Tuesday, April 1, 2014

Jika Dia ada bersama kita....


Assalamualaikum wrt wbt...

Salam sejahtera.....moga kalian berada dalam situasi dan keadaan dirahmati, diredhai, diampuni, dilindungi dan diterima segala doa, solat dan ibadah kalian! Amiin


MH370, RABI4, EG529, Rohingya, Gaza, Palestin dan Syria malah di mana mana lagi di daerah dunia ini adalah sebahagian cerita dan sejarah yang terukir sejak akhir akhir ini. Tiada putusnya peristiwa dan tiada hentinya kekejaman. Tiada satupun yang menunjuk kepada kehebatan manusia malah ia manifestasi kezaliman yang melata di atas mukabumi. Walau apapun sebabnya, perlu kita renung sejenak bahawa ia adalah keruntuhan ketamadunan akibat dari kesilapan, kesalahan dan dosa serta kerakusan manusia dalam perlumbaan memegang kuasa dan wang di atas bumi yang fana ini.Undang undang rimba meliputi dan menguasai manusia. Kebatilan menjadi order dunia lalu kebobrokan berlaku. Tamak haloba dan hawa nafsu melonjak insani melewati batas kemanusiaan lalu jatuh kedalam fikiran kehewanan. 



Sedihnya akan perlakuan melampui batas ini kerana hati mengetahui bahawa PEMBALASAN dan AZAB akan mendatangi bukan sahaja kepada pelaku malah semua yang ada. Kebejatan ini berleluasa kini, tidak mampu kata kata merakam betapa hinanya perlakuan, betapa kejamnya jiwa kebinatangan dan betapa manusia bukan lagi manusia. Hanya kerana perbedaan dan permusuhan yang tiada hentinya antara satu sama lain maka pembunuhan, penyiksaan dan kezaliman perbuatan menjadi mainan dan lakonan sebenar dalam kehidupan.




Jika Dia bersama kita......alangkah malunya kita yang berada di kejauhan ini kerana tidak mampu berbuat apa apa. Lalu kita akan ditanya, apa yang dikau perbuat untuk menolong saudara saudaramu? Tiadakah terdetik dihatimu untuk berbuat apa apa sekalipun? Mengapa dikau biarkan ia terus berlaku? Jika kamu lemah mengapa kamu tidak perkuatkan dirimu? Mengapa masih asyik dengan dunia dan kebendaan yang engkau rangkul seeratnya? Mengapa tidak engkau tinggalkan dunia lalu engkau perteguh iman dan taqwa agar engkau punya kekuatan dan keutuhan yang jitu untuk melawan kezaliman? Mengapa masih lagi terkinja kinja menikmati dunia sedang saudara mu dibakar hangus, ditimbus hidup hidup, dirogol berulang kali, ditelanjangi di hadapan kezaliman dan kemungkaran? Tidakkah terdetik dihatimu erti belas dan peri kemanusiaan? Tidakkah mahu kamu bangkit dan melawan? lalu kamu katakan tiada daya dan tenaga kerana lemahnya diri? Adakah itu alasan mu? Mengapa tidak dikau pelajari kegemilangan dan pelajaran dari peristiwa silam? Kekuatan hanya hadir dengan iman dan taqwa! Kekuatan dan ketakutan musuh bukan hadir dengan kecaman, tuduh menuduh, perselisihan sesama! Benarlah bahawa bilangan kamu banyak tapi sebenarnya kamu hanya seumpama buih di lautan! Musuh tidak gentar kerana kamu sememangnya punya penyakit WAHN! Kamu benar benar alpa dek kerana cintakan dunia lalu kamu takut mati......yang akhirnya kamu dikeronyok oleh mereka yang zalim dari kalangan penguasa dan musuh musuhmu!




Jika Dia ada bersama kita...tentunya Dia (Nabi Muhammad saw) akan mengingatkan kita sesuatu yang pernah diungkapkanya suatu ketika dahulu! Malunya aku kerana berada dalam jalan cintakan dunia dan takutkan mati lalu aku mengungkap mahukan syurgaNYA??? Gerangan apakah ini wahai diri!!!

Ingatlah pesan Baginda:

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:﴿يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ


Dari sahabat Tsauban r.hu berkata, “Telah bersabda Rasulullah saw,

"Hampir saja bangsa-bangsa berkumpul menyerang kalian sebagaimana mereka berkumpul untuk menyantap makanan di nampan. Salah seorang sahabat bertanya, “Apakah karena sedikitnya jumlah kami pada saat itu?” Beliau menjawab, “Bahkan pada saat itu jumlah kalian banyak, tetapi kalian seperti buih, buih di atas lautan. Sungguh Allah benar-benar akan mencabut rasa takut pada hati musuh kalian dan sungguh Allah benar-benar akan menghujamkan pada hati kalian rasa wahn.” Kemudian seseorang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta kepada dunia dan takut mati”.


Sent from my Iphone

No comments: