Cubalah kita buat sedikit pemerhatian pada ketika solat lima waktu, berapa ramaikah jemaah yang mengerjakan solat berjemaah di masjid? Sedih sebenarnya untuk diperkatakan bahawa, masjid kita gah tersergam dengan senibina ketimuran mahupun konsep moden di merata rata tempat namun jemaah yang menghadirinya amat kurang sekali untuk solat berjemaah 5 waktu. Mengapa terjadi sedemikian? Janganlah kita terlalu mengutamakan kuantiti tetapi meninggalkan langsung aspek kualiti.
Jika mahu dijadikan pengukur tahap kualiti umat Islam di negara ini, cukuplah jika kita lihat berapa ramai yang mengunjungi masjid di setiap ketika dan kesempatan untuk solat berjemaah 5 waktu. Sebagai contoh, berapa kerat diantara kita yang ke masjid untuk solat Zuhur dibandingkan dengan berapa ramai yang masih bersantai di restoran dan kedai kedai makan pada ketika yang sama? Berapa ramai pula yg berbondong bondong ke masjid pada waktu maghrib dibandingkan dengan waktu Subuh? Dan pada waktu yang sama, berapa ramai pula yang berada ditengah tengah pasar malam mahupun di gedung gedung membeli belah berbanding dengan yang pergi ke surau mahupun masjid? Itulah sandaran kualiti umat Islam di negara ini.
Tuntutan ke masjid bukanlah tuntutan yang utama namun solat berjemaah di masjid itu yang paling utama. Jika mengunjungi masjid semata mata namun tidak turut sekali mengerjakan solat berjemaah bersama imam dan jemaah yang lain, itu ialah perbuatan yang sia sia. Ada banyak faktor yang menggalak kita semua ke masjid dan begitu jua ada terlalu banyak faktor yang menghalang kita untuk ke masjid. Justeru, marilah kita sama sama renungi dan muhasabah diri terhadap perkara ini.
Solat berjemaah di masjid dengan lipatan 27 kali ganda pahala dengan pahala iktikaf adalah adalah suatu tuntutan dan tawaran yang dijanjikan oleh Allah swt. Harus difahami bahawa ia adalah suatu janji yang benar dari Allah swt, manakala tawaran keseronokan dan kelalaian dunia pula adalah suatu nikmat yg menyelubungi hati dan jiwa setiap dari kita. Ia bersifat sementara namun nyata, manakala janji Allah itu kekal. Itulah beza antara tawaran Allah swt dengan tawaran dunia. Secara psikologinya, manusia lebih tertarik dengan kenikmatan serta keseronokkan dunia berbanding dengan nikmat ibadah. Mengapa sedemikian? Salah satu punca utamanya ialah jiwa dan hati kita sudah mati. Jiwa dan hati kita sudah keras.Apabila jiwa dan hati kita keras maka, kenikmatan ibadah itu akan beransur hilang. Apabila kenikmatan beribadah itu hilang maka yang akan mengisi jiwa dan hati kita ialah keseronokan dunia atau cinta dunia yang didorong oleh nafsu. Tiada lagi keihklasan beribadah kerana Allah, maka yang timbul ialah mengerjakan tuntutan agama itu sebagai rutin semata mata, atau kerana malu dipandang oleh masyarakat atau keluarga, atau kerana sudah jadi budaya dan amalan harian atau kerana ingin menjaga maruah dan nama baik diri sendiri. Inilah yang sebenarnya yang merajai hati dan jiwa kita. Perasaan inilah yang sedang kita alami pada ketika.
Buatlah semakan diri sendiri, tanyalah diri sendiri;
- Berapa kerap aku ke masjid? Berapa kerap aku tidak ke masjid?
- Berapa kerap aku solat berjemaah? Berapa kerap aku solat seorang diri?
- Bila aku ke masjid? Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak? atau Subuh sahaja atau Zuhur sahaja atau waktu 'favorite' Maghrib sahaja? atau hanya ketika Solat Jumaat sahaja?
- Mengapa aku ke masjid? Apakah niat ku ke masjid-bertemu rakan, solat semata mata, menghadiri majlis atau apa sahaja alasan?
- Adakah aku seronok ke masjid?
- Adakah aku suka ke masjid? Mengapa tidak?
- Adakah aku tahu keutamaan dan pahala ke masjid berjemaah?
Tanyalah seberapa banyak soalan sekalipun namun perkara utamanya ialah NIAT. Niatlah dengan betul iaitu ke masjid kerana mengharap keredhaan Illahi, pergilah ke masjid kerana Allah, bukan kerana sesiapa, bukan kerana menjaga maruah diri, bukan kerana malu dengan anak anak, keluarga, ibubapa, mertua, masyarakat dan jiran tetangga, serta bukan ke masjid atas kepentingan peribadi, untuk mencari pengaruh dan sebagainya. Juga bukanlah ke masjid kerana mahu bertanding di pilihanraya yang bakal menjelang, supaya dikenali oleh masyarakat. Pergilah ke masjid kerana Allah, bukan kerana dituntut atau kerana tawaran apa apa sekalipun. Jadikanlah ia suatu aktiviti dan amalan yang seronok untuk kita lakukan kerana kitalah yang meramaikan jemaah. Segalanya bermula dari diri sendiri bukan orang lain.
Bersambung......28 Okt 09, jam 1.45am.