
Aku lebih suka menelusuri RASA berbanding bercerita dan berceloteh tentang perjalanan.....kerana dengan RASA itulah kita bangkitkan tawadhuk dan keinsafan dalam diri. Sesungguhnya, tidak semua berpeluang untuk ke sana walau punya wang berjuta....ia kerana 'jemputanNYA' sangat istimewa! Ada orang punya wang tapi tidak punya MASA mahupun RASA....ada punya MASA akan tetapi tiada WANG buat menampung kos. Ada yang punya MASA dan WANG tapi tiada RASA mahu berpergian! Itulah sebahagian senario! Terkadang jika Allah tidak 'menjemput' kita....maka tiadalah kita mahu ke sana! Sesungguhnya.....ia perjalanan spiritual yang mendalam ertinya! Ia suatu proses 'recharge' kepada diri. Itulah yang aku mengertikan setiap kali ke Mekah dan Madinah. Aku ingin 'recharge' diri! Soalnya samada DIRI mahu mendekati atau menafi? Terpulang lah masing masing untuk menilai dan mentafsir! Aku merasakan, tiada yang lebih bererti dalam hidup melainkan menyahut 'jemputanNYA'...ku amat mengerti bahawa Sang Khaliq sedang menjemput diri, adakah patut untuk aku menafi, adakah patut untuk aku beralasan!....tidak penting nilainya berapa kali berpergian ke sana akan tetapi apa yang paling utama ialah kualiti sesuatu pemergian itu. Adakah telah kita kualitikan masa dengan sebaiknya semasa berada di Masjidil Haram....kita berkejaran dengan masa...tidak tahu kapan kan ketemu lagi peluang sebegini, tidak usah dipersiakan ia! Ia satu peluang, maka rebutlah peluang itu...peluang beribadah dan berakhlak saat beribadah......bukan berebut rebut bertolak tolak hanya sekadar ingin mengucup Hajarul Aswad....kerana apabila bertolakan sedemikian, ia menyakitkan orang lain! Itu lebih 'haram' hukumnya.....justeru aku sekadar 'isyaarah' dari kejauhan walau hati diruntun mahu mengucupmu wahai Hajarul Aswad...apapun, ku biarkan sepi hasrat ku itu.
Bukan soal ganjaran yang diperhitungkan, bukan soal 100,000 kali ganda pahala ibadah yang dicari...akan tetapi REDHA Allah yang paling utama. Tidak dinafikan, keistimewaan gandaan seratus ribu kali pahala itu suatu daya tarikan utama, akan tetapi jika sekadar itu, kita hanya akan terlalu 'mengira ngira' perbuatan ibadah itu dan bukannya soal REDHA Allah kepada diri! Apa yang penting ialah bagaimana manifestasi dan penghargaan diri terhadap 'jemputan istimewa' itu. Bagaimana mengkualitikan masa yang ada untukNYA. Itulah persoalan yang utama.


Kurasakan saat berpergian ke sana, mengerjakan umrah, bertahajjud kepadaNya di sana lebih dan sangat bermakna buat diri. Terimakasih Ya Allah kerana memberi peluang buat diriku berada di MultazamMU, iaitu suatu tempat yang dijanjikan kan terkabul segala doa dan harapan.....syukur Ya Rabb kerana aku punya detik masa yang panjang di situ untuk ku ungkapkan dan leraikan isi hati.....untuk ku sampaikan doa dan hajat teman teman dan rakan taulan semua! Terimakasih Ya Allah kerana memberi ruang kecil buatku dan Iman Ihsan duduk berteleku di Raudhah kekasihMu, Muhammad saw......tak terucap dengan kata kata betapa aku berpeluang di situ sepuas puasnya! Syukur kepadaMU Ya Rabb.
Aku doakan kalian kan 'dijemput' menjadi sebahagian dari 'duyuufur rahmaan' dalam masa terdekat...moga moga ia memberi inspirasi tidak terperi buat kalian kerana sesungguhnya musafir ku ini sememangnya menjadi inspirasi buat diriku dan sentiasa terpahat dalam memori diri. Moga moga Allah menerima segala amal dan doa ku! Amiin!
No comments:
Post a Comment