Showing posts with label pengorbanan. Show all posts
Showing posts with label pengorbanan. Show all posts

Tuesday, October 20, 2015

Jiwa besar.....


Suatu ketika dalam detik waktu yang terdahulu....ini kisahnya.
Setiap pagi saat aku menuju ke tempat "thumbprint" di pejabat aku pasti terserempak dengan mereka...

Itulah rutinnya...
Setiap hari itulah, mereka memulakan kerja..
Seawal pagi melaksanakan tugas tanpa jemu...
Ruang dan kawasan sangat besar untuk diselesaikan..
Tapi mereka terap tersenyum dan sentiasa menegur ku atau aku menegur mereka..


Biasa biasa akan tetapi semangat luarbiasa...
Itulah si tukang sapu...
"Assalamualaikum selamat pagi tuan"...begitulah. Pernah aku bertanya jam berapa sampai? "Seawal jam 6.30 pagi" jawab mereka. Pernah juga aku ucapkan terimakasih dan belanja sarapan pagi....seraya bertanya. "Hari Sabtu pun kerja?" tanyaku. "Kena buat tuan, sebab kalau tak buat hari Isnin nanti habis bersepah lagi banyak" ujarnya.

Aku termenung..

Kalau setiap dari diri yang ada di pejabat ini menjaga kebersihan pasti tidaklah terlalu banyak kerja yang perlu dilunaskan.

"Tak pe tuan, saya pun nak buat pahala untuk diri saya. Saya ni ngaji tak tinggi tapi sekurang kurangnya biarlah saya mampu menyumbang untuk anak bangsa kita...seperti mana tuan mengajar anak bangsa kita...tuan pun selalu balik malam sebab ada kelas malam" dia menjelaskan seolah olah memahami apa yang ada dibenak kepalaku. Aku termenung kembali....terdetik bahawa insan ini punya pemikiran dan pemahaman luar biasa akan erti perjuangan dan pengorbanan.
 Hari ini dia umpama guru pula kepada ku yang kerdil ini. Aku pelajari dari insan ini erti tidak mementingkan diri....sebuah erti pengorbanan dan semangat juang walau tanpa imbuhan atau imbuhan yang amat sedikit.

Ini cukup luar biasa bagiku...hati budinya yang sungguh luar biasa. Inilah aura yang hebat dari orang yang biasa biasa tapi punyai semangat dan daya juang luar biasa...

Aku terus termangu...memikirkan adakah pelajar pelajar ku yang bakal jadi insan insan 
hebat suatu hari nanti kan mengerti hari ini dan sekarang erti sebuah pengorbanan dan perjuangan yang ikhlas?



Kadang kadang kita perlu lebih mensyukuri hidup ini dan bersyukur kerana dipertemukan dengan insan insan hebat yang memberi kita secebis hikmah dan pengajaran. Jangan jadi manusia yang hanya menongkat langit tanpa melihat ke bumi kelak kan jadi umpama Tanggang mahupun Qarun atau Firaun yang angkuh dengan duniawi dan apa yang dimiliki walhal tidak secebis pun memiliki segala yang diRASAkan dimiliki kerana sesungguhnya semuanya adalah milikNYA....

Kita hanya sekadar punya RASA memiliki walhal sebenarnya kita tidak memiliki langsung. Segalanya adalah miliknya...telefon bimbit yang canggih yang dibeli dengan duit kita pun bukan milik kita secara hakiki....malah duit yang diguna untuk membelinya juga bukan milik mutlak, ia rezeki dari Allah dan milik Allah. Hatta nafas yang dihirup dan dihembus pun bukan milik kita....lalu bagaimana mungkin kita harus mendabik dada? Bahkan sesungguhnya, kita tidak layak langsung untuk mendabik dada dan bermegah. Oleh kerana manusia itu zalim terhadap dirinya dan menjadi angkuh dan megah lalu cuba mengambil keangkuhan dan kemegahan yang merupakan  milik Allah maka manusia dijanjikan dengan seksa dan azab dek kerana bermegah dengan apa yang bukan miliknya...

Aku mengimbau....lalu hingga saat ini sesekali aku teringat ungkapan si tukang sapu...dia hebat bagiku. Moga moga Allah redhai amalnya.....

Saturday, November 29, 2014

Biasa biasa menjadi luarbiasa.....

Assalamualaikum wrt wbt....


Ini kisah yg penuh pengajaran...pengorbanan untuk berjaya dan sokongan disekelilingnya.....aku amat memahami situasi ini....


Aku teringat akan program program yang ku gagahi untuk anak yatim mahupun pelajar pelajar ku...tiada jalan mudah dan singkat untuk sebuah kejayaan, perjalanan si Ayub masih lagi jauh namun perjalanan perlu sentiasa diteruskan, lonjakan perlu sentiasa diberi....aku doakan kejayaannya!
Kasih dan pengorbanan seorang ayah dan semangat sang ibu.....sokongan sang guru menjadi SATU dan tergabung dalam sebuah erti yang mampu diungkap sebagai kejayaan! Inilah dia kemanisan pengorbanan....
Bagi sang guru....memandaikan yang biasa biasa berbanding yang bijak pandai adalah dua konsep yang berbeza.....ia perit dan penuh cabaran, ia sukar namun tidak mustahil.....natijahnya ialah kepuasan diri! 

Tidak menjadi suatu kepelikan jika gen pandai itu terus cemerlang akan tetapi berbeza sekali kepada yang biasa biasa. Memandaikan yang biasa biasa menjadi amat bernilai dan bermakna jika yang biasa biasa ini menjadi luarbiasa! Ia kerana yang biasa biasa ini deberi dorongan dan dipimpin agar menjadi luarbiasa pencapaiannya lalu menghadiahkan kejayaannya dalam bentuk mengubah kehidupan dirinya dan keluarganya. 

Hakikatnya tiada yang mustahil dalam kehidupan ini.....hijrah tetap perlu diusahakan dan dilakukan dengan dokongan dan dorongan!
Kepada si Ayub...teruskan kejayaan mu, teruskan perjuangan mu.....moga kejayaan mengubah kehidupan ini menjadi realiti yang bermakna dan diredhai Allah....Insyaallah, Tuhanmu akan membantumu dalam usaha dan perjalanan kehidupanmu.....

"......rasa itu lah yg perlu diBANGKITkan.....kerana dengan rasa itu akan hadir keSEDARan lalu SEMANGAT kan menjelma.....kita sering SEPI dengan RASA lalu KASIH tiada malah DORONGAN menjadi lesu....."

Penuh pengajaran bagi diriku yang lemah ini.....aku punya tanggungjawab dan amanah yg sedemikian rupa!

http://hensemedia.blogspot.com/2014/11/kisah-menyanyat-hati-keputusan-upsr.html

Thursday, November 15, 2012

Jauh dan perit musafir itu demi KITA

Salam ukhuwwah...

Bila ditelusuri dan ditoleh ke belakang, jauh kebelakang dalam lipatan sirah dan sejarah, terdetik RASA hiba dan pilu. Pilu dan sedih kerana perjuangan mereka itulah kita punya apa yang kita ada pada hari ini. Dalam kegelisahan dan kebimbangan, dia mengetap bibir, menitis airmata menahan kesakitan akibat kakinya digigit (ular@lipan@haiwan berbisa??) dalam keadaan memangku kepala insan agung di pangkuannya. Agak lama sebelum titisan air mata dek menahan kesakitan itu mengenai wajah mulia Baginda Nabi saw. Lalu Baginda tersedar lalu bertanya "Mengapa wahai Abu Bakar?" Walhal saat itu, sahabat paling akrab ini, teman paling kasih dan setia ini jika boleh tidak mahu mengganggu lenanya baginda Rasulullah saw....dalam hatinya hanya bimbang dan risau jika diketahui tempat persembunyian mereka oleh pemuka pemuka dan pembunuh pembunuh upahan kafir Quraisy! Itulah Abu Bakar r.a.
Itulah sebahagian cebisan peristiwa yang tertinta dalam lipatan sejarah! Adakah kita ambil peduli akan pengorbanan mereka berdua?? Adakah kita ambil tahu?? Adakah tiada RASA walau barang sedikitpun untuk memberi apresiasi akan hebatnya pengorbanan dan perjuangan mereka berdua ini? Tidakkah kita ketahui bahawa apa yg kita punyai hari ini...nikmat IMAN dan ISLAM adalah bertitik tolak dari perjuangan mereka yang terdahulu amnya dan perjuangan mereka berdua khususnya 1434 tahun hijri yang lalu! Dimana hilangnya RASA itu? Mengapa RASA itu tidak hadir, mengapa belas itu tiada dalam hati kita hari ini?

Salah satu puncanya ialah kerana kita ambil mudah, tidak ambil peduli, kita biarkan ia sekadar berlalu pergi, kita jarang mengimbau dan mengingati....kita lebih tertumpu terhadap urusan diri dan duniawi diri! "Aah! Itu dulu! Sekarang lain", "aku sendiri sudah punya cukup masalah untuk difikirkan dalam kehidupan ini", "dulu lain, sekarang lain", "mereka insan hebat...aku tiada apa apa". Malah berbagai alasan menerjah dalam kotak fikiran kita. Sebenarnya kita terlalu pentingkan diri sendiri jika itu yang kita ungkapkan! Kita hanya pedulikan diri sendiri, walhal akhirnya nanti kita perlukan syafaat baginda Nabi saw di akhirat kelak. Kita tidak mahu muhasabah dan mengenang perjuangan mereka, hati kita cukup 'keras' untuk memberi perhatian terhadap kisah ini! "Ada aku kisah?" Itulah yang kita ungkapkan dibibir mulut. Inilah kita! "Nauuzubillah"

Jika kita benar ambil peduli, bilakah kita mengimbau kisah ini? Bilakah kita bercerita kisah kisah mereka kepada anak anak kita malah keluarga kita! Adakah selama ini kita melalui titian kehidupan dengan mengambil ibrah@pengajaran dari kisah kisah perjuangan dan pengorbanan mereka? Lalu menuruti jejak langkah mereka iaitu "orang orang yang berjaya di dunia dan akhirat?" Tidakkah benar jika aku katakan kepada kalian bahawa jika tidak kerana datuk dan nenek kita malah moyang kita yg menanam pohon durian itu suatu waktu dulu, mampukah kita merasai buah durian yang enak dan lazat yang kita nikmati pada hari ini? Sudah tentu tidak! Adakah mereka mengharapkan pohon durian itu akan segera tumbuh dan menghasilkan buah tika hayat mereka? Sudah tentu tidak! Begitulah jua kehidupan kita hari ini. Jika bukan kerana pengorbanan, usaha dan perjuangan mereka yang terdahulu, tentu tidak dapat sama sekali kita nikmati kemudahan dan kesenangan kehidupan yang kita lalui pada hari ini! Itulah hakikat kehidupan. Ia saling berkait antara zaman ini dan zaman sekarang mahupun zaman akan datang! Tidak boleh dinafikan sama sekali!

Jika bukan kerana perjuangan orang orang terdahulu, tidaklah Islam ini sampai ke jagat raya alam Melayu ini! Hargailah nikmat IMAN dan ISLAM ini dengan sebenar benarnya dan dengan bersungguh sungguh! Jangan alpa dan lalai! Ikutilah jejak perjalanan yang telah dilalui oleh mereka yang mendapat REDHA Allah! Syukurilah dan hargailah perjuangan Nabi saw dan para sahabat, para tabiin, para tabi' tabiin, para ulama, para syuhada'.....

 Maal Hijrah! Hijrahlah diri dengan sebenar benarnya dengan mengikuti jalan yang dicontohi oleh para anbiya dan muttaqiin terdahulu! Siapa kita hari ini tidak penting, akan tetapi apa yang lebih utama ialah apa yang boleh dan mampu kita sumbangkan terhadap ISLAM lalu kita manifestasikan dalam kehidupan ini, adalah lebih utama dan penting! Jangan terkeliru! Perbaikilah diri, perbaikilah urusan agama! Perbaikilah akhlak! Mari kita laksanakan TRANSFORMASI HIJRAH DIRI sempena MAAL HIJRAH ini.....Ameen Ya Rabb!


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.