Assalamualaikum wrt.wbt.
Minggu ni cukup sibuk dan sangat sibuk. Minggu terakhir untuk para pelajar, siswa siswi di fakulti ini menyerahkan tugasan akademik masing masing. Ia memang mencabar buat si pembuat dan si penerima.
Saya sibuk meladeni mereka, sibuk melayani pertanyaan mahupun membuat semakan kualiti tugasan akademik para siswa dan siswi satu persatu. Ia suatu tekanan buat saya akan tetapi ia sudah menjadi tugas. Namun, terfikir juga, alangkah lebih baik jika para siswa siswi ini membuat persediaan sejak awal lagi, mengajukan pertanyaan sejak awal lagi......kita sangat kurang bertanya. Lalu apabila telah sesat, saat itu sibuk mencari panduang dan GPS untuk mencari jakan pulang.
Saat ini, bertali arus yang datang menemui saya di bilik. Bertanya itu ini. Bagaimana itu dan ini, mengapa itu dan ini. Ada yang bertanya pula apa yang sebenarnya saya mahukan. Maaf, bukan apa yang saya mahukan akan tetapi ia semuanya berkenaan kehendak serta keperluan kursus. Ia tetalah ditetapkan. Mengapa? Tujuan penetapan keperluan kursus ialah supaya para pencinta ilmu dan pengejar ilmu kan berjaya menguasai apa yang sepatutnya menjadi objektif sesuatu kursus atau subjek yang diambil. Ia bukan dilakukan secara sembrono. Ada sebab dan musababnya.
Ada pula yang mengadu masalah dan meminta masa suapa ia dilanjutkan. Saya mengambil pendekatan memahami apa masalah tersebut, adakah ia bersifat alasan semata mata atau ia adalah kesulitan yang berlaku yang tidak boleh dikawal. Selalunya masalah berlaku apabila sesuatu kerja itu tidak diselesaikan dan dilakukan atau dimulakan sejak dari awal semester. Itu sikap DIRI. Kita adalah apa yang kita fikir. Jika kita fikir TANGGUH maka hasilannya ialah PENANGGUHAN. Kualiti kerja tercalar mahupun hasilan yang tidak menepati kriteria yang diperlukan.
Hakikatnya, masalah adalah cabaran, ia boleh dielak jika kita waspada dan merancang dengan sabiknya dengan lebih awal. Jika tidak ia hanya berupa caca merba yang melingkungi dunia setiap siswa siswi dihujung setiap semester. Lalu bagaimana mungkin keputusan dan pencapaian akan gemilang. Namun, dari segi lain, ada juga masalah yang diluar kawalan. Ini adalah sesuatu yang tidak dijangka.
Jika beralasan bahawa tidak tahu bagaimana memulai sesuatu tugasan, maka gambaran kualiti SIKAP DIRI yang positif dan cemerlang ialah, ia tidak mendiamkan diri, tidak menangguhkan malah mengambil inisiatif untuk bertanya. Tidakkah kunci ilmu itu ialah BERTANYA....ya benar, kalian bertanya, akan tetapi kalian bertanya dihujung semester, bukan di awal semester. Pertanya kalian pula berbondong bondong di ungkap kepada yang disoal lalu jawapan yang diberi itu menjadi berulang ulang. Sebab itulah amat digalakkan bertanya di dalam kelas supaya jawapan yang diberikan mampu memberi kefahaman kepada si Penanya dan juga orang lain agar proses mengulangi jawapan serupa ti dak berlaku berulang ulang.
Persoalannya ialah, apa yang kita lakukan hari ini, ketika ini, saat ini adalah manifestasi SIAPA DIRI kita dan SIKAP DIRI kita yang sebenar. Jika dalam proses menagih ilmu ini kita tiada disiplin, bagaimana pula nanti apabila sudah memasuki dunia pekerjaan. Dunia sebenar yang penuh cabaran dan ruang lingkup yang lebih luas yang perlu ditangani.
Jika dalam dunia akademik ini para siswa siswi tidak mampu menangani tugasan akademik apatah lagi dalam dunia sebenar, di alam pekerjaan. Kualiti kerja tentunya akan terjejas. Ia bukan menjejaskan diri, malah secara langsung ia menjejas organisasi dan juga masyarakat malah mereka yang disekeliling kita. Siapa yang rugi? Kita dan ummah yang rugi. Malah orang lain akan turut menerima tempias kerugian atas sikap kita yang sedemikian.
Mengapa? Cuba fikirkan secara jangka panjang! Jangan terlalu memikirkan dalam ruang lingkup diri sendir sahaja akan tetapi fikirkan lebih dari itu!
Ia soal DISIPLIN DIRI yang ditentukan oleh SIKAP DIRI yang dijana melalui PEMIKIRAN atau CARA BERFIKIR yang dilaksanakan melalui tindakan tindakan yang menentukan KEBERHASILAN. Secara keseluruhannya, apa yang kita lakukan atau tindakan yang kita buat sangat berkaitan dengan IMAN kita........jika kita beriman dengan Allah dan rasulnya dengan sebenarnya, tentunya natijah keimanan itu akan menghasilkan individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Eh...sudah agak lama perkataan ini jarang disebut ye! Mengapa??
Maaf saya bukan menujukan buat sesiapa, sekadar berkongsi padangan saya agar kalian menjadi lebih baik di masa akan datang. Saya juga bukanlah sebagus yang disangka akan tetapi sekadar ingin menjadi sebagus yang mampu dalam hidup yang singkat ini.
No comments:
Post a Comment