Salam ukhuwwah,
Apabila berpersatuan, kita melihat dari aspek kerjasama dan komitmen tidak berbelah bagi. Terutamanya pengisian program yang dijalankan oleh pihak persatuan atau kelab. Jika tiada kerjasama erat dari ahli dan pihak AJK, program yang dijalankan akan jadi caca merba dan kelam kabut. Tambahan pula jika AJK yang terlibat menganjurkan persatuan itu bertindak atas dasar sukarela dan secara 'part time'. "Kerja kerja sebegini adalah umpama kerja Nabi" ujar seorang teman. Aku tanya "Kenapa gitu". "Iya la. dah la tak de gaji, tak de apa ganjaran sekalipun melainkan kepuasan dan pahala dari Allah, idak itu umpama kerja Nabi" jawab sang teman!
Aku termangu sebentar mendengarkan jawapan sang teman sebegitu. "Betul juga" ujarku! Ada kebenaran fakta sedemikian sebab para Nabi mendukung dakwah Islam tanpa ada harapan balasan duniawi melainkan redha Allah swt semata mata. Lamunan ku memanjang kepada apa yang sedang aku lakukan ketika ini! Tanpa ada komitmen, tanpa kerjasama untuk mendukung program dan aktiviti, maka kucar kacir lah program yang yang hendak dilakukan. Untuk mendapatkan penyertaan satu hal, untuk membuat pengisian sesuatu program satu hal lagi. Semuanya perlu dilakukan bersama. Ia tidak boleh dilakukan sendiri sendiri atau sekadar 2, 3 orang jika saiz programnya besar. Semua mesti bersatu hati untuk menjayakannya. Jika yang dicari ialah kelemahan, pasti akan ketemu segala macam kelemahan yang ada. Namun, jika sama sama turut mendukung dan menjayakan program, insyaallah ia akan berlangsung dengan jayanya.
Bagi yang mengusahakan sesuatu program, ia bukan kerja mudah, tambahan pula jika tiada bantuan dari rakan rakan dan teman teman. Banyak perkara perlu dipersiapkan terlebih dahulu. "Sakit kepala memikirkan soal bajet, soal pengurusan program, 'manpower' dan sebagainya" kata temanku. Tambahan pula jika para AJK itu bertindak atas dasar sukarela, bukan sepenuh masa mengerjakannya. Aku boleh memahami situasi sedemikian, akan tetapi bagaimana mahu memahamkan orang lain? Aku pernah bekerja dalam satu organisasi swasta dan dibayar gaji setiap bulan khusus untuk menjadi pengurus program bagi segala macam persidangan, bengkel, kursus, program motivasi, hari keluarga dan sebagainya, dan alhamdulillah ia berjalan dengan lancar kerana itulah kerja khusus aku! Aku fokus dalam melaksanakannya. Segalanya dilakukan dalam satu kumpulan profesional yang tahu dan mahir tentang hal ehwal menganjurkan sesuatu program.
Namun, aku tidak lagi bekerja di organisasi tersebut, namun kerana minat dan usaha untuk memajukan masyarakat, aku terlibat secara sukarela dengan satu kelab yang menyatukan anak rantau yang bekerja dil luar dari kampung halamanku. Ia benar sukarela dan usaha untuk menjalankan aktiviti aktiviti bermakna sangatlah sukar kerana 'ramai yang pandai' yang hanya tahu mengkritik itu dan ini akan tetapi tiada sumbangan untuk terlibat menganjurkannya. Menjadi peserta mudah, walau ia tidak semudah yang dikatakan, namun mengusahakannya sangatlah sukar! Sampai suatu tahap, aku memikirkan dan membuat analisa tentang seluruh trend dan sikap kita dalam berpersatuan....analisa ini mengambilkira sikap dan pemikiran bangsa kita sendiri.....antaranya ialah:
1) Ramai yang hanya bijak dan pandai menuding jari jika berlaku kelemahan dan kekurangan dalam sesuatu aktiviti dan program.
Aku tiada masalah dengan segala macam komen, cemuhan dan kritikan namun biarlah berasas! Memang kelemahan itu diakui, dan sebolehnya tidak mahu diulangi lagi, namun puncanya juga harus dikenal pasti. Jika yang ke hulu ke hilir, menguruskan itu ini, mendapatkan sponsorship, menyiapkan hadiah, mengusahakan pengisian program, jamuan makan dan persiapan dewan hanya dilakukan oleh tidak lebih dari 4 orang dengan segala macam kos logistik dikongsi dan ditanggung oleh 4 orang tadi (kerana ia sukarela, boleh dimasukkan kedalam bajet namun ia tidak realistik kerana akan menyebabkan kos pengurusan semakin meningkat), sedangkan program itu berskala besar yang melibatkan hampir 1500 orang jemputan termasuk VVIP, VIP, peserta dan orang kampung, natijah risikonya amatlah besar. Sebarang kesilapan mudah berlaku, tambahan pula ia dilakukan di kampung halaman walhal pihak AJK berada di Lembah Kelang yang jaraknya sekitar 150km...bayangkan betapa banyak penyelarasan yang perlu dilakukan. Walaupun usaha dilakukan, wawaran dibuat meminta bantuan para sukarela dan sesiapa lagi yang sanggup bekerjasama, namun ia umpama "di angin lalu"....tidak ramai yang mahu terlibat, tidak ramai juga yang mahu memberi input sekurang kurangnya! Ramai yang hanya mahu menjadi peserta semata mata, itupun sangat sedikit yang ambil tahu dan mahu menyebarkan maklumat dan menjemput teman teman lain terlibat sama.
2) Tahap kesukarelaan sangat rendah.
Orang kita sudah semakin kabur tahap kerjasama, semakin menjarak semangat gotong royong dan semakin pesimis sikapnya. Apabila ada usaha penyatuan mahu dilakukan, kesatuan dalam melaksanakan dan menjayakan sesuatu program dan aktiviti, kita punya tahap rendah dalam memberi kerjasama. Tidak ramai yang mahu 'ringan tulang' membahu amanah dan kerja yang perlu dilakukan. Ini berbeza dengan bangsa bangsa lain, tahap perpaduan mereka lebih tinggi. Sikap mereka lebih positif. Bukan kelemahan yang dicari akan tetapi usaha untuk meningkatkan kualiti penganjuran dan menutup kelemahan yang dicari! Bangsa kita suka cari kelemahan, sibuk mencari kekurangan, sangat teruja untuk melihat kesilapan dan 'menelunjuk' kesilapan itu umpama mencari 'kambing hitam'. Sikap tidak profesional ini membejatkan usaha penyatuan dan perpaduan! IA JUGA LAMBANG TAHAP DAYA FIKIR DAN KEINTELEKTUALAN KITA. Inilah kebejatan yang sebenarnya. Sebagai contoh; jika si A buat, maka si B akan berfikir apa keuntungan kepada dirinya, lalu menganggap bahawa si A ada matlamat dan cita cita lebih besar! Ini pemikiran yang silap kerana kepentingan peribadi menjadi neraca penilaian oleh si B, 'anggapan anggapan melampau' menjadi asas kepada usaha kerjasama itu! Tentunya ia sifatnya sangat sementara dan rapuh!
Adakah bila ada imbuhan baru kita mahu bekerjasama? Ini sangat merosakkan bangsa dan negara! Benar, jika kebetulan ada imbuhan yang diberi, ia suatu penghargaan, namun jangan dijadikan imbuhan sebagai asas kepada kerjasama. Niat kena betul dahulu. Tidak boleh menjadikan imbuhan sebagai pra syarat untuk bekerjasama atau matlamat utama, kelak ia akan menjadi barah yang merosakkan! Lihatlah kepada matlamat yang lebih meluas berbanding kepentingan peribadi. Hilangkanlah sangkaan sangkaan buruk yang merosakkan perhubungan. Hilangkanlah kritikan kritikan yang tidak membina atau kritikan yang tidak berasas.
Sebenarnya sesiapa sahaja boleh memberi kritikan, akan tetapi hendaklah si pengkritik itu telah melakukan apa yang perlu terlebih dahulu agar apa yang sedang dikritikkan olehnya tidak berlaku, hendaklah si pengkritik itu telah berusaha membantu menjayakan sesuatu perkara, dan jika ia tetap juga berlaku, maka saat dan ketika itu, aku sendiri akan memikul beban kritikan itu kerana aku setuju dengan caranya. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah, si pengkritik hanya berpeluk tubuh, tidak melakukan apa apa, lalu lantang berbicara jika ada sesuatu yang tidak kena. Ini sikap yang tidak adil sebenarnya! Bagaimana bangsa akan jadi cemerlang jika hanya pandai mengkritik sahaja!
Cuba fahami apa yang saya cuba nyatakan dengan slot powerpoint ini!
http://www.slideshare.net/apanitsch/the-management-rowing-race
Namun, secara peribadi, aku akur dengan kelemahan dalam penganjuran program yang aku dan teman teman lain usahakan. Ia tidak sempurna dek kerana kekangan kekangan yang timbul, antaranya;
1. Hanya sebahagian kecil sahaja yang sanggup jadi sukarela, tidak lebih 6-7 orang walau jemputan dan wawaran dibuat untuk turut sama, sibuk melakukan tugas dan kerja hakiki (kerja sendiri@makan gaji) sambil berusaha menjayakannya program ini. Dan dengan jumlah yang kecil itu, kumpulan ini berusaha mendapatkan bajet, membuat kertas kerja, mengatur tarikh, mendapatkan penyumbang dan 'sponsor' untuk hadiah, menguruskan tempahan makanan untuk beberapa sesi (pagi, petang dan jamuan makan malam di beberapa lokasi), menguruskan dan menyelaraskan pengisian program, tempahan dewan, menyediakan aktiviti aktiviti, menguruskan penghantaran hadiah ke lokasi akhir dimana kemuncak program diadakan, tempahan sticker dan t-shirt, mendapatkan penyertaan, mengkoordinasikan pihak pihak lain yang terlibat dalam program, menempah makanan dengan 2,3 pihak, menyusun dan memastikan bajet tidak meningkat dan berada pada kadar minimum, menguruskan 'rehearsal' program, dan juga menguruskan susun atur dewan.
2. Dengan jumlah sukarelawan yang amat sedikit, dan kehendak program yang perlu disusun sedemikian rupa, ia membabitkan urusan logistik yang sangat besar. Ini menimbulkan keadaan kekangan.
3. Penyelarasan yang dibuat tidak dipatuhi oleh pihak pihak lain, dan ini menyukarkan keadaan.
4. Kekangan bajet dan urusan mendapatkan tajaan mengambil masa dan tenaga yang banyak.
Justeru, aku dan teman teman akur akan ketidaksempurnaan dan kelicinan program yang dianjurkan! Harap ia tidak menjadi kekecewaan yang bersangatan kepada semua pihak. Tujuan utama program ialah untuk beramah mesra, menjalin ukhuwwah dan bukan mencari permusuhan mahupun menonjolkan kelemahan dan kekurangan. Tiada penganjur yang mahukan perjalanan program menjadi caca merba dan kelam kabut. Sebolehnya pihak penganjur mahukan perjalanan program yang terbaik untuk semua! Justeru, jika ada kelemahan, lihatlah kepada kelebihan dan perkara positif yang berlaku berbanding perkara negatif! Sebagai penganjur, aku dan teman teman memohon maaf, dan akan cuba memperbaiki segala kelemahan di masa masa akan datang.
Harapan kami agar para peserta dan ahli semua agar lebih bersikap proaktif dan menyokong program program sedemikian dimasa masa akan datang! Marilah sama sama turun padang dan bergabung tenaga! Harus diingat, kelab dan persatuan ini adalah untuk kita, dan kitalah yang menjayakannya mahupun meruntuhkannya, bukannya orang lain!
2 comments:
salam ukhwah..
senarion era ini, lebih menunding jari daripada turut meghulur tangan.. kadang2 betul gak..kita keje nak upah..al maklum kanak2 pun suh p kedai nak upah..
p/s: keje OT no reward.. kene selalu ikhlaskan hatilah gamaknya.. ehehe
Betul tu....sbb itulah kita perlu mendidik diri utk ikhlas...dan memberi penjelasan (sbg dakwah) kpd org lain agar begitu juga.....budaya mengkritik ini sudah terlalu berleluasa hingga kita lebih suka mengkritik dari berbuat sesuatu agar apa yg dikritik itu tidak berlaku!...lanjutan sukanya org kita mengkritik akan membentuk sikap suka hentam orang lain..."baling batu sembunyi tangan' tanpa ada usaha apa apa untuk mengubahnya dipihak diri si pengkritik! apapun, terimakasih kerana sudi memberi komen di sini!
Post a Comment