Wednesday, October 5, 2011

Menjenguk sebentar...RETROSPEK diri....!!

Assalam semua....


Dikala senja tiba, saat matahari mula melabuh tirai di garis langit, aku termenung....! Saat indah sepetang di Lumut ini bagai menggamit segala kenangan dan mengimbau sejarah lalu kehidupan. Ya, mungkin benar, sesekali kita perlu 'rehlah' sebentar, menonton wayang alam di garis pantai pekan Lumut ini, menyaksi hebatnya Sang Pencipta, dan memikir hinanya hamba....aku terpaku atas keinsafan yang Allah berikan, aku bersyukur padaMU Ya Rabb...


Proses menyaksi rona alam ini kuanggap sebagai 'rehlah' menyorot liku liku hidup sambil menginsafi kekerdilan diri....itulah rasa yang lahir saat ini. Jarang aku berpeluang sedemikian. Apabila berseorangan, jiwa dan hati mula menerawang. Keluarga ditinggalkan, saat itu apapun aktiviti yg dilakukan, jiwa terasa sunyi. Tidak hairanlah ramai nama nama besar dan hebat dalam sejarah, biasa sahaja melakukan uzlah, berkhalwat, meninggalkan riuh pikuk dunia, melakukan proses menyepi, bersunyi sunyian sendirian. Hikmahnya ialah RASA yang hadir itu mengetuk pintu keinsafan kerana sunyi itu teman dan pendorong kepada mereka yang ingin retrospek diri.


Pabila sunyi, fikiran tidak bercapah tentang kehidupan, kenangan digamit, peristiwa lalu menjadi ingatan, kesilapan dan dosa mula menjadi igauan lalu segala yang dirasakan dan dianggap sebagai kebaikan itu seolah olah hanya beberapa langkah kecil berbanding 'pukulan' sesal atas kesilapan masa lalu...jika boleh, biar sahaja masa itu berputar kembali, namun itu pasti mustahil. Benarlah ungkapan bahawa 'manusia sentiasa disibukkan dengan urusan dunia', hingga selalu terlupa tentang urusan diri buat bekal kehidupan yang lebih kekal dan abadi. Aku termangu saat ini....air teh panas ku biarkan sejuk begitu sahaja. Ia sudah menjadi kelat pula 'rasanya'. Hilang keseronokan ingin 'lepak' dan menjamu mata di petang hari ini.




Renungan ini buat ingatan diriku dan kalian semua...


Dimana aku dalam kehidupan ini? Apakah langkah yang telah kuambil selama ini membawa aku ke arah yang sepatutnya? Adakah aku mengikuti jalan yang lurus itu? Atau aku hanya berputar putar di lengok yang sama selama ini?


Itu antara persoalan persoalan yang menjengah kotak fikiranku saat ini. Seperti biasa aku mula mencari cari justifikasi terhadap semua tindakan ku selama ini...


Aku rasa aku sudah berbuat yang sepatutnya.....dan aku perlu perbaiki apa yang ada dan apa yang telah ku perbuat agar ia lebih baik....(maaf! bukanlah niatku sama sekali ingin menunjuk nunjuk segala kebaikan yang telah kulakukan selama ini kepada kalian dalam tulisan ini mahupun dalam coretan coretan ku yang terdahulu....TIDAK SAMA SEKALI, aku hanya ingin berkongsi RASA dengan kalian, itupun jika kalian sudi, malah jika kalian beranggapan sedemikian sekalipun, maafkan daku, aku tidak berniat sedemikian, motif ku hanya menyebarkan kebaikan jika ia boleh dicontohi, jika tidak...kalian jangan hiraukan sama sekali coretan ku ini)


Senario 1:

  • Aku tidak mahu anak anak ku dangkal dan cacat fikiran, lalu ku larang majalah picisan, cerita picisan dan ku gantikan ia dengan cerita sahabat, cerita tabiin, tabi tabiin, sirah Rasulullah saw, agar cinta mereka kepada insan agung ini melaut dan meresap kedalam jiwa, ku tiru kaedah bagaimana Allah mendidik manusia dengan wahyu lalu melalui cerita didalam Al-Quran, ku dedahkan anak anakku dengan cerita cerita kaum terdahulu agar pengajaran dan hikmah dapat mereka fahami. Ku dalami sirah Rasulullah saw, dan ku bertadabbur dengan wahyu Illahi sekadar yang ku mampu agar aku jua turut terjun dalam kancah intelektual yang membina minda.....ku lakukan ini sejak anak anakku lahir agar mereka terdidik, jiwa terbentuk atas asas intelektual yang mendewasakan minda dengan harapan mereka kan punya pandangan hidup yang luas, dan nilai nilai murni kan tertanam dalam diri dan jiwa mereka......segala majalah picisan, cerita idola merapu yang merugikan, alhamdulillah tiada dalam rumah ku. Kulakukan ini semua bersama isteri tersayangku agar wujud aura positif yang membina akhlak dan sahsiah diri dalam keluarga kerana ku percaya bahawa "Rumahku adalah Syurgaku" dan tentunya usaha untuk merealisasikan konsep sedemikian harus bermula dengan tindakan yang positif dan disiplin, aku tidak mahu dikemudian hari aku terpaksa perlu berkompromi dalam soal 'input' positif ini dengan anak anakku lalu mengorbankan sesuatu untuk sesuatu yang tidak berfaedah. Terimakasih isteriku Sakinah Salleh (Kenali Diri Bina Identiti-www.sakinahsalleh.blogspot.com)) kerana memainkan peranan yang cukup besar dalam hal ini.    
Senario 2:

  • Untuk anak anak ku, ku lakukan terhadap diriku jua kami sekeluarga, konsep bahawa aturan hidup perlu segalanya berjadual, kerana ketetapan hidup manusia itu, perlu pembahagian masa yang sistematik, dan ku lalui proses ini dengan istiqamah sedaya upaya ku...ada masa untuk bermain, ada masa untuk belajar, ada masa untuk beribadah, ada masa untuk bercuti, ada masa untuk mengaji al-Quran dan membaca buku buku agama agar kukuh pemahaman, ada masa untuk makan dan minum dan apa yg patut dan elok untuk diamalkan sebagai makanan dan jenis makanan apa yang perlu dielakkan agar ketajaman akal fikiran tidak rosak dek makanan yang tidak menyihatkan. Semuanya ini diniatkan kerana Allah swt kerana sesungguhnya segalanya adalah keranaMU Ya Rabb. Aku ingin sekali agar anak anakku memahami bahawa segalanya adalah ibadah dengan syarat ia dikerjakan kerana Allah swt dan tidak melewati batas dan garis panduan agama. Inilah proses pembentukan yang kulakukan untuk diriku kerana aku menjadi contoh terhadap mereka dan juga untuk mereka juga supaya mereka meresapi dan menjiwai bahawa dunia ini hanyalah kehidupan yang sangat sementara. Dengan harapan kelak mereka menjadi anak anak yang soleh dan solehah yang selalu kan ingat untuk mendoakan untuk ibubapanya apabila kami telah tiada nanti...dan dengan harapan supaya pendekatan sebegini kan menjadi perisai untuk mereka menghadapi cabaran duniawi....ku ajarkan mereka agar mereka kan mampu membina EMPAYAR DIRI kelak........insyaallah ameen.  
Inilah yang retrospek diri sepetang tadi sambil pandangan ku menyorot jauh ke bibir langit tika sang suria melabuhkan sinarnya hari ini, sedangkan ku sendiri tidak pasti samada ku kan mampu menjengah hari esok yang tidak pasti!! 




BERSAMBUNG!!!

No comments: