Tuesday, August 16, 2011

Fahami pendekatan dakwah Rasulullah saw.....kreatif dan bijaksana!


Assalam semua...

Ceritanya menarik, namun cuba fahami hikmah sebaliknya....pendekatan dakwah yg menarik...yg sangat perlu kita kuasai supaya lebih kreatif dan berkesan maqasid dakwah....

Islamnya KHALID AL-WALID

Khalid bin Al-Walid seorang panglima perang yang hebat. Keislaman beliau, menambah kuatkan lagi pengaruh Islam, malah menggerunkan setiap musuh-musuh Allah, sama ada mereka bernama Musyrikin, ataupun munafiqin.

Nabi SAW pernah bersabda;

خالد بن الوليد سيف من سيوف الله سله الله على الكفار والمنافقين

Maksudnya;
“Khalid bin Al-Walid adalah pedang dari pedang-pedang Allah. Allah telah hunuskannya terhadap orang kafir dan munafiqin”

Nama penuh beliau adalah, Khalid bin Al-Walid bin Al-Mughirah bin Abdillah bin Omar bin Makhzum bin Yaqazhah bin Kaab. Beliau merupakan anak saudara kepada Maimunah binti Al-Haris; salah seorang isteri nabi SAW.

Sebarang peperangan yang dipanglimakan oleh beliau, ternyata memberikan kemenangan. Justeru, tidak hairan di zaman kufur, beliaulah orang yang bertanggungjawab mengalahkan tentera Islam dalam peperangan Uhud. Kehebatan beliau itu, tidak sekadar di zaman kufur, malah setelah keislaman, beliau ternyata menggunakan segala kepakaran yang ada untuk memenangkan Islam. Hal ini terbukti dengan banyak siri peperangan yang dihadiri beliau setelah beliau telah memeluk islam. (Justeru, adalah dibenarkan sebenarnya untuk menggunakan segala kemahiran dan kepakaran yg ada demi kemenangan Islam asalkan ia tidak bertentangan dengan perintah Allah swt dan Sunnah Nabi saw)

Di zaman kekufuran, beliau selalu dimomokkan bahawa Muhammad SAW adalah seorang yang terlalu jahat. Menyebabkan, kebencian beliau terhadap Nabi SAW agak susah hendak dibendung. Pun begitu, adiknya yang bernama Al-Walid bin Al-Walid telah lama memeluk islam.

Selepas berlaku perjanjian Al-Hudaibiyyah, Nabi SAW dan para sahabat sudah berjaya memasuki Makkah untuk menunaikan haji. Kehadiran nabi SAW ke Makkah untuk menunaikan haji, menyebabkan hatinya terlalu marah. (apabila mereka tidak memahami Islam sepenuhnya, yg ada adalah kemarahan yang bersangatan terhadap Islam, maka sebenarnya wajib bagi kita umat Islam untuk menonjolkan kebaikan dan kehebatan Islam itu yg sebenarnya)

“Di mana Muhammad berada, pasti aku tidak akan berada di situ” sumpah Khalid bin Al-Walid lantaran kebencian terhadap Nabi Muhammad SAW.

Pun begitu, kehadiran Nabi Muhammad SAW ke Makkah, bukan berseorang, tetapi bersama ratusan sahabat dari Madinah. Antara yang hadir bersama dengan Nabi adalah, adik beliau sendiri, Al-Walid bin Al-Walid.

Kehadiran Al-Walid ke Makkah, bukan sekadar untuk menunaikan haji, tetapi berniat untuk berjumpa dengan abang tersayang. Menyedihkan, disebabkan kebencian abang terhadap Nabi, menyebabkan Khalid tinggalkan Makkah, seterusnya Al-Walid tidak dapat berjumpa dengan abangnya.

Sebelum meninggalkan Makkah, Al-Walid telah menulis surat untuk ditinggalkan kepada abangnya. Al-Walid bertanya kepada Rasulullah, apakah baginda mahu meninggalkan sebarang pesanan kepada abangnya itu.

Nabi mengarahkan Al-Walid agar menulis dalam surat itu bahawa baginda kirim salam kepada Khalid. Begitu juga, Nabi saw menyuruh Al-Walid menulis bahawa Khalid adalah seorang yang bijak. Sedangkan orang yang bijak, sekali-kali tidak akan meninggalkan Islam.

Al-Walid menulis seperti yang diarahkan oleh Nabi saw dikepilkan bersama kain serban Nabi saw sebagai hadiah untuk dihadiah kepada Khalid bin Al-Walid. (Kreativiti boleh dalam bentuk apresiasi/penghargaan kpd seseorang yg akan meniupkan bahang kesedaran dalam jiwa seseorang individu, small but impactful)

Setelah Nabi dan para sahabat bertolak kembali ke Madinah, maka Khalid pun kembali ke Makkah. sesampai di Makkah, beliau membaca kandungan surat yang ditinggalkan oleh adiknya, beserta menerima hadiah sehelai kain serban Nabi saw.

Membaca kandungan surat tersebut, dia mula berfikir momokkan orang-orang makkah terhadap Nabi SAW.

“Mereka mengatakan bahawa Muhammad adalah orang jahat, tetapi bagaimana dia boleh kirim salam kepadaku?” hati Khalid tertanya-tanya. 

“Mereka mengatakan Muhammad orang jahat, sedangkan Muhammad boleh memberi hadiah kepadaku?”

Persoalan demi persoalan terpancar dalam pemikiran Khalid, menyebabkan hatinya mula terbuka untuk menerima Islam sebagai agama pegangan hidupnya.

Dia berjumpa dengan Osman bin Talhah, mengajak beliau ke Madinah untuk berjumpa dengan Rasulullah dan menyatakan keislaman. Ternyata, Osman juga sudah lama menaruh harapan untuk memeluk islam, tetapi tidak kesampaian kerana tidak mempunyai teman untuk bersama-sama memeluk agama tauhid.

Dalam perjalanan, mereka berjumpa pula dengan Amru bin Al-As. Mereka bertanya kepada Amru, kemanakah yang mahu beliau mahu pergi?

“Aku mahu berjumpa dengan Muhammad” jawab Amru ringkas.

Khalid bin Al-Walid dan Osman bin Talhah melihat sesama mereka.

“Untuk apa kamu hendak berjumpa dengan Muhammad?” Osman bertanya.

“Aku ingin masuk Islam” jawab Amru ringkas tetapi memberikan seribu kegembiraan dalam hati Khalid bin Al-Walid dan Osman bin Talhah.

Ketiga-tiga mereka berjumpa dengan Nabi SAW di Madinah, menyatakan keislaman masing-masing. Kehadiran tiga orang tokoh besar ini memeluk islam, ia memberikan kegembiraan kepada Nabi SAW, juga para sahabat.

“Sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa kalian semua mempunyai kebijaksanaan. Aku pasti kebijaksanaan akan menuntun kalian kepada jalan kebenaran” tegas Nabi SAW.

Ya benar kalian semua bahawa kebijaksanaan akan menuntun kita kepada kebenaran, dan kebijaksanaan itu terhasil dengan adanya ilmu pengetahuan, jika tiada ilmu, mana mungkin ada kebijaksanaan......
Post a Comment