Showing posts with label umrah. Show all posts
Showing posts with label umrah. Show all posts

Tuesday, May 15, 2012

Makkah dan Madinah...

Salam ukhuwwah...


Sudah beberapa ketika blog ini terhenti....maaf Aku bermusafir ke Mekah dan Madinah saat itu, menjadi 'tetamu Allah'..syukur kepadaMU Ya Rabb kerana memberi peluang kepada hamba yang kerdil dan hina ini untuk mengunjungi rumah mu. Sesungguhnya, perjalanan dan musafir kali ini sangat bermakna buat diri kerana berpeluang membawa anak bongsu ku sekali. Keterujaan itu melanda, hinggakan Iman Ihsan (nama anak saya) tak tidur malam dibuatnya. Alhamdulillah ia nikmat paling besar buatnya.


Aku lebih suka menelusuri RASA berbanding bercerita dan berceloteh tentang perjalanan.....kerana dengan RASA itulah kita bangkitkan tawadhuk dan keinsafan dalam diri. Sesungguhnya, tidak semua berpeluang untuk ke sana walau punya wang berjuta....ia kerana 'jemputanNYA' sangat istimewa! Ada orang punya wang tapi tidak punya MASA mahupun RASA....ada punya MASA akan tetapi tiada WANG buat menampung kos.  Ada yang punya MASA dan WANG tapi tiada RASA mahu berpergian! Itulah sebahagian senario! Terkadang jika Allah tidak 'menjemput' kita....maka tiadalah kita mahu ke sana! Sesungguhnya.....ia perjalanan spiritual yang mendalam ertinya! Ia suatu proses 'recharge' kepada diri. Itulah yang aku mengertikan setiap kali ke Mekah dan Madinah. Aku ingin 'recharge' diri! Soalnya samada DIRI mahu mendekati atau menafi? Terpulang lah masing masing untuk menilai dan mentafsir! Aku merasakan, tiada yang lebih bererti dalam hidup melainkan menyahut 'jemputanNYA'...ku amat mengerti bahawa Sang Khaliq sedang menjemput diri, adakah patut untuk aku menafi, adakah patut untuk aku beralasan!....tidak penting nilainya berapa kali berpergian ke sana akan tetapi apa yang paling utama ialah kualiti sesuatu pemergian itu. Adakah telah kita kualitikan masa dengan sebaiknya semasa berada di Masjidil Haram....kita berkejaran dengan masa...tidak tahu kapan kan ketemu lagi peluang sebegini, tidak usah dipersiakan ia! Ia satu peluang, maka rebutlah peluang itu...peluang beribadah dan berakhlak saat beribadah......bukan berebut rebut bertolak tolak hanya sekadar ingin mengucup Hajarul Aswad....kerana apabila bertolakan sedemikian, ia menyakitkan orang lain! Itu lebih 'haram' hukumnya.....justeru aku sekadar 'isyaarah' dari kejauhan walau hati diruntun mahu mengucupmu wahai Hajarul Aswad...apapun, ku biarkan sepi hasrat ku itu.


Bukan soal ganjaran yang diperhitungkan, bukan soal 100,000 kali ganda pahala ibadah yang dicari...akan tetapi REDHA Allah yang paling utama. Tidak dinafikan, keistimewaan gandaan seratus ribu kali pahala itu suatu daya tarikan utama, akan tetapi jika sekadar itu, kita hanya akan terlalu 'mengira ngira' perbuatan ibadah itu dan bukannya soal REDHA Allah kepada diri! Apa yang penting ialah bagaimana manifestasi dan penghargaan diri terhadap 'jemputan istimewa' itu. Bagaimana mengkualitikan masa yang ada untukNYA. Itulah persoalan yang utama.


Kesyahduan yang terlahir itu aku tintakan sedikit di sini agar perkongsian itu kan membuahkan RASA untuk kalian menerima 'jemputanNYA'. Jangan dikira soal wang atau tidak punya wang untuk menampung kos. Allah swt punya sifat mustahil....mustahil jika tiada wang kan dapat berpergian, namun pasrah lah diri, usahalah sekuat mungkin...pasti cita cita dan harapan untuk berada di sana kan tercapai! Berusahalah dengan sesungguhnya dan sekuatnya agar mampu berpergian! Nikmat yang dirasa di sana memang tiada galang gantinya! Tiadalah aku menafikan bahawa ibadah yang kita lakukan seharian di sini itu tidak bernilai akan tetapi keupayaan untuk duduk dekat dengan rumahNYA adalah suatu nikmat spiritual yang tidak terungkap dengan kata kata, mahupun diganti dengan apa apa sekalipun di dunia ini! Ia teristimewa buat diriku!


Soal KEDEKATAN denganNYA itu kita boleh dapati melalui tahajjud di malam hari di sini, di rumah atau masjid yang kalian kunjungi....akan tetapi KEDEKATAN yang lebih utama ialah bertahajjud di rumahNYA. Aduh betapa rasa nikmat itu tidak terperi....moga moga Allah akan menambahkan redha, rahmat dan rezeki kepada insan insan yang memberi jalan dan peluang untuk aku berada di sana. Ya Rabb....berilah dan anugerahkan lah nikmat berlimpah ruah buat mereka! Bayangkan gambaran Kaabah terpampang di depan mata....hebat Rumah Allah ini. Bayangkan juga saat takbir diangkat, bayangan Kaabah terpampang walau kita telah kembali ke tanahair! Tidakkah itu istimewa. Seolah olah Kaabah itu melingkari diri dan hidup setiap saat dan ketika....bayangkan saat tawaf berpusingan tujuh kali itu sentiasa mewarnai perjalanan hidup...sentiasa terpampang dan terbayang dalam kehidupan seharian di tanah air....tidakkah itu istimewa! Bayangkan saat azan dilaungkan malah beberapa waktu sebelum azan dilaungkan kita sudah bingkas bangun menuju ke masjid...malah kita bingkas bangun dari empuk dan enak tilam serta nyenyak tidur, seolah olah jiwa terpanggil untuk segera hadir, lalu bermunajat di subuh hari kepadaNya, tanpa ada rasa keluh kesah dan kemalasan....kesegeraan itu wujud di sana, di bumiNya yang muia dan penuh berkah...lalu kita berperangai dan bersikap serupa saat kembali ke tanah air...tidakkah itu hebat...tidakkah itu istimewa, tidakkah itu dinamakan 'RECHARGE'....


Kurasakan saat berpergian ke sana, mengerjakan umrah, bertahajjud kepadaNya di sana lebih dan sangat bermakna buat diri. Terimakasih Ya Allah kerana memberi peluang buat diriku berada di MultazamMU, iaitu suatu tempat yang dijanjikan kan terkabul segala doa dan harapan.....syukur Ya Rabb kerana aku punya detik masa yang panjang di situ untuk ku ungkapkan dan leraikan isi hati.....untuk ku sampaikan doa dan hajat teman teman dan rakan taulan semua! Terimakasih Ya Allah kerana memberi ruang kecil buatku dan Iman Ihsan duduk berteleku di Raudhah kekasihMu, Muhammad saw......tak terucap dengan kata kata betapa aku berpeluang di situ sepuas puasnya! Syukur kepadaMU Ya Rabb.


Aku doakan kalian kan 'dijemput' menjadi sebahagian dari 'duyuufur rahmaan' dalam masa terdekat...moga moga ia memberi inspirasi tidak terperi buat kalian kerana sesungguhnya musafir ku ini sememangnya menjadi inspirasi buat diriku dan sentiasa terpahat dalam memori diri. Moga moga Allah menerima segala amal dan doa ku! Amiin!

Saturday, April 28, 2012

Ku rinduuuuuu

Salam ukuhuwwah.....


Deklarasi nota ini: "Nukilan ini hanya laungan dan jeritan hati diriku semata mata......yang ingin kurakam buat perkongsian kalian semua! Agar ia sedikit sebanyak punya pengajaran bermakna....jika ia tidak memberi makna kepada kalian, aku mohon maaf banyak banyak....Nauuzubillah, aku tiada niat mahu menunjuk nunjuk"


Sudah beberapa ketika aku tidak mengemaskini blogku ini....dek kesibukan urusan dan melakukan persiapan! Masa sangat terpenuh dengan usaha berbagai mencukupkan persiapan! Jerit dan perih namun itulah kemanisan yang akhirnya terungkap dibibir...syukur alhamdulillah. Hanya tinggal menanti saat dan masanya sahaja.....Saat itu memang ku tunggu tunggu, ia jauh tapi ia sangat bermakna buat diriku.....sejak pertama kali menjejak kaki, aku seolah olah bersumpah dengan diriku (dengan izinNya), akan ku datangi ia setiap kali terluang! Saat hasrat dan doa dipanjatkan kepadaMu Ya Rabb, aku sangat mengerti bahawa ia adalah hakMU untuk mendengar rintihan ini....hakMU jua untuk mengabulkan hasrat diriku ini......tanpa restu dan redhaMU, mana mungkin kan ku jejak kaki ini ke sini lagi! Itulah saat ketika beberapa tahun yang lalu...sudah agak lama, lalu hari ini ku teringat doa ku padaMU Ya Rabb......ku ingin menjejak kaki ke sini setiap kali dan setiap tahun....lalu hari ini aku terimbau saat pertama kali hadir...aku kelu Ya Rabb....baru ku sedar Engkau sangat pemurah buat diriku yang hina ini...aku sangat terkesan! Sememangnya aku terkesan! Alhamdulillah....


Ia besar bagi hambamu yang kerdil ini....jika tiada jemputan dari Sang Teman yang mengajakku....aku hampir putus harap untuk mengunjungi rumahMU Ya Rabb pada tahun ini...engkau berikan berkah dan keampunan buat Sang Teman itu...engkau limpahkan rezeki dan kasih sayangMU buat dirinya dan keluarga Ya Rabb......Engkau redhailah segala usahanya, Engkau terimalah segala amalannya serta doanya!


Apa yang kubicarakan ini adalah saat dan peluang yang diberi...ia tidak mudah! Ia adalah jemputan dariNya....ramai yang berpeluang dan ramai lagi yang tidak berpeluang! Masyaallah! Aku menanti setiap detik itu...ku rasakan kekerdilan diri saat ini....betapa ia anugerah yang tidak terhingga buat diri! Jika kalian dijemput olehNya...insafilah, berbahagialah, bersyukurlah. Ada makna dan rasa yang tak terucap! Alhamdulillah, pemergian ini bersama isteri dan anakku Iman Ihsan....Iman cukup teruja dan terkesima!Bermacam soalan dan pertanyaan bermain dibibir mulut! Mulanya, hampir sahaja dia tidak akan ikut dalam musafir ini....hingga suatu hari dia mengungkap "Iman dah kumpul duit tu Ummi...ada rm450 lebih kurang, ambil le buat tambang!...Iman nak pergi sekali"...."Mana Iman dapat duit?" tanya Umminya. "Iman kumpul duit belanja yang Baba bagi tiap hari, duit yang Embah bagi, Ummi bagi, duit raya, semua Iman kumpul...sebab Iman nak pergi"......aku terdengar bicara itu....sebentar kemudian airmata menitis tanpa kusedari....betapa keinginannya cukup menebal ingin turut serta! Aku bungkam menitipi doa di sujudku agar ada peluang dan rezeki untuk membolehkan dia turut sekali!


Sedari atau tidak...kerinduan itulah yang membuat jiwa lara! Hidup seolah olah tidak bererti....yang lebih bererti ialah berada di sana pabila mana ada peluang dan ketika! Tak penting soal berapa kali telah pergi! Tidak bermakna pergi berkali kali namun diri masih ditakuk lama.....aku tidak perlu mendabik mengungkap dan mengira, berapa kali telah berpergian! Tidak penting sama sekali! Apa yang penting, jiwa terubat dek rindu yang mendalam...tidak juga bermakna bahawa musafir ini akan mengubat rindu dendam itu....aku hanya manusia biasa.....aku punya alasan tersendiri mengapa aku ingin sekali berada di sana....aku cukup terkesan sama sekali apabila punya peluang. Hampir sahaja peluang itu tidak hadir tahun ini...lalu membuat hatiku tertanya tanya.....tiadakah peluang dan jemputan untukku untuk kali ini! Sedih mengingatkan jika tiadanya peluang itu...alhamdulillah Ya Rabb, diKau Maha Kaya dan Maha Mendengar doa!


Mungkin ada doa yang Kau sambut Ya Rabb...aku bersyukur! Musafir ini kan bertamu bersama teman teman lain seangkatan! Moga Engkau rapatkan ukhuwwah kami. Pabila kukatakan kepada anakku Iman, "Nanti Iman jumpa la dengan Ustaz Don...dia pergi sekali ngan kita"..."Ye ke???" sambil airmuka dan raut wajah berkerut seolah olah tidak percaya! Iman memang menggemari dan meminati Ustaz Don. Setiap ketika tidak pernah ketinggalan mengikuti rancangan '30 Minit Bersama Ustaz Don'....jika terlepas, dia akan merajuk! Dia sanggup menyudahkan kerja sekolah dan mentelaah lebih awal, agar tepat jam 9.30pm, dia berpeluang untuk mengikuti celoteh dan ceramah Ustaz Don! Sejak itu, dia menunggu nunggu saatnya tiba untuk berangkat...sangat teruja! Ya Rabb, berkatilah musafir ini, lindungi dan redhailah kami! Terimalah doa dan amalan kami...kabulkan doa kami dan kiriman doa dari teman teman yang berkirim doa! Moga moga Engkau luaskan rezeki mereka semua dan Engkau jemput mereka semua ke rumahMU Ya Rabb.....


Dari Madinah, aku akan berpergian ke Ankara lalu terus ke Izmir dan menuju ke Selcuk. Urusan persiapan inilah yang membuatku agak kelam kabut seminggu dua ini! Alhamdulillah, dengan bantuan isteri dan teman teman rapat, segala persiapan dan jadual perjalanan insyaallah telah tersedia! Moga moga tiada aral yang melintang! Dan moga moga, urusan isteriku untuk membentang kertas kerja di seminar antarabangsa di Efes Surmeli Hotel and Resort akan berjalan lancar! Kami hanya ber'backpack' sahaja! Setelah itu akan terus pulang ke Malaysia...insyaallah, akan ada bicara kenangan sepanjang perjalanan ini yang akan kunukilkan kemudian nanti! Doakan kami selamat perjalanan pergi dan balik, dan juga tiada perkara yang buruk berlaku! Ya Allah, Engkau redhai perjalanan kami ini!