Monday, January 4, 2010

Ulama tegur Pemimpin..bukan membontoti Pemimpin

Dalam tradisi ilmu Islam, ulama diberi penghormatan tinggi dan mulia. Ini dirakamkan dalam al-Quran dan hadis mengenai penghormatan yang diberikan kepada mereka. Persoalan adab kepada golongan ulama tidak boleh dipertikaikan lagi. Burhanuddin Zarnuji dalam kitab mashyurnya Ta'lim Muta'alim Tariq Ta'alum (Bimbingan Bagi Penuntut Ilmu Pengetahuan) menulis,


- menghormati guru ialah jangan berjalan di depannya, duduk di depannya, duduk di tempatnya, memulai mengajak berbicara atas perkenan darinya, berbicara hal lagha di depannya dan menanyakan hal yang membosankan. Hal seperti ini sememangnya kita sudah bersetuju sejak azali lagi bahawa ini bentuk penghormatan yang diberikan kepada mereka.


Ulama yang wibawa tidak perlu merasa gentar berdepan dengan pemimpin. Mereka menyampaikan risalah kebenaran, nasihat mahupun teguran ikhlas. Bagi pihak pemimpin pula, kedudukan mereka ialah mendengar dengan ikhlas nasihat itu dan dengan rendah diri cuba menerima kelemahan jika ada bentuk teguran diberikan. 


Nasihat ulama yang ikhlas tidak sama sekali untuk menjatuhkan air muka seseorang pemimpin, bahkan itu sebenarnya tugas hakiki seseorang ulama dalam sejarah tradisi keilmuan dan kepemimpinan Islam. Ulama yang menegur pemimpin tidak sama sekali bertujuan menggantikan kedudukan pemimpin itu. Justeru, pemimpin tidak perlu melatah bila ditegur. Manakala teguran itu tidak perlu disiar raya di media, lalu menjadikan media sebagai alat provokasi, alat populariti dan alat politik, yg penting ialah, tindakan hasil dari teguran itu perlu dilaksana dengan segera selaras dengan kehendak Allah mengatasi kehendak peribadi demi kepentingan rakyat. 


Itulah sebenarnya yang perlu dilakukan oleh pemimpin dan ulama. Bukanlah keduanya sering bercakaran dan berselisih pendapat, tanpa mengira bahawa akibatnya ialah kerosakan yang besar akan berlaku kepada ummah secara keseluruhannya. Pemimpin sepatutnya merujuk ulama, manakala ulama perlu dan wajib menegur pemimpin jika apa yg dilakukan dalam mendokong amanah kepimpinan itu telah tersasar dari matlamat asal iaitu mencari redha Allah, dan memenuhi hak rakyat dan semua pimpinannya. Apa yang berlaku hari ini, pemimpin telah tidak mengendahkan ulama dan pandangan mereka, terasing dalam dunia tersendiri, diperlukan bila sahaja sesuatu isu itu tidak dapat ditangani secara biasa dan perlu ditangani secara 'agama', lalu timbul salah anggap bahawa agama itu telah dipisahkan dari politik. Mengapa tidak mengimarahkan politik dengan menggabungkan peranan pemimpin dan ulama?

No comments: