Sunday, January 16, 2011

nilai insaniah

Terkadang kita agak menyimpang kerana kurang jelas tentang peri pentingnya aspek sahsiah yang perlu dijana dan dilahirkan dalam diri individu. Kita mudah untuk kehilangan kompas sebenar dek kerana pesatnya pembaharuan dan perubahan dalam pendekatan dan cara pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan melahirkan individu cemerlang. Beberapa persoalan timbul? Adakah pengukuhan sahsiah sentiasa diberi perhatian? Bagaimana ia dilaksanakan? Adakah ia selaras? Atau masih wujudkah konflik pendekatan berbeza diantara kita dalam sesebuah keluarga? Apakah asas dan sistem nilai yang mendasari pembentukan sahsiah, moral dan akhlak? Apakah pendekatan yang dilakukan itu selaras dengan objektif pendidikan? Ini antara beberapa persoalan diantara banyak lagi isu yang berkaitan dengan pembentukan sahsiah, moral dan akhlak individu.

Kita semua perlu menghayati bahawa pembinaan sahsiah bermula dari pembinaan jiwa dan rohani yang utuh. Harus diingat bahawa para anak anak kita ini merupakan aset masa depan negara. Proses ‘mencanai’ mereka menjadi insan kamil yang berketrampilan tinggi merupakan proses yang berterusan dan berpanjangan. Ini disokong oleh segala macam faktor luaran dan dalaman di rumah dan di sekolah. Segala faktor luaran dan dalaman ini saling berkaitan, lengkap melengkapi dan perlu ditangani secara seimbang. Kita semua boleh bersetuju bahawa ia bermula darri pembinaan jiwa dan rohani, akan tetapi apakah nilai yang mendasari pembentukan itu?
Secara psikologi, nilai yang perlu ditanam dalam diri anak anak kita ialah nilai moral, akhlak yang mulia dan positif yang perlu dijana sejak mula lagi. Ia bermula dari dalam jiwa seseorang individu. Ia selaras dengan pendekatan yang dibawa oleh Islam dimana pembinaan jatidiri merupakan elemen terpenting dalam konteks pengajaran dan pembelajaran seorang insan untuk menjadi seorang individu yang seimbang jiwa dan rohani, akal dan sahsiah, ilmu dan kemahiran. Gagalnya sistem pendidikan untuk melahirkan insan yang berketrampilan ialah apabila fokus pembelajaran dan pengajaran tidak mementingkan aspek sahsiah, akhlak dan pembentukan jiwa dalam diri anak anak kita.

Sebelum pergi lebih jauh, perlu difahami apakah maksud nilai itu? Ringkasnya, nilai adalah satu keyakinan yang kukuh dan mampu bertahan lama dalam diri individu. Ia menentukan apa yang kita yakini sebagai baik, betul dan benar dalam kehidupan ini. Ia mewujudkan pertimbangan dalaman yang ‘memandu’ individu dalam membuat sebarang pertimbangan mahupun mempertahankan prinsip dalam kehidupan. Ia adalah sumber, pendorong dan ‘pemandu’ yang menjana motivasi dalaman lalu mempengaruhi keputusan dan tindakan dalam kehidupan seseorang individu. Jika sumber ini tidak dijana dengan betul, tidak diperkukuh dan diseimbangkan, maka kesannya ialah gejala keruntuhan akhlak dan moral seperti mana yang terjadi dalam masyarakat. Lihatlah isu isu sosial yang terpampang di dada akhbar; gejala rempit, pembuangan bayi, perhubungan luar batas dan luar perkahwinan, perlakuan sumbang, kes kes rogol dan bunuh serta bermacam lagi perlakuan manusia yang melewati batas moral, akhlak dan sahsiah. Justeru, adalah penting untuk kita semua menterjemah sistem nilai yang baik, betul dan positif dalam diri setiap pelajar tanpa kompromi, tanpa pilih kasih serta usaha yang berdayasaing dan berterusan untuk menjananya dalam diri setiap individu anak anak kita.
   
Sayugia diingatkan bahawa kita sebagai ibu bapa adalah pembimbing yang paling dekat selain dari guru guru untuk menjana kemurnian akhlak dan sahsiah anak anak kita. Apa gunanya pencapaian gemilang keputusan peperiksaan jika anak anak kita itu rosak akhlaknya, rosak sahsiah dan moralnya. Apakah gunanya pelajar cemerlang pelajaran dan akademik tetapi ‘cacat’ akhlaknya. Perlakuannya tidak langsung melambangkan kecemerlangan. Perlu ada keseimbangan dalam akademik dan sahsiah. Usaha ini tidak mungkin tercapai hanya di sekolah semata mata tetapi peranan yang sama besar perlu dimainkan oleh ibubapa jua. Proses ini adalah proses yang panjang dan berterusan, ibubapa dan guru perlu membahu dalam memikul tanggungjawab. Tentunya ada cabaran dan halangan yang mendatang namun hakikatnya, itulah dia proses pembelajaran dan pengajaran. Apa yang diperlukan ialah komitmen yang tinggi tanpa mengenal penat dan jemu....

No comments: