Thursday, February 18, 2016

Ceritaku dengan abah: Projek memandaikan mereka....

Assalamualaikum wrt wbt....

Buat seketika aku terpanggil menulis ini tatkala membaca nukilan Prof Abdullah Hassan dalam FB nya berkenaan dengan "Projek Memandaikan Bangsa".

Ada saat dan tikanya aku merasa amat hairan. Dulu ketika aku masih kecil dan selalu mengekor ayah ke mana mana, ada sahaja insan lain yang tidak ku kenali menegur ayah. Aku hanya memandang hairan. "Eh abah aku ni kenal ramainya orang...entah sapa sapa entah dari mana pula...ada jer yang asyik menegur abah" ujarku dalam hati. 

"Abah ni..kata nak pergi beli barang...ni asyik jumpa orang sembang...jumpa orang lain sembang...entah apa entah yang disembangnya...bila masa nak beli barangnya!" itu antara kata kata hatiku setiap kali abah pergi mana mana dan terserempak dengan sesiapa atau ke kedai ingin membeli barang barang.

Kalau abah tidak berbuat apa apa di rumah, dia akan menelefon sesiapa dan berbual.....sedikit masa kemudian orang yang dihubungi akan datang ke rumah dan abah 'bentang tikar' iaitu istilahku untuk sesi mesyuarat atau sembang tidak rasmi abah dengan kenalannya.

Atau diketika yang lain pula, ada sahaja orang yang datang ke rumah dan sembang dengan abah. Bukan 2,3 minit.....akan tetapi 2, 3 jam. Lama tuh. Itu dahulu. Semasa aku masih kecil lagi. Kemudian aku meningkat remaja. Tiap kali aku pergi ke mana mana, ada sahaja orang kenal aku. "Awak ni anak Cikgu Yunus ke" tanya mereka. Aku hanya mengangguk lemah. "Tak de tempat ke dalam dunia ni yang orang tak kenal aku sebagai anak Cikgu Yunus? isk isk isk...." aku menggerutu dalam hati.

Saat aku pulang ke kampung, setiap kali itulah jua abah akan ajak aku jupa kawan kawan abah. Abah nak sembang. "Awi, jom keluar bawak abah jumpa Cikgu Arifin, Hj Bakhtiar, Hj itu dan ini..." ajak abah. Itulah teman lepak abah. Sekarang Hj Bakhtiar telah lama pergi. Manisnya saat itu buat abah. Kawan kawan abah adalah jua kawan kawan ku. Aku turut terasa kehilangan kawan kawan abah. 

Kelakarnya ialah....aku berkawan dengan orang yang jauh lebih tua dariku. Orang yang jauh lebih berpengalaman dari aku. Masa abah sihat, abah selalu turun ke KL satu kereta dengan kawan kawannya. Dia akan singgah di pejabatku bersama kawan kawannya. Abah akan bawa kawan kawan abah ajak minum dengan aku sekali dan pada waktu yang sama abah akan ajak aku pergi sekali ke tempat tujuan di KL untuk berurusan. Aku jadi pemandu jalan untuk abah dan kawan kawannya di KL.

Kami akan sembang, bergelak ketawa dengan cerita cerita mereka. Aku menyampuk sama dan dalam banyak keadaan, aku mengutip secara tidak langsung banyak butiran mutiara pengalaman kehidupan ketika bersembang dengan kawan kawan abah.

Itulah sebahagian dari pengalaman aku dengan abah.....itu dahulu. Ia telah lama berlalu. Hari ini abah terlantar keseorangan tanpa teman bersembang. Abah sudah terlalu uzur untuk ke mana mana. Selepas 2 kali terkena serangan strok abah sudah hilang upaya untuk kemana mana ligat seperti dahulu. Abah dah lemah.

Dalam banyak hal, aku fikir abah sunyi dan sepi. Aku sedih sebab aku tidak mampu sentiasa disamping abah menemankannya bersembang. Dahulu abah suka bersembang. Sekarang sudah hilang sesi sembang abah, gelak ketawa dan cerita abah. Aku hanya mampu menukilkan sebahagian dari pengalaman ku dengan abah di sini. Ssebahagian cerita yang lain pula aku simpan buat memeori hidupku dengan abah. Aku tidak punya abah lain. Hanya inilah abahku seorang. Hari ini, abah hanya di rumah sahaja, terbaring dan tidur menunggu dipanggil olehNYA. Kawan kawannya ramai sudah tiada. Aku faham kesunyian abah. 
Terkadang....

Ada masa masa tertentu, telefon ku berdering. Abah menelefonku. "Assalamualaikum....Awi apa khabar? Tak balik ke" tanya abah. Hanya itu sahaja. Aku baru sahaja menjawab salam abah sudah memutuskan talian. Aku sedih. Aku tahu abah sunyi. Saat itu aku teringat kembali memori memori lama dengan abah.  

