penyatuan.

Sebagai contoh, jika kumpulan A tidak setuju dengan kumpulan B, maka sesiapapun dari kalangan kumpulan A atau B, malah para pengikutnya, akan bermati matian memenangkan, menyokong, membela dan menjustifikasikan segala macam fakta dan pendapat yang cenderung kepada kumpulan masing masing. Itu belum lagi jika wujud kumpulan C, D, E dan seterusnya! Tidakkah perbezaan pendapat itu menjadi rahmat buat umat Islam, akan tetapi dewasa ini, ia menjadi sebaliknya! Mengapa sedemikian? Ini kerana masing masing tidak memahami semangat perbezaan pendapat untuk mecapai kebaikan sesama! Masing masing punya objektif dan tujuan tersendiri, eksklusif untuk pihak masing masing, samada kepentingan sendiri atau kepentingan kumpulan masing masing! Ini menjadi masalah dan barah kepada usaha penyatuan ummah! Disiplin ilmu tidak dihormati dan dijunjung tinggi. Masing masing menegakkan pendapat dan pendirian masing masing sewenang wenangnya, tanpa ada rasa tanggungjawab dan keterbukaan. Ini dicanang pula melalui laman web, blog, media sosial yang dipanggil sebagai 'media baru'. Lalu ia diikuti oleh jutaan pengikut maya, samada fitnah yang tersebar, fakta yang tidak benar, cerita cerita gossip, tanpa kesahihan dan keabsahan fakta, lantas membentuk dan mempengaruhi pemikiran, menumbuhkan sentimen sentimen, sangkaan sangkaan buruk, fitnah fitnah yang merosakkan, cerita cerita 'panas' yang mengaibkan....ia benar benar merosakkan masyarakat dan umat Islam.

Justeru, berhati hatilah, dalamilah ilmu, fahamilah prinsip dan ketahuilah adab apabila berhujjah dan memberi pendapat@menyebarkan maklumat, jangan sewenangnya kita menyebarkan maklumat tidak benar, maklumat yang mengaibkan dan menjelekkan walau dipihak mana sekalipun. Berhujjahlan untuk mencapai kebaikan dan menyelesaikan masalah dan bukannya meraih sokongan dan membenci pihak 'lawan'. Jauhilah kepentingan peribadi dalam apa jua perkara sekalipun. Jangan jadi penyebar fitnah yang merosakkan pemikiran dan perpaduan! Bersangka baiklah, tutuplah aib orang! Jika tiada sesiapa memulai ini, maka ia akan berterusan sebegini! Sampai bila kita akan memburukkan saudara kita sesama! Kembalilah kepada usaha nasihat menasihati dan dakwah sesama dengan cara yang paling berhikmah! Insyaallah kita akan terpelihara dari murka Allah jika kita mematuhi prinsip dan adab adab apabila berbahas dan berhujjah...raikan perbezaan pendapat dan berusaha untuk menambahkan nikmat dan kebaikan dalam perbezaan pendapat.

Ketahuilah bahawa perbezaan pendapat bukan satu jalan untuk satu pihak menang ke atas pihak yang lain, sebenarnya ia satu jalan untuk kita sama sama berpadu bagi menutup kelemahan dan kekurangan agar kekuatan dapat dijana demi kebaikan semua dan kebaikan umat Islam seluruhnya! Ameen....

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.



Monday, July 2, 2012

Melihat sahaja atau melakukannya!

Salam ukhuwwah,


Apabila berpersatuan, kita melihat dari aspek kerjasama dan komitmen tidak berbelah bagi. Terutamanya pengisian program yang dijalankan oleh pihak persatuan atau kelab. Jika tiada kerjasama erat dari ahli dan pihak AJK, program yang dijalankan akan jadi caca merba dan kelam kabut. Tambahan pula jika AJK yang terlibat menganjurkan persatuan itu bertindak atas dasar sukarela dan secara 'part time'. "Kerja kerja sebegini adalah umpama kerja Nabi" ujar seorang teman. Aku tanya "Kenapa gitu". "Iya la. dah la tak de gaji, tak de apa ganjaran sekalipun melainkan kepuasan dan pahala dari Allah, idak itu umpama kerja Nabi" jawab sang teman!


Aku termangu sebentar mendengarkan jawapan sang teman sebegitu. "Betul juga" ujarku! Ada kebenaran fakta sedemikian sebab para Nabi mendukung dakwah Islam tanpa ada harapan balasan duniawi melainkan redha Allah swt semata mata. Lamunan ku memanjang kepada apa yang sedang aku lakukan ketika ini! Tanpa ada komitmen, tanpa kerjasama untuk mendukung program dan aktiviti, maka kucar kacir lah program yang yang hendak dilakukan. Untuk mendapatkan penyertaan satu hal, untuk membuat pengisian sesuatu program satu hal lagi. Semuanya perlu dilakukan bersama. Ia tidak boleh dilakukan sendiri sendiri atau sekadar 2, 3 orang jika saiz programnya besar. Semua mesti bersatu hati untuk menjayakannya. Jika yang dicari ialah kelemahan, pasti akan ketemu segala macam kelemahan yang ada. Namun, jika sama sama turut mendukung dan menjayakan program, insyaallah ia akan berlangsung dengan jayanya.


Bagi yang mengusahakan sesuatu program, ia bukan kerja mudah, tambahan pula jika tiada bantuan dari rakan rakan dan teman teman. Banyak perkara perlu dipersiapkan terlebih dahulu. "Sakit kepala memikirkan soal bajet, soal pengurusan program, 'manpower' dan sebagainya" kata temanku. Tambahan pula jika para AJK itu bertindak atas dasar sukarela, bukan sepenuh masa mengerjakannya. Aku boleh memahami situasi sedemikian, akan tetapi bagaimana mahu memahamkan orang lain? Aku pernah bekerja dalam satu organisasi swasta dan dibayar gaji setiap bulan khusus untuk menjadi pengurus program bagi segala macam persidangan, bengkel, kursus, program motivasi, hari keluarga dan sebagainya, dan alhamdulillah ia berjalan dengan lancar kerana itulah kerja khusus aku! Aku fokus dalam melaksanakannya. Segalanya dilakukan dalam satu kumpulan profesional yang tahu dan mahir tentang hal ehwal menganjurkan sesuatu program.


Namun, aku tidak lagi bekerja di organisasi tersebut, namun kerana minat dan usaha untuk memajukan masyarakat, aku terlibat secara sukarela dengan satu kelab yang menyatukan anak rantau yang bekerja dil luar dari kampung halamanku. Ia benar sukarela dan usaha untuk menjalankan aktiviti aktiviti bermakna sangatlah sukar kerana 'ramai yang pandai' yang hanya tahu mengkritik itu dan ini akan tetapi tiada sumbangan untuk terlibat menganjurkannya. Menjadi peserta mudah, walau ia tidak semudah yang dikatakan, namun mengusahakannya sangatlah sukar! Sampai suatu tahap, aku memikirkan dan membuat analisa tentang seluruh trend dan sikap kita dalam berpersatuan....analisa ini mengambilkira sikap dan pemikiran bangsa kita sendiri.....antaranya ialah:


1) Ramai yang hanya bijak dan pandai menuding jari jika berlaku kelemahan dan kekurangan dalam sesuatu aktiviti dan program. 


Aku tiada masalah dengan segala macam komen, cemuhan dan kritikan namun biarlah berasas! Memang kelemahan itu diakui, dan sebolehnya tidak mahu diulangi lagi, namun puncanya juga harus dikenal pasti. Jika yang ke hulu ke hilir, menguruskan itu ini, mendapatkan sponsorship, menyiapkan hadiah, mengusahakan pengisian program, jamuan makan dan persiapan dewan hanya dilakukan oleh tidak lebih dari 4 orang dengan segala macam kos logistik dikongsi dan ditanggung oleh 4 orang tadi (kerana ia sukarela, boleh dimasukkan kedalam bajet namun ia tidak realistik kerana akan menyebabkan kos pengurusan semakin meningkat), sedangkan program itu berskala besar yang melibatkan hampir 1500 orang jemputan termasuk VVIP, VIP, peserta dan orang kampung, natijah risikonya amatlah besar. Sebarang kesilapan mudah berlaku, tambahan pula ia dilakukan di kampung halaman walhal pihak AJK berada di Lembah Kelang yang jaraknya sekitar 150km...bayangkan betapa banyak penyelarasan yang perlu dilakukan. Walaupun usaha dilakukan, wawaran dibuat meminta bantuan para sukarela dan sesiapa lagi yang sanggup bekerjasama, namun ia umpama "di angin lalu"....tidak ramai yang mahu terlibat, tidak ramai juga yang mahu memberi input sekurang kurangnya! Ramai yang hanya mahu menjadi peserta semata mata, itupun sangat sedikit yang ambil tahu dan mahu menyebarkan maklumat dan menjemput teman teman lain terlibat sama.


2) Tahap kesukarelaan sangat rendah.


Orang kita sudah semakin kabur tahap kerjasama, semakin menjarak semangat gotong royong dan semakin pesimis sikapnya. Apabila ada usaha penyatuan mahu dilakukan, kesatuan dalam melaksanakan dan menjayakan sesuatu program dan aktiviti, kita punya tahap rendah dalam memberi kerjasama. Tidak ramai yang mahu 'ringan tulang' membahu amanah dan kerja yang perlu dilakukan. Ini berbeza dengan bangsa bangsa lain, tahap perpaduan mereka lebih tinggi. Sikap mereka lebih positif. Bukan kelemahan yang dicari akan tetapi usaha untuk meningkatkan kualiti penganjuran dan menutup kelemahan yang dicari! Bangsa kita suka cari kelemahan, sibuk mencari kekurangan, sangat teruja untuk melihat kesilapan dan 'menelunjuk' kesilapan itu umpama mencari 'kambing hitam'. Sikap tidak profesional ini membejatkan usaha penyatuan dan perpaduan! IA JUGA LAMBANG TAHAP DAYA FIKIR DAN KEINTELEKTUALAN KITA. Inilah kebejatan yang sebenarnya. Sebagai contoh; jika si A buat, maka si B akan berfikir apa keuntungan kepada dirinya, lalu menganggap bahawa si A ada matlamat dan cita cita lebih besar! Ini pemikiran yang silap kerana kepentingan peribadi menjadi neraca penilaian oleh si B, 'anggapan anggapan melampau' menjadi asas kepada usaha kerjasama itu! Tentunya ia sifatnya sangat sementara dan rapuh! 


Adakah bila ada imbuhan baru kita mahu bekerjasama? Ini sangat merosakkan bangsa dan negara! Benar, jika kebetulan ada imbuhan yang diberi, ia suatu penghargaan, namun jangan dijadikan imbuhan sebagai asas kepada kerjasama. Niat kena betul dahulu. Tidak boleh menjadikan imbuhan sebagai pra syarat untuk bekerjasama atau matlamat utama, kelak ia akan menjadi barah yang merosakkan! Lihatlah kepada matlamat yang lebih meluas berbanding kepentingan peribadi. Hilangkanlah sangkaan sangkaan buruk yang merosakkan perhubungan. Hilangkanlah kritikan kritikan yang tidak membina atau kritikan yang tidak berasas. 


Sebenarnya sesiapa sahaja boleh memberi kritikan, akan tetapi hendaklah si pengkritik itu telah melakukan apa yang perlu terlebih dahulu agar apa yang sedang dikritikkan olehnya tidak berlaku, hendaklah si pengkritik itu telah berusaha membantu menjayakan sesuatu perkara, dan jika ia tetap juga berlaku, maka saat dan ketika itu, aku sendiri akan memikul beban kritikan itu kerana aku setuju dengan caranya. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah, si pengkritik hanya berpeluk tubuh, tidak melakukan apa apa, lalu lantang berbicara jika ada sesuatu yang tidak kena. Ini sikap yang tidak adil sebenarnya! Bagaimana bangsa akan jadi cemerlang jika hanya pandai mengkritik sahaja!


Cuba fahami apa yang saya cuba nyatakan dengan slot powerpoint ini!


http://www.slideshare.net/apanitsch/the-management-rowing-race

Namun, secara peribadi, aku akur dengan kelemahan dalam penganjuran program yang aku dan teman teman lain usahakan. Ia tidak sempurna dek kerana kekangan kekangan yang timbul, antaranya; 


1. Hanya sebahagian kecil sahaja yang sanggup jadi sukarela, tidak lebih 6-7 orang walau jemputan dan wawaran dibuat untuk turut sama, sibuk melakukan tugas dan kerja hakiki (kerja sendiri@makan gaji) sambil berusaha menjayakannya program ini. Dan dengan jumlah yang kecil itu, kumpulan ini berusaha mendapatkan bajet, membuat kertas kerja, mengatur tarikh, mendapatkan penyumbang dan 'sponsor' untuk hadiah, menguruskan tempahan makanan untuk beberapa sesi (pagi, petang dan jamuan makan malam di beberapa lokasi), menguruskan dan menyelaraskan pengisian program, tempahan dewan, menyediakan aktiviti aktiviti, menguruskan penghantaran hadiah ke lokasi akhir dimana kemuncak program diadakan, tempahan sticker dan t-shirt, mendapatkan penyertaan, mengkoordinasikan pihak pihak lain yang terlibat dalam program, menempah makanan dengan 2,3 pihak, menyusun dan memastikan bajet tidak meningkat dan berada pada kadar minimum, menguruskan 'rehearsal' program, dan juga menguruskan susun atur dewan.
2.  Dengan jumlah sukarelawan yang amat sedikit, dan kehendak program yang perlu disusun sedemikian rupa, ia membabitkan urusan logistik yang sangat besar. Ini menimbulkan keadaan kekangan.
3. Penyelarasan yang dibuat tidak dipatuhi oleh pihak pihak lain, dan ini menyukarkan keadaan.
4. Kekangan bajet dan urusan mendapatkan tajaan mengambil masa dan tenaga yang banyak.


Justeru, aku dan teman teman akur akan ketidaksempurnaan dan kelicinan program yang dianjurkan! Harap ia tidak menjadi kekecewaan yang bersangatan kepada semua pihak. Tujuan utama program ialah untuk beramah mesra, menjalin ukhuwwah dan bukan mencari permusuhan mahupun menonjolkan kelemahan dan kekurangan. Tiada penganjur yang mahukan perjalanan program menjadi caca merba dan kelam kabut. Sebolehnya pihak penganjur mahukan perjalanan program yang terbaik untuk semua! Justeru, jika ada kelemahan, lihatlah kepada kelebihan dan perkara positif yang berlaku berbanding perkara negatif! Sebagai penganjur, aku dan teman teman memohon maaf, dan akan cuba memperbaiki segala kelemahan di masa masa akan datang. 


Harapan kami agar para peserta dan ahli semua agar lebih bersikap proaktif dan menyokong program program sedemikian dimasa masa akan datang! Marilah sama sama turun padang dan bergabung tenaga! Harus diingat, kelab dan persatuan ini adalah untuk kita, dan kitalah yang menjayakannya mahupun meruntuhkannya, bukannya orang lain!



Monday, January 16, 2012

Jika kalian melihat dari LUAR!

Salam ukhuwwah!


Jika kalian pernah bermusafir, keserata tempat di alam ini, samada ke luar negeri mahupun hanya didalam negeri sahaja, pasti akan kalian akan ketemu beberapa insiden yang menjengah hati nurani....ada sesetengah dari kita, yang membiarkan ia berlalu tanpa mengambil 'ibrah' mahupun pengajaran, yang pasti sikap sedemikian amat merugikan kerana 'ruh dan jiwa' musafir ialah untuk mengambil 'ibrah' dari titipan pengalaman yang dikutip disepanjang jalan musafir.....ada pula yang mengambil 'ibrah' dari laluan pengalaman yang ditempuhi, sesungguhnya, dia orang yang beruntung...kerana proses mengambil 'ibrah' ini penting agar proses hijrah diri atau memperbaiki diri dapat dilakukan secara terus menerus! Ingatlah, terkadang ALAM yang mengajar kita! Hanya sanya kita mahu atau tidak mengambil 'ibrah' dari pengalaman alam itu!


Ada banyak ibrah namun dalam sesi kali ini saya hanya mahu fokus kepada satu aspek 'ibrah' iaitu pengalaman menjadi Mukmin/Muslim yang bermusafir!


Persoalannya, pernahkah terfikir mengapa Islam tidak dihormati? Pernahkah terfikir mengapa orang bukan Islam memandang remeh kepada kita orang Islam? Pernahkah mengalami pengalaman bagaimana Islam itu diamalkan di daerah majoritinya bukan Islam! Jika persoalan persoalan ini tidak terlintas difikiran kalian, maka sebenarnya kalian perlu keluar dari kepompong sendiri, perlu melakukan explorasi di dunia lain, kelak kalian kan mengetahui pengalaman pengalaman itu! Kita sudah terlalu lama duduk dalam suasana sendiri, bergerak dalam kelompok sendiri sehingga kita tidak mampu melihat dari kacamata LUAR bagaimana kita ini!


Islam ini mudah....laksanakan apa yg disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang...memang sukar melakukan buat pertama kali kesemuanya yang diperintahkan, justeru perlu ada proses pentarbiahan diri, perlahan lahan buat mana yang mampu, dan semakin hari sentiasa dipertingkatkan. Ia dilakukan dengan proses mencari ilmu, menambah ilmu, memperkembangkan ilmu. Bukan melalui proses ikut ikutan semata mata dari mula hingga usia dan umur meningkat tua. Ingatlah bahawa wahyu pertama ialah gesaan yang kuat untuk menuntut ilmu, "iqra" iaitu "bacalah" sebanyak 3 kali! Betapa menuntut ilmu amat digesa! Jika sudah tahu, maka dalami lagi, ia perlu sentiasa berkembang! Jika malas membaca, maka hadiri majlis ilmu! Apapun tidak dapat tidak, perlu berusaha untuk belajar, terus membaca buku buku, kitab kitab dalam usaha pencerahan! Jika malas membaca, maka kejumudan akan melanda pemikiran dan itu membuahkan pemikiran dan tindakan yang jumud, tidak terbuka, lalu tentunya ia terpercik kepada orang lain. Hanya kerana kita bersikap dan berfikiran jumud, maka tindakan tindakan kita juga akan menjurus kepada perkara perkara yang jumud dan pada wkatu yang sama orang lain juga 'terpengaruh' dengan kejumudan kita! Ditambah pula kesukaan kita untuk melahirkan idea dan pendapat kejumudan melalui laman sosial seperti Facebook dan sebagainya, lalu dibaca oleh orang lain, tentunya asimilasi kejumudan itu merebak kepada orang lain. Secara tidak langsung, kita memulakan proses secara tidak disedari untuk menjebak orang lain untuk turut sama jumud, sejumud fikiran kita! Disinilah masalahnya!


Oleh itu, perlu sentiasa berlaku proses pencerahan melalui tarbiah diri dengan ilmu! Dalami konsep yang sedia ada difahami, galilah ia didalam rujukan rujukan, didalam kitab kitab "MUKTABAR" yakni kitab kitab atau buku buku yang sahih! Tidaklah maksud saya hanya semata mata belajar melalui buku sahaja kerana ia juga konsep yang sempit dalam proses menuntut ilmu! Perlu juga berguru, 'fas aluu ahlaz zikri in kuntum laa taklamun'...tanyalah orang yang tahu jika kamu tidak tahu...tanya dahulu, sahkan dahulu baru buat! Bukan buat dahulu kemudian muncul 'tidak pasti' lalu bertanya!....


Justeru, apabila bermusafir, maka akan terjadi proses proses praktikal amalan dan ibadah di sepanjang musafir, maka lakukanlah dengan ilmu, bukan membabi buta! Pada waktu yang sama, kalian akan mengalami dan mendapati perbezaan perbezaan perlaksanaan, maka disitu akan timbul persoalan persoalan! Segala persoalan ini perlu pencerahan, boleh sahaja dirujuk kepada yang pakar, ilmuwan atau merujuk kitab kitab muktabar! Saat itu, kalian akan memahami bahawa bukan hanya kita malah orang lain melakukan dengan kaedah dan cara tersendiri, mesti ada hujjah, mesti ada dalil, mesti ada nas! Disitulah lahir pemahaman, lalu pertentangan pendapat dapat dilayan dengan sebaik dan seadilnya. Kita bina jambatan dan duduk dijalan yang tengah! Itulah wassatiyyah namanya! Maka, rajin rajinlah melihat dari luar berbanding terkongkong dalam dunia sendiri! Insyaallah!!!