Saturday, September 20, 2014

Pergimu kutangisi........

Titipan buat sahabatku arwah Mustapha Kamal Ismail.....

...........damailah dikau di sana

Bila detik itu menjengah....tidak ketahuan bagaimana caranya ia kan berakhir.....diri juga tidak akan tahu siapa yang akan meladeni sekujur tubuh itu! Siapa yang akan mengurus dan melaksanakan buat diri yg kaku lesu! Kelu kaku, sedih dan pilu dengan pemergian sang sahabat Mustaphakamal Ismail.....moga dikau damai di sana wahai teman! Aku pasti menyusulmu! Allahuakbar!

Sedetik bersamamu selamanya ku ingat selalu ‪#‎MustaphaKamalIsmail‬
 — withHilmy Shamshur Abdul Rahim and 4 others at Masjid Subang Perdana.

......tiada kata mampu terungkap,
......mengenangkan pemergian sahabat,
......bila diri tahu masa yg ada jua telah dekat,
......entah bila kan terangkat, doa, janji dan hakikat,
......kehidupan yg fana dan singkat, 
......hanya kerna perginya sang sahabat!
......yang pergi tak kembali, yang tinggal kan menangisi,
......yang pasti rindu dan kasih mendatangi,
......hanya diri dan Illahi yg mengetahui,
......rasa diri dan kehilangan ini,
......pedih tidak terperi, kerana kami saling mengasihi,
......demi Illahi demi ukhrawi!

.....lalu sedetik ini, ku titip doa dan ummul quran buat mu sahabat (arwah Mustapha Kamal bin Ismail) di dingin penghulu malam ini agar pergi mu dengan redha, ampunan dan rahmat Rabbmu,

........agar kelak tempatmu dikalangan mereka yg soleh yg telah mendahului mu. 

........Kutangisi pemergian mu sahabat kerna ku hargai kehadiranmu dalam warna warni kehidupan ku.....engkau telah mendahului aku dan pasti aku akan menyusulmu! 

........Kuingati setiap rangkulan eratmu setiap kali ketemu! Aku kehilangan seorang yg rapat dan dekat dalam hidupku! Moga bahagia menanti mu di dakapan rahmat dan redha Tuhanmu! Selamat tinggal sahabat! Mustaphakamal Ismail!

Monday, September 15, 2014

Menempah binasa....

Assalamualaikum semua....

Kutuk, keji, kata mengata, tuduh menuduh, menuding jari adalah mainan kata kata kita hari ini. Ia sangat berleluasa di dunia maya, dilaman sosial malah dalam perbualan sehari sehari. Ia perbuatan jijik yang diumpamakan sebagai memakan daging saudara sendiri atau mengumpat! Ia tentunya bukan sunnah Nabi saw yang kita cintai walau apa jua alasan kita sekalipun. Walau ia bertujuan atau dilakukan kononnya dengan niat baik sekalipun. I a merosakkan keharmonian masyarakat, ia menjurus kepada perbalahan, ia menyakitkan hati dan merosakkan perhubungan. Tiada apa apa faedah sekalipun dengan berbuat sedemikian. Malah ia merosakkan jiwa dan pemikiran seseorang samada si pelaku mahupun si penerima atau pendengar.

Image result for backbiting images
Aib dan maruah insan lain dijaja merata rata. Tidakkah kita tahu bahawa ia mengundang kemurkaan Allah swt. Walau siapa pun orangnya, walau siapa pun subjek yang menjadi bicara, kita sangat dilarang mengaibkan orang lain atau bercerita tentang keburukan orang lain. Kita hanya menempah binasa buat diri sendiri!

Jika perkara sekecil ini pun kita tidak mampu untuk tidak melakukannya. Jangan bicara soal kekuatan ummah dan soal Islam kembali kuat. Jangan bicara soal ingin mendaulatkan Islam di bumi ini. Benih perpecahan sudah menjadi 'makanan' harian kita, jadi bagaimana perpaduan dan keutuhan masyarakat dapat dibina.

Tahukah kalian, apa sebenarnya yang Nabi saw buat dan lakukan? Baginda Nabi saw malah mendoakan mereka yang berbuat keburukan agar kembali ke pangkal jalan dan agar Allah menunjukkan mereka kepada jalan yang lurus. Salah satu peristiwanya ialah tika di awal Islam.....Tidakkah kita ingat doa Nabi saw agar dua Umar memeluk Islam? Abu Jahal dan Umar alKhattab.....adakah Nabi saw mendoakan kecelakaan bagi mereka berdua? Tidak samasekali, bahkan Nabi saw mendoakan semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah agar salah seorang daripada mereka memeluk Islam. Dan akhirnya Umar alKhattab memeluk Islam dan menjadi pendokong paling kuat kepada dakwah Islam. Peristiwa kedua ialah saat dan ketika Nabi saw berdakwah kepada penduduk Taif, Nabi saw dibaling batu hingga luka berdarah tubuh badannya...penghinaan sedemikian rupa diberi oleh penduduk Taif. Apa yang Nabi saw lakukan? Perkara yang sama juga telah saya sebutkan sebelum ni di - http://alwiyunus.blogspot.com/2012/11/jauh-dan-perit-musafir-itu-demi-kita.html



Bagaimana dengan kita? Adakah kita berbuat seperti mana apa yang Nabi saw lakukan? Cuba tanyakan pada diri!Ia sebenarnya adalah pilihan kita sendiri...kita perlu memilih untuk bertindak dengan penuh kebaikan....saya pernah nyatakan ini dalam nukilan sebelum ini - http://alwiyunus.blogspot.com/2013/02/habis-tenaga-habis-fikiran-rugi.html

Marilah kita berkasih sayang sesama agar subur ikatan ukhuwwah dikalangan kita, agar Islam tegak berdiri sebagai daulah dan kekuatan bukan sekadar momokan dan omong kosong di bibir mulut. http://alwiyunus.blogspot.com/2013/05/sedunia-berkasih-sayang-mustahil.html

Thursday, September 11, 2014

Ku renung sejarah silam

Assalamualaikum wrt wbt dan Salam Sejahtera....

Ku renung sejarah silam lalu ku dapati bahawa







.............sejarah pasti berulang kembali jua
.............perlakuan kan berulang dimana mana
.............kebejatan kembali menguasai persada
.............kerakusan bertimpa timpa
.............haloba kan berleluasa
.............adu domba merajai bicara
.............hasad dan dengki menjadi pancawarna
.............aib insan lain menjadi seloka
.............kuasa menjadi rebutan semua
.............harta terus merajai dunia
.............kata kata penuh nista




Inilah manusia yang selalu alpa
Sentiasa rugi hidup di maya pada
Tidak sesal pada jiwa
Tiada takut pada neraka apatah lagi pada yang Esa
Walau mengerti akan seksanya
Mulut kurang ajar sentiasa
Tingkah biadab tiap tika
Lalu sejarah berulang setiap ketika.......




Alwi Mohd Yunus
16 Zulkaedah 1435H
5.00 petang
Dipinggir puncak....

Sunday, July 20, 2014

Kita yang perlu bertindak...jangan harap orang lain!

Assalamualaikum wrt wbt....

Dengar, fahami dan fikir lalu buat tindakan apa yang perlu.....jangan hanya sekadar omong kosong dan bercakap tidak sudah sudah tanpa ada sebarang tindakan.

Sebagai permulaan....lihat di akhir Ramadhan ini!

1) Betapa besarnya kuasa pembeli Melayu Islam atau Islam Melayu atau Islam Malaysia membanjiri pasaraya pasaraya....mengapa tidak kita memilih dan membeli hanya denagn orang Islam? Samada pakaian, makanan atau apa apa keperluan?

2) Diakhir Ramadhan adakah kita semakin 'melekat' di masjid atau kita makin 'longgar' dan lebih merayau? Jika kita makin longgar-bagaimana mungkin Islam tidak dihina, dikeji di porak poranda, dicalar kehormatannya oleh orang bukan Islam jika KITA sebagai MUSLIM tidak berPERILAKU dan BERAMAL sebagai Muslim sebenar? Bagaimana Islam mahu menang jika tindakan kita tidak menjurus kearah kemenangan?

https://www.facebook.com/photo.php?v=10203075573227540&set=vb.1152159826&type=2&theater

Monday, June 16, 2014

Cordoba@Cordova yang ku kenang...

Assalam dan salam sejahtera....

Buat seketika kenangan ku terimbau saat menyusuri lorong sempit lorong sempit di Masjid Cordoba tempohari. Satu pengalaman tersendiri yang sangat unik, sangat indah ingin ku kongsikan. Seolah olah aku menjadi watak yang sezaman dengan usia Masjid Cordoba itu.....

Tersergam indah di atas bukit yang mengalir dihadapannya Sungai Cordoba yang merintangi Madinat el Zahra di sebelah hujungnya, Cordova masih gagah perkasa berdiri dihadapan jutaan pengunjungnya setiap tahun. Ia terpaku disitu menanti kehadiran pengunjung yang pasti akan kagum dengan keindahannya yang masih utuh sejak kurun ke 8 yang lalu hingga hari ini. Teknologi kejuruteraan Islam yang sangat unik dan mengasyikkan. Melihat Masjid Cordova tersergam indah merupakan satu hiburan hati yang sangat mengujakan. Tiada pernah aku melihat dan menghargai satu keajaiban tamadun Islam melainkan Masjid Cordoba yang telah bertukar menjadi Gereja Cordova yang ini dan juga al Hambra yang hebat. Tentunya aku tidak menafikan bahawa Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al Aqsa itu lebih indah kerana keberkatan yang terkandung didalamnya, namun kekaguman aku juga turut melangkaui ketiga ketiga masjid tersebut kerana Masjid Cordova (sekarang Gereja Cordoba) ini turut memgungkap sejarah, perjuangan, kehebatan dan keunikan arkitek dan kejuruteraan Tamadun Islam suatu waktu dahulu. Kehebatannya terserlah sehingga ke hari ini.

Ia manifestasi betapa Islam itu melangkaui seluruh kehidupan umat di Granada, Seville, Malaga dan Algeciras suatu waktu dahulu dan ianya masih dirasai sehingga hari ini. Ia juga gambaran kehebatan dan keunggulan ketamadunan Islam, seni reka yang tiada tolok bandingnya dan amat sukar untuk disamai sehingga hari ini. Inilah Masjid Cordoba yang menjadi pusat peradaban tamadun, keilmuan Islam suatu waktu dahulu. Sengaja aku menulis dan merujuk Gereja Cordoba ini sebagai Masjid Cordoba kerana tujuan asal ia dibina ialah sebagai sebuah pusat masjid, pusat keceemrlangan keilmuan yang hebat pada zamannya....namun hari ini, yang tinggal adalah picisan picisan sejarah yang semakin hilang ditelah zaman.

Kini kemegahan itu telah hilang, keagungan itu telah luput akan tetapi Masjid Cordoba tetap teguh berdiri menanti hadirnya sinar Islam kembali di bumi Sepanyol.....aku kelu dan pilu. Rasa hatiku meruntun runtun kesedihan melihat sesuatu yang pernah menjadi mercu tanda tamadun Islam ini dijejaki dan dimiliki oleh mereka.....kesedihan ku membuak buak kerana aku memahami bahawa ia juga adalah manifestasi keruntuhan peradaban dan tamadun Islam. Hanya jejak yang kelihatan akan tetapi tiada warisan menjadi milik mutlak orang Islam.....kita terus terusan MUNDUR AQAL FIKIRAN, MUNDUR HIDUP dan MUNDUR segala galanya......yang tinggal hanyalah kenangan kenangan pilu dan menyayat hati!

Di kaki lima sekeliling Masjid Cordoba ini penuh dengan kedai kedai cenderamata yang menjual khat dan kraftangan versi Islam, akan tetapi si penjualnya bukanlah orang Islam. Keadaan ini sudah sangat terbalik. Di kaki lima ini yang dahulunya subur dengan kuliah dan kelas pengajian agama, sains, matematik, kejuruteraan, sekarang lengang dan kosong hanya dipenuhi dengan pelancong asing. Aku bersama isteri dan teman seperjalanan Sdra Hasanul Basri dan Mazlina Malik sempat solat di situ menunaikan fardhu Asar di luar Masjid Cordoba kerana kami tidak dibenarkan solat di dalamnya.

Sepetang itu aku menyusuri sekeliling Masjid Cordoba dan sempat mengambil beberapa gambar menarik di jambatan yang merentangi Sungai Cordoba....ia sangat cantik dan indah sekali....namun sayangnya ia bukan milik umat Islam lagi! Aku mengharapkan agar suatu hari nanti Islam kan bertapak kembali di bumi Sepanyol...airmataku mengalir lesu, selesu Sungai Cordoba yang sunyi dan sepi menanti laungan azan dan takbir di bumi Cordoba.....insya




allah!

Wednesday, May 28, 2014

Belasungkawa AlMarhum Tuanku Sultan Perak

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=770829772937333&set=a.770829439604033.1073741862.100000309516385&type=1&theater

Innalillaahi wa innaa ilaihi raajiuuun........





Friday, May 16, 2014

Kalian mencorak AKU!

Assalamualaikum wrt wbt....

Tanggal 2014 ini adalah fasa umur pertengahan hujung yg sedang aku lalui. Banyak peristiwa pahit manis kehidupan sebagai pelajar aku lalui sejak dahulu. Mereka adalah golongan kedua selepas ibubapa ku malah mungkin yang pertama yang paling kerap ku temui dan ku gauli dalam hidupku. Mereka pencorak 'kain putih" yang namanya fitrah itu. Hasilannya adalah hari ini.


Aku tidak berbangga dengan diriku. Akan tetapi aku berbangga dengan mereka yang mencorakku. Samada secara formal mahupun tidak formal. Samada secara langsung mahupun tidak langsung, mereka guruku yang sentiasa memberi nilai dan menokok nilai dalam hidupku.....

Aku ingati mereka semua bukan semata mata kerana hari ini, tanggal ini, aku telusuri kenangan bersama mereka disepanjang kehidupan ini. Aku kenang mereka dalam doaku agar Allah menganugerah sebaik baik balasan yang tidak terhingga buat mereka semua dunia akhirat.

Aku renung dan tersenyum sendiri malah dalam banyak keadaan aku banyak menangis kerana ramai yang telah pergi tanpa dapat aku temui mereka semula. Mereka insan hebat dalam hidupku walau seketika cuma. Mereka adalah obor pengalaman dan hidupku.....tanpa mereka aku bukan aku pada hari ini....

Tanpa mereka hidup ini penuh kebobrokan buat diriku dan juga dunia ini. Tanpa mereka siapalah aku. Dan tanpa mereka dunia tidak akan mampu tersenyum megah dan gembira.....

Walau aku bukanlah muridmu yang terbaik......namun sentuhan katamu, nasihatmu, galakanmu, perkongsianmu penuh bererti buat ku. Aku adalah aku pada hari ini kerana aku muridmu.......

Aku muridmu kerana ilmu mu.......

Terimakasih Cikgu! Allah berkati hidupmu redhai amalmu ampuni dosamu bahagiakan hatimu luaskan jiwamu anugerahkan syurga buatmu! Kalian telah mencorak akan AKU seupaya dan sebaik mungkin....terimakasih!

Thursday, May 8, 2014

Sentiasa memilih

Assalam dan salam sejahtera.....

(renungi kehidupan dan berfikir demi kebenaran agar kita sentiasa jadi hambaNYA......latarbelakang Jabal Tariq@Algeciras menuju ke Morocco dari Sepanyol melalui Gibraltar untuk ke Pelabuhan Tangiers...dalam misi melihat laluan sejarah dan keagungan alam ciptaan Allah)


Amanah dan tugas sebagai pendidik tidak terhad sekadar 'balligh aayatan' akan tetapi lebih dari itu. Walau diatas kertas ia tidak dinyatakan sebagai skop tugas namun ia menjadi lumrah yang perlu dilaksana samada suka atau tidak. Apa yang penting biarkan ia menjadi amal jarih dan dilakukan dengan ikhlas. Benarlah ungkapan bahawa guru itu menerangi bak lilin yang membakar dirinya sendiri untuk faedah orang lain.....

Atas rasa tanggungjawab, insaf dan sedar betapa anak bangsa ini perlu dimajukan dan potensi mereka perlu dikembangkan sewajarnya maka inilah yang SAYA pilih dan inilah yang SAYA perlu lakukan. Aku pasrah! Kisahnya begini.......

"Kelmarin saya mendapat tahu bahawa ada seorang pelajar (tidak perlu diketahui siapa) ini ingin berhenti belajar dari meneruskan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda atas alasan pelbagai. Berita itu saya terima dalam keadaan terkejut kerana apabila disemak keputusan semasa peperiksaannya, keputusannya memberangsangkan.....akan tetapi itulah faktanya, dia ingin berhenti! Saya semak latar diri dan cuba mendapat maklumat pelbagai termasuk menghubungi teman baik saya Cikgu Zawawi Salikin (terimakasih kepada beliau kerana walau di tidak kenal ibubapa pelajar ini akan tetapi dia berusaha mendapatkan maklumat dan pergi ke kampung dan tempat tinggal pelajar tersebut. Dia telah 2,3 kali pergi ke lokasi walau saat itu dia sedang bertugas akan tetapi tetap berusaha untuk menemui ibubapa pelajar tersebut atas dasar tanggungjawab bahawa sesuatu perlu dilakukan walau pelajar tersebut bukan bekas anak muridnya atau dia mengenali keluarga pelajar tersebut. Beliau berkongsi aspirasi dengan saya maka isu ini perlu ditangani sebaiknya demi masa depan pelajar dan keluarga tersebut) Alhamdulillah misi itu berjaya dan saya mendapat maklumat lengkap untuk saya hadap akan kes pelajar ini. Pelajar ini bukan pelajar saya dalam erti kata saya pernah mengajarnya akan tetapi dia adalah pelajar yang mengikuti kursus sarjana muda yang saya kendalikan". 

Itulah senario kes ini. Sebelum meneruskan bicara ini, saya mohon maaf jika cerita ini memalukan pelajar tersebut akan tetapi bukan itu maksud saya.....ada ibrah yang ingin saya kongsikan. Saya bukan mahu menceritakan isi kandungan kisah pelajar itu akan tetapi ingin berkongsi penghargaan dan usaha mereka yang berada disekeliling saya buat pengajaran (jika ada pengajaran dan kebaikan darinya) kepada semua.

Dalam kehidupan ini kita perlu memilih. Antara dua persimpangan yang perlu kita lalui. Malah dunia hari ini ia bukan sekadar dua persimpangan akan tetapi bersimpang siur pilihan dan keputusan yang perlu dibuat. Isunya ialah memilih dan keperluan memilih! Apa sebab dan apa perlu memilih? Adakah pilihan yang perlu dibuat itu berlaku atas desakan atau keperluan hidup atau hanya disebabkan oleh diri sendiri (maksud saya ialah dalam keadaan tiada pasal tetapi mencari pasal-selalunya ini antara sebab utama walau kebanyakan kita pasti menafikan sebab ini).....

Kita mudah memberi justifikasi apa apa sekalipun terhadap keputusn yang dibuat akan tetapi isunya adakah justifikasi itu memenuhi selera sendiri atau tidak. Apapun sebab atau justifikasi yang menjadi dorongan kita membuat keputusan hendaklah didasari oleh keperluan memenuhi (KPI) atau kehendak Allah dan Rasulnya dan bukan mendahului kehendak diri. 

Jika terlalu jitu memenuhi kehendak diri, akan wujud kecenderungan akan berlaku pilihan pilihan yang silap mahupun salah. Atau pilihan yang dibuat itu TIDAK DIBERKATI kerana tiada REDHA Illahi pada pilihan pilihan tersebut. Malah lebih buruk lagi ia menyebabkan keadaan hidup menjadi lebih kelam kabut dan lebih buruk. Akhirnya individu yang mendahului kehendak diri berbanding kehendak Allah dan Rasulnya akan rugi serugi ruginya seperti mana yang dinyatakan dalam Surah al-Asr:



"Demi waktu Asr, sesungguhnya manusia itu SENTIASA dalam kerugian, kecuali mereka yang BERIMAN dan BERAMAL SOLEH dan mereka yang berpesan pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan sabar"

Mengapa rugi? Mengapa kebenaran dikaitkan dengan sabar? Mengapa sebelum itu ialah keimanan yang menjadi tunjang lalu disulami dengan amal soleh, barulah boleh berpesan atau menasihati dengan kebenaran yang perlu dilakukan dengan sabar?

Jika difikir sedalamnya, ternyata ada sebab mengapa sedemikian. Renungkan sedalamnya.

Terkadang kita memilih kerana berlaku cabaran dalam hidup, desakan atau masalah menyebabkan kita terpaksa atau perlu memilih. Suka saya mengaitkan (saya juga memberi contoh ini kepada pelajar saya itu dalam sesi kaunseling yang saya jalankan semalam) soal memilih ini dengan Sirah Nabi Muhammad saw. Nabi Muhammad saw menunjukkan contoh kepada kepada kita semua selaras dengan Surah Al-Asr ketika Baginda wahyu pertama belum turun lagi.....apa yang berlaku? 

Nabi Muhammad melihat kebobrokan dalam masyarakat, idealisme Jahiliah berleluasa, dan semua itu amat tidak disenangi oleh Baginda. Nabi Muhammad saw seorang yang mulia dan terpuji malah terkenal amanah dengan gelaran alAmin, lalu dalam suasana yang tidak serasi dengan jiwa dan hatinya maka Baginda membuat PILIHAN beruzlah/berkhalwat atau mengasingkan diri (tidaklah baginda memulaukan mahupun langsung tidak bergaul dengan ahli keluarganya mahupun saudara maranya) dari masyarakatnya.....hingga akhirnya wahyu pertama turun. 

Nah lihatlah reputasi dan prinsip yang diamalkan oleh Nabi Muhammad saw yang sangat selaras dengan Surah alAsr itu......BERIMAN + BERAMAL SOLEH (dengan menjauhi perbuatan Jahiliah dan maksiat) = Pesan KEBENARAN + SABAR (iaitu proses dakwah yang Baginda lakukan selepas wahyu yang pertama iaitu Iqra = ILMU) yang bermaksud, untuk berpesan dengan kebenaran dan menasihati mesti perlu ILMU dan ia kewajipan UTAMA untuk melengkapkan diri dengan ILMU.......

Kenyataan kenyataan inilah yang saya katakan kepada pelajar saya itu. Saya katakan kepada pelajar saya itu, bagaimana perjalanan dakwah Nabi Muhammad saw, betapa susahnya baginda menghadapi tentangan, menghadapi kerenah manusia, cabaran dan kesusahan serta kepayahan yang pelbagai. Saya juga katakan bahawa menuntut ilmu itu adalah amanah. Ia DAKWAH. Bagaimana mungkin kita mahu memikul amanah DAKWAH jika diri sendiri lemah dalam, jika dakwah kepada diri sendiri gagal. Jika DAKWAH KEPADA DIRI SENDIRI GAGAL, bagaimana mungkin dakwah untuk orang lain? Bagaimana mungkin Islam akan gagah perkasa suatu hari nanti......

Jangan lari atau putus asa atau merasa tewas dalam usaha mencari ILMU. Ada sebab mengapa Allah letakkan kita dalam situasi begini. Ia penuh IBRAH atau PENGAJARAN....cari IBRAH itu agar ia dapat memujuk hati dengan hakikat kebenaran. Allah TIDAK PERNAH zalim terhadap hambaNYA.....maka atas dasar itu mengapa kita gundah gulana. Tidakka dia mengatakan kepada Nabi Yaaqub mengatakan satu nasihat kepada anak anaknya (adik beradik Nabi Yusuf a.s.)

A087
Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Saya doakan pelajar saya itu akan dapat membuat pilihan yang diredhai dan diberkati Allah swt, dan semoga pilihan yang dibuat itu akan membawa kebaikan dunia akhirat buatnya. Saya hanya mampu berpesan pesan dengan kebenaran dan insyaallah akan cuba terus komited dan sabar dalam menyampaikan pesanan pesanan ini.....kita adalah apa yang kita fikir, jika positif maka positiflah kehidupan begitu juga sebaliknya.

Moga moga Allah swt sentiasa memberi kekuatan kepada diri saya untuk sentiasa memberi nilai tambah dalam kehidupan ini demi faedah dan kebaikan orang lain. Insyaallah, amiin!


Sent from my iPhone

Sunday, April 27, 2014

Mesej yang menjengah......

Assalamualaikum wrt wbt....

Dari keadaan sihat tiba tiba Allah anugerahkan kesakitan. Dari keadaan sibuk lalu Allah beri tanda supaya duduk diam dan muhasabah diri. Fahami mesej dan tanda yang DIA anugerahkan. Lihat dimana kesilapan kita. Itulah anugerah, agar kita sedar dan faham bahawa apa yg terjadi dalam kehidupan kita ini punya segala macam tanda atau hikmah dari Illahi.

Kita selalu silap dan lupa bahawa ada hikmah tersembunyi atau mesej Illahi dalam setiap perkara yang berlaku dalam hidup. Semakin kita kerap lupa dan tidak menyedari itu semakin banyak pula DIA memberi mesej tersebut. Ini kerana DIA punya kuasa dan hak untuk menyayangi hambaNya. Hanya kita sahaja yang tidak menyedari buat sekian kalinya akan kasih sayang Illahi tersebut. Akhirnya kita 'letih' dan 'penat' menerima peristiwa yang terkandung didalam mesej tersembunyi itu lalu kita terus alpa dan ia menyebabkan kita engkar dan menafikan. Saat itu nafsu dan fikiran bersatu menafikan hakikat dan diri akhirnya 'memberontak'.....

Apabila kita memberontak dan bersikap menafikan apa yang berlaku, kita tiada daya usaha untuk memahami mesej Illahi. Inilah yang sering berlaku. Lalu peristiwa atau musibah yang berlaku yang asalnya dan sepatutnya mengubah kita menjadi insan yang lebih tawadhuk menjadi sesuatu yang buruk kerana kita 'memberontak', jiwa jadi tidak keruan. Iman yang ada tidak mampu memandu kita ke jalan yang lurus lalu kita menjadi insan yang kufur dan terpesong. Kata kata makian dan sikap menyalahkan apa yang berlaku berkembang menjadi suatu tindakan mungkar. Itulah kita ini manusia yang dikatakan sering lupa dan alpa. Inilah kesilapan kita dalam memahami mesej Illahi.

Hargailah kasih sayang Allah yang datang dengan berbagai cara. Ada yang sihat lalu sakit, ada yang kaya lalu jatuh miskin, ada yang lapang kemudian sibuk, ada yang muda kemudian tua, dan hidup sebelum mati. Ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara....ia datang terkadang bertimpa timpa, agar kita jadi manusia yang tidak alpa, segalanya datang dariNya, tiada sesuatu yang terlepas dari pengetahuanNya dan tiada sesuatu yang tiada ertiNya. Semuanya bererti agar kita sentiasa berada dalam keadaan mengingatiNya. 

Ia satu anugerah, ia juga suatu nikmat dan ia adalah kasih sayangNya....syukurilah kasih sayangNya, jangan biarkan DIA membenci kita pula, terimalah mesej dan hikmahNya dengan pasrah dan redha....agar kita menjadi insan yang sentiasa mendapat keampunan, rahmat dan redhaNya......


Sent from my iPhone


Monday, April 14, 2014

Toleh diri sendiri


Assalamualaikum wrt.wbt.

Ada saatnya kita perlu disedarkan oleh orang lain. Dalam bentuk nasihat atau teguran atau kata kata penuh erti. Namun, hakikat sebenarnya, jarang kita mahu menerima teguran mahupun nasihat sebegitu kerana diri kita punya EGO atau nafsu dalam hati yang menafikan. Lalu agaknya bilakah sesuatu nasihat atau teguran itu kan menjadi bermakna? Sukar untuk dikatakan garis masa BILAKAH itu?

Ironinya, jika terus terusan bersikap degil dan bangga, maka rakan taulan kan sentiasa menasihati dan menegur. Itupun jika lingkungan itu diwakili oleh rakan taulan yang mengerti dan punya ilmu. Jika lingkungan itu sebaliknya maka diri akan terbuai dengan silap langkah, langkau batas perbuatan mahupun kata kata sampai bila bila. Jadinya jika dirahmati dengan rakan taulan yang tidak jemu menasihat dan menegur, kita akan terngiang sentiasa dengan teguran itu. Bezanya adakah kita menerima atau menolak. Kebiasaan yang diperhati, jarang kita hargai teguran mahupun nasihat. Jarang kita mahu renung sejenak dan cuba menilai tusukan nasihat dan teguran. Ia lebih dilihat sebagai gangguan. Kita menjadi sebegitu kerana dibuai oleh alunan indah kehidupan lalu tanpa sedar menganggap teguran dan nasihat itu hanya laungan si pendengki. Atau kerana ego diri yang tinggi mahupun sikap tidak mahu mengerti! Ruginya!!!

Begitulah saya 2,3 hari ini. Mulanya agak 'sentap' juga dengan teguran seorang insan. Akan tetapi dengan pantas hati berkata, "dengarkan isi omongannya, jangan emosi, jangan bersangka bukan bukan"! Lalu aku membuat pilihan untuk meneliti teguran dan nasihat sang teman. Hakikatnya benar! Tujuannya benar, ia untuk kebaikan diriku sendiri, bukan apa apa. Itulah analisis ku. Alhamdulillah aku terus terusan bersangka baik dengannya! Syukur! Moga moga sangkaan baik ini akan berpanjangan Ya Rabb!

Kehidupan ini penuh dengan pilihan pilihan pelbagai. Insan punya aqal dan hati untuk memilih dan membuat pilihan pilihan itu. Ada saatnya pilihan itu adalah suatu yang berat dan sangat sukar dan ada masanya sangat ringan. Justeru buatlah pilihan yang BENAR bukannya pilihan yang kita SUKA semata mata. Pilihan yang BENAR itu adalah pilihan pilihan yang diredhai Allah, pilihan yang disetujui oleh Allah menurut landas agama iaitu Quran dan Sunnah. Jangan buat pilihan kerana dunia dan nafsu, kelak sengsara jadinya. Dan ingatlah, selalunya pilihan yang lurus dan diredhai itu adalah pilihan yang jauh, cabarannya besar dan tidak mudah lalu penuh duri dan onak. Mengapa? Kerana pilihan itu kan membentuk insani yang taqarrub kepada Rabbnya. Amiin

Sent from my iPhone

Tuesday, April 1, 2014

Jika Dia ada bersama kita....


Assalamualaikum wrt wbt...

Salam sejahtera.....moga kalian berada dalam situasi dan keadaan dirahmati, diredhai, diampuni, dilindungi dan diterima segala doa, solat dan ibadah kalian! Amiin


MH370, RABI4, EG529, Rohingya, Gaza, Palestin dan Syria malah di mana mana lagi di daerah dunia ini adalah sebahagian cerita dan sejarah yang terukir sejak akhir akhir ini. Tiada putusnya peristiwa dan tiada hentinya kekejaman. Tiada satupun yang menunjuk kepada kehebatan manusia malah ia manifestasi kezaliman yang melata di atas mukabumi. Walau apapun sebabnya, perlu kita renung sejenak bahawa ia adalah keruntuhan ketamadunan akibat dari kesilapan, kesalahan dan dosa serta kerakusan manusia dalam perlumbaan memegang kuasa dan wang di atas bumi yang fana ini.Undang undang rimba meliputi dan menguasai manusia. Kebatilan menjadi order dunia lalu kebobrokan berlaku. Tamak haloba dan hawa nafsu melonjak insani melewati batas kemanusiaan lalu jatuh kedalam fikiran kehewanan. 



Sedihnya akan perlakuan melampui batas ini kerana hati mengetahui bahawa PEMBALASAN dan AZAB akan mendatangi bukan sahaja kepada pelaku malah semua yang ada. Kebejatan ini berleluasa kini, tidak mampu kata kata merakam betapa hinanya perlakuan, betapa kejamnya jiwa kebinatangan dan betapa manusia bukan lagi manusia. Hanya kerana perbedaan dan permusuhan yang tiada hentinya antara satu sama lain maka pembunuhan, penyiksaan dan kezaliman perbuatan menjadi mainan dan lakonan sebenar dalam kehidupan.




Jika Dia bersama kita......alangkah malunya kita yang berada di kejauhan ini kerana tidak mampu berbuat apa apa. Lalu kita akan ditanya, apa yang dikau perbuat untuk menolong saudara saudaramu? Tiadakah terdetik dihatimu untuk berbuat apa apa sekalipun? Mengapa dikau biarkan ia terus berlaku? Jika kamu lemah mengapa kamu tidak perkuatkan dirimu? Mengapa masih asyik dengan dunia dan kebendaan yang engkau rangkul seeratnya? Mengapa tidak engkau tinggalkan dunia lalu engkau perteguh iman dan taqwa agar engkau punya kekuatan dan keutuhan yang jitu untuk melawan kezaliman? Mengapa masih lagi terkinja kinja menikmati dunia sedang saudara mu dibakar hangus, ditimbus hidup hidup, dirogol berulang kali, ditelanjangi di hadapan kezaliman dan kemungkaran? Tidakkah terdetik dihatimu erti belas dan peri kemanusiaan? Tidakkah mahu kamu bangkit dan melawan? lalu kamu katakan tiada daya dan tenaga kerana lemahnya diri? Adakah itu alasan mu? Mengapa tidak dikau pelajari kegemilangan dan pelajaran dari peristiwa silam? Kekuatan hanya hadir dengan iman dan taqwa! Kekuatan dan ketakutan musuh bukan hadir dengan kecaman, tuduh menuduh, perselisihan sesama! Benarlah bahawa bilangan kamu banyak tapi sebenarnya kamu hanya seumpama buih di lautan! Musuh tidak gentar kerana kamu sememangnya punya penyakit WAHN! Kamu benar benar alpa dek kerana cintakan dunia lalu kamu takut mati......yang akhirnya kamu dikeronyok oleh mereka yang zalim dari kalangan penguasa dan musuh musuhmu!




Jika Dia ada bersama kita...tentunya Dia (Nabi Muhammad saw) akan mengingatkan kita sesuatu yang pernah diungkapkanya suatu ketika dahulu! Malunya aku kerana berada dalam jalan cintakan dunia dan takutkan mati lalu aku mengungkap mahukan syurgaNYA??? Gerangan apakah ini wahai diri!!!

Ingatlah pesan Baginda:

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:﴿يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ


Dari sahabat Tsauban r.hu berkata, “Telah bersabda Rasulullah saw,

"Hampir saja bangsa-bangsa berkumpul menyerang kalian sebagaimana mereka berkumpul untuk menyantap makanan di nampan. Salah seorang sahabat bertanya, “Apakah karena sedikitnya jumlah kami pada saat itu?” Beliau menjawab, “Bahkan pada saat itu jumlah kalian banyak, tetapi kalian seperti buih, buih di atas lautan. Sungguh Allah benar-benar akan mencabut rasa takut pada hati musuh kalian dan sungguh Allah benar-benar akan menghujamkan pada hati kalian rasa wahn.” Kemudian seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta kepada dunia dan takut mati”.


Sent from my Iphone