Sekadar ingin berkongsi dapatan pengalaman dan pembacaan bersama kalian. Jika kalian rajin membelek dan membaca buku buku kisah kisah para sahabat dan juga sirah Nabi saw, tentu kalian akan dapati perkara perkara ini.
Para Nabi dan Nabi saw sendiri serta para sahabat Baginda, tidaklah diuji dengan kasih sayang Allah serta rahmatNya melainkan dengan ujian kesempitan, kesakitan, kesusahan, kepayahan, kemiskinan. Mengapa? Ini tentunya berbeza dengan orang lain. Saya mendapati bahawa apabila Allah kasih dan sayang akan hambanNya, maka tidaklah hambaNya itu diuji melainkan dengan ujian yang saya nyatakan tadi. Para sahabat r.a. ada yang asalknya kaya, ada yang sedia ada miskin, ada yang berstatus tinggi dalam masyarakat, ada pembesar, ada bangsawan, ada bekas hamba sahaya, ada orang biasa biasa, namun tetap mereka diuji dengan kesempitan hidup, kepayahan hidup, kesusahan, kemiskinan dan sebagainya! Itulah 'pattern' kehidupan yang mereka lalui!
Cuba lihat Abu Bakar r.a, dia seorang pedagang dan saudagar yang kaya, dia menginfakkan (memberi) seluruh hartanya kepada dakwah Islam, lalu apabila Nabi saw menanyai beliau, apa yang kamu tinggalkan untuk dirimu dan keluargamu...Abu Bakar r.a menjawab " aku tinggalkan buat diriku dan keluargaku hanya ALLAH DAN RASULNYA"....
Cuba lihat Usman Ibn Affan r.a., dia terkenal kaya dan punya ratusan unta....(hari ini kita seekor lembu pun belum tentu ada, apatah lagi kambing, ayam dan itik mahupun unta, benar, sebab cara kehidupan kita berbeza dari mereka)....menginfakkan segala hartanya untuk Islam, membeli dan menebus telaga di Madinah untuk kegunaan umat Islam sebanyak 30,000 dirham dari seorang Yahudi......agar dapat dipergunakan oleh umat Islam, menginfakkan hartanya untuk belanja peperangan dan sebagainya. Abduurrahman bin Auf r.a. juga seorang tokoh korporat, juag telah menginfakkan seluruh hartanya demi Islam.
Tokoh tokoh yang saya sebutkan di atas adalah sebahagian kecil dari dari rentetan catatan sejarah tentang sikap hartawan dan ahli korporat. Demi Islam, mereka memberikan segalanya! Manakala yang tidak punya harta, sumbangan mereka pelbagai dalam bentuk tenaga dan usaha serta daya fikiran demi Islam.
Kita tidak akan tahu tahap kita, kita juga tidak tahu tahap iman dan taqwa melainkan kita diuji. Manakala Allah swt, jika DIA sayang akan hambanya, maka dia akan menguji hamba hambaNya. Ujian datang pelbagai rupa. Namun ujian pembentukan jiwa, sikap, perbuatan dan ujian pengukuhan iman yang mempunyai kesan besar dalam kehidupan individu ialah ujian kesempitan, kepayahan, kesusahan, kemiskinan. Apabila seorang hamba ditimpa kesempitan dan masalah kehidupan, nescaya bagi yang punya iman dan kebergantungan kepada DIA, tentu seseorang itu akan kembali kepadaNYA. Meratap dan mengadu, berdoa dan bertaubat. Itu lumrah bagi mereka yang beriman.
Maka sebenarnya, ujian yang mendatang itu merobek keegoan diri, meruntuh keangkuhan, mampu menyedarkan insan kerana ia memperingatkan susuk itu untuk kembali kepadaNya. Mungkin sekali jika tidak ditimpa kesulitan, kita tidak mengendahkan atau sangat kurang berteleku lama di sejadah, berzikir, bertahmid dan beristigfar kepadaNya. Hanya kerana datangnya kesulitan itu, kita seolah olah terkena 'tamparan', menemui jalan buntu, fikiran jadi tidak keruan, tidur tidak lena diganggu oleh permasalahan, hubungan jadi hambar, sikap berubah, maka itulah saatnya proses proses pembetulan dan pembentukan sikap berlaku terhadap diri. Itulah juga saatnya Allah mahu menatijahkan hikmah kepada diri!
menafikan bahawa
Justeru, jika kalian kaya dan berharta, jadilah orang kaya yang BENAR BENAR beriman dan bertaqwa. Bantulah usaha dakwah, bantulah orang yang fakir, susah dan miskin, jangan dihina mereka yang tidak punya apa apa!
No comments:
Post a Comment