Bismillah..
Kedatangan Tahun Masihi 2010 disambut dengan penuh gilang gemilang. Berbagai program diatur untuk menyambut detik 12 tengah malam tanda berakhirnya 2009 dan datangnya 2010. Berduyun duyun sebahagian besar dari kita ke Dataran Merdeka mahupun tempat tempat lain. Kita berpusu pusu seawal yang mungkin untuk turut sama merayakan kedatangan Tahun Masihi 2010. Ia umpama suatu pesta keramaian dengan datangnya 2010. Ada konsert hiburan, ada nyanyian dan ada percikan bunga api di seluruh dunia. Ia disambut sedemikian rupa penuh harapan bahawa 2010 akan menjanjikan detik baru buat kita semua.
Alhamdulillah, kedatangan 2010 menandakan bermulanya detik tahun baru buat kita semua. Begitu jua hadirnya Maal Hijrah 1431 juga menandakan detik tahun baru berdasarkan kalendar Islam. Keduanya merujuk kepada tempoh masa perubahan masa dan tahun namun keduanya disambut dengan begitu berbeza. Dapat kita perhatikan bahawa kita suka dan sememangnya sangat suka akan kemeriahan, sambutan serta perayaan seumpama suatu pesta bergembira. Tidaklah salah merayakan suatu apapun namun hendaklah kita bersandarkan kepada adab yang telah ditentukan oleh Islam. Kebanyakkan dari kita lebih menantikan detik 2010 berbanding detik 1431 hijrah. Ini persoalan besar buat umat Islam. Kita mengambil sikap endah tidak endah dengan kedatangan tahun Hijrah 1431 namun membuat segala persiapan yang rapi untuk kedatangan 2010. Inilah kesilapan, contoh yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Penulis percaya, akan tiba detik dimana kedatangan tahun hijrah akan dipandang sepi oleh generasi akan datang berbanding dengan kedatangan tahun Masihi.
Islam itu ialah cara hidup, justeru sebagai suatu cara hidup ia mesti dituruti keseluruhannya dalam setiap detik dan perkara dalam kehidupan kita. Islam bukan agama yang memisahkan. Ia tidak pernah memisahkan antara kehidupan beragama dengan berpolitik. Ia tidak memisahkan ekonomi dan agama. Ia tidak memisahkan sosial dan agama. Islam itu lengkap dan cukup komprehensif. Ia meliputi semua. Ia syumul. Oleh itu, dalam konteks merayakan dan membuat sambutan, patut kita bertanya kembali, adakah perayaan itu, mahupun sambutan itu dibuat mengikut lunas dan adab serta akhlak islami? Adakah itu benar mengikut apa yang terkandung didalam Al-Quran. Adakah itu tidak bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw.
Kita sering keliru dengan pemahaman dan apa sebenarnya yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Bagi penulis, menyambut kedatangan Tahun 2010 dengan penuh kesyukuran kerana kita dipanjangkan nyawa dan diberi masa lagi oleh Allah swt. adalah suatu anugerah. Kita perlu bersyukur dan memanjatkan kesyukuran dengan cara penuh harmoni, berakhlak, beradab dan tawaduk. Bukan dengan cara berpeleseran, bercampur gaur lelaki dengan perempuan dalam suatu pesta yang boleh menjebakkan diri kepada perlakuan perlakuan yang mengundang dosa. Apatah lagi jika ia dipenuhi dengan pengisian yang bertentangan dengan Islam, dengan nyanyian yang mengasyikkan.
Dalam hal ini, kita boleh memilih kerana kita sentiasa mempunyai pilihan. Memilih untuk terjun sama seperti orang lain menyambut dengan penuh suka dan gembira mahupun memilih untuk berada di rumah bersama ahli keluarga dengan mengadakan majlis zikir, solat berjemaah, solat tasbih dan hajat atau tazkirah serta majlis muhasabah diri dengan mengingati diri mahupun ahli keluarga lain betapa perlunya kita bersyukur kerana dipanjangkan umur, diberi rezeki, serta melihat kembali apakah matlamat dan pencapaian yang telah dicapai, apakah lagi yang belum dicapai, apakah proses penambah baikan yang perlu dilakukan terhadap diri, keluarga dan kehidupan serta sama sama mengingatkan betapa perlunya untuk kembali kepada Allah swt serta ajaran Rasulullah saw. Pda waktu yang sama boleh juga berbincang sesama tentang perancangan yang perlu dilakukan, stratregi perlaksanaan terhadap matlamat serta objektif mahupun azam 2010. Bukan sekadar ungkapan kosong tentang azam tahun baru 2010 namun tiada perlaksanaan konkrit atau perancangan yang jitu. Tidakkah itu lebih bererti. Tidakkah itu lebih bermanfaat kepada diri serta keluarga.
Fikirkanlah!
No comments:
Post a Comment