Tuesday, May 22, 2012

Turki....Sepetang di Selcuk!

Salam ukhuwwah,

Seusai umrah, kami menuju ke Turki, memilih gerak penerbangan yang paling murah dan menjimatkan, justeru kami menuju ke Istanbul dahulu kemudian menyambung perjalanan ke Izmir. Kami bermusafir kerana isteriku punya pembentangan esok hari di Surmeli Efes, Hotel dan Resorts Spa berdekatan bandar pelabuhan di Kusadasi, hotel peranginan yang cantik dan indah, selalu dikunjungi oleh pelancong pelancong Barat....kami singgah tidak lama, kerana selepas itu, perlu segera kembali ke tanahair dek tugasan yang perlu dilaksanakan!

Selcuk, kota bersejarah!

Sejarah Selcuk amat panjang...sejak 800AD lagi...dikesempatan yang sangat singkat sempat menziarahi masjid lama (Kaleici Camili 1618) di Kusadasi yang usianya hampir 800 tahun....besar dan cantik masjid namun berkunci dan hanya dibuka saat masuk waktu solat. Aku sempat berjemaah Zuhur dengan anakku Iman Ihsan di situ. Bagai suatu kepelikan yang besar apabila para jemaah seolah olah hairan dan pelik melihat kehadiran kami di situ! Pandangan ekor mataku mengesahkan situasi itu.....aku sendiri pelik kerana hanya orang tua tua sahaja yang datang solat berjemaah...sunyi dan sepi..sekadar sebaris saf! 

Seusai solat mereka zikir ringkas beramai ramai, agak berlainan caranya berbanding di Malaysia! Setelah zikir, tuan Imam membacakan doa secara senyap, tidak kedengaran butir bacaan akan tetapi para makmum mengaminkan doanya. Aku turut serta sekali bersama mereka! Setelah itu aku bersalaman dengan para jemaah....tika itu ada seorang lelaki pertengahan umur menyapa kami...dia bertanya kami dari mana sambil duduk memakai kasutnya. Sekonyongnya dia mengajak kami makan tengahari....aku menolak dengan cara baik namun dia begitu beria ia, lalu aku bersetuju mengikutinya ke restoran berdekatan di luar masjid di sekitar Old Town Bazaar! Dia memesan untuk kami bertiga makanan tradisional Turki yang dicampur dalam satu pinggan beserta nasi! Aku tak pasti samada aku menyukainya sehinggalah merasanya...ia menyelerakanku....sedap dan sesuai dengan citarasa ku. Sambil makan dia mula bercerita sambil aku dan isteri bertanyakan soalan soalan tentang Islam, orang Islam dan Turki!

Hampir 2 jam kami bersembang! Masa berlalu begitu pantas! Sdra Aziz (nama dia) begitu banyak menghamburkan soalan soalan kepada kami! Baginya adalah sesuatu yang sangat istimewa bertemu dengan kami. Dia hairan sebab anakku Iman Ihsan turut bersama sama solat berjemaah bersama kami. Suatu yang sangat jarang dilihatnya di Turki...remaja dan pemuda begitu menjauhi masjid, itu katanya! Masjid hanya didekati oleh mereka yang telah tua dan pencen bekerja...hanya sebilangan kecil lelaki pertengahan umur sepertinya mendatangi masjid di bandar Kusadasi ini. Aku dan isteri terkejut!

Sampai begitu sekali kesan 'sekularisasi' Mustafa Kemal Attartuk kepada rakyat Islam Turki...terpancar rasa sedih dari hati kami melihat keadaan ini! Betapa beruntungnya kita di Malaysia, sinar hidayah semarak dan menyebar di serata bumi Malaysia. Itulah sebahagian kisah sepetang di Selcuk ini yang sepi ini!






Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: