Friday, October 2, 2015

Ku jelajahi Sepanyol: Seville ke Granada....Siri 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Ku sambung coretan lalu ku gali pengalaman.














Pagi itu setelah sarapan kami menuju ke Stesen Bas Seville, mahu mencari pengangkutan ke Cordoba. Jenuh membelek dan membaca serta mengunjungi dari satu kaunter ke kaunter melihat waktu perjalanan. Seperti biasa bahasa Sepantol menjadi kekangan, mereka tidak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Orang Sepanyol tidak memandang bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa. Malah kebanyakan negara Eropah berkomunikasi dengan bahasa Perancis.

Hanya sangat kecil bilangannya yang ku temui yang faham sepatah dua kata dalam bahasa Inggeris. Perlu menemui "ORANG LUAR" atau immigran yang bukan berbangsa Sepanyol untuk berbahasa Inggeris.....ada peluang yang besar bahawa mereka akan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Jadi aku menuju ke sebuah kedai runcit kecil yang dimiliki oleh seorang perempuan Cina. Benar! Dia berkomunikasi sedikit sebanyak dalam bahasa Inggeris. Membantuku dengan menunjuk arah serta cara untuk menuju ke Cordoba. Akhirnya kami di dalam bas menuju ke Cordoba, yang mengambil masa kira kira 1 jam lebih perjalanan. Tertulis di penunjuk jalan perkataan MEDINAT AZZAHRA.....oh aku semakin dekat ke Cordoba. Tiket bas tidaklah mahal. Masih lagi dalam peruntukan bajet musafirku.
Gembiranya rasa di hati...cumanya apabila kita bermusafir sebegini, tambahan pula dengan bas, kita tak tahu dimana kita patut berhenti dan turun bas. Jadi, kami mengambil jalan selamat dengan turun di stesen bas utama Cordoba...Estacion De Cordoba namanya....

Tengahari di Cordoba


Cordoba memang gah namanya dan sejarahnya yang selalu di sebut sebut. Aku belajar tentang Cordoba saat di UIA, ketika mengambil subjek History of Political Thoughts.....nama Cordoba terus terngiang ngiang di telinga ku sejak itu. Cerita tentangnya kedengaran sangat hebat. Apabila sampai di sini, jejak mata mengakui betapa hebatnya Cordoba ini. Memang benar. Amatlah rugi jika berkunjung ke Sepanyol akan tetapi tidak mampir di Cordoba dan lalu menelusuri kesan sejarah dan kegemilangan Cordoba ini di celah celah lorong dan penempatan kemudian berhenti rehat sambil minum kopi Cordoba sambil menikmati pemandangan Cordoba lewat petang yang sangat asyik dan indah. Keindahannya umpama syurga dunia....

Melawat Masjid Cordoba yang sangat indah dan cantik serta mengagumkan......berada di sana sehingga matahari tenggelam. Syahdu menyaksikan sesuatu yang pernah gemilang di abad ke 8 dahulu, kini kusam, hilang seri akan tetapi masih menampakkan kehebatan dan kegagahannya....ia sesuatu yang amat mengagumkan pandangan. Aku sedih kerana ia juga mercu tanda runtuhnya Islam di Cordoba.....dulunya masjid Cordoba yang cantik dan indah sekali, sekarang sudah menjadi gereja. Aku kagum dan takjub dengan senibinanya.....benar kata orang, jika pergi ke Sepanyol, 'wajib' bagi ziarah lihat dan hargai sendiri Cordoba dan Al-Hamra....malah sehingga hari ini, kawasan itu dikenal sebagai Madinatut Zahra' dan tertera di papan tanda jalan....hanya berjalan kaki sekitar 10-15 minit dari stesen bas Estacion de Cordoba....


Cordoba memang indah dan cantik..ia agung. Ia manifestasi kehebatan Islam suatu ketika dahulu. Sekarang ia tinggal kenangan. Kami berjalan di sekitar Masjid Cordoba, melalui lorong lorong kecil yang penuh dengan gerai menjual cenderamata. Kami terpana melihat ukiran di dinding luar masjid dan dalam masjid Cordoba ini. Sayu dihati melihat tinggalan Islam ini sudah menjadi gereja. Ia bukan milik KITA lagi. Melihat rumah rumah dengan senibina indah di sekitar masjid Cordoba ini serta kawasan lapang di luar dan dalam masjid mengingatkan aku betapa suatu ketika dahulu di sinilah pusat tamadun ilmu, budaya dan kehebatan sains dan teknologi umat Islam. Nama nama seperti al Farabi dan al Kawarizmi terpacul dalam ingatan ku. Aku membayangkan kumpulan kumpulan pelajar dan para ilmuwan berdiskusi dan berilmiah sesama di sini. Disinilah juga kemuncak tamadun Islam berkembang suatu ketika dahulu. Bersamaan dengan Istana Al Hamra yang hebat dan mengagumkan.

Aku termenung di birai jambatan Cordoba sehingga lewat petang menyaksikan sang mentari tenggelam dengan penuh kesyahduan menutupi sinar gemerlapan Masjid Cordoba yang indah ini. Menjelang malam kami bertolak kembali ke Seville dalam keadaan lapar dan sejuk. 

Aku tidak mampu mengungkap pengalaman terindah apabila berada di Cordoba akan tetapi cukup ku katakan, bahawa jika kalian mencari suatu tempat yang hebat, tamadun hebat manusia dan umat Islam, kalian berkunjunglah ke sini. Sampai bila bila, selain dari Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al Aqsa, aku mengagumi Cordoba dan ia akan sentiasa menjadi kenangan terindah dalam hidup aku dan isteri ku.....

Kami pulang agak lewat ke Seville-Hotel Gran Lar....perjalanan yang sepatutnya hanya 1jam setengah menjadi 3 jam kerana pemandu bas telah tersesat jalan menuju ke Seville. Lapar betul malam itu, dengan kedinginan sekitar 4'C....akhirnya mee segera menjadi hidangan makan malam enak di kedinginan musim sejuk di Seville.


Pagi 24 Disember, aku keluar awal dari hotel Gran Lar, menuju ke Real Alcazar, Catedral Y Giralda, La Real Maestranza, Torre del Orro, Archivo de Indias di sekitar jalan Avenue de la Constitucion....satu kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan Islam di Sepanyol....ia bangunan banguna bersejarah yang lama dengan rekabentuk tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Cantik dan hebat rekabentuknya. Kami pulang ke hotel, makan tengahari nasi berlaukkan rendang daging dan serunding daging yang kami bawa dari rumah....lapar, dingin adalah satu kombinasi yang membangkitkan selera makan kami setelah dari pagi hingga tengahari kami berjalan jalan sekitar Seville.

Sekitar jam 1, kami check out dan menuju ke Estacion de Santa Justa untuk menaiki keretapi Renfe ke Granada.....hanya berjalan kaki sekitar 15 minit. Menaiki keretapi Renfe Media Distancia menuju ke Granada, aku melihat di kanan kiri ladang ladang pokok zaitun dan pokok oren yang luas dan cantik. Kelihatan juga bangunan kecil lama yang kelihatan seperti kubu kubu kecil tinggalan tentera Islam dahulu di lereng lereng bukit. Aku mengatakan ia kubu tentera Islam kerana rekabentuknya yang menyerupai rekabentuk Islam. Aku hanya sempat mengambil beberapa keping gambar akan tetapi kurang jelas kerana keretapi bergerak laju.

Tanggal 25 Ogos, aku berada dalam keretapi menuju ke Granada. Telefon Blackberry Bold 9790 ku ini pula mengalami masalah. Ia 'pening', sentiasa 'On Off'. Aku tidak dapat menggunakannnya untuk membuat catatan ini. Ia telefon yang paling lama aku gunakan. Sudah 2 tahun lebih ia setia menjadi medan aku menulis blog dan mengemaskini blog. Apapun....aku tiba di Granada lewat malam dalam suhu sekitar 5-7' selsius. Ia sejuk. Aku menuju ke Hotel Ben Humeya yang berdekatan dengan jalan Gran Vie Granada bersama isteri. Kami berehat dan lena tidur dalam kesejukan malam yang sangat dingin. Pemanas di bilik seolah olah tidak begitu berfungsi. Kami hanyut dalam tidur keletihan di kedinginan malam.

Keesokan pagi, dalam hujan renyai musim dingin, kami bergegas ke stesyen bas Granada seperti yang ditunjukkan oleh pekerja hotel. Dingin pagi serta hujan, kami berjalan kaki. Ia bukan stesyen bas Granada, ia adalah stesyen tempat menunggu 'city tour al hambra'....kami telah tersalah diberi maklumat. Mujur ada seorang wanita Magribi yang menunjukkan supaya kami menaiki bas no 3 yang akan menuju ke stesyen bas Granada. Aku menaiki bas ke stesyen kemudiannya. Sebenarnya amat kritikal untuk kami ke stesyen bas Granada secepat mungkin. Akhirnya kami sampai di sana.

Aku menuju ke kaunter bas ALSA Liners lalu bertanya berbagai soalan. Apa yang penting saat itu ialah memastikan bahawa tiket bas pulang dari Morocco ada iaitu dari Algeciras-bandar pelabuhan yang dulu dikenal sebagai Gibraltar ke Madrid pada tarikh 29 Disember, serta memastikan tiket bas menuju ke Casablanca juga ada pada esok hari iaitu 27 Disember juga ada, memandangkan bahawa pada saat itu ramai orang Sepanyol bercuti begitu juga orang Magribi yang bekerja di Sepanyol bertolak pulang ke Magribi. 

Kami juga perlu memastikan tiket 'as Safiinah' iaitu feri di Algeciras menuju ke Tangiers dan dari Tangiers menuju ke Taariifa juga ada. Inilah cabaran yang perlu kami uruskan pada hari ini di Granada. Semuanya diurus sendiri. Akhirnya, kami mengambil keputusan menuju ke Malaga untuk memeriksa keadaan Puerto de Algeciras sambil sambil melawat bandar paling selatan iaitu Malaga. Ia umpama bandar maritim. Banyak bot persiaran berlabuh di Malaga. Kami sampai di Malaga sekitar jam 4 pm. Sempat bertemu dan bersembang dengan penjual kebab bangsa Palestin yang membuka kedai kebab di Estacion de Autobuses de Malaga. Kami bertanya tentang perjalanan menyeberangi Selat Gibraltar melalui Algeciras. Dia memberi beberapa tip yang snagat berguna. Akhirnya setelah meyakini bahawa tiket pergi Morocco-Casabalanca mudah didapati serta tiket pulang dari Morocco juga mudah didapati, lalu kami membuat keputusan meneruskan perjalanan ke Morocco menggunakan bas dan pulang menggunakan keretapi. Rupa rupanya, kos menaiki keretapi dari Casabalanca ke Tangiers (pelabuhan di sebelah Morocco) lebih murah berbanding menaiki bas.....itu yang aku pelajari.

No comments: