Sekadar berkongsi!...aku kongsikan posting saudaraku Bro Hilmy Shamsur Abd Rahim dan juga posting Bro Muhammad Zurani Salleh untuk tatapan kalian! Ambillah ibrah darinya!
Dlm Surah Al- Qaaf Ayat 18, Allah berfirman maksudnya:
“ Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)”
Dlm Surah Al-Ahzaab ayat 58, Allah berfirman maksudnya:
“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata”
Dlm Surah Al-Israa' ayat 36 Allah berfirman maksudnya:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”
Dari Abdullah bin Amr bin Ash katanya: Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. : "Siapakah yang terbaik di antara kaum muslimin ini?" Jawab Rasulullah s.a.w. : "Ialah kaum muslimin yang terhindar dari bencana lidah dan tangannya”
Hadis sahih riwayat Muslim
Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah SAW menjawab: “Taqwa kepada ALLAH dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah SAW menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut(Lidah) dan kemaluan.” Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.” Wallahu'alam...
Hari pertama: mencuba kaedah rawatan mengikut sunnah, nantikan coretan tentang ini kemudian nanti!
Salam ukhuwwah...
Ada suatu keadaan bila manusia melalui suatu proses kehidupan yang memerlukan dirinya kepada kemasyhuran dan dunia glamer...ingin menjadi glamer dan masyhur? Ada juga yang secara tiba tiba menjadi glamer dan masyhur...apapun ia, ada yang mencari dan ada yang tercari cari. Mengapa? Ada banyak sebabnya...antaranya untuk meraih sokongan dan keuntungan samada dalam perniagaan, kerjaya mahupun politik. Satu idealisme terbentuk dari usaha untuk menjadikan apa yang diusahakan itu penuh kemasyhuran dan glamer iaitu idolisme! Tidak salah idolisme akan tetapi jika ia berteraskan kemaksiatan, maka ia haram, jika ia bertentangan dengan agama, ia haram, jika ia sia sia, ia haram juga! Apa yang perlu dikagumi dalam personaliti seseorang ialah akhlaknya, contoh keperibadian mulia! Untuk sentiasa lurus dan berada dijalan yang benar maka ia perlulah mematuhi syarat syarat shariah...tidak perlu susah susah mencari idol sezaman, jadikan Rasulullah saw sebagai idol! Pasti selamat dunia akhirat! Itu lebih baik untuk sesiapa baik dewasa, remaja dan belia!
Perlukah? Pentingkah? Utamakah?...dunia masyhur dan glamer itu sedari atau tidak adalah acuan pemikiran Barat yang terhasil dan ternatijah dalam bentuk lonjakan kuasa diri! Walhal dalam Islam, timbangan dan asas penilaian bukan kemasyhuran dan dunia glamer...akan tetapi nilai taqwa! Taqwa ialah lonjakan potensi dan kuasa diri seseorang individu! Ia adalah manigfestasi kehambaan seorang manusia terhadap Sang Khaliq! Justeru...ia sepatutnya yang paling utama. Tidakkah ia yang paling utama?
Cuba telusuri kenyataan yang telah Allah swt buat 1400 tahun lampau.... Tidakkah 'yang paling mulia diantara kamu adalah mereka yang paling bertaqwa'! Itulah neraca timbangan Sang Penguasa apabila DIA mahu menilai kita semua! DIA tidak menilai rupa paras, warna kulit, keadaan fizikal....DIA melihat kepada taqwa yang termampu terlihat oleh kita semua tetapi taqwa kann ternatijah dalam perlakuan dan akhlak!
Hanya sanya kita 'makhluk' iaitu 'yang dicipta' melihat kepada nilai fizikal, paras rupa, kecantikan, harta benda, keMASYHURAN, dunia GLAMER sebagai asas menilai....betapa lompongnya asas penilaian manusia, betapa sempitnya perhitungan nilai kehidupan hingga apa yang penting adalah nilai nilai fizikal dan materialistik!
Ada suatu tahap dimana, program khusus disusun penuh kreatif dan wibawa, kos ratusan, ribuan dan jutaan ringgit dikeluarkan hanya kerana ingin mempersadakan kemasyhuran dan keGLAMERAN! Secara terbuka saya tiada halangan kerana ia ada aspek positif untuk menyuburkan rasa, membangkitkan potensi dan semangat individu lain untuk turut sama mengecapi kejayaan, kemasyhuran yang sama....mungkin itu adalah titik tolak untuk individu lain turut berubah bagi memperbaiki kehidupan! Namun, sudut pandangan yang lain ialah, ia mungkin kebangkitan rasa yang penuh 'hipokrasi', sangat bersifat sementara kerana jiwa manusia yang tawadhuk, yang punya IMAN, ISLAM dan IHSAN dalam dirinya tidak akan subur dengan rangsangan sementara! Pasti akan sampai suatu ketika dan tahap dimana jiwa manusia menjadi 'sakit' selepas beberapa ketika! Selepas beberapa ketika, individu yang digarap dan terhasil melalui proses idealisme rapuh ini kan terawang awang mencari jati diri sebenar! Saat itu kerosakan telah berlaku, alhamdulillah jika mahu sedar dan insaf, namun masa dan kematian amat mencemburui kita! Amat dibimbangi jika proses keinsafan dan kesedaran itu berlaku amat lambat dan perlahan, lalu mati telah datang menjemput terlebih dahulu! Alangkah ruginya insan itu! Belum sempat membina dan meraih pahala dan kebaikan, kematian sudah datang tiba! Lalu timbangan amal itu secara amnya hanya sedikit! Benar...! Kita tidak tahu nasib kita...tidak pasti apakah amal sedia ada diterima olehNYA, namun jika boleh kita mahu meningkatkan kebarangkalian dan pilihan agar ada antara amal yang pelbagai yang kita lakukan di dunia itu diterima olehNya....jika kita kesuntukan masa dan maut tiba lebih awal, (sesungguhnya ajal dan maut tiba dalam kehidupan manusia itu dipenuhi dengan hikmah)...alangkah ruginya!
Tidak dapat tidak, hakikat yang perlu difahami mengapa pembinaan kehidupan tidak boleh dilakukan dengan mengadaptasi idealisme rapuh duniawi adalah kerana jiwa manusia tidak selari dengan nilai nilai hipokrasi...sebagai contoh...bolehkah kalian berpura pura menjadi seorang yang sangat warak walhal kalian bukan seorang yang warak! Benar, ada kenyataan, 'fake it until you make it'...jika berpura pura baik walhal kita tak baik..akhirnya akan tiba saatnya akan terserlah ketidakbaikkan diri kita! Melainkan kita dengan ikhlas cuba menjadi baik dan melakukan segala kebaikan walhal sebelum ini kita tidak pernah melakukan kebaikan tersebut!
Justeru, perlu kita sedar dan faham dengan ilmu...bahawa hidup ini adalah suatu yang serius. Ia bukan permainan, ia bukan eksperimen! Kaedah dan cara, manhaj dan tarbiahnya sudah ada dalam alQuran dan asSunnah...maka kembalilah kepada keduanya walau dalam keadaan hanya kita seorang diri sahaja yang mengamalkan dan orang lain, malah ahli keluarga sendiri tidak mengendahkannya! Mari kita sesama selamatkan diri dari api neraka dan balasan siksaan Allah swt yang tidak terperi sakitnya! Berbahagialah mereka yang sentiasa berada dan berusaha untuk berada dijalan yang lurus! Amiiin!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Salam ukhuwwah,
Seusai umrah, kami menuju ke Turki, memilih gerak penerbangan yang paling murah dan menjimatkan, justeru kami menuju ke Istanbul dahulu kemudian menyambung perjalanan ke Izmir. Kami bermusafir kerana isteriku punya pembentangan esok hari di Surmeli Efes, Hotel dan Resorts Spa berdekatan bandar pelabuhan di Kusadasi, hotel peranginan yang cantik dan indah, selalu dikunjungi oleh pelancong pelancong Barat....kami singgah tidak lama, kerana selepas itu, perlu segera kembali ke tanahair dek tugasan yang perlu dilaksanakan!
Selcuk, kota bersejarah!
Sejarah Selcuk amat panjang...sejak 800AD lagi...dikesempatan yang sangat singkat sempat menziarahi masjid lama (Kaleici Camili 1618) di Kusadasi yang usianya hampir 800 tahun....besar dan cantik masjid namun berkunci dan hanya dibuka saat masuk waktu solat. Aku sempat berjemaah Zuhur dengan anakku Iman Ihsan di situ. Bagai suatu kepelikan yang besar apabila para jemaah seolah olah hairan dan pelik melihat kehadiran kami di situ! Pandangan ekor mataku mengesahkan situasi itu.....aku sendiri pelik kerana hanya orang tua tua sahaja yang datang solat berjemaah...sunyi dan sepi..sekadar sebaris saf!
Seusai solat mereka zikir ringkas beramai ramai, agak berlainan caranya berbanding di Malaysia! Setelah zikir, tuan Imam membacakan doa secara senyap, tidak kedengaran butir bacaan akan tetapi para makmum mengaminkan doanya. Aku turut serta sekali bersama mereka! Setelah itu aku bersalaman dengan para jemaah....tika itu ada seorang lelaki pertengahan umur menyapa kami...dia bertanya kami dari mana sambil duduk memakai kasutnya. Sekonyongnya dia mengajak kami makan tengahari....aku menolak dengan cara baik namun dia begitu beria ia, lalu aku bersetuju mengikutinya ke restoran berdekatan di luar masjid di sekitar Old Town Bazaar! Dia memesan untuk kami bertiga makanan tradisional Turki yang dicampur dalam satu pinggan beserta nasi! Aku tak pasti samada aku menyukainya sehinggalah merasanya...ia menyelerakanku....sedap dan sesuai dengan citarasa ku. Sambil makan dia mula bercerita sambil aku dan isteri bertanyakan soalan soalan tentang Islam, orang Islam dan Turki!
Hampir 2 jam kami bersembang! Masa berlalu begitu pantas! Sdra Aziz (nama dia) begitu banyak menghamburkan soalan soalan kepada kami! Baginya adalah sesuatu yang sangat istimewa bertemu dengan kami. Dia hairan sebab anakku Iman Ihsan turut bersama sama solat berjemaah bersama kami. Suatu yang sangat jarang dilihatnya di Turki...remaja dan pemuda begitu menjauhi masjid, itu katanya! Masjid hanya didekati oleh mereka yang telah tua dan pencen bekerja...hanya sebilangan kecil lelaki pertengahan umur sepertinya mendatangi masjid di bandar Kusadasi ini. Aku dan isteri terkejut!
Sampai begitu sekali kesan 'sekularisasi' Mustafa Kemal Attartuk kepada rakyat Islam Turki...terpancar rasa sedih dari hati kami melihat keadaan ini! Betapa beruntungnya kita di Malaysia, sinar hidayah semarak dan menyebar di serata bumi Malaysia. Itulah sebahagian kisah sepetang di Selcuk ini yang sepi ini!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Salam ukhuwwah....
Sesuatu yang bermakna dan amat bernilai itu tidaklah kita tahu nilainya melainkan saatnya ia telah tiada! Itulah Selcuk...bumi bertuah ini!
Dari jauh ia berdiri gagah bagai menaungi segalanya yang berada disekitar. Bagai mendabik dada kemegahan lalu memanggil manggil para pencinta agar bernaung di dalamnya. Ia megah berdiri sejak 800 tahun lalu. Sejak zaman kerajaan Saljuk! Binaan bongkah batu bata yang ditumbuhi pohon kecil dan lumut halus serta beberapa tompokan bunga kecil berwarna ungu membenarkan sepi dan rindu yang ditanggungnya. Bingkai jendela yang kukuh dan kemas lalu dihiasi ukiran ukiran geometri lama dicelah celah bingkai menggamit sesiapa sahaja untuk terpaku menyaksikannya. Tiang menara usang bata merah melengkapkan sisinya. Tiang tiang roman sebesar 2,3 pemeluk di dalam ruangan masjid mengukuhkan rasa, merangkul kedamaian setiap pengunjungnya. Tiada masjid hari ini umpamanya yang dibina sedemikian rupa....ia teguh, gagah dan megah! Ya...ia sejarah yang panjang....800 tahun bukan umur yang pendek dalam kehidupan manusia!
Aku memandang sayu dari beranda 'Guest House-Rebetika Hotel' ini ke arah Isa Bey Mosque di pekan kecil Selcuk ini...sesayu sejarahnya...sayu lagi pandanganku pagi ini. Semalam aku bertandang ke situ selepas mendengar laungan azan maghrib yang berkumandang mendayu dayu! Mengingatkan diri sudah agak terlewat, aku bergegas berlari lari kecil menuju ke Isa Bey itu agar tidak tertinggal berjemaah....anak tangga yang meninggi itu, aku daki dengan larian kecil...lalu tersergam indah pintu gerbang besar setinggi 5 meter menanti megah di depanku...tiang tiang Roman setinggi 10 meter menanti di depan dengan ruang taman penuh dengan bunga dan pepohon kecil menghiasi laman sebelum masuk ke ruang solat....gelap dan sepi! Aku hairan???...Tiada sesiapa di dalam ruang solat yang besar dan luas ini! Aku teraba raba mencari suis lampu! Lampu dari skrin telefon BB kesayanganku ini ku gunakan untuk mencari suis lampu. Tentu ia berdekatan dengan pintu masuk ini!...benar sangkaanku...aku menemui suis lampu tu!
Sekonyong konyongnya lampu besar di ruangan solat itu menerangi sabahagian dari kawasan solat! Ia besar, luas dengan rekabentuk lama yang unik dan sangat mengagumkan! Mimbar kayu yang dibina dengan ukiran tersendiri ada gaya mirip mimbar di Masjid Nabawi! Indah dan cantik...kubah yang penuh dengan ukiran ukiran geometri mencarik hatiku dek kerana kagum dengannya! Waduh! Ia sangat cantik!....selama ratusan tahun, bukan puluhan bulan atau tahun...ia tergantung indah di situ! Hebat sungguh pereka dan pembinanya!
Selepas beberapa ketika, aku menanti nanti para jemaah lain...namun, aku hampa!...malah, bilal yang ku ingat melaungkan azan tadi pun tiada kelihatan langsung! Kemana dia? Siapa yang azan tadi? Hatiku terus tertanya tanya....lalu akhirnya aku mengambil keputusan untuk solat sahaja dengan anak dan isteriku! Kami solat berjemaah di Isa Bey, pertama kali sejak kami sampai malam tadi! Seolah olah hanya suara kami sahaja yang mengisi ruang solat yang besar di Isa Bey yang sepi ini! Seusai solat jamak Maghrib dan Isyak, kami sekeluarga membaca yassin bersama, kerana malam itu adalah malam Jumaat...alhamdulillah selesai sudah!
Isa Bey Mosque yang sepi itu, membangkit persoalan yang banyak....anugerah sejarah dan ketamadunan yang gemilang selama beratus tahun seolah olah sepi tanpa sambutan dan penghargaan nilai dan pengertian! Aku sebenarnya rasa 'cemburu' kerana mereka memiliki segalanya...negara yang hebat, cuaca yang mengagumkan, dingin, nyaman dan damai-sejuk tidak terlalu, panas begitu juga, subur tanah yang membuahkan hasil pelbagai, malah ketamadunan pelbagai. Namun, Islam hanya kelihatan dipandang sepi.....aku syahdu melihat Selcuk yang sepi!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
Salam ukhuwwah...
Sudah beberapa ketika blog ini terhenti....maaf Aku bermusafir ke Mekah dan Madinah saat itu, menjadi 'tetamu Allah'..syukur kepadaMU Ya Rabb kerana memberi peluang kepada hamba yang kerdil dan hina ini untuk mengunjungi rumah mu. Sesungguhnya, perjalanan dan musafir kali ini sangat bermakna buat diri kerana berpeluang membawa anak bongsu ku sekali. Keterujaan itu melanda, hinggakan Iman Ihsan (nama anak saya) tak tidur malam dibuatnya. Alhamdulillah ia nikmat paling besar buatnya.
Aku lebih suka menelusuri RASA berbanding bercerita dan berceloteh tentang perjalanan.....kerana dengan RASA itulah kita bangkitkan tawadhuk dan keinsafan dalam diri. Sesungguhnya, tidak semua berpeluang untuk ke sana walau punya wang berjuta....ia kerana 'jemputanNYA' sangat istimewa! Ada orang punya wang tapi tidak punya MASA mahupun RASA....ada punya MASA akan tetapi tiada WANG buat menampung kos. Ada yang punya MASA dan WANG tapi tiada RASA mahu berpergian! Itulah sebahagian senario! Terkadang jika Allah tidak 'menjemput' kita....maka tiadalah kita mahu ke sana! Sesungguhnya.....ia perjalanan spiritual yang mendalam ertinya! Ia suatu proses 'recharge' kepada diri. Itulah yang aku mengertikan setiap kali ke Mekah dan Madinah. Aku ingin 'recharge' diri! Soalnya samada DIRI mahu mendekati atau menafi? Terpulang lah masing masing untuk menilai dan mentafsir! Aku merasakan, tiada yang lebih bererti dalam hidup melainkan menyahut 'jemputanNYA'...ku amat mengerti bahawa Sang Khaliq sedang menjemput diri, adakah patut untuk aku menafi, adakah patut untuk aku beralasan!....tidak penting nilainya berapa kali berpergian ke sana akan tetapi apa yang paling utama ialah kualiti sesuatu pemergian itu. Adakah telah kita kualitikan masa dengan sebaiknya semasa berada di Masjidil Haram....kita berkejaran dengan masa...tidak tahu kapan kan ketemu lagi peluang sebegini, tidak usah dipersiakan ia! Ia satu peluang, maka rebutlah peluang itu...peluang beribadah dan berakhlak saat beribadah......bukan berebut rebut bertolak tolak hanya sekadar ingin mengucup Hajarul Aswad....kerana apabila bertolakan sedemikian, ia menyakitkan orang lain! Itu lebih 'haram' hukumnya.....justeru aku sekadar 'isyaarah' dari kejauhan walau hati diruntun mahu mengucupmu wahai Hajarul Aswad...apapun, ku biarkan sepi hasrat ku itu.
Bukan soal ganjaran yang diperhitungkan, bukan soal 100,000 kali ganda pahala ibadah yang dicari...akan tetapi REDHA Allah yang paling utama. Tidak dinafikan, keistimewaan gandaan seratus ribu kali pahala itu suatu daya tarikan utama, akan tetapi jika sekadar itu, kita hanya akan terlalu 'mengira ngira' perbuatan ibadah itu dan bukannya soal REDHA Allah kepada diri! Apa yang penting ialah bagaimana manifestasi dan penghargaan diri terhadap 'jemputan istimewa' itu. Bagaimana mengkualitikan masa yang ada untukNYA. Itulah persoalan yang utama.
Kesyahduan yang terlahir itu aku tintakan sedikit di sini agar perkongsian itu kan membuahkan RASA untuk kalian menerima 'jemputanNYA'. Jangan dikira soal wang atau tidak punya wang untuk menampung kos. Allah swt punya sifat mustahil....mustahil jika tiada wang kan dapat berpergian, namun pasrah lah diri, usahalah sekuat mungkin...pasti cita cita dan harapan untuk berada di sana kan tercapai! Berusahalah dengan sesungguhnya dan sekuatnya agar mampu berpergian! Nikmat yang dirasa di sana memang tiada galang gantinya! Tiadalah aku menafikan bahawa ibadah yang kita lakukan seharian di sini itu tidak bernilai akan tetapi keupayaan untuk duduk dekat dengan rumahNYA adalah suatu nikmat spiritual yang tidak terungkap dengan kata kata, mahupun diganti dengan apa apa sekalipun di dunia ini! Ia teristimewa buat diriku!
Soal KEDEKATAN denganNYA itu kita boleh dapati melalui tahajjud di malam hari di sini, di rumah atau masjid yang kalian kunjungi....akan tetapi KEDEKATAN yang lebih utama ialah bertahajjud di rumahNYA. Aduh betapa rasa nikmat itu tidak terperi....moga moga Allah akan menambahkan redha, rahmat dan rezeki kepada insan insan yang memberi jalan dan peluang untuk aku berada di sana. Ya Rabb....berilah dan anugerahkan lah nikmat berlimpah ruah buat mereka! Bayangkan gambaran Kaabah terpampang di depan mata....hebat Rumah Allah ini. Bayangkan juga saat takbir diangkat, bayangan Kaabah terpampang walau kita telah kembali ke tanahair! Tidakkah itu istimewa. Seolah olah Kaabah itu melingkari diri dan hidup setiap saat dan ketika....bayangkan saat tawaf berpusingan tujuh kali itu sentiasa mewarnai perjalanan hidup...sentiasa terpampang dan terbayang dalam kehidupan seharian di tanah air....tidakkah itu istimewa! Bayangkan saat azan dilaungkan malah beberapa waktu sebelum azan dilaungkan kita sudah bingkas bangun menuju ke masjid...malah kita bingkas bangun dari empuk dan enak tilam serta nyenyak tidur, seolah olah jiwa terpanggil untuk segera hadir, lalu bermunajat di subuh hari kepadaNya, tanpa ada rasa keluh kesah dan kemalasan....kesegeraan itu wujud di sana, di bumiNya yang muia dan penuh berkah...lalu kita berperangai dan bersikap serupa saat kembali ke tanah air...tidakkah itu hebat...tidakkah itu istimewa, tidakkah itu dinamakan 'RECHARGE'....
Kurasakan saat berpergian ke sana, mengerjakan umrah, bertahajjud kepadaNya di sana lebih dan sangat bermakna buat diri. Terimakasih Ya Allah kerana memberi peluang buat diriku berada di MultazamMU, iaitu suatu tempat yang dijanjikan kan terkabul segala doa dan harapan.....syukur Ya Rabb kerana aku punya detik masa yang panjang di situ untuk ku ungkapkan dan leraikan isi hati.....untuk ku sampaikan doa dan hajat teman teman dan rakan taulan semua! Terimakasih Ya Allah kerana memberi ruang kecil buatku dan Iman Ihsan duduk berteleku di Raudhah kekasihMu, Muhammad saw......tak terucap dengan kata kata betapa aku berpeluang di situ sepuas puasnya! Syukur kepadaMU Ya Rabb.
Aku doakan kalian kan 'dijemput' menjadi sebahagian dari 'duyuufur rahmaan' dalam masa terdekat...moga moga ia memberi inspirasi tidak terperi buat kalian kerana sesungguhnya musafir ku ini sememangnya menjadi inspirasi buat diriku dan sentiasa terpahat dalam memori diri. Moga moga Allah menerima segala amal dan doa ku! Amiin!