Sunday, April 27, 2014

Mesej yang menjengah......

Assalamualaikum wrt wbt....

Dari keadaan sihat tiba tiba Allah anugerahkan kesakitan. Dari keadaan sibuk lalu Allah beri tanda supaya duduk diam dan muhasabah diri. Fahami mesej dan tanda yang DIA anugerahkan. Lihat dimana kesilapan kita. Itulah anugerah, agar kita sedar dan faham bahawa apa yg terjadi dalam kehidupan kita ini punya segala macam tanda atau hikmah dari Illahi.

Kita selalu silap dan lupa bahawa ada hikmah tersembunyi atau mesej Illahi dalam setiap perkara yang berlaku dalam hidup. Semakin kita kerap lupa dan tidak menyedari itu semakin banyak pula DIA memberi mesej tersebut. Ini kerana DIA punya kuasa dan hak untuk menyayangi hambaNya. Hanya kita sahaja yang tidak menyedari buat sekian kalinya akan kasih sayang Illahi tersebut. Akhirnya kita 'letih' dan 'penat' menerima peristiwa yang terkandung didalam mesej tersembunyi itu lalu kita terus alpa dan ia menyebabkan kita engkar dan menafikan. Saat itu nafsu dan fikiran bersatu menafikan hakikat dan diri akhirnya 'memberontak'.....

Apabila kita memberontak dan bersikap menafikan apa yang berlaku, kita tiada daya usaha untuk memahami mesej Illahi. Inilah yang sering berlaku. Lalu peristiwa atau musibah yang berlaku yang asalnya dan sepatutnya mengubah kita menjadi insan yang lebih tawadhuk menjadi sesuatu yang buruk kerana kita 'memberontak', jiwa jadi tidak keruan. Iman yang ada tidak mampu memandu kita ke jalan yang lurus lalu kita menjadi insan yang kufur dan terpesong. Kata kata makian dan sikap menyalahkan apa yang berlaku berkembang menjadi suatu tindakan mungkar. Itulah kita ini manusia yang dikatakan sering lupa dan alpa. Inilah kesilapan kita dalam memahami mesej Illahi.

Hargailah kasih sayang Allah yang datang dengan berbagai cara. Ada yang sihat lalu sakit, ada yang kaya lalu jatuh miskin, ada yang lapang kemudian sibuk, ada yang muda kemudian tua, dan hidup sebelum mati. Ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara....ia datang terkadang bertimpa timpa, agar kita jadi manusia yang tidak alpa, segalanya datang dariNya, tiada sesuatu yang terlepas dari pengetahuanNya dan tiada sesuatu yang tiada ertiNya. Semuanya bererti agar kita sentiasa berada dalam keadaan mengingatiNya. 

Ia satu anugerah, ia juga suatu nikmat dan ia adalah kasih sayangNya....syukurilah kasih sayangNya, jangan biarkan DIA membenci kita pula, terimalah mesej dan hikmahNya dengan pasrah dan redha....agar kita menjadi insan yang sentiasa mendapat keampunan, rahmat dan redhaNya......


Sent from my iPhone


No comments: