Manusia yang beriman pasti diuji dengan pelbagai cabaran. Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Munqidh min al-Dholal (penyelamat dari pada kesesatan) ketika beliau dalam dilema sama ada mahu memilih dunia ataupun akhirat menceritakan:
“Lama juga aku berfikir, maka timbul keiniginan hendak meninggalkan kota Baghdad dengan kesenangan. Namun, kemudian murung juga dan hati masih ragu-ragu. Keinginan keras pada waktu itu bagi menuntut kebahagian abadi, menjadi lemah pada petang harinya. Nafsu duniawi menarik hatiku ke arah kedudukan, nama, dan pengaruh, namun iman berseru, 'bersiap-siaplah, usia hampir berakhir, padahal perjalanan sangat jauh. Ilmu dan amalmu hanya sombong dan berpura-pura. Jika tidak sekarang, bila mahu bersiap?' Kemahuan bertambah keras bagi membebaskan diri. Namun, syaitan kembali pula: 'Ini hanya penyakit sementara. Jangan bimbang kerana penyakit ini akan segera hilang. Sayang, jangan kau tinggalkan kedudukanmu yang tiada taranya ini, kelak engkau menyesal kerana tidak mudah kembali kepadanya'.”Berdasarkan pengalaman itu, dapat kita fahami bahawa perjalanan menuju iman yang hakiki itu pastinya sentiasa diuji oleh keindahan dunia, baik dari segi kebendaan, jawatan ataupun juga pangkat. Mengapa? Ini kerana hati dan nafsu manusia sentiasa didorong bagi menyukai dan mencintai dunia yang sementara. Inilah cabaran iman. Hanya Iman yang teguh sahaja mampu mengawal nafsu manusia.
Memahami hakikat keimanan seseorang itu akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t dalam pelbagai bentuk dan peristiwa kehidupan. Ujian keimanan dapat membantu kita supaya sentiasa waspada dengan kelekaan dunia dan sentiasa mengarah kepada tujuan sebenar kejadian manusia. Jika seseorang itu berjaya melepasi ujian itu, darjah keimanan naik satu tingkat dan pada tingkat yang seterusnya, dia akan diuji lagi. Proses ini adalah suatu perjalanan bagi setiap individu memantapkan keimanannya.
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi ataupun secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.”
Surah Al-Fatir: 29
Excerpt from my book KOMPAS JIWA: Mencari jalan yang benar, menuju jiwa bahagia....
No comments:
Post a Comment