Oh ya...aku belum menjawab persoalan kenapa ramai orang tegur abah dulu dulu semasa aku mengikuti abah kemana mana. Aku fikir kalian pun sudah tahu mengapa. Abah seorang guru. Abah mengajar di kampung halamanku dan tidak keluar dari situ sehingga pencen, Anak anak kampung hampir semuanya adalah bekas pelajar abah. Abah juga seorang ahli sukan. Seorang pemain bola yang dikenali. Abah wakil Negeri Perak peringkat guru guru Melayu ketika itu. Sebab itu abah punya ramai kenalan dan ramai bekas pelajar. Itulah juga sebabnya ramai yang kenal abah. Mereka menghargai abah.

Abah telah mengajarku dengan dunia pendidikan. Abah ialah seorang pendidik jitu (bukan hendak membangga diri dan menunjuk nunjuk kehebatan abah)......Abah telah mendedahkan aku kepada "Projek Memandaikan Bangsa", sejak aku kecil lagi. Tiap malam para pelajar di kampung itu yang akan menghadapi peperiksaan terutamanya Peperiksan Penilaian Darjah Lima akan berkampung di rumah ku untuk menadah ilmu dalam sesi tuisyen yang abah kendalikan. Ramai yang datang. Penuh satu rumah. Abah ada papan hitam di rumah yang atuk buat untuk abah mengajar tuisyen. Masa tu masih pakai kapur lagi. Nanti akan ku ceritakan di nukilan yang lain tentang ini. Ada peristiwa peristiwa menarik untuk dikongsi.

Hari ini....tanggal 18 Februari 2016, para pelajar ku pula mendapat keputusan peperiksaan semester mereka. Aku nukilkan momen ini di dalam 'posting' FB ku dalam cara ku sendiri.....


Hari ini pelajar pelajar dibawah seliaan ku dapat keputusan peperiksaan semester akhir mereka....macam biasa---ramai yang 'failed'....terpaksa mengulang satu semester lagi atau dibuang terus dari UiTM.....
Ia pengajaran pahit kepad mereka yang tidak 'perform' atau main main dalam menyiapkan tugasan atau menyempurnakan keperluan kursus.....
Sebentar lagi ramai yang akan menghubungi ku menangis nangis merayu dan menyatakan kekesalan---bertanya apa yang mereka boleh buat supaya tidak 'failed'....aku akan jawab 'nasi sudah jadi bubur'.....tidak kurang juga yang langsung tidak ambil peduli dengan keputusan peperiksaannya....'deme rasa deme baguih bebenor'....
Seketika kemudian....
Aku menggaru garu belakang kepala ku yang tidak gatal......sambil mataku terkebil kebil....tetiba teringat kata kata MB N9--kalau tidak boleh jadi garam jangan pula engkau menjadi langau....
Oooh oh oh aku berfantasi rupanya di dinihari.......kalau sedemikian rupanya....tentunya telefon bimbit ku tidak berhenti berdering.....whatsapp pula berdentum dentum. Pabila ku belek telefon ku, sunyi dan sepi....lalu ku tersedar bahawa mereka semua lulus.......
Telefonku akan berbunyi tanpa henti jika mereka gagal.........Ya Rabb...engkau jadikanlah mereka semua manusia yang HAMBA.....bukan manusia yang RAJA serta meRAJAI.......lalu ENGKAU berkati mereka dengan rahmat dan perlindunganMU agar mereka menjadi insan yang tidak hanya pintar akal, bijak bicara tetapi tiada tindakan dan gerak laku, hanya pandai mengadu domba mencari cari aib dan salah insan lain atau hanya pandai menunjuk jari mencari silap manusia lain yang juga HAMBA seperti mereka......
aku hanya punya sekecil kecil harapan......secebis harapan kecil agar aku dikenang dalam doa kalian.......lalu kalian mendoakan aku sebaiknya---aku hanya pohon balasan syurga dari Illahi lalu kalian doakan aku untuk itu....

Aku fikir, abah juga mengalami perasaan yang sama setiap kali anak anak didiknya mendapat kejayaan atau mendapat keputusan peperiksaan. Satu perasaan yang sukar hendak digambarkan. Namun aku boleh mengerti perasaan itu. Perasaan yang hanya wujud jika kalian juga adalah pemain dan aktor dalam Projek Memandaikan Bangsa ini.....

Aku hanya mengikuti jejak langkah abah. Terimakasih abah kerana melibatkan aku dalam projek yang tiada penghujungnya ini....aku doakan kebaikan dunia akhirat untuk abah dan semoga Allah redha dengan amal dan umur abah dan semoga Abah tabah mengharungi sisa sisa kehidupan ini. Maafkan Alwi yea abah atas segala salah silap dan juga kekurangan ataupun kerana kurangnya kesempatan untuk sentiasa berada disisi abah saat ini.....
Post a Comment