Wednesday, March 30, 2016

Keajaiban di depan mata


Saya nukilkan perkongsian dari seorang teman sekolah Sdri Junaidah......yang saya fikir amat bermanfaat untuk kita ambil pengajaran darinya....

Seorang guru memberikan tugasan kepada pelajarnya untuk menuliskan 7 Keajaiban Dunia.

Sebelum kelas bersurai, semua pelajar diminta untuk mengumpulkan tugasan mereka.

Seorang gadis kecil yang paling pendiam di kelas itu, menyiapkan tugasannya paling akhir dengan perasaan ragu-ragu. Tidak ada seorangpun yang memperhatikan hal itu…

Selepas itu, guru memeriksa semua tugasan itu.

Sebahagian besar pelajar menulis demikian...

Tujuh Keajaiban Dunia:
1. Piramid
2. Taj Mahal
3. Tembok Besar Cina
4. Menara Pisa
5. Kuil Angkor
6. Menara Eiffel
7. Kuil Parthenon

Di saat memeriksa tugasan pelajarnya yang paling terakhir itu, guru terdiam...tugasan terakhir itu adalah milik si gadis kecil pendiam tadi…isi jawapannya adalah :

Tujuh Keajaiban Dunia:
1. Boleh Melihat
2. Boleh Mendengar
3. Boleh Menyentuh
4. Boleh DiSayangi
5. Boleh Merasai
6. Boleh Tertawa, dan
7. Boleh Mencintai…

Setelah duduk diam beberapa saat, guru menutup semua tugasan pelajarnya.
Kemudian menundukkan kepalanya dan berdoa...

Mengucap syukur untuk gadis kecil pendiam dikelasnya yang telah mengajarkannya sebuah pelajaran hebat, yaitu:

'Tidak perlu mencari sampai ke hujung bumi untuk menemukan keajaiban. Keajaiban itu ada di sekeliling kita untuk kita miliki dan tak lupa untuk kita syukuri...'

Jom renungkan....

Kita hidup di gunung, merindukan pantai. Kita hidup di pantai, merindukan gunung.

Kalau kemarau kita tanya bila hujan? Di musim hujan kita tanya bila kemarau?

Duduk di rumah, berkeinginan untuk keluar. Setelah keluar berkeinginan untuk pulang.

Waktu sunyi mencari keramaian. Waktu ramai cari ketenangan.

Ketika bujang mengeluh keinginan untuk berkahwin. Sudah berkeluarga mengeluh belum miliki anak. Setelah ada anak, mengeluh perbelanjaan hidup.

Ternyata, sesuatu nampak indah kerana belum kita miliki..

Bilakah kebahagiaan akan diperolehi kalau kita sentiasa memikirkan apa yang belum ada, tapi mengabaikan apa yang sudah kita miliki..

Jadilah peribadi yang selalu bersyukur dengan rahmat dan nikmat yang sudah kita miliki..

Mungkinkah sehelai daun yang kecil dapat menutup bumi yang luas ini? Sedangkan menutup mata dengan telapak tangan sahaja pun sudah begitu sukar..

Tapi, kalau daun kecil ini menutup mata kita, maka tertutuplah bumi yang luas ini..

Begitu juga bila hati ditutupi fikiran buruk sekecil manapun, maka kita akan melihat keburukan di mana-mana, dan bumi ini sekalipun akan nampak buruk..

Jadi, janganlah menutup mata kita walaupun hanya dengan daun yang kecil.
Janganlah menutup hati kita dengan sebuah fikiran buruk, walaupun cuma sehujung kuku.

Syukuri apa yang sudah kita miliki, sebagai modal untuk memuliakanNya.

Kerana hidup adalah waktu yang dipinjamkan dan amanah yang perlu dipertanggungjawabkan..

Bersyukurlah atas nafas yang masih kita miliki..

Bersyukur atas keluarga yang kita miliki..

Bersyukur atas pekerjaan yang kita miliki..

Bersyukur atas kesihatan yang kita miliki..

Bersyukur atas rahmat dan nikmat yang kita miliki..

Bersyukur dan sentiasa bersyukur di dalam segala perkara..

Semoga kita mendapat manfaat dan sentiasa bersyukur...

Syukur itu indah...dan selayaknya seorang hamba itu tugasnya ialah untuk bersyukur untuk anugerah yang dikurnia oleh Pemilik Yang Maha Kaya....


Sent from my iPhone

Monday, March 14, 2016

Lesu di pembaringan


Assalamualaikum wrt.wbt.

Aku bukan tidak pernah sakit. Selalu juga sakit sejak kecil sampai lah sekarang. Alhamdulillah, Allah mengingatkan akan diriku untuk lebih menghargai dan mensyukuri nikmat sihat. Ia juga kaffarah dosa.

Ada saatnya aku sakit batuk, demam panas dan selesema selama seminggu lebih.....ada juga aku sakit lumpuh sebelah kaki, waktu itu aku berumur 13 tahun....saat abah dan atuk mengerjakan haji...demam panas dan kemudian aku lumpuh kaki kanan. Bermacam macam usaha dan ketika 2 hari sebelum abah dan atuk balik haji aku bangun sedia kala. Seolah olah Allah sedang menguji aku, mak dan keluargaku dengan cubaan sedemikian. Aku terlantar lebih sebulan di rumah. Malam demam dan meracau siang hari aku tidur sebab keletihan tidak tidur malam. Itulah rutin...pak saudara ku yang mengusahakan membawa aku kemana mana untuk berubat samada hospital, doktor pakar mahupun secara tradisional...semua tiada kesan besar. Emak dan nenek adalah orang paling susah hati melihat keadaan ku. Kawan kawan sekolahku di SMKASAS pasti tahu akan ceritaku ini.

Itulah saat aku ingati bahawa betapa kita perlu bersyukur sepenuhnya ke hadrat Allaj swt...akan anugerah kesihatan. Bersyukur kerana punya ibu dan nenek serta ahli keluarga yang lain yang menguruskan hal ku...

Kemudian menjelang dewasa aku sakit lagi. Saat itu aku dalam fasa terakhir menyiapkan tesis phd ku. 2 minggu demam panas dan kemudian terus tidak boleh bangun. Masalah saraf kata pakar.

Isteri ku yang ku kasihi ialah orang yang bersusah payah mengurus rumah tangga dan mengurus diriku...ketika itu angah ada di rumah. Dia yang banyak membantu ku saat isteriku tiada di rumah. Kaki ku lemah hingga tidak boleh bangun dan menapak. Perlahan lahan aku usahakan menguatkan diriku dan mendapatkan rawatan homeopati serta akupuntur di Shah Alam...Klinik Homeopati Dr Nik...alhamdulillah selepas beberapa ketika ada perubahan.

Alhamdulillah aku meneruskan sesi akupuntur dan terus pulih selepas itu...aku bersyukur kepada Mu Ya Rabb...

Tidak lama kemudian, aku menghadapi satu masalah iaitu ada benjolan sebesar bola golf di siku kanan ku. Ia sangat tidak selesa. Ada masanya ia menjadi bengkak dan panas. Aku selalunya jadi demam sehingga seminggu bila berlaku sedemikian. Lalu aku pergi menemui Dr. Omar, pakar orthopedik di Hospital UiTM Sg Buloh. Selepas pemeriksaan aku diminta datang keesokkan hari untuk dibuat pembedahan membuang benjolan itu. Esoknya aku pergi berseorangan untuk menjalani pembedahan itu. Ia berjaya dan benjolan itu sebesar buku lima apabila telah dikeluarkan. Dr menunjukkannya kepada ku. Aduss...


Apa puncanya? Tidak pasti. Menurut pakar apabila menjejak usia 40an biasa akan berlaku sedemikian. Akibat dari lebihan hormon. Itu penjelasan saintifiknya.

Dua tahun selepas itu, dalam tempoh tidak sampai 2 hari, ditempat yang hampir sama, siku ku membengkak dan merah hingga aku tidak boleh melakukan pergerakan dengan tangan kananku. Berdenyut denyut rasanya. Aku demam akibat darinya. Isteriku membawa ke wad kecemasan kelmarin dahulu dan Dr Nadia telah memeriksaku. Esok iaitu Selasa (14/3/2016) sekali lagi aku akan menjalani pembedahan kecil. Aku sudah demam sejak hari Jumaat lagi...hanya menanti esok hari. Moga moga segalanya berjalan lancar.

Aku lesu dipembaringan lalu aku sedari betapa perasaan yang dialami oleh abah yang kini hanya dipembaringan sahaja di kampung. Dulunya dia aktif tapi kini tidak lagi. Dulunya dia selalu tiada di rumah kerana pelbagai urusan masyarakat dan tugas kini dia dipembaringannya. Perlahan lahan aku mengusap airmataku yang mengalir lesu lalu aku insaf seolah olah Allah ingin memberiku satu pelajaran agar mengerti perasaan abah di kampung.

Ya benar abah sekarang lesu dipembaringan...aku mengusahakan balik sekerap yang mungkin sambil mengatur jadual dengan adik beradikku yang lain. Balik untuk jenguk abah dan menghantar abah untuk rawatan terapinya...

Abah sudah diserang stroke sebanyak 2,3 kali sehingga kini. Dia sudah tiada daya untuk menguruskan dirinya sendiri.

Namun sekarang aku jua sedang dipembaringan. Mata ini sudah tidak mampu dilelapkan lagi. Sudah banyak kali aku tidur ketika demam melanda. Aku terkebil kebil dipembaringan. Seharian aku rasakan amat panjang sekali. Apatah lagi 3 hari yang baru ku tempohi. Aku boleh bayangkan keadaan abah sejak 2,3 tahun yang lalu...menanti masa dalam lesu dipembaringan..

Allahu musta'aan.....sesungguhnya kesakitan adalah ujian serta penghapus dosa....perlu sentiasa redha dan istighfar kepadaNya...

Bahkan para Rasul dan Nabi saw juga diuji dengan kesakitan apatah lagi kita manusia yang penuh dengan dosa dan kesilapan lampau.

Aku sangat berterimakasih kepada ibubapa ku yang sentiasa mendoakan kesejahteraanku......isteriku yang setia dan sangat menyayangiku yang sentiasa ada disisiku saat aku terdampar lesu dipembaringan, juga anak anakku yang memahami dan membantu ibu mereka menguruskan aku......moga Allah redha dengan amal kalian dan DIA menempatkan kalian di syurgaNYA.

Sent from my iPhone

Sunday, March 13, 2016

Mental gila yang memukau....

Assalamualaikum wrt.wbt.

Aku selalu mengungkap bahawa fikiran kita perlu lurus dengan taugik dah hidayah serta inayah Illahi....ia bersandarkan kepada ILMU.

Fikiran yang lurus ditunjangi aqidah yang utuh....Tauhid yang satu lalu menatijahkan kebenaran dan fikiran yang sentiasa positif.

Ungkapan dan bicara diatas inilah yang selalu saya katakan dan kongsikan kepada para pelajar saya di dalam kelas yang saya kendalikan. Aku tidak pasti samada mereka masih mengingati dan memahami akan maksud yang hendak disampaikan oleh ku.

Jika fikiran tidak lurus maka maklumbalas negatif akan wujud. Tiada aspek positif terhadap apa sahaja yang berlaku disekeliling. Maka akan wujud gesaan gesaan diri yang selalu menyalahkan orang lain mahupun situasi lain sebagai penyebab berlakunya sesuatu samada yang disenangi atau lebih lebih lagi yang tidak disenangi atau disukai.

Sebagai contoh, jika saya katakan kepada kalian, apa kalian akan katakan kepada orang yang memakai seluar dalam di luar seluarnya? Adakah ia nilai yang betul? Saya fikir jika kalian berfikir belum diresapi nilai baru, pasti kalian akan mengatakan bahawa silap silap orang gila pun belum barang tentu memakai seluar dalamnya di luar...akan tetapi watak watak tertentu seperti Superman dan Batman...memberi nilai baru dan mengasaknya kedalam fikiran kita agar menerimanya sebagai sesuatu yang normal.

Tidakkah jika kita kita fikirkan secara lurus bahawa nilai sedemikian adalah kegilaan mental? Ya benar, bagi saya ia kegilaan mental yang kemudiannya akan membuka pintu yang amat luas kepada penerimaan nilai nilai kegilaan mental.

Medium yang diguna hanyalah filem dan televisyen akan tetapi ia cukup berkesan untuk mengasak dan mengubah nilai nilai positif yang ada pada diri kepada nilai nilai negatif yang menggila...

Fikirkan kegilaan mental yang semakin menjadi jadi dewasa ini...tidak hairan jika hari ini nilai berbeza yang negatif telah mencorak pemikiran masyarakat laku diberi alasan bahawa zaman telah berubah...walhal diri sendiri lah yang membenarkan nilai nilai sedemikian masuk ke dalam kehidupan dan fikiran...

Hari ini jika guru memarahi atau menghukum pelajarnya kerana tidak menyiapkan kerja rumah...guru itu akan dimarahi kembali oleh ibubapa atau gurubesar atau pengetua atau pihak jabatan malah menteri pelajaran sekalipun.....siapa yang mentalnya gila sekarang ini?

Dahulu aku dicubit diperut kerana berlaku bising didalam kelas, ditarik anak rambut di tepi telinga atau ditarik cuping telinga kerana kesalahan tertentu....jika aku mengadu kepada orang tuaku, pasti hukuman lain pula yang diterima. Siapa yang salah? Tetap aku....itulah mulianya dan hebatnya profesion guru ketika itu.

Jangan menyesal jika nanti, ibubapa menjadi 'hamba' kepada anak anaknya kerana kita membiarkan nilai gila ini meresap (ia telah pun berlaku dewasa ini).

Jangan menyesal jika guru pun menjadi hamba kepada pelajar pelajarnya....

Thursday, February 25, 2016

Damai mu di sana....



Menerima perkhabaran duka sebentar tadi tentang sang teman yang telah pergi menemui Khaliqnya......

Sahabat...
Innaalillahi wa innaa ilaihi rajiuun....
Ingatan akan persahabatan kita insyaallah akan sentiasa didalam memori ku....37 tahun usia persahabatan....semenjak Darjah Satu.....aku hargai segala kenangan dan memori indah sejak dahulu hingga kini lalu hari ini aku dirundung pilu....baru 2,3 hari lepas kita bersembang sembang.....terimakasih atas anugerah persahabatanmu....

Satu persatu teman dan sahabat meninggalkan aku....aaah entah bila aku pula.

"Yang dikejar akan ditinggal...yang ditinggal akan dibawa......"

Allahummagfirlahuu warhamhu wa aafihii wa'fu anhu.....

Moga Allah redha dengan umur dan amalmu wahai sahabat dan menempatkanmu dikalangan para solihiin.

Buat rakan rakan semua....sahabat kita ini telah pergi buat selamanya...terlibat dalam satu kemalangan maut di Yong Peng, Johor sebentar tadi....

Buat para pelajar ku....kita pernah bersama dengan arwah dalam beberapa program melibatkan anak yatim dan asnaf tahun lepas......



Thursday, February 18, 2016

Ceritaku dengan abah: Projek memandaikan mereka....

Assalamualaikum wrt wbt....

Buat seketika aku terpanggil menulis ini tatkala membaca nukilan Prof Abdullah Hassan dalam FB nya berkenaan dengan "Projek Memandaikan Bangsa".

Ada saat dan tikanya aku merasa amat hairan. Dulu ketika aku masih kecil dan selalu mengekor ayah ke mana mana, ada sahaja insan lain yang tidak ku kenali menegur ayah. Aku hanya memandang hairan. "Eh abah aku ni kenal ramainya orang...entah sapa sapa entah dari mana pula...ada jer yang asyik menegur abah" ujarku dalam hati. 

"Abah ni..kata nak pergi beli barang...ni asyik jumpa orang sembang...jumpa orang lain sembang...entah apa entah yang disembangnya...bila masa nak beli barangnya!" itu antara kata kata hatiku setiap kali abah pergi mana mana dan terserempak dengan sesiapa atau ke kedai ingin membeli barang barang.

Kalau abah tidak berbuat apa apa di rumah, dia akan menelefon sesiapa dan berbual.....sedikit masa kemudian orang yang dihubungi akan datang ke rumah dan abah 'bentang tikar' iaitu istilahku untuk sesi mesyuarat atau sembang tidak rasmi abah dengan kenalannya.

Atau diketika yang lain pula, ada sahaja orang yang datang ke rumah dan sembang dengan abah. Bukan 2,3 minit.....akan tetapi 2, 3 jam. Lama tuh. Itu dahulu. Semasa aku masih kecil lagi. Kemudian aku meningkat remaja. Tiap kali aku pergi ke mana mana, ada sahaja orang kenal aku. "Awak ni anak Cikgu Yunus ke" tanya mereka. Aku hanya mengangguk lemah. "Tak de tempat ke dalam dunia ni yang orang tak kenal aku sebagai anak Cikgu Yunus? isk isk isk...." aku menggerutu dalam hati.

Saat aku pulang ke kampung, setiap kali itulah jua abah akan ajak aku jupa kawan kawan abah. Abah nak sembang. "Awi, jom keluar bawak abah jumpa Cikgu Arifin, Hj Bakhtiar, Hj itu dan ini..." ajak abah. Itulah teman lepak abah. Sekarang Hj Bakhtiar telah lama pergi. Manisnya saat itu buat abah. Kawan kawan abah adalah jua kawan kawan ku. Aku turut terasa kehilangan kawan kawan abah. 

Kelakarnya ialah....aku berkawan dengan orang yang jauh lebih tua dariku. Orang yang jauh lebih berpengalaman dari aku. Masa abah sihat, abah selalu turun ke KL satu kereta dengan kawan kawannya. Dia akan singgah di pejabatku bersama kawan kawannya. Abah akan bawa kawan kawan abah ajak minum dengan aku sekali dan pada waktu yang sama abah akan ajak aku pergi sekali ke tempat tujuan di KL untuk berurusan. Aku jadi pemandu jalan untuk abah dan kawan kawannya di KL.

Kami akan sembang, bergelak ketawa dengan cerita cerita mereka. Aku menyampuk sama dan dalam banyak keadaan, aku mengutip secara tidak langsung banyak butiran mutiara pengalaman kehidupan ketika bersembang dengan kawan kawan abah.

Itulah sebahagian dari pengalaman aku dengan abah.....itu dahulu. Ia telah lama berlalu. Hari ini abah terlantar keseorangan tanpa teman bersembang. Abah sudah terlalu uzur untuk ke mana mana. Selepas 2 kali terkena serangan strok abah sudah hilang upaya untuk kemana mana ligat seperti dahulu. Abah dah lemah.

Dalam banyak hal, aku fikir abah sunyi dan sepi. Aku sedih sebab aku tidak mampu sentiasa disamping abah menemankannya bersembang. Dahulu abah suka bersembang. Sekarang sudah hilang sesi sembang abah, gelak ketawa dan cerita abah. Aku hanya mampu menukilkan sebahagian dari pengalaman ku dengan abah di sini. Ssebahagian cerita yang lain pula aku simpan buat memeori hidupku dengan abah. Aku tidak punya abah lain. Hanya inilah abahku seorang. Hari ini, abah hanya di rumah sahaja, terbaring dan tidur menunggu dipanggil olehNYA. Kawan kawannya ramai sudah tiada. Aku faham kesunyian abah. 
Terkadang....

Ada masa masa tertentu, telefon ku berdering. Abah menelefonku. "Assalamualaikum....Awi apa khabar? Tak balik ke" tanya abah. Hanya itu sahaja. Aku baru sahaja menjawab salam abah sudah memutuskan talian. Aku sedih. Aku tahu abah sunyi. Saat itu aku teringat kembali memori memori lama dengan abah.  

Oh ya...aku belum menjawab persoalan kenapa ramai orang tegur abah dulu dulu semasa aku mengikuti abah kemana mana. Aku fikir kalian pun sudah tahu mengapa. Abah seorang guru. Abah mengajar di kampung halamanku dan tidak keluar dari situ sehingga pencen, Anak anak kampung hampir semuanya adalah bekas pelajar abah. Abah juga seorang ahli sukan. Seorang pemain bola yang dikenali. Abah wakil Negeri Perak peringkat guru guru Melayu ketika itu. Sebab itu abah punya ramai kenalan dan ramai bekas pelajar. Itulah juga sebabnya ramai yang kenal abah. Mereka menghargai abah.

Abah telah mengajarku dengan dunia pendidikan. Abah ialah seorang pendidik jitu (bukan hendak membangga diri dan menunjuk nunjuk kehebatan abah)......Abah telah mendedahkan aku kepada "Projek Memandaikan Bangsa", sejak aku kecil lagi. Tiap malam para pelajar di kampung itu yang akan menghadapi peperiksaan terutamanya Peperiksan Penilaian Darjah Lima akan berkampung di rumah ku untuk menadah ilmu dalam sesi tuisyen yang abah kendalikan. Ramai yang datang. Penuh satu rumah. Abah ada papan hitam di rumah yang atuk buat untuk abah mengajar tuisyen. Masa tu masih pakai kapur lagi. Nanti akan ku ceritakan di nukilan yang lain tentang ini. Ada peristiwa peristiwa menarik untuk dikongsi.

Hari ini....tanggal 18 Februari 2016, para pelajar ku pula mendapat keputusan peperiksaan semester mereka. Aku nukilkan momen ini di dalam 'posting' FB ku dalam cara ku sendiri.....


Hari ini pelajar pelajar dibawah seliaan ku dapat keputusan peperiksaan semester akhir mereka....macam biasa---ramai yang 'failed'....terpaksa mengulang satu semester lagi atau dibuang terus dari UiTM.....
Ia pengajaran pahit kepad mereka yang tidak 'perform' atau main main dalam menyiapkan tugasan atau menyempurnakan keperluan kursus.....
Sebentar lagi ramai yang akan menghubungi ku menangis nangis merayu dan menyatakan kekesalan---bertanya apa yang mereka boleh buat supaya tidak 'failed'....aku akan jawab 'nasi sudah jadi bubur'.....tidak kurang juga yang langsung tidak ambil peduli dengan keputusan peperiksaannya....'deme rasa deme baguih bebenor'....
Seketika kemudian....
Aku menggaru garu belakang kepala ku yang tidak gatal......sambil mataku terkebil kebil....tetiba teringat kata kata MB N9--kalau tidak boleh jadi garam jangan pula engkau menjadi langau....
Oooh oh oh aku berfantasi rupanya di dinihari.......kalau sedemikian rupanya....tentunya telefon bimbit ku tidak berhenti berdering.....whatsapp pula berdentum dentum. Pabila ku belek telefon ku, sunyi dan sepi....lalu ku tersedar bahawa mereka semua lulus.......
Telefonku akan berbunyi tanpa henti jika mereka gagal.........Ya Rabb...engkau jadikanlah mereka semua manusia yang HAMBA.....bukan manusia yang RAJA serta meRAJAI.......lalu ENGKAU berkati mereka dengan rahmat dan perlindunganMU agar mereka menjadi insan yang tidak hanya pintar akal, bijak bicara tetapi tiada tindakan dan gerak laku, hanya pandai mengadu domba mencari cari aib dan salah insan lain atau hanya pandai menunjuk jari mencari silap manusia lain yang juga HAMBA seperti mereka......
aku hanya punya sekecil kecil harapan......secebis harapan kecil agar aku dikenang dalam doa kalian.......lalu kalian mendoakan aku sebaiknya---aku hanya pohon balasan syurga dari Illahi lalu kalian doakan aku untuk itu....

Aku fikir, abah juga mengalami perasaan yang sama setiap kali anak anak didiknya mendapat kejayaan atau mendapat keputusan peperiksaan. Satu perasaan yang sukar hendak digambarkan. Namun aku boleh mengerti perasaan itu. Perasaan yang hanya wujud jika kalian juga adalah pemain dan aktor dalam Projek Memandaikan Bangsa ini.....

Aku hanya mengikuti jejak langkah abah. Terimakasih abah kerana melibatkan aku dalam projek yang tiada penghujungnya ini....aku doakan kebaikan dunia akhirat untuk abah dan semoga Allah redha dengan amal dan umur abah dan semoga Abah tabah mengharungi sisa sisa kehidupan ini. Maafkan Alwi yea abah atas segala salah silap dan juga kekurangan ataupun kerana kurangnya kesempatan untuk sentiasa berada disisi abah saat ini.....

Friday, February 12, 2016

Salam Jumaat...

Assalamualaikum wrt wbt...

Setiap kali berlalunya minggu ke minggu yang baru dan bertemu dengan penghulu segala hari iaitu Hari Jumaat maka berbondong bondong mesej dan status di laman sosial atau media sosial yang mengucapkan "SALAM JUMAAT". Hingga ke hari ini ia telah menjadi seperti suatu budaya dan amalan.

Faktanya ialah, adalah betul bahawa Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan kita disunnahkan untuk memuliakan hari Jumaat dengan amalan sunat seperti selawat ke atas Nabi saw banyak, memakai bau bau haruman, mandi solat Jumaat, memakai pakaian putih dan pergi ke masjid awal bahkan disunnahkan membaca surah al Kahfi pada setiap kali Hari Jumaat serta banyak bersedekah pada Hari Jumaat.

Akan tetapi memberi salam dengan ungkapan SALAM JUMAAT MUBARAKAH contohnya tiada dalam Islam. Kita digalakkan mengucapkan salam dengan ungkapan seminima mungkin iaitu ASSALAMUALAIKUM dan menjawab salam yang diucap oleh orang lain dengan ucapan lebih baik seperti WAALAIKUMSALAM WARAHMATULLAHI WABARAKAATUH.....bukan ucapan Salam Jumaat....

Akhir akhir ini, budaya atau sikap atau amalan memberi salam dengan ucapan Salam Jumaat sudah berleluasa. Ia tiada dalam sunnah dan ia amalan yang salah sebenarnya. Ia perkara kecil akan tetapi ia berkait dan bermakna dalam soal ibadah dan meraih pahala. Jom ke masjid awal pada hari ini. Insyaallah.

Hakikatnya, tiada konsep Salam Jumaat.....yang disarankan ialah memberi salam bahkan bukan sahaja pada hari Jumaat akan tetapi pada hari hari yang lain dan setiap kali terserempak dengan sesiapa kita disunnahkan memberi salam kerana ia menebar ukhuwwah dan menyemarak hubungan. Hakikat seterusnya, kita disarankan mengamalkan amalan khusus sebagai memuliakan Hari Jumaat. 

Allahu musta'an...komentar ini hanya teguran atau peringatan agar kita faham konsep sebenar memberi salam dan mengucapkan salam. Dibimbangi jika tidak difahami ia dianggap sebagai satu ibadah untuk mengucap Salam Jumaat dan bukannya Assalamualaikum.....

Ayuh sebarkan salam seperti yang dianjur oleh Nabi saw.

Friday, January 29, 2016

Allah benci aku jika........

Assalamuaalikum wrt wbt...


Allah Ta’ala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 44 sebagai berikut:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلا تَعْقِلُونَ
Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban)-mu sendiri, padahal kamu membaca Al kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berpikir?


Sebentar tadi, ayat ini turut disebut oleh khatib pabila khatib menerangkan soal "seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan".

Saat itu, aku merasa amat terkesan dengan apa yang diungkapkan oleh khatib....lalu aku teringat akan satu lagi peringatan Illahi dalam surah al Saff ayat 2:

A002
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!

Lalu Allah sambung firmannya dengan ayat seterusnya al-Saff ayat 3:

A003
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Allahurabbi....alllahummagfirlii.

Maafkan saya para pembaca sekalian, jika saya seperti yang dimaksudkan dalam kalam Allah swt seperti di atas. Ia kekurangan, kelemahan dan kejelekan diri saya sendiri kerana:

Pertama:
Saya mengutarakan sesuatu akan tetapi diri sendiri tidak melakukannya...sudah tentu Allah swt benci dengan sikap saya selama ini.

Kedua:
Saya nasihatkan kalian untuk berbuat kebaikan dan kebajikan seperti mana ayat dan kenyataan dalam 'posting' saya sebelum ini namun saya sendiri tidak melakukannya atau berbuat sedemikian.

Saya akur dan insaf bahawa saya tidak layak mengungkap sesuatu kerana saya sendiri tidak berbuat sedemikian.....

Maafkan saya juga jika saya nasihatkan kalian jangan menabur fitnah dan membuka aib orang atau berbahasa kasat, memaki, menghamun orang lain apatah lagi saudara seagama walaupun dia seorang yang salah, atau dikatakan bersalah, atau dia seorang yang benar, atau dikatakan yang benar......akan tetapi saya sendiri dalam keadaan atau kenyataan atau ungkapan dimana mana sekalipun samada didalam blog ini, mahupun Facebook atau media sosial lain, lalu kalian mendapati bahawa saya telah berlaku seeprti diatas. 

Image result for hate imagesJika benar kalian mendapati bahawa saya mengajak yang sedemikian itu, apalah kiranya sudi kalian katakan kepada saya, nasihatkan saya, tunjukkan dimana saya memaki hamun, bersikap (mengungkap) mengaibkan orang atau menabur fitnah....saya pasti akan usahakan ianya dihapus (delete) dan saya akan keluarkan kenyataan permohonan maaf kepada insan yang difitnah tersebut secara peribadi. 

Mohon kalian beri maklumbalas jika saya ada berbuat sedemikian.....

Allahumagfirlii........

#kenalidiribinaidentiti
#travelogempayarjiwa
#asamgaram
#akutidaksempurna




Thursday, December 31, 2015

Hijrah fikiran...


Kisah di suatu petang tanggal 19 Rabiul Awwal 1437

A: Selamat Tahun Baru 2016 Encik....
Aku: Terimakasih, maaf saya tidak merayakan Tahun Baru 2016

A: Oh ye ke Encik!
Aku: Ya...betul. Saya bukan 'omputih'....bagi saya ia hanya perubahan nombor iaitu tahun, hari dan jam....apa ertinya merayakan 2016 tapi tiada pahala untuknya....buang masa bukan? Teruskan fokus dengan amal hidup untuk dunia dan akhirat....lagipun kita ada Maal Hijrah...itu lebih utama....itulah Taqwim kita. Ok..saya nak tanya....sekarang bulan Islam bulan berapa dan berapa haribulan?
A: Err...saya tak ingat la Encik...maaf la Encik.....
Aku: Hehehehe...Tak ingat atau tidak ambil tahu? Cuba lah ambil tahu dan ingati Taqwim Hijrah....itu lebih bermakna....Tak apalah.......cubalah prihatin terhadap Taqwim Hijrah....habis tu orang lain sambut Tahun Baru tu camana Encik?
Aku: Saya doakan agar Allah beri petunjuk dan hidayah agar mereka semua memahami dan mengubah cara berfikir......cara berfikir kenalah selari dengan konsep 'assiraatal mustaqiim'....
A: Errr......
Aku: Fahami dan belajar apa dia konsep 'assiraat almustaqiim'....
A: Ok Encik....habis tu esok tak cuti ke Encik?
Aku: Secara rasminya esok cuti, tapi saya ada kerja yang perlu diselesai di pejabat.....saya ada jer di bilik saya esok...
A: Oh...ok Encik...jumpa lagi dan terimakasih atas perkongsian tadi.
Aku: Sama sama...assalamualaikum...

Saturday, December 19, 2015

Tudingan yang selalunya salah dan silap.....



Para pembaca sekalian....

Assalamualaikum wrt wbt.

Marilah bertudingan saat tahiyyat kerana al waahid al qahhaar...
Bukan bertudingan kerana mencungkil aib dan memporak peribadi insan lain...
Tuding yang mengakui ketauhidan Illahi....
Bukan tuding kebobrokan insan...

Sejak bila syarat insan dicipta untuk menuding?
Sejak bila pula menuding itu menjadi rukun hidup?
Bukankah diperintah untuk menjadi Khalifah?
Tadbir alam sebaiknya....
Malah jika alam ditadbir membelakangi perintahNya...
Tetap kita tidak dibenar menuding bahkan disuruh menasihat...
Adakah nasihat itu sampai? 
Atau hanya sekadar mengungkap tanpa menyampaikan?
Ingati pesan pesan suci...
Insan mulia yang dikasihi...
Tidakkah dia memesan buat semua untuk tidak tuding menuding? 
Apakah pesannya sangat sukar difahami?

Bukankah kita sebenarnya menuding hanya untuk memperkasa dan mengESAkan Dia? 
Dan bukannya membobrok hubungan kemanusiaan?
Lalu yang dinatijahkan ialah tumpukan dosa dosa yang tidak tertanggung...
Lalu apa yang mahu dijawab kelak saat al-mizan...
tika pura pura dan penipuan tidak sesekali berlaku..
saat terkunci mulut...
lalu berkata katalah anggota lainya yang tidak menipu
dihadapan Rabbnya....


Aku hanya memesan buat diri dan terpanggil memesan buat kalian jua....

Thursday, December 17, 2015

United but not.....

Salam ukhuwwah....

Dear Muslim Brothers...

Cooperative but not.....giving help but not, united but not. Saying it to others but not to ourselves. Ask others to do but not us....one of the malaise of the ummah, especially our Malay Muslim! 

We are easily offended by our own people but not others, easily hurt by our friends but not outsiders or foreigners who did the same act to us! Why? It is our attitude!

I dont ask you to get easily offended....we are told and educated to be more patience.......more often than not, I am questioning the attitude of us all. We are given the Holy Quran, with full of lessons learnt, do's and don'ts, multiple advises yet we do not act like one, we act differently....why?

We blame each others more often than we help each others. We find fault faster than the speed of our breathing......why?

As a matter of fact.....we love to do the talking parts not the action parts........pity us all.

I just wonder where is the IHSAN in ourselves?

Ponder over it.....think about it.....

I am very sorry to say this.....


Friday, November 27, 2015

Suri hidupku



Image result for image isteri solehah

Ada suri dalam hidup ini
yang menemani
setiap kali disisi
dia mengerti
aku tidak memerhati

Aku pasrah
kerana suriku marah
hati dihiris lemah
kerana aku disimbah
durjana fitnah
suriku tetap tabah








Ada suri dalam hidup
yang mengerti
akan peribadi
hidup ku ini
lelah perit dikongsi
tanpa ragu dan sangsi

Terkadang aku 
termangu menunggu
hadirnya yang ditunggu
suri hidupku

Terkadang aku ini
teruja mengagumi
walau jarang ku ungkapi
bahawa suriku cekal dihati
menggalas amanah diri
Image result for wife images and quotesmemikul beban sejak dinihari
tanpa keluh kesah dalam diri



Aku redha
dengan suriku seadanya
tanpa aku meminta
selain dariNya
agar Dia meredhai segalanya
buat dirinya
biar syurga menjadi imbalannya