Assalamualaikum wrt.wbt.
Kita tidak lahir sempurna. Punya kelemahan di sana sini. Tetapi kita adalah KEJADIAN yg sempurna, atau sebaik baik kejadian. Inilah kita-manusia. Sebagai insan kita dihidupkan dan diberi penghidupan dalam hayat yang sebenarnya sangat singkat. Ada tujuan dan ada sebab untuk itu.
Disebalik tujuan dan sebab itu kita perlu memenuhi syarat agar kehidupan itu berupa kebaikan dunia dan akhirat. Dalam proses untuk mencapainya, kita perlu faktor penggalak dan juga kelebihan yang biasa juga dikenal sebagai kekuatan, potensi yang perlu dicanai dengan cara, kaedah yang kreatif dan bijaksana agar matlamat dan objektif hidup dalam kerangka kebaikan dunia akhirat akan tercapai.
Kelebihan dan kekuatan berbeza beza antara seorang individu dengan individu yang lain. Ini kerana ia adalah sebahagian dari indahnya rencana Allah swt yang agung. Apa yang perlu dilakukan ialah membina jambatan kerjasama sesama sendiri agar kekuatan dan kelebihan yang berbeza beza ini dapat digembelingkan bersama bagi mencapai matlamat dan faedah bersama. Ini adalah sebahagian dari asas kepada perlunya perhubungan yang baik antara kita semua.
Dalam keadaan ini, perlu difahami bahawa ada sebahagian dari kita sudah kenal potensi diri yang perlu digembeleng untuk mendapat hasilan matlamat, ada pula yang tidak tahu potensi dirinya, ada yang belum cukup usaha menggilap potensi dirinya agar benar benar menjadi kelebigan buat dirinya, ada pula yang sedang membina potensi lain dalam dirinya dirinya setelah dia mencapai segala matlamat yang mahu dicapai melalui potensi sedia ada, dan ada pula yang langsung tiada peluang dan tidak tahu mengembangkan potensinya walau telah melalui zaman dan usia yang panjang dalam hidupnya.
Tulisan ini menyorot kaedah asas membina potensi lalu menggilap dan menjadikan ia sebagai asas kelebihan dan alat kepada pencapaian matlamat hidup. Asasnya ialah perlu punya ilmu. Dengan penguasaan ilmu maka potensi boleh digilap. Jika tiada ilmu, benih potensi yang sepatutnya tumbuh subur dalam diri seseorang, akan 'mati'. Ilmu perlu dipelajari dan dikuasai lalu dilaksankan sebaiknya. Ilmu adalah sumber untuk kita meraih kekuatan...
Antara kaedah paling asas untuk memperoleh ilmu dan meraih sumber kekuatan serta menggilap potensi ialah 'memiliki' kelebihan orang lain. Seseorang boleh membuat penilaian, pemerhatian, lalu bertanyakan soalan soalan asas. Apakah rahsia, apakah sikap, apakah cara, kaedah, formula kejayaan seseorang yang lain. Lihat kepada mereka yang telah 'makan asam garam' kehidupan terlebih dahulu.
Perhati setiap kes dengan teliti, kita kan melihat kepelbagaian definisi kejayaan melaluinya. Ada yang sederhana tapi hidup bahagia, lalu kita teliti rahsia kebahagiaan dan kesederhanaannya, ada yang kaya raya namun juga bahagia, lalu kita pelajari formulanya, ada yang bijak lalu menggunakan kebijaksanaannya dalam meraih matlamat hidupnya, ada yang seimbang dalam hidup, ada yang susah diusia tua, ada yang masih tiada apa apa, kaji setiap satu kes dan lihat segala aspek, apa yang positif maka ambilnya sebagai sumber kekuatan diri.
Tanyakan mana sumber kekuatan yang menjadi contoh dan model yang boleh diikuti, mana yang sesuai untuk diri sendiri, mana yang tidak sesuai akan tetapi penting untuk difahami. Nilai dan ambil kira juga perkara negatif, lalu jadikan ia SOP@panduan kehidupan agar kesilapan yang serupa tidak kita ulangi, dimana kesilapan itu telah dilakukan oleh orang lain.
Kaedah kaedah sebeginilah yang ditunjukkan dalam alQuran dan Sunnah. Inilah yang dicontohkan oleh mereka yang terdahulu dari kita. Lakukan pemerhatian, bukan pemerhatian biasa, akan tetapi pemerhatian teliti. Ia adalah sumber ilmu dan pengalaman paling berharga. Itulah yang dikatakan oleh sesetengah orang bahawa kehidupan dan pengalaman adalah universiti terbaik dalam kehidupan.
Jika nilai kegagalan kita hari ini ialah hutang PTPTN@hutang bank@hutang pelaburan sebanyak RM50 ribu, maka bertindak dan berfikir secara positif lalu fahamilah bahawa yuran pengajian PENGALAMAN dan MODUL secara alami ini ialah RM50 ribu. Jangan sia siakan ia. Bangkitlah! Kegagalan adalan pengajaran bukannya penamat segala galanya. Dengan nilai yuran pengalaman semahal RM50 ribu, rugilah seseorang itu jika mengalah dalam dunia yang tidak mengenal siapa yang kalah ini. Jadikan yurang RM50 ribu itu berbaloi lantas menghasilkan pulangan RM500 ribu barangkali atau RM50 juta tentunya.....apapun yang penting ialah proses membangkitkan dan menggugah diri untuk terus mara dan mara bukan marah dan marah dengan nasib diri!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment