Thursday, August 11, 2016

Menerjah hidup dengan Pokemon Go

Assalamualaikum wrt wbt

Saya teringat teringat satu ayat pendek Allah berfirman "demi masa sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka yang berpesan pesan dengan kebenaran dan berpesan pesan dengan kesabaran"..

Ayat ini pendek dan penuh bermakna. Ia ringkas dan merangkumi seluruh hidup manusia. Betapa kita rugi kerana berbuat perkara yang sia sia.

Lantas Allah menyatakan dengan beriman kepadaNya dengan sebenar benarnya lalu beramal soleh serta berpesan atau nasihat menasihati dengan kebenaran dan kesabaran. Ringkas, mudah akan tetapi selalu dialpakan dan tidak dilaksanakan.

Ringkasnya, Allah suruh kita;

  • beriman kepadaNya
  • beramal soleh
  •  nasihat atau pesan tentang kebenaran
  •  nasihat dengan sabar
Apabila BERIMAN maka maksudnya kita laksanakan perintahnya jauhi larangannya dan itu termasuk dalam kategori beramal soleh jua. Manakala apabila berpesan hendaklah dengan sesuatu yang benar tanpa mengira samada kebenaran itu diterima atau tidak. Jika cemuhan, kecaman yang menjadi hadiahnya, maka Allah suruh kita sentiasa sabar dan berpesan untuk bersabar dalam kehidupan.

Sebab itulah, kerana Allah maha mengetahui akan kehidupan manusia, maka kita banyak disarankan agar bersabar dan bersyukur. Perlu banyak bersabar, samada dikala susah mahupun senang, dikala sakit mahupun sihat, dikala muda mahupun tua, dikala miskin mahupun kaya dan dikala lapang mahupun sempit. Jawapannya tetap satu iaitu sentiasa bersabar.

Ringkas dan mudah, Allah bersumpah demi masa.

Jika dikaitkan demgan dunia hari ini, cuba tanyakan samada kita telah memenuhi saranan Illahi berdasarkan surah al-Asr itu?

Baru baru ini kita lihat kecenderungan terbaru dikalangan masyarakat kita untuk bermain permainan video game secara online iaitu Pokemon Go. Bermain Pokemon Go ialah satu perbuatan sia sia. Berdasarkan apa yang difatwakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, ia lebih membawa kepada sia sia berbanding manfaat kepada seseorang. Pelbagai reaksi yang diterima dengan pandangan dan fatwa tersebut. Ada yang bersikap melewati batas dengan mencemuh dan memaki mufti tersebut. Ini adalah sikap yang kurang wajar dan tidak berakhlak dari satu segi dan ia juga menunjukkan betapa dangkalnya sesetengah pihak  untuk memahami hikmah disebalik fatwa larangan tersebut.  


Persoalannya, adakah kita bersikap menerima larangan itu atau kita menyanggah larangan itu walhal ia telah difatwakan haram oleh Mufti Wilayah Persekutuan baru baru ini? Atau kita hanya mengambil mudah perkara itu dan tidak menghiraukan larangan tersebut lalu menghentam dan memaki melalui laman media sosial sehingga menjadi viral. Apakah sedemikian sikap kita sebagai seorang Islam?

Displaying 2016-08-11-PHOTO-00000171.jpg



Sedari atau tidak Pokemon Go dan juga banyak lagi permainan video secara dalam talian yang lain mengkehendaki kita untuk membenarkan ‘full access’ kepada data peribadi samada dalam bentuk ‘Google Private Info’ atau lain lain lagi. Ia menggunakan upaya telefon bimbit pengguna, ‘GPS’ telefon tersebut, kamera telefon dan juga akses internet atau ‘data plan’ seseorang pengguna bagi membolehkan permainan itu dijalankan atau dimainkan.

Permainan Pokemon Go dari segi lain walaupun ia mempromosikan dan menggalak idea kreativiti dan inovasi seseorang yang mengintegrasikan antara aspek realiti dan dunia maya namun ia juga mendedahkan akses kepada maklumat dan gambar peribadi samada rumah, pejabat dan sebagainya yang jika tidak dikawal dan dibendung boleh dicuri dan dijadikan sumber mudah untuk perlakuan jenayah. Pokemon Go

Ringkasnya, jika dilihat, Pokemon Go ini menggalakkan pengguna dan pemainnya untuk melakukan aktiviti berjalan ke sana dan kemari. Ia walaupun bagus kerana menggalakkan aktiviti luaran serta aktiviti jasmani namun hakikatnya ada banyak cara lain melakukan aktiviti fizikal dan jasmani berbanding memenuhi tuntutan permainan. Ia juga membenarkan interaksi sosial antara sesama pengguna namun ianya juga jalan mudah kepada berlakunya aktiviti sosial yang tidak bermoral malah perlakuan jenayah pelbagai.

Displaying 2016-08-08-PHOTO-00016598.jpgMenurut laporan dalam beberapa ruang berita, Pokemon Go ini cenderung menggalakkan pengguna untuk menjadi ‘ketagih’ dalam permainan ini lantas menghilangkan fokus individu, membuang masa serta meninggalkan keutamaan dalam kehidupan sehari hari. Cuba fahami kesan langsung ketagihan ini kepada remaja, kanak kanak, belia, pekerja, dan sesiapa sahaja malah ibubapa sendiri. Bayangkan bagaimana para pelajar kita akan hilang fokus dalam pembelajaran dan ini akan mempengaruhi pencapaian pembelajaran serta mengganggu tumpuan belajar. Pada waktu yang sama, para ibubapa akan turut terjebak secara tidak langsung dengan permintaan anak anak yang mahukan telefon bimbit agar mereka boleh bermain permainan ini serta kos pembelian ‘data plan’ dan sebagainya. Malah kehilangan tumpuan bekerja juga boleh berlaku kepada mereka yang telah ketagih dengan permainan ini.

Kita banyak melakukan perbuatan sia sia dengan teknologi pesat teknologi maklumat dan komunikasi akan tetapi dalam banyak hal kita terbawa bawa dibuai pengaruh teknologi moden hari ini. Jiwa dan aqal kita terkesima dengan pesona teknologi maklumat dan komunikasi tersebut. Justeru, fikir dan renungilah perkara ini sebaiknya.


Alangkah lebih baiknya masa yang ada diguna dengan menelaah dan membaca alQuran mahupun menambah ilmu berbanding terbawa bawa dengan satu permainan yang melalaikan. Harus diingat bahawa kita mahu melahirkan generasi yang kuat, ummah yang utuh seimbang jiwa, aqal dan kekuatan mental serta fizikal serta mempunyai semangat juang yang tinggi dalam membangunkan ummah. 
Post a Comment