Tuesday, August 14, 2012

Bersatu dek fikrah dan pemikiran yg sama!

Salam ukhuwwah...

Aku termangu memikirkan soal ini...kufahami bahawa kita berada dizaman yang sangat mencabar pemikiran dan kewarasan pemikiran! Natijah dari pembacaan dari buku Sejarah Pemikiran dan Tamadun Islam siri 1, oleh Dr. Sulaiman Noordin telah membuatkan aku mengambil daya usaha untuk menganalisa dan muhasabah, lalu ku kongsikan cebisan darinya buat tatapan kalian!

Sebenarnya aku tercari cari jawapan mengapa berlaku dengan berleluasa pertentangan pendapat dan pemikiran yang sangat menjelekkan berlaku didalam masyarakat kita dan umat Islam di nusantara ini! Bahkan pertentangan pendapat ini sangat remeh dan terlalu menjurus kepada perpecahan! Emosi dan kebencian bercampur aduk dengan justifikasi dan pendapat. Ini sebenarnya trend yang tidak sihat kerana ia menjurus kepada perpecahan ummah yang melahirkan kecenderungan berpuak puak antara sesama saudara Islam. Satu pihak ingin memenangkan pihaknya sendiri, dan sebaliknya! Asas kepada persamaan dan nilai nilai bersama tidak diambil kira sebagai faktor kawalan terhadap kecenderungan melewati adab adab perbezaan pendapat! Ini sangat mengecewakan!

Ketahuilah, saya mengingatkan diri sendiri dan teman teman semua, paksi dan hakikat sebenar pemikiran dan pemahaman ilmu hendaklah@mesti bersandarkan kepada Allah swt terlebih dahulu....bukan kebebasan rasionalisasi pemikiran dan logik akal! Bahkan logik akal dan rasional pemikiran tetap perlu bertunjangkan kepada ketauhidan kepada Allah swt, tidak boleh tidak. Jika kita sentiasa sedar dan faham bahawa ketauhidan dan ketaqwaan kepada Allah dan Rasulnya itu menjadi tunjang kepada bagaimana pemikiran itu terbentuk, nescaya hilanglah kepentingan peribadi, kecenderungan pemikiran yang diselaputi emosi dan perasaan....lalu akan lebih jernih dan bermaknalah sesuatu perbincangan lalu menghasilkan ibrah yang lunak dan berhikmah yang memberi kesan bermakna kepada sesebuah masyarakat. Sebaliknya, jika idea dan pemikiran lahir hanya semata mata dek nilai kreativiti logik akal dan rasionalisasi pendapat sendiri tanpa tunjang dan paksi kepada paradigma Tauhid kepada Allah, pasti ia menatijahkan perbincangan yang tumpul lantas longlai yanh hanya menghasilkan perbezaan pendapat penuh emosi dan kebencian serta berpuak puak!

Atas dasar dan prinsip inilah, hendaklah kita bersikap terbuka, sedarilah hakikat bahawa pendapat dan pemikiran serta ilmu perlu berpaksikan tauhid kepada Allah yang Esa....jika tidak, ia hanya menjurus kepada perbincangan yang jelek dan menjijikkan. Inilah yang berlaku dewasa ini. Hanya kerana masing masing begitu jumud, taksub terhadap aliran aliran tertentu, maka keterbukaan tidak wujud, kebencian hanya kerana perbezaan pendapat semakin meluas, semangat berpuak puak semakin membara lalu masyarakat dan umat Islam semakin melebar jurang perpecahan berbanding penyatuan.

Sebagai contoh, jika kumpulan A tidak setuju dengan kumpulan B, maka sesiapapun dari kalangan kumpulan A atau B, malah para pengikutnya, akan bermati matian memenangkan, menyokong, membela dan menjustifikasikan segala macam fakta dan pendapat yang cenderung kepada kumpulan masing masing. Itu belum lagi jika wujud kumpulan C, D, E dan seterusnya! Tidakkah perbezaan pendapat itu menjadi rahmat buat umat Islam, akan tetapi dewasa ini, ia menjadi sebaliknya! Mengapa sedemikian? Ini kerana masing masing tidak memahami semangat perbezaan pendapat untuk mecapai kebaikan sesama! Masing masing punya objektif dan tujuan tersendiri, eksklusif untuk pihak masing masing, samada kepentingan sendiri atau kepentingan kumpulan masing masing! Ini menjadi masalah dan barah kepada usaha penyatuan ummah! Disiplin ilmu tidak dihormati dan dijunjung tinggi. Masing masing menegakkan pendapat dan pendirian masing masing sewenang wenangnya, tanpa ada rasa tanggungjawab dan keterbukaan. Ini dicanang pula melalui laman web, blog, media sosial yang dipanggil sebagai 'media baru'. Lalu ia diikuti oleh jutaan pengikut maya, samada fitnah yang tersebar, fakta yang tidak benar, cerita cerita gossip, tanpa kesahihan dan keabsahan fakta, lantas membentuk dan mempengaruhi pemikiran, menumbuhkan sentimen sentimen, sangkaan sangkaan buruk, fitnah fitnah yang merosakkan, cerita cerita 'panas' yang mengaibkan....ia benar benar merosakkan masyarakat dan umat Islam.

Justeru, berhati hatilah, dalamilah ilmu, fahamilah prinsip dan ketahuilah adab apabila berhujjah dan memberi pendapat@menyebarkan maklumat, jangan sewenangnya kita menyebarkan maklumat tidak benar, maklumat yang mengaibkan dan menjelekkan walau dipihak mana sekalipun. Berhujjahlan untuk mencapai kebaikan dan menyelesaikan masalah dan bukannya meraih sokongan dan membenci pihak 'lawan'. Jauhilah kepentingan peribadi dalam apa jua perkara sekalipun. Jangan jadi penyebar fitnah yang merosakkan pemikiran dan perpaduan! Bersangka baiklah, tutuplah aib orang! Jika tiada sesiapa memulai ini, maka ia akan berterusan sebegini! Sampai bila kita akan memburukkan saudara kita sesama! Kembalilah kepada usaha nasihat menasihati dan dakwah sesama dengan cara yang paling berhikmah! Insyaallah kita akan terpelihara dari murka Allah jika kita mematuhi prinsip dan adab adab apabila berbahas dan berhujjah...raikan perbezaan pendapat dan berusaha untuk menambahkan nikmat dan kebaikan dalam perbezaan pendapat.

Ketahuilah bahawa perbezaan pendapat bukan satu jalan untuk satu pihak menang ke atas pihak yang lain, sebenarnya ia satu jalan untuk kita sama sama berpadu bagi menutup kelemahan dan kekurangan agar kekuatan dapat dijana demi kebaikan semua dan kebaikan umat Islam seluruhnya! Ameen....

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.



No comments: