Thursday, July 9, 2009

Kembara Insan Melalui 3i-Siri 2

Kita manusia lahir dgn tujuan dan makna yang amat besar, samada kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan dunia ini. Kita digelar sebagai Khalifah Allah di atas mukabumi, kita menggendong amanah Sang Pencipta. Kita diberi amanah untuk mengurus diri sendiri, keluarga dan masyarakat serta dunia dan isi isinya sekali. Tidak lah amanah itu sengaja dilonggokkan kepada kita melainkan diri kita sendiri yang telah menyanggupinya.

Tujuan dan makna kehidupan yang amat besar ini diterjemahkan sebagai 'untuk beribadah kepada Allah semata mata' bukan untuk perkara lain selain dari Allah. Disini ternyata konsep ibadah merupakan aspek yang mendasari kehidupan manusia. Ibadah dalam konteks yang luas. Ibadah dalam konteks Iman, Islam dan Ihsan, yang menyeimbangi segala perkara dalam kehidupan kita, yang tidak melebihkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Ini termasuklah ibadah yang berbentuk khusus mahupun umum. Segalanya adalah ibadah jika disandarkan kerana mematuhi perintah Allah, jika dilakukan demi Allah dan bukan demi makhluk makhluk lain ataupun tuhan tuhan lain yang tidak layak dipanggil tuhan sebenarnya dan bukan itu sahaja, malahan ia perlu disertai dengan timbangan yang tidak ternampak oleh mata kasar, tidak terjangkau oleh timbangan dan perkiraan matematik akal manusia iaitu keikhlasan ketika melakukan semua perkara.

Justeru, memberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya kepada konsep 'balance' ataupun seimbang didalam perlaksanaan Iman, Islam dan Ihsan merupakan perkara paling utama. Kita sebagai insan selalu gagal kerana kita tidak melihat Iman, Islam dan Ihsan (3i) sebagai satu pemahaman yang satu sebaliknya sesuatu yang berasingan. Sebenarnya 3i ialah konsep yang satu, yang saling bergantungan antara satu sama lain yang perlu dilaksanakan dalam bentuk yang holistik@menyeluruh, seimbang antara satu sama lain. Tidak boleh ditinggal salah satu mahupun memberi perhatian yang lebih kepada aspek tertentu lalu meninggalkan elemen yang lain. Jika kita gagal memahami kesimbangan yang perlu diatur sebagai hamba Allah di atas mukabumi ini, maka kita juga akan gagal untuk membawa dan melaksanakan amanah Allah diatas mukabumi.

No comments: