Tuesday, February 26, 2013

Si Pemberi dan Si Penerima....

Salam ukhuwwah....

Insan adalah makhlukNya, ciptaanNya dan DIA Maha Pemberi. Begitu juga insan digalakkan untuk memberi walau insan tidak boleh menjadi seperti Maha Pemberi akan tetapi nilai menjadi Pemberi adalah amat dipandang tinggi. Nilai ini sangat tinggi nilainya hingga sentiasa menjadi ungkapan dibibir mulut pakar motivasi atau sesiapa yang mengerti 'Kita adalah apa yang kita beri di dunia ini'. Ia bermaksud bahawa, nilai dan tujuan serta matlamat dalam kehidupan ini hanya akan tercapai dengan sebenarnya jika kita memberi, dan ini adalah suatu proses yang membentuk insan yang mengenal dirinya sendiri. 





Rasulullah mengatakan : al-Yadul `Ulya Khairun min al-Yadis Sufla (tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah).(HR. Bukhari Muslim)

Utamanya, ungkapan ini diriwayatkan oleh Nabi saw beribu tahun yang lalu! Contoh yang dibawa oleh Baginda masih sangat relevan pada dunia hari ini. Ia antara formula penyelesaian ummah. Formula penyebaran kebaikan, formula menjadi bahagia, formula mengisi jiwa dan membentuk khalifah jiwa dalam diri. Generasi masa kini perlu menjadi Gen AlYaddul Ulya...iaitu tangan yang memberi. Untuk menjadi siPemberi, walau apa jua bentuk pemberian samada khidmat, budi, kasih sayang mahupun harta benda, insan perlu punya IMAN.....itu asasnya! 

Dari IMAN inilah terbentuk nilai IHSAN.....dalam konteks budaya Melayu, kita punya terma 'belas ihsan'. Lalu Gen AlYaddul Ulya ini akan mempunyai suatu dorongan yang sangat kuat untuk menjadi Pemberi berbanding menjadi Gen asSufla yang dianggap lemah dalam konteks survival bangsa. Konsep AlYaddul Ulya ini menjadi inspirasi kepada proses membina diri dan menjadi 'KAYA'...jika suka memberi dalam bentuk harta, maka seseorang itu perlu jadi kaya dahulu. Bukanlah bermakna tidak menjadi kaya itu tidak boleh memberi, akan tetapi jika menjadi kaya maka skop pemberian akan menjadi luas. Jika punya tanah, maka tanah itu boleh diwaqafkan untuk pembangunan ummah, jika punya wang ringgit maka ia boleh dizakat dan tujuan zakat itu ialah untuk membantu asnaf yang kurang upaya iaitu antaranya fakir dan miskin. Manakala lebihan wang itu boleh disedekahkan untuk pembangunan dan bantuan amal kepada ummah keseluruhannya. Akhirnya, masyarakat akan keluar dari lingkaran buruk kemiskinan dan kemajuan akan dapat dicapai! Keberkatan akan melanda kepada ummah, rahmat dan perlindungan akan mendatangi dari  Allah swt. Hebatnya menjadi siPemberi...inilah kesannya!

Insan yang kenal dirinya, akan memberi berbanding menerima. Menerima atau menjadi penerima tidaklah salah dan tidaklah hina akan tetapi antara nilai yang menjadikan seseorang itu mulia akhlaknya, murni imannya ialah menjadi pemberi. Dalam hal ini, setiap dari kita perlu berusaha untuk menjadi pemberi seupaya yang mungkin berbanding menjadi penerima. Pemberian itu berbagai rupa dari yang sekecil kecilnya hinggalah yang sebesar besarnya dan sandaran pemberian itu bukanlah jumlah dan amaun pemberian akan tetapi keikhlasan sesuatu pemberian walau nilai pemberian itu dinilai kecil dari mata kasar manusia. 


Teringat kisah seorang pengembara di padang pasir yang panas lalu bertemu dengan perigi kecil. Si Pengembara kehausan begitu juga dengan seekor anjing yang juga kehausan, tentunya anjing itu tiada upaya untuk mendapatkan air itu kerana perigi itu agak dalam namun si Pengembara itu berusaha memberikan khidmat mencedokkan air dengan menggunakan sepatunya@kasutnya lalu anjing itu menjilat jilat air hingga hilanglah dahaga si anjing itu.....itulah nilai pemberian kasih sayang sesama makhluk dan belas ihsan. Allah menjanjikan syurga buat si Pengembara itu (maaf saya tidak pasti akan kesahihan riwayat cerita ini, samada ia cerita Israiliyyaat atau tidak, akan tetapi inilah cerita yang saya dengar dari ustaz saya dan saya baca dari kisah riwayat semasa saya kecil dahulu)....moralnya, apa yang menghalang kita dari memberi hatta khidmat dan juga budi jika itu yang kita mampu. Tidak semestinya perlu wang ringgit dan harta benda baru kita boleh memberi dan menjadi Pemberi!

Persoalannya ialah bila kita mahu menjadi Pemberi? Jawapannya, bila bila masa. Sentiasa berusaha untuk berbudi dan tidak mengenang ngenang budi yang diberi, lalu mengharap redha Illahi. Itulah keikhlasan! Hanya sekadar memberi senyuman juga sudah melayakkan kita menjadi Pemberi, hanya dengan memberi rangsangan kepada rakan dan saudara mara sebagai motivasi juga sudah dikira menjadi Pemberi. Hanya dengan berusaha mengingatkan orang lain (dengan jalan berdakwah) akan buruknya mengata, buruknya mengaibkan orang lain, buruknya perbuatan menunjukkan orang lain salah (menuding jari akan kesalahan orang lain berbanding mencari penyelesaian akan masalah) itu juga sudah dikira menjadi Pemberi! Apatah lagi menjadi pemberi peringatan, pemberi khidmat, pemberi budi, pemberi sedekah, pemberi wang dan harta dan sebagainya....

Jadilah pemberi yang budiman....ingatlah "KITA ADALAH APA YANG KITA BERI DALAM KEHIDUPAN INI" dan jangan jadi seperti ungkapan ini "Jangan tanya apa yang Agama, Negara dan Ummah ini buat untuk kalian akan tetapi tanyalah apa yang kalian buat untuk Agama, Negara dan Ummah"! 

Jangan menunjuk nunjuk ini tiada, itu kurang, ini belum dilakukan, ini tidak dilakukan...akan tetapi tanyalah apa yang kita perbuat untuk memperbaiki keadaan dan menyelesaikan masalah....jangan hanya pandai menunjuk kesalahan orang lain walhal diri sendiri belum tentu betul. Jangan hanya menyangka bahawa ada sifulan dan sifulan itu tidak betul dan salah semuanya hinggakan kita terlupa bahawa sifulan dan sifulan juga punya kebaikan....kita perlu membesarkan kebaikan bukan membesarkan keburukan! 

Jangan jadi PEMBERI negatif, PEMBERI kata kata negatif, PEMBERI perbuatan negatif......lebih baik menjadi PENERIMA kepada perbuatan, kata kata negatif kerana ia akan melatih jiwa sabar dan beroleh pahala yang besar dek kesabaran atas perkara negatif yang diterima! Persoalannya, apa hak kita untuk melemparkan ungkapan negatif, ungkapan buruk, kata kata kesat, kata kata kurang ajar kepada saudara seagama biarpun yang dilempar dengan ungkapan keji itu benar benar melakukan perbuatan yang salah atau buruk, tiada dalam sunnah tiada dalam alQuran, bahkan Nabi saw melarang mengkeji orang lain hatta seorang penzina sekalipun seperti mana yang diriwayatkan dan dikisahkan iaitu seorang wanita mengaku kepada Nabi saw bahawa dia telah berzina, lalu Nabi saw telah menyuruhnya pulang, dan pada waktu yang sama orang lain mengkeji dan menghinanya lalu Nabi saw melarang mereka mengkeji dan menghina dengan ingatan akan  dosa mengkeji dan menghina hanya akan terhapus dengan meminta maaf kepada wanita tersebut atas kata kata kejian dan hinaan! Subhanallah!

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: