Salam ukhuwwah....
Sesuatu yang bermakna dan amat bernilai itu tidaklah kita tahu nilainya melainkan saatnya ia telah tiada! Itulah Selcuk...bumi bertuah ini!
Dari jauh ia berdiri gagah bagai menaungi segalanya yang berada disekitar. Bagai mendabik dada kemegahan lalu memanggil manggil para pencinta agar bernaung di dalamnya. Ia megah berdiri sejak 800 tahun lalu. Sejak zaman kerajaan Saljuk! Binaan bongkah batu bata yang ditumbuhi pohon kecil dan lumut halus serta beberapa tompokan bunga kecil berwarna ungu membenarkan sepi dan rindu yang ditanggungnya. Bingkai jendela yang kukuh dan kemas lalu dihiasi ukiran ukiran geometri lama dicelah celah bingkai menggamit sesiapa sahaja untuk terpaku menyaksikannya. Tiang menara usang bata merah melengkapkan sisinya. Tiang tiang roman sebesar 2,3 pemeluk di dalam ruangan masjid mengukuhkan rasa, merangkul kedamaian setiap pengunjungnya. Tiada masjid hari ini umpamanya yang dibina sedemikian rupa....ia teguh, gagah dan megah! Ya...ia sejarah yang panjang....800 tahun bukan umur yang pendek dalam kehidupan manusia!
Aku memandang sayu dari beranda 'Guest House-Rebetika Hotel' ini ke arah Isa Bey Mosque di pekan kecil Selcuk ini...sesayu sejarahnya...sayu lagi pandanganku pagi ini. Semalam aku bertandang ke situ selepas mendengar laungan azan maghrib yang berkumandang mendayu dayu! Mengingatkan diri sudah agak terlewat, aku bergegas berlari lari kecil menuju ke Isa Bey itu agar tidak tertinggal berjemaah....anak tangga yang meninggi itu, aku daki dengan larian kecil...lalu tersergam indah pintu gerbang besar setinggi 5 meter menanti megah di depanku...tiang tiang Roman setinggi 10 meter menanti di depan dengan ruang taman penuh dengan bunga dan pepohon kecil menghiasi laman sebelum masuk ke ruang solat....gelap dan sepi! Aku hairan???...Tiada sesiapa di dalam ruang solat yang besar dan luas ini! Aku teraba raba mencari suis lampu! Lampu dari skrin telefon BB kesayanganku ini ku gunakan untuk mencari suis lampu. Tentu ia berdekatan dengan pintu masuk ini!...benar sangkaanku...aku menemui suis lampu tu!
Sekonyong konyongnya lampu besar di ruangan solat itu menerangi sabahagian dari kawasan solat! Ia besar, luas dengan rekabentuk lama yang unik dan sangat mengagumkan! Mimbar kayu yang dibina dengan ukiran tersendiri ada gaya mirip mimbar di Masjid Nabawi! Indah dan cantik...kubah yang penuh dengan ukiran ukiran geometri mencarik hatiku dek kerana kagum dengannya! Waduh! Ia sangat cantik!....selama ratusan tahun, bukan puluhan bulan atau tahun...ia tergantung indah di situ! Hebat sungguh pereka dan pembinanya!
Selepas beberapa ketika, aku menanti nanti para jemaah lain...namun, aku hampa!...malah, bilal yang ku ingat melaungkan azan tadi pun tiada kelihatan langsung! Kemana dia? Siapa yang azan tadi? Hatiku terus tertanya tanya....lalu akhirnya aku mengambil keputusan untuk solat sahaja dengan anak dan isteriku! Kami solat berjemaah di Isa Bey, pertama kali sejak kami sampai malam tadi! Seolah olah hanya suara kami sahaja yang mengisi ruang solat yang besar di Isa Bey yang sepi ini! Seusai solat jamak Maghrib dan Isyak, kami sekeluarga membaca yassin bersama, kerana malam itu adalah malam Jumaat...alhamdulillah selesai sudah!
Isa Bey Mosque yang sepi itu, membangkit persoalan yang banyak....anugerah sejarah dan ketamadunan yang gemilang selama beratus tahun seolah olah sepi tanpa sambutan dan penghargaan nilai dan pengertian! Aku sebenarnya rasa 'cemburu' kerana mereka memiliki segalanya...negara yang hebat, cuaca yang mengagumkan, dingin, nyaman dan damai-sejuk tidak terlalu, panas begitu juga, subur tanah yang membuahkan hasil pelbagai, malah ketamadunan pelbagai. Namun, Islam hanya kelihatan dipandang sepi.....aku syahdu melihat Selcuk yang sepi!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment