Monday, June 16, 2014

Cordoba@Cordova yang ku kenang...

Assalam dan salam sejahtera....

Buat seketika kenangan ku terimbau saat menyusuri lorong sempit lorong sempit di Masjid Cordoba tempohari. Satu pengalaman tersendiri yang sangat unik, sangat indah ingin ku kongsikan. Seolah olah aku menjadi watak yang sezaman dengan usia Masjid Cordoba itu.....

Tersergam indah di atas bukit yang mengalir dihadapannya Sungai Cordoba yang merintangi Madinat el Zahra di sebelah hujungnya, Cordova masih gagah perkasa berdiri dihadapan jutaan pengunjungnya setiap tahun. Ia terpaku disitu menanti kehadiran pengunjung yang pasti akan kagum dengan keindahannya yang masih utuh sejak kurun ke 8 yang lalu hingga hari ini. Teknologi kejuruteraan Islam yang sangat unik dan mengasyikkan. Melihat Masjid Cordova tersergam indah merupakan satu hiburan hati yang sangat mengujakan. Tiada pernah aku melihat dan menghargai satu keajaiban tamadun Islam melainkan Masjid Cordoba yang telah bertukar menjadi Gereja Cordova yang ini dan juga al Hambra yang hebat. Tentunya aku tidak menafikan bahawa Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al Aqsa itu lebih indah kerana keberkatan yang terkandung didalamnya, namun kekaguman aku juga turut melangkaui ketiga ketiga masjid tersebut kerana Masjid Cordova (sekarang Gereja Cordoba) ini turut memgungkap sejarah, perjuangan, kehebatan dan keunikan arkitek dan kejuruteraan Tamadun Islam suatu waktu dahulu. Kehebatannya terserlah sehingga ke hari ini.

Ia manifestasi betapa Islam itu melangkaui seluruh kehidupan umat di Granada, Seville, Malaga dan Algeciras suatu waktu dahulu dan ianya masih dirasai sehingga hari ini. Ia juga gambaran kehebatan dan keunggulan ketamadunan Islam, seni reka yang tiada tolok bandingnya dan amat sukar untuk disamai sehingga hari ini. Inilah Masjid Cordoba yang menjadi pusat peradaban tamadun, keilmuan Islam suatu waktu dahulu. Sengaja aku menulis dan merujuk Gereja Cordoba ini sebagai Masjid Cordoba kerana tujuan asal ia dibina ialah sebagai sebuah pusat masjid, pusat keceemrlangan keilmuan yang hebat pada zamannya....namun hari ini, yang tinggal adalah picisan picisan sejarah yang semakin hilang ditelah zaman.

Kini kemegahan itu telah hilang, keagungan itu telah luput akan tetapi Masjid Cordoba tetap teguh berdiri menanti hadirnya sinar Islam kembali di bumi Sepanyol.....aku kelu dan pilu. Rasa hatiku meruntun runtun kesedihan melihat sesuatu yang pernah menjadi mercu tanda tamadun Islam ini dijejaki dan dimiliki oleh mereka.....kesedihan ku membuak buak kerana aku memahami bahawa ia juga adalah manifestasi keruntuhan peradaban dan tamadun Islam. Hanya jejak yang kelihatan akan tetapi tiada warisan menjadi milik mutlak orang Islam.....kita terus terusan MUNDUR AQAL FIKIRAN, MUNDUR HIDUP dan MUNDUR segala galanya......yang tinggal hanyalah kenangan kenangan pilu dan menyayat hati!

Di kaki lima sekeliling Masjid Cordoba ini penuh dengan kedai kedai cenderamata yang menjual khat dan kraftangan versi Islam, akan tetapi si penjualnya bukanlah orang Islam. Keadaan ini sudah sangat terbalik. Di kaki lima ini yang dahulunya subur dengan kuliah dan kelas pengajian agama, sains, matematik, kejuruteraan, sekarang lengang dan kosong hanya dipenuhi dengan pelancong asing. Aku bersama isteri dan teman seperjalanan Sdra Hasanul Basri dan Mazlina Malik sempat solat di situ menunaikan fardhu Asar di luar Masjid Cordoba kerana kami tidak dibenarkan solat di dalamnya.

Sepetang itu aku menyusuri sekeliling Masjid Cordoba dan sempat mengambil beberapa gambar menarik di jambatan yang merentangi Sungai Cordoba....ia sangat cantik dan indah sekali....namun sayangnya ia bukan milik umat Islam lagi! Aku mengharapkan agar suatu hari nanti Islam kan bertapak kembali di bumi Sepanyol...airmataku mengalir lesu, selesu Sungai Cordoba yang sunyi dan sepi menanti laungan azan dan takbir di bumi Cordoba.....insya




allah!

No comments: