Thursday, November 15, 2012

Jauh dan perit musafir itu demi KITA

Salam ukhuwwah...

Bila ditelusuri dan ditoleh ke belakang, jauh kebelakang dalam lipatan sirah dan sejarah, terdetik RASA hiba dan pilu. Pilu dan sedih kerana perjuangan mereka itulah kita punya apa yang kita ada pada hari ini. Dalam kegelisahan dan kebimbangan, dia mengetap bibir, menitis airmata menahan kesakitan akibat kakinya digigit (ular@lipan@haiwan berbisa??) dalam keadaan memangku kepala insan agung di pangkuannya. Agak lama sebelum titisan air mata dek menahan kesakitan itu mengenai wajah mulia Baginda Nabi saw. Lalu Baginda tersedar lalu bertanya "Mengapa wahai Abu Bakar?" Walhal saat itu, sahabat paling akrab ini, teman paling kasih dan setia ini jika boleh tidak mahu mengganggu lenanya baginda Rasulullah saw....dalam hatinya hanya bimbang dan risau jika diketahui tempat persembunyian mereka oleh pemuka pemuka dan pembunuh pembunuh upahan kafir Quraisy! Itulah Abu Bakar r.a.
Itulah sebahagian cebisan peristiwa yang tertinta dalam lipatan sejarah! Adakah kita ambil peduli akan pengorbanan mereka berdua?? Adakah kita ambil tahu?? Adakah tiada RASA walau barang sedikitpun untuk memberi apresiasi akan hebatnya pengorbanan dan perjuangan mereka berdua ini? Tidakkah kita ketahui bahawa apa yg kita punyai hari ini...nikmat IMAN dan ISLAM adalah bertitik tolak dari perjuangan mereka yang terdahulu amnya dan perjuangan mereka berdua khususnya 1434 tahun hijri yang lalu! Dimana hilangnya RASA itu? Mengapa RASA itu tidak hadir, mengapa belas itu tiada dalam hati kita hari ini?

Salah satu puncanya ialah kerana kita ambil mudah, tidak ambil peduli, kita biarkan ia sekadar berlalu pergi, kita jarang mengimbau dan mengingati....kita lebih tertumpu terhadap urusan diri dan duniawi diri! "Aah! Itu dulu! Sekarang lain", "aku sendiri sudah punya cukup masalah untuk difikirkan dalam kehidupan ini", "dulu lain, sekarang lain", "mereka insan hebat...aku tiada apa apa". Malah berbagai alasan menerjah dalam kotak fikiran kita. Sebenarnya kita terlalu pentingkan diri sendiri jika itu yang kita ungkapkan! Kita hanya pedulikan diri sendiri, walhal akhirnya nanti kita perlukan syafaat baginda Nabi saw di akhirat kelak. Kita tidak mahu muhasabah dan mengenang perjuangan mereka, hati kita cukup 'keras' untuk memberi perhatian terhadap kisah ini! "Ada aku kisah?" Itulah yang kita ungkapkan dibibir mulut. Inilah kita! "Nauuzubillah"

Jika kita benar ambil peduli, bilakah kita mengimbau kisah ini? Bilakah kita bercerita kisah kisah mereka kepada anak anak kita malah keluarga kita! Adakah selama ini kita melalui titian kehidupan dengan mengambil ibrah@pengajaran dari kisah kisah perjuangan dan pengorbanan mereka? Lalu menuruti jejak langkah mereka iaitu "orang orang yang berjaya di dunia dan akhirat?" Tidakkah benar jika aku katakan kepada kalian bahawa jika tidak kerana datuk dan nenek kita malah moyang kita yg menanam pohon durian itu suatu waktu dulu, mampukah kita merasai buah durian yang enak dan lazat yang kita nikmati pada hari ini? Sudah tentu tidak! Adakah mereka mengharapkan pohon durian itu akan segera tumbuh dan menghasilkan buah tika hayat mereka? Sudah tentu tidak! Begitulah jua kehidupan kita hari ini. Jika bukan kerana pengorbanan, usaha dan perjuangan mereka yang terdahulu, tentu tidak dapat sama sekali kita nikmati kemudahan dan kesenangan kehidupan yang kita lalui pada hari ini! Itulah hakikat kehidupan. Ia saling berkait antara zaman ini dan zaman sekarang mahupun zaman akan datang! Tidak boleh dinafikan sama sekali!

Jika bukan kerana perjuangan orang orang terdahulu, tidaklah Islam ini sampai ke jagat raya alam Melayu ini! Hargailah nikmat IMAN dan ISLAM ini dengan sebenar benarnya dan dengan bersungguh sungguh! Jangan alpa dan lalai! Ikutilah jejak perjalanan yang telah dilalui oleh mereka yang mendapat REDHA Allah! Syukurilah dan hargailah perjuangan Nabi saw dan para sahabat, para tabiin, para tabi' tabiin, para ulama, para syuhada'.....

 Maal Hijrah! Hijrahlah diri dengan sebenar benarnya dengan mengikuti jalan yang dicontohi oleh para anbiya dan muttaqiin terdahulu! Siapa kita hari ini tidak penting, akan tetapi apa yang lebih utama ialah apa yang boleh dan mampu kita sumbangkan terhadap ISLAM lalu kita manifestasikan dalam kehidupan ini, adalah lebih utama dan penting! Jangan terkeliru! Perbaikilah diri, perbaikilah urusan agama! Perbaikilah akhlak! Mari kita laksanakan TRANSFORMASI HIJRAH DIRI sempena MAAL HIJRAH ini.....Ameen Ya Rabb!


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.




No comments: