Friday, October 2, 2015

Ku jelajahi Sepanyol: Seville ke Granada....Siri 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Ku sambung coretan lalu ku gali pengalaman.














Pagi itu setelah sarapan kami menuju ke Stesen Bas Seville, mahu mencari pengangkutan ke Cordoba. Jenuh membelek dan membaca serta mengunjungi dari satu kaunter ke kaunter melihat waktu perjalanan. Seperti biasa bahasa Sepantol menjadi kekangan, mereka tidak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Orang Sepanyol tidak memandang bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Malah kebanyakan negara Eropah berkomunikasi dengan bahasa Perancis.

Hanya sangat kecil bilangannya yang ku temui yang faham sepatah dua kata dalam bahasa Inggeris. Perlu menemui "ORANG LUAR" atau immigran yang bukan berbangsa Sepanyol untuk berbahasa Inggeris.....ada peluang yang besar bahawa mereka akan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Jadi aku menuju ke sebuah kedai runcit kecil yang dimiliki oleh seorang perempuan Cina. Benar! Dia berkomunikasi sedikit sebanyak dalam bahasa Inggeris. Membantuku dengan menunjuk arah serta cara untuk menuju ke Cordoba. Akhirnya kami di dalam bas menuju ke Cordoba, yang mengambil masa kira kira 1 jam lebih perjalanan. Tertulis di penunjuk jalan perkataan MEDINAT AZZAHRA.....oh aku semakin dekat ke Cordoba. Tiket bas tidaklah mahal. Masih lagi dalam peruntukan bajet musafirku.
Gembiranya rasa di hati...cumanya apabila kita bermusafir sebegini, tambahan pula dengan bas, kita tak tahu dimana kita patut berhenti dan turun bas. Jadi, kami mengambil jalan selamat dengan turun di stesen bas utama Cordoba...Estacion De Cordoba namanya....

Tengahari di Cordoba


Cordoba memang gah namanya dan sejarahnya yang selalu di sebut sebut. Aku belajar tentang Cordoba saat di UIA, ketika mengambil subjek History of Political Thoughts.....nama Cordoba terus terngiang ngiang di telinga ku sejak itu. Cerita tentangnya kedengaran sangat hebat. Apabila sampai di sini, jejak mata mengakui betapa hebatnya Cordoba ini. Memang benar. Amatlah rugi jika berkunjung ke Sepanyol akan tetapi tidak mampir di Cordoba dan lalu menelusuri kesan sejarah dan kegemilangan Cordoba ini di celah celah lorong dan penempatan kemudian berhenti rehat sambil minum kopi Cordoba sambil menikmati pemandangan Cordoba lewat petang yang sangat asyik dan indah. Keindahannya umpama syurga dunia....

Melawat Masjid Cordoba yang sangat indah dan cantik serta mengagumkan......berada di sana sehingga matahari tenggelam. Syahdu menyaksikan sesuatu yang pernah gemilang di abad ke 8 dahulu, kini kusam, hilang seri akan tetapi masih menampakkan kehebatan dan kegagahannya....ia sesuatu yang amat mengagumkan pandangan. Aku sedih kerana ia juga mercu tanda runtuhnya Islam di Cordoba.....dulunya masjid Cordoba yang cantik dan indah sekali, sekarang sudah menjadi gereja. Aku kagum dan takjub dengan senibinanya.....benar kata orang, jika pergi ke Sepanyol, 'wajib' bagi ziarah lihat dan hargai sendiri Cordoba dan Al-Hamra....malah sehingga hari ini, kawasan itu dikenal sebagai Madinatut Zahra' dan tertera di papan tanda jalan....hanya berjalan kaki sekitar 10-15 minit dari stesen bas Estacion de Cordoba....


Cordoba memang indah dan cantik..ia agung. Ia manifestasi kehebatan Islam suatu ketika dahulu. Sekarang ia tinggal kenangan. Kami berjalan di sekitar Masjid Cordoba, melalui lorong lorong kecil yang penuh dengan gerai menjual cenderamata. Kami terpana melihat ukiran di dinding luar masjid dan dalam masjid Cordoba ini. Sayu dihati melihat tinggalan Islam ini sudah menjadi gereja. Ia bukan milik KITA lagi. Melihat rumah rumah dengan senibina indah di sekitar masjid Cordoba ini serta kawasan lapang di luar dan dalam masjid mengingatkan aku betapa suatu ketika dahulu di sinilah pusat tamadun ilmu, budaya dan kehebatan sains dan teknologi umat Islam. Nama nama seperti al Farabi dan al Kawarizmi terpacul dalam ingatan ku. Aku membayangkan kumpulan kumpulan pelajar dan para ilmuwan berdiskusi dan berilmiah sesama di sini. Disinilah juga kemuncak tamadun Islam berkembang suatu ketika dahulu. Bersamaan dengan Istana Al Hamra yang hebat dan mengagumkan.

Aku termenung di birai jambatan Cordoba sehingga lewat petang menyaksikan sang mentari tenggelam dengan penuh kesyahduan menutupi sinar gemerlapan Masjid Cordoba yang indah ini. Menjelang malam kami bertolak kembali ke Seville dalam keadaan lapar dan sejuk. 

Aku tidak mampu mengungkap pengalaman terindah apabila berada di Cordoba akan tetapi cukup ku katakan, bahawa jika kalian mencari suatu tempat yang hebat, tamadun hebat manusia dan umat Islam, kalian berkunjunglah ke sini. Sampai bila bila, selain dari Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al Aqsa, aku mengagumi Cordoba dan ia akan sentiasa menjadi kenangan terindah dalam hidup aku dan isteri ku.....

Kami pulang agak lewat ke Seville-Hotel Gran Lar....perjalanan yang sepatutnya hanya 1jam setengah menjadi 3 jam kerana pemandu bas telah tersesat jalan menuju ke Seville. Lapar betul malam itu, dengan kedinginan sekitar 4'C....akhirnya mee segera menjadi hidangan makan malam enak di kedinginan musim sejuk di Seville.


Pagi 24 Disember, aku keluar awal dari hotel Gran Lar, menuju ke Real Alcazar, Catedral Y Giralda, La Real Maestranza, Torre del Orro, Archivo de Indias di sekitar jalan Avenue de la Constitucion....satu kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan Islam di Sepanyol....ia bangunan banguna bersejarah yang lama dengan rekabentuk tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Cantik dan hebat rekabentuknya. Kami pulang ke hotel, makan tengahari nasi berlaukkan rendang daging dan serunding daging yang kami bawa dari rumah....lapar, dingin adalah satu kombinasi yang membangkitkan selera makan kami setelah dari pagi hingga tengahari kami berjalan jalan sekitar Seville.

Sekitar jam 1, kami check out dan menuju ke Estacion de Santa Justa untuk menaiki keretapi Renfe ke Granada.....hanya berjalan kaki sekitar 15 minit. Menaiki keretapi Renfe Media Distancia menuju ke Granada, aku melihat di kanan kiri ladang ladang pokok zaitun dan pokok oren yang luas dan cantik. Kelihatan juga bangunan kecil lama yang kelihatan seperti kubu kubu kecil tinggalan tentera Islam dahulu di lereng lereng bukit. Aku mengatakan ia kubu tentera Islam kerana rekabentuknya yang menyerupai rekabentuk Islam. Aku hanya sempat mengambil beberapa keping gambar akan tetapi kurang jelas kerana keretapi bergerak laju.

Tanggal 25 Ogos, aku berada dalam keretapi menuju ke Granada. Telefon Blackberry Bold 9790 ku ini pula mengalami masalah. Ia 'pening', sentiasa 'On Off'. Aku tidak dapat menggunakannnya untuk membuat catatan ini. Ia telefon yang paling lama aku gunakan. Sudah 2 tahun lebih ia setia menjadi medan aku menulis blog dan mengemaskini blog. Apapun....aku tiba di Granada lewat malam dalam suhu sekitar 5-7' selsius. Ia sejuk. Aku menuju ke Hotel Ben Humeya yang berdekatan dengan jalan Gran Vie Granada bersama isteri. Kami berehat dan lena tidur dalam kesejukan malam yang sangat dingin. Pemanas di bilik seolah olah tidak begitu berfungsi. Kami hanyut dalam tidur keletihan di kedinginan malam.

Keesokan pagi, dalam hujan renyai musim dingin, kami bergegas ke stesyen bas Granada seperti yang ditunjukkan oleh pekerja hotel. Dingin pagi serta hujan, kami berjalan kaki. Ia bukan stesyen bas Granada, ia adalah stesyen tempat menunggu 'city tour al hambra'....kami telah tersalah diberi maklumat. Mujur ada seorang wanita Magribi yang menunjukkan supaya kami menaiki bas no 3 yang akan menuju ke stesyen bas Granada. Aku menaiki bas ke stesyen kemudiannya. Sebenarnya amat kritikal untuk kami ke stesyen bas Granada secepat mungkin. Akhirnya kami sampai di sana.

Aku menuju ke kaunter bas ALSA Liners lalu bertanya berbagai soalan. Apa yang penting saat itu ialah memastikan bahawa tiket bas pulang dari Morocco ada iaitu dari Algeciras-bandar pelabuhan yang dulu dikenal sebagai Gibraltar ke Madrid pada tarikh 29 Disember, serta memastikan tiket bas menuju ke Casablanca juga ada pada esok hari iaitu 27 Disember juga ada, memandangkan bahawa pada saat itu ramai orang Sepanyol bercuti begitu juga orang Magribi yang bekerja di Sepanyol bertolak pulang ke Magribi. 

Kami juga perlu memastikan tiket 'as Safiinah' iaitu feri di Algeciras menuju ke Tangiers dan dari Tangiers menuju ke Taariifa juga ada. Inilah cabaran yang perlu kami uruskan pada hari ini di Granada. Semuanya diurus sendiri. Akhirnya, kami mengambil keputusan menuju ke Malaga untuk memeriksa keadaan Puerto de Algeciras sambil sambil melawat bandar paling selatan iaitu Malaga. Ia umpama bandar maritim. Banyak bot persiaran berlabuh di Malaga. Kami sampai di Malaga sekitar jam 4 pm. Sempat bertemu dan bersembang dengan penjual kebab bangsa Palestin yang membuka kedai kebab di Estacion de Autobuses de Malaga. Kami bertanya tentang perjalanan menyeberangi Selat Gibraltar melalui Algeciras. Dia memberi beberapa tip yang snagat berguna. Akhirnya setelah meyakini bahawa tiket pergi Morocco-Casabalanca mudah didapati serta tiket pulang dari Morocco juga mudah didapati, lalu kami membuat keputusan meneruskan perjalanan ke Morocco menggunakan bas dan pulang menggunakan keretapi. Rupa rupanya, kos menaiki keretapi dari Casabalanca ke Tangiers (pelabuhan di sebelah Morocco) lebih murah berbanding menaiki bas.....itu yang aku pelajari.

Friday, September 4, 2015

Kecil di debat....



Hatta perkara kecil pun kita bertelagah!

Apatah lagi perkara besar...
Alangkah ruginya kita!

Disputes among the ummah!

JADILAH SEORANG YANG BAIK, MESKIPUN ENGKAU TIDAK DILAYAN DENGAN BAIK


Aku mengambil hikmah ini--
JADILAH SEORANG YANG BAIK, MESKIPUN ENGKAU TIDAK DILAYAN DENGAN BAIK
Antara ungkapan Ibn al-Qayyim yg paling indah pernah aku baca:
"Seseorang kawan rapat tidak berkongsi kesakitan denganmu.....seorang kekasih tidak menanggung keperitanmu.....seorang rakan karib tidak menggantikan tempatmu untuk berjaga mlm....
Ambil beratlah tentang dirimu sendiri..
jagalah ia..
pimpinlah ia..
jangan kamu layan peristiwa yg berlaku melebihi kadar yang sepatutnya....
Pastikan dengan sebenar benarnya..
ketika engkau bersedih, tiada yg boleh menenangkanmu kecuali dirimu sendiri..
ketika engkau tewas, tiada yang boleh memenangkanmu selain dirimu sendiri..
kemampuanmu untuk bangkit semula tiada yg memilikinya selain dirimu..
Janganlah kamu cari nilai diri kamu pada pandangan manusia..
carilah ia dlm jiwamu sendiri..
bila jiwa itu tenang,
terangkatlah kedudukan..
bila kamu telah kenal dirimu...
maka apa yang dikatakan kepadamu tiada kesan mudaratnya lagi..
Usahlah engkau tanggung beban keresahan hidup di dunia kerana ia adalah milik Allah..
Usah jua kamu pikul beban keresahan mencari rezeki kerana ia adalah dari Allah
dan usahlah jua kamu pikul beban keresahan mengejar masa depan kerana ia adalah ditangan Allah..
Yang perlu kamu pikul hanyalah satu beban keresahan sahaja, iaitu bagaimana hendak melakukan perkara yang meredhakan Allah..
kerana pabila engkau meredhakan Allah,
Dia akan meredhaimu, mencukupi bagimu dan memadai untukmu...
Janganlah kamu berputus asa dengan kehidupan yang menyebabkan hati mu menangis..sebaliknya, katakanlah: "Ya Allah! gantikanlah untukku dgn kedua dua kebaikan di dunia dan akhirat..
Kedukaan itu akan hilang dengan satu sujud..manakala kegembiraan akan datang dengan satu seruan..
Allah tidak akan sekali-kali melupakan kebaikan yg telah engkau buat atau keresahan yang telah engkau tolong hilangkan atau mata yg hampir menangis yang engkau tolong ceriakan..
Hiduplah di atas prinsip:
Jadilah seorang yg baik, meskipun engkau tidak dilayan dengan baik..
bukan kerana mereka..tetapi kerana Allah suka kepada orang yang baik".

Terjemahan Dr Azwira Abdul Aziz.

Thursday, July 23, 2015

Aku dan Abah 2: Hidup utk orang lain.....

Ini sebahagian dari beribu ceritaku dengan abah, ia ku coretkan agar menjadi kenangan dan  simpanan untuk tatapan dikemudian hari........kalian juga punya abah dan kalian juga menyayangi abah kalian seperti mana aku jua....

Ceritaku dengan abah
Syawal 3, 1436H
Ceritaku dengan Abah
"Awi kat mana dah tu? Jam berapa agak agak nak sampai?" Suara pertama aku dengar berulangkali sejak memulakan perjalanan balik dari rumah mertua di Pasir Puteh, Kelantan.

"3 jam lagi sampai abah...kereta banyak ni, tak boleh nak laju!" ujarku. Itu jawapan ku kepada abah. Sekitar setengah jam lagi telefonku akan berdering lagi, panggilan dari abah bertanyakan aku dimana. Begitulah suasananya setiap kali aku memulakan musafir tiap kali cuti mahupun musim perayaan. Abah akan bertanya melalui telefon bila aku akan balik, jam berapa aku bertolak, pukul berapa aku akan sampai atau soalan soalan tentang kenapa aku balik lewat, kenapa aku tidak sampai sampai lagi. Itulah abahku.

Hari ini abah tidak bersuara lagi. Abah tidak menelefon ku lagi. Abah tidak lagi bertanya. Abah seolah olah telah tiada.

Aku sangat rindu soalan soalan dan pertanyaan khabar dari abah. Aku tahu itu maknanya abah ambil berat dan ambil peduli. Tiada lagi saatnya abah lebih ambil berat melainkan saat saat bertanya bila aku akan pulang dan jam berapa aku akan sampai.

Dulu aku serabut dengan soalan soalan abah sedemikian rupa. Aku pernah meninggikan suara menjawab soalan abah. Tapi abah tetap kerapkali dan acapkali menelefonku dalam perjalananku. Bertanya soalan yang sama. Itulah abah. Sebenarnya dia peduli dengan aku. Dia ambil berat tentang aku. Selalu juga abah tanya mak hal keadaan aku dan keluarga. Aku tahu abah juga bersikap sedemikian juga terhadap adik adikku yang lain. Hari ini aku merasa amat bersalah. Abah sudah tidak bertanya lagi. Aku sudah tidak mendengar suara abah ditelefon. Bahasa orang putihnya ialah 'Dad is no longer nagging me....i deeply miss the moment'...

Abah ambil peduli semua orang serta anak anak abah. Abah ambil berat tentang semua orang. Abah ambil berat sejak dulu lagi dalam banyak hal dan perkara. Abah hanya mahukan jawapan dan status terkini. Jika segalanya baik, abah tidak bertanya lagi. Abah tidak berbual tentangnya. Aku faham bahawa jika segalanya baik, maka hati abah tenteram, jiwanya tenang. Abah tidak bertanya lagi. Tahap kepedulian abah sangat tinggi hingga terkadang ia menjadi masalah buat abah. Orang lain Malah aku dan adik adik menjadi tidak selesa...aku pernah meninggi suara tatkala menjawabnya. Rimas! Namun hari ini aku merindui pertanyaan abah. Dan akubpasti aku akan terus merinduinya sampai bila bila

Hari ini Syawal ke 3, aku sedang bersiap nak balik ke rumah abah. Tahun ini giliran beraya di rumah mertua. Kebiasaannya abah akan menelefonku pada malam raya, raya pertama dan kedua. Dan bila masuk raya ketiga abah akan bertanya bila nak balik....akan tetapi tiada lagi pertanyaan itu.

Aku tahu abah tetap mengharapkan aku balik. Itu aku pasti. Harapan yang sama terhadap anak anak abah yang lain. Cumanya abah tidak seperti dahulu. Abah dah tak terdaya untuk ambil peduli. Abah tidak sibuk hal orang lain lagi. Tidak macam dahulu. Abah hanya mampu ambil peduli tentang dirinya. Abah dah tua sangat. Fizikalnya lemah, fikirannya tidak seperti dahulu. Sepanjang hari abah tidur dan tidur. Abah bangun bila lapar atau mahu pergi ke tandas atau solat. Abah hanya peduli akan dirinya. 

Sesekali abah bertanya pada mak tentang aku dan adik adik yang lain. Ringkas sahaja pertanyaan abah, kemudian abah peduli dirinya sahaja. Bukan abah hanya pentingkan dirinya sekarang. Abah sudah lemah. Aku akur dengan keadaan fizikal abah. Aku sekadar mengimbau kepedulian abah saat abah masih sihat dahulu. Aku rindu saat saat itu.

Cukuplah. Aku fikir memang sudah saatnya abah berehat dan ambil peduli tentang dirinya sendiri. Cukuplah abah ambil peduli tentang orang lain. Abah dah penat dan terlalu penat kerana abah sudah ambil peduli sejak dahulu lagi.

Apa yang abah tidak ambil peduli? Dari keluarga sendiri, keluarga orang lain, hal sendiri, hal anak anak, hal anak orang lain, hal orang lain, hal adik beradik abah, hal keluarga belah abah dan mak, hal orang kampung, hal jiran, hal anak anak jiran, hal anak anak orang kampung, sakit pening abah, keluarga abah, anak anak abah, orang lain malah hal nak bersalin di hospital tengah tengah malam pun abah urus. 

Anak orang lain nak masuk asrama pun abah urus. Anak orang lain tidak mampu nak masuk asrama tapi abah tahu potensi anak itu, tetap abah urus kerana abah tahu hanya pelajaran dan ilmu yang akan mengubah kehidupan keluarga anak itu. Berapa ramai yang telah berjaya dan mampu ubah kehidupan keluargnya dari tidak punya apa apa kini sudah bertambah baik kehidupannya. Berapa ramai anak saudara abah ambil SPM di rumah abah dan abah bayarkan yuran SPM agar mereka ada sijil dan boleh memohon kerja dengan sijil SPM. Kehidupan mereka kini telah bertambah baik, alhamdulillah. Aku semakin mengerti.

Itu semua berlaku kerana abah memang ambil peduli. Aku saksi hidup kepada semua itu. Sampai satu tahap dulu aku hairan dan pelik akan tahap kepedulian abah sampai begitu sekali. Namun sejak 10-15 tahun kebelakangan ini aku bertambah sedar dan memahami mengapa abah amat peduli sedemikian rupa. Aku kagum dengan semangat peduli abah. Aku kini memahami dan mewarisi...sebab itulah sejak kebelakangan ini jika ada orang datang jumpa abah mohon bantu, anak nak masuk asrama, anak nak masuk IPTA dan sebagainya, abah akan serahkan urusan itu kepada ku. Aku bantu semampunya, dan hari ini ramai saudara mara dan anak kampung ku yang telah ku usahakan berada di IPTA, maktab, sekolah asrama dan sebagainya. Aku hanya meneruskan legasi abah.

Sesekali, di Syawal 1436H yang berkah ini, bila ku renung sekujur tubuh kecil yang kurus sedang terlantar di satu sudut rumah kampung ini...aku imbau dan mengenang ceritaku dengan abah...ia tidak seperti dahulu lagi. Aku hanya mampu menyambung apa yang abah telah mulai sejak dahulu. Aku tidak mampu untuk ambil peduli sedemikian rupa seperti mana abah lakukan sejak dari mudanya abah hinggalah hari ini. 

Sejenak tubuh kecil itu berpaling dan bola matanya bersinar melihat aku. "Bila balik?" Tanya abah. "Baru kejap ni bah..." Jawabku. "Nanti jangan lupa yea bawak balik KL salinan borang borang permohonan atas meja tu, jangan sampai terlupa yea" kata abah. "Ok abah.."kataku. "Tolong la yea, tu anak si ??, si ?? dan si ??...."ujar abah. "Insyaallah abah..awi usahakan"kataku lagi. "Terimakasih banyak banyak yea" kata abah. Abah berpaling dan sambung tidur. 

Aku termenung sekejap. Abah masih lagi ambil peduli....dan aku di sini menyambung legasi abah...biarlah, aku usahakan sebaiknya agar abah puashati...agar saatnya abah kembali menemui Tuannya, abah tahu abah telah menyerahkan semangat kepeduliannya dan amanah ambil beratnya kepada ku...moga Allah berkati umur dan amal abah. Ya Allah, kunmohon padaMU dengan sebenar sebenar permohonan, terimalah abahku dikalangan hambamu yang soleh dan engkau redhai...

Di Syawal ini, Alwi anak abah ini memohon maaf atas segala keterlanjuran kata kata dan perbuatan, maafkan Awi abah kerana meninggi suara saat abah benar benar ambil peduli pasal Awi....moga Allah redha dengan amal dan umur abah...selamat hari raya abah, emak, maaf zahir dan batin daripada Awi, Sakinah sekeluarga begitu juga kemaafan dari anak anak abah yang lain-Anas, Mujahid dan Siti Hawa juga kemaafan dari menantu menantu abah serta mereka semua yang pernah abah ambil peduli bersangatan.....allahuakbar.
Mataku bergenang airmata saat ini buat sekian kalinya....

Monday, June 29, 2015

Aku dan Abah 1: Meraikan rakan dan sahabat...

Sekadar simpanan untuk tatapan dikemudian hari....
Ia salah satu dari beribu ceritaku dengan abah....

Ceritaku dengan abah......


Dulu, masa kami kecik, abah selalu bawa kami adik beradik setiap hujung bulan ke Teluk Intan...sate ialah menu utama kami. Kami selalu singgah kedai feveret kami. Kami adik beradik lawan siapa makan sate paling banyak...sehingga buncit perut makan sate. Abah akan senyum melihat kami. Tokey kedai tu pun dah kenal kami dan tahu kami suka berlawan sapa makan sate paling banyak...mak kata, jangan banyak sangat nanti muntah dalam kereta. Kami terkekek mendengar celoteh mak.
Selesai makan sate, adalah saat paling tidak ku gemari. Abah akan ke SKOMK Teluk Intan untuk urusannya. Kami menunggu di gerai minum sebelah pejabat SKOMK. Sambil tunggu abah kami minum air.
Beberapa ketika abah selesai, lalu turut bersama kami disertai oleh rakan rakan abah juga...aku tahu saat itu akan jadi saat paling panjang kerana abah akan bersembang dengan kawan kawannya selama berjam jam tanpa henti....
Aku dan adik akhirnya akan beransur pergi dan menunggu di kereta agar ia menjadi isyarat untuk kami balik. Mak dah lama tunggu di kereta. Namun, isyarat itu sia sia...kerana abah memang tak paham isyarat itu. Atau buat buat tak faham. Aku rasa abah saje jer buat tak faham sebab abah memang suka sembang dengan kawan kawan abah...sapa kawan abah yang aku tak kenal, semua aku kenal...silap ler dulu aku tak bawak buku catatan, kalau tak, dah tentu boleh buat cerita noel ler pasal apa sahaja yang abah sembangkan ngan kawan kawan abah.
Bila dah lama sangat (definisi lama sangat tu ialah lebih 2 jam yea), aku datang balik duduk di meja sebelah abah dan kawan kawannya sembang. Dengan akalku, aku suruh kakak gerai tu kira semua air minuman yang kami minum dan menyuruh kakak tu minta duit bayaran ngan abah....agaknya isyarat ini sangat jelas.
Akhirnya abah bangun dan membayar lalu ia suatu nikmat dan tanda bahawa kami semua boleh balik rumah.....seksa kadang kadang tu kalau ikut abah ke Teluk Intan...
Jenuh dibuatnya...tapi bab makan sate tu memang tak boleh tinggal...rugi kalau tak ikut..
Ini salah satu dari beribu kenangan bersama abah. Itu cerita ku dulu, sekitar lewat 70an hingga awal 80an.
Semalam abah termenung di kerusi luar rumah sebelum kami balik...abah dah tak banyak sembang, lebih banyak senyap....abah dah tak sekuat dan sesihat dulu. Abah dah tak kuar kemana dah. Entah apa yang difikiran abah.....aku pun tak tahu...dulu sentiasa sahaja ada orang datang rumah sembang dengan abah atau ajak abah keluar...melepak ler tu.
Kelmarin aku balik sekeluarga....Kelmarin juga abah sesak nafas dan tidak boleh tidur sampai ke pagi kata mak. Aku mengangguk kepala tanda faham.
Petang kelmarin aku urut bahagian belakang abah, urat yang selalu menyebabkan kita batuk atau sesak. Ada bengkak sebesar ibu jari. Aku urut sampai hilang bengkak tu. Lepas tu abah kata dia dah lega. Dia kata dah macam biasa....hanya itulah kata kata abah....
Lepas urut abah, aku solat terawih ngan anak anak dan isteri. Abah tengok jer kami solat sambil terbaring. Aku faham, abah dah tak larat.
Sebelum balik aku salam abah dan peluk abah, abah bisik "Terimakasih yea..." Dia ulang 2x. Kemudian abah diam. Aku terkedu tak mampu nak jawab. Ntah kenapa aku tak menjawab bila abah ucap terimakasih....walhal tak perlu pun sebenarnya abah ucap terimakasih. Aku banyak hutang dengan abah. Aku terkedu dan masih terkedu.....
Aku salam mak, peluk mak, mak bisik jugak ayat yang sama....mataku berair...

11 Ramadhan 1436H
28 Jun 2015

Friday, June 26, 2015

HE is our Business Partner....

Assalamualaikum wrt wbt....

Dear all...

My friend shares this story with me...and I love story too.

Don't you feel anything?......

#lifelesson
#mindframe

Image result for business partner imagesOne day, a very wealthy man was walking on the road. Along the way, he saw a beggar on the sidewalk. The rich man looked kindly at the beggar and asked him why he was begging. The beggar said, "Sir, I've been unemployed for a year now. You look like a rich man. Sir, if you'll give me a job, I'll stop begging." The rich man smiled and said, "I want to help you. But I won't give you a job. I'll do something better. I want you to be my business partner. Let's start a business together. The beggar blinked hard. He didn't understand what the older man was saying. 

"What do you mean, Sir? "I own a rice plantation. You could sell my rice in the market. I'll provide you the sacks of rice. I'll pay the rent for the market stall.. All you'll have to do is sell my rice. And at the end of the month, as Business Partners, we'll share in the profits. Tears of joy rolled down his cheeks. "Oh Sir," he said, "you're a gift from Heaven. You're the answer to my prayers. Thank you, thank you, thank you!" He then paused and said, Sir, how will we divide the profits? Do I keep 10% and you get 90%? 
Do I keep 5% and you get 95%? I'll be happy with any arrangement. The rich man shook his head and chuckled. 

"No, I want you to give me the 2.5%. And you keep the 97.5%. For a moment, the beggar couldn't speak. He couldn't believe his ears. The deal was too good to be true. The rich man smiled. He said, "I don't need the money, my friend. I'm already wealthy beyond what you can ever imagine. I want you to give me 2.5% of your profits so you grow" 
The beggar knelt down before his benefactor and said, "Yes Sir, I will do as you say. I'm so grateful for what you're doing for me"! 

The beggar now dressed a little bit better, operated a store selling rice in the market. He worked very hard. He woke up early in the morning and slept late at night. And sales were brisk, also because the rice was of good quality. And after 30 days, the profits were astounding. 

At the end of the month, as the ex-beggar was counting the money, and liking the feeling of money in his hands, an idea grew in his mind. He told himself, Gee, why should I give 2.5% to my Business Partner? I didn't see him the whole month! I was the one who was working day and night for this business. I did all the work. I deserve 100% of the profits.

The rich man came to collect his 2.5% of the profits. The ex-beggar said, "You don't deserve the 2.5%. I worked hard for this. I deserve all of it!" 

Image result for is allah listening to my prayers imagesIf you were his Business Partner, how would you feel? 
This is exactly what happens to us. 

ALLAH  is Our Business Partner. ALLAH  gave us life,  every single breath. ALLAH  gave us talents, ability to talk, to create, to earn money. 

ALLAH gave us a body, eyes, ears, mouth, hands, feet, a heart. 

ALLAH gave us a mind,  imagination, emotions, reasoning, language. 

Giving 2.5% (or 'ZAKAT') is an expression of gratitude and love. 

Dont forget to give back what you owe!

Monday, June 22, 2015

Ini tarbiah....

Ramadhan Mubarak ini adalah medan memperkukuh jiwa yang "sakit" agar segar bugar dengan taqwa dan nur Illahi...
Begitu ia juga medan membuang sisa negatif perangai buruk dan sikap jelik pada diri mahupun sisa toksik dalam tubuh fizikal agar kesihatan optimum dari segi fizikal, jiwa, mental dan rohani...
Doaku buat kalian semua agar sama sama kita melalui semua ini dan menjayakan ia dengan penuh taqwa dan keikhlasan...
Soalannya--kapan bila kalian tahu dalam sendiri bahawa jika kalian sedang sakit? Fikirkan lah..
Aku bukan selalu betul......Ya rabb ampuni aku dan perbaiki akhlak dan taqwa ku begitu juga teman teman ku....


Monday, June 15, 2015

Kembali menjelma.....mungkin juga.....

Assalamualaikum wrt wbt....

Image result for ramadhan yang berbeza imagesRAMADHAN kembali menjelma. Alhamdulillah kerana DIA beri kita masa dan umur untuk kita raih Ramadhan ini buat sekian kalinya. Itu tanda DIA masih beri rahmat dan peluang, rahmat untuk menikmati Ramadhan yang penuh berkat dan peluang untuk kita memohon ampun serta meraih pahala. Jangan dipersia.

Beri ketetapan atau setkan minda untuk meraih sebanyak di Ramadhan ini...cuba bilang berapa umur kalian. Tolak 7 tahun terawal, maka baki dari umur yang ada adalah nilai sekian kalinya kita menghadapi Ramadhan ini. 

Image result for ramadhan yang berbeza imagesMungkin juga..............kita tanyakan pada diri, adakah sama Ramadhan kali ini dengan yang telah kita lalui. Jika ia sama selama ini, maka tambah dan perbaiki lah. Raihlah sebanyak. Jangan jadikan Ramadhan ini berupa RUTIN yang sama tanpa ada penambahan kebaikan dan ibadah.

Mungkin juga...........kita habiskan 30 juzuk kali ini dalam tempoh 30 hari, atau setiap 10 hari 30 juzuk maka kita mampu khatam al-Quran sebanyak 3 kali. 

Mungkin juga ...........kita boleh bersedekah setiap hari RM10 untuk memberi makan kepada orang lain yang berpuasan (fakir dan miskin) jadikan ia amalan setiap hari dan usahakan mencari mereka yang fakir dan miskin. 

Mungkin juga ..............kita tambah tahajjud kita dan solat tasbih.....bukan sekadar 2 rakaat sebelum waktu subuh. Kita boleh buat seperti mana yang Nabi saw lakukan iaitu solat tahajjud 8 rakaat. Lalu kita tambah solat tasbih 4 rakaat.

Image result for ramadhan yang berbeza imagesMungkin juga............Ramadhan kali ini, kita berbuka ala kadar dengan kurma dan sedikit kuih muih dan bersahur dengan beberapa butir kurma sahaja serta air kosong. Tidak perlu bermewah dan membazir. Rasai peritnya mereka yang susah dan menderita, seperti saudara saudara kita di Syria, Palestin, Rohingya dan dimana mana. Lupakanlah Buffet Ramadhan di hotel hotel mewah buat kali ini. Lebih baik gunakan bajet yang ada dan menganjurkan berbuka puasa dengan saudara mara kita di rumah anak anak yatim, pelajar pelajar tahfiz atau rumah orang orang tua atau sanak saudara keluarga kita di kampung.

Mungkin juga......kita habiskan masa Ramadhan ini di masjid. Berpagian dan qiyamullail di masjid, berlewatan juga di masjid dengan tadarus selepas solat terawih. Tutup lah television di rumah, cutikanlah mana mana siaran yang tidak bermanfaat. Tidur awal dan bagun awal sekitar jam 3 pagi lalu qiyamullail.

Image result for ramadhan yang berbeza imagesMungkin juga.....pasaraya, Jalan Masjid India, atau Sogo atau Mid Valley atau mana mana tempat lagi adalah lokasi terakhir untuk dijejaki. Lupakan berbelanja kerana pasti kalian akan temui perkara yang sama kalian pernah temui seperti Ramadhan yang lalu....pakaian baru? langsir baru? cukuplah kita gunakan apa yang kita ada dan pakailah pakaian yang masih lagi baru dan elok untuk hari raya kali ini......jadikanlah hari raya ini penuh berbeza dengan kesederhanaan dan rasa tawadhuk selain mengukuhkan silaturrahim. Bukan ukhuwwah itu terbina dengan pakaian baru dan langsir atau perabot baru, akan tetapi ukhuwwah terbina dengan senyuman, ucapan salam serta ziarah menziarahi....kenangilah mereka yang tiada rumah akibat banjir besar melanda di negara ini pada tahun lalu....kenangilah mereka yang daif.

Image result for ramadhan yang berbeza imagesMungkin juga....Ramadhan kali ini kita cari masjid masjid yang mengimarahkan Ramadhan dan berterawih dengan surah surah yang panjang oleh imam imam huffaz satu juzuk satu malam....agar ia lebih memberi makna dalam solat terawih kita. Kita juga boleh bermusafir tatkala hujung minggu mencari masjid masjid di luar kebiasaan dan kawasan kita untuk merasai perbezaan dan roh Ramadhan di pelbagai lokasi. Lalu kita maksimumkan 10 Ramadhan terakhir dengan benar benar mencari Lailatul Qadr....kerana kita tidak pasti samada umur kita cukup panjang untuk bertemu Ramdhan akan datang.

Mungkin juga....Ramadhan kali ini kita penuhi dengan bersedekah pakaian kita kepada mangsa mangsa banjir, duit ringgit kita kepada saudara mara kita yang dhaif. "Jika bukan sekarang bila lagi, Jika bukan KITA siapa lagi?" 

Mungkin juga......Ramadhan kali ini, kita lebih sedikit tidur dan berjaga banyak pada malam hari, atau kita lebih banyak berdoa agar menjadi insan yang bertaqwa dan dipermudahkan melakukan ibadah dan melakukan TRANSFORMASI atau HIJRAH DIRI....agar menjadi insan yang lebih baik. Sedarilah bahawa RAMADHAN ialah kursus atau bengkel atau latihan sebulan yang Allah khususkan buat kita semua, maka rugilah jika diri sendiri GAGAL dalam tarbiah Ramadhan ini.....



“Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa” [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]


Tuesday, June 9, 2015

Warna kehidupan

Image result for sincere imagesAssalamualaikum dan salam sejahtera


Sekian lama, menjejak umur ke 43...pelbagai peristiwa....
Hari ini dan semalam juga penuh cerita....



Alhamdulillah diberi peluang untuk kita berbakti....
Bukan semestinya pada diri sendiri....


Malah orang lain yang ditepi....
Itulah kita jika mengerti....
Bahawa upaya diri perlu diberkati....
Dengan bantuan dan pertolongan yang mampu dan pasti.....


Image result for sincere images
Apa yang dicari...
Melainkain redha Illahi...
Walau penat membakar diri....
Rebah dan lelah menyakiti....
Kita sebentar kan kembali lagi...
Mengadap Illahi dengan timbangan amal diri...
Tidak pasti kan memberat kekanan mahupun ke kiri....

Saat berteleku aku menyendiri....
Bertanya mengapa aku sebegini...
Lalu kusedari jawapan ini....
Bahawa Allah sedang memberi....
Biarkan ia berupa ujian mahupun rezeki....
Dia hanya mahu tahu samada aku seikhlas hati....
Menongkah arus dan memberi erti....
Buat insan lain mahupun diri....
Dalam kehidupan yang singkat ini....

Image result for sincere images
Redha tidak datang sendiri...
ia datang dengan erti....
bagi yang mahu memahami....
jiwa pasrah hati mengerti....
ikhlas menjadi timbangan amal insani....

Dalam menyoal aku memahami.....
ini adalah warna kehidupanku ini.....





Ada yang datang lalu mengatakan:
"Tolong khabarkan kepadaku bagaimana harus ku lakukan dengan hidup ku ini...."

Ada yang ber'whatsapp' dengan aku:
"Tolong bantu bagaimana mahu menyelesaikan masalah hubungan ku dengan pasangan ku..."
"Tolong nasihatkan bagaimana mahu memulihkan hubungan saya dengan rakan saya..."

Ada yang ber'email':
"Tolong bantu mendapatkan pekerjaan buat ku....."

Ada yang bertelefon:
"Tolong kongsikan bagaimana engkau melakukan itu dan ini lantas upaya mengongsikannya..."

Ada yang ber'fb messenger':
"Tolong rawati dia.....kesayanganku....."

Hakikatnya....aku tidak punya segala jawapan.....
Sekadar butiran kecil kerana jawapan mutlaknya hanya padaNYA.....
Aku katakan kepada mereka, mengadulah kepadanya di sepertiga malam......



Saturday, May 16, 2015

Ku beli ESOK pada hari INI.....

Assalamualaikum wrt wbt...

Suatu hari....

Saya ungkapkan didalam hati -- tak mengapa wahai hati dan diri, aku sedang melabur masa dan keuntungan demi masa hadapan --- ku beli hari esok pada hari ini.

Nanti kan tiba saatnya aku kan tersenyum puas lalu saat itu mungkin mereka iaitu manusia akan berkata kepada ku untunglah kamu kerana engkau telah membeli masa mu saat yang lalu lantas engkau nikmati hasilnya hari ini.....Saat itu juga manusia kan berkata--untunglah dikau kerana keberhasilan yang kau raih hari ini.....

Lalu aku menjawab --ini kerana aku telah membeli hari ini di masa yang lalu--kalian tidak tahu betapa peritnya usaha membeli hari ini dimasa yang lalu--hanya aku yang mengerti bagaimana rasanya......lalu persoalannya mengapa kalian tidak melakukan perkara yang sama, sedemikian juga. Bermulalah....


Saat aku berhempas pulas membeli hari ini dimasa yang lalu--kalian dimana? Adakah kalian enak sahaja di rumah atau berseronok dimana mana---lalu hari ini salah kah jika aku ungkapkan bahawa aku ingin memberi hadiah buat diri ku dengan membelanjakan hasilan dari kutipan yang aku usahakan dimasa lalu?

....lalu bagaimana jika aku katakan kepada kalian, belilah masa dan hari hadapan dengan keringat dan usaha tanpa jemu atau lelah, ingatlah saat jiwamu merintih kapan harinya kan tiba buat mu lalu engkau katakan masanya akan tiba buat ku nanti kerana Tuhan tidak pernah menipu dalam firmanNya--sesungguhnya setiap kesusahan itu akan diikuti selepasnya dengan kesenangan....(Surah al insyiraah)

Sent from my iPhone

Tuesday, May 12, 2015

aku yang sudah lama.....

Seimbas lalu, di kala fajar, cahaya lembut menyapa,
kemudian memancar teriknya
lalu surut di dinihari jua
Kembali kelam
ada senyuman rembulan dalam suram
seketika cuma lalu ia pendam

usia berlalu
masa berjalan laju
aku lakar sejarah diriku
hari ini....aku belum lahir lagi
ibu masih kesakitan saat ini
lewat sore aku bingkas diri
mencabar kehidupan ini
ia 43 tahun yang berlalu pergi
sudah lama berpayung langit ini
memijak bumi
itu peluang yang dikurnia
terlepas banyak simpang dunia
tapi singgah di perhentian jua
aku temui kalian semua
dalam suka dan duka
dalam bicara dan tawa
dalam susah dan senang jua
lalu aku kecapi makna
persahabatan bersama
kenangan mengusik jiwa
lalu kalian ku ingati
bila berlalunya hari ini
kerana kalian bisa mengingati
diri yang tak seberapa ini
dalam doa dan bisikan hati
syukurku kepada Illahi
terimakasih ayah dan ibu
juga para guruku
isteri dan anak anakku
terimakasih sahabat dan rakanku
serta kenalanku
mahupun para pelajarku
kerana mengingatiku.....

hanya satu titip dari ku
ingati Allah selalu
kerna DIA pemiliki diriku dan dirimu

Sunday, April 19, 2015

Kenangan yang mengujakan




Mengenang kembali....Sejak 3 minggu lalu berkali kali hasrat disampaikan kepadaku....aku tidak dapat menolaknya....

Posted by Alwi Mohd Yunus on Friday, April 17, 2015