Thursday, April 29, 2021

Hati Tisu Jiwa Kental.....

Hati Tisu, Jiwa Kental....

Arghh sudah bersawang lama landas blog nukilan rasa perkongsian cerita ini. Kali terakhir ialah pada 15 Januari 2020. Hahaha.....sibuk dengan pelbagai perkara. 

Maaf ku cuba menyambung cerita insyaallah untuk pengalaman, ibrah dan panduan jika ada. 

Moga kalian semua sihat dan ceria hendaknya (macam tulis surat jer gayanya)....disamping teman taulan dan keluarga.

Hari ini cuti. Cuti Nuzul Quran 17 Ramadhan 1442H. Sempena wahyu Iqra turun sejak 1442H yang lalu. Mungkin bagus juga ku nukilkan sesuatu agar rasa membaca itu bugar kembali.

Oleh kerana hari cuti, maka semua ada di rumah. Hari biasa, mereka ada juga cumanya masing masing sibuk dalam pelayaran di alam maya mengikuti kelas dan kuliah malah aku sendiri perlu berada di pejabat dalam hari hari tertentu dalam seminggu.

Anakku yang sulung pulang bercuti juga. Dia sekarang telah bekerja di salah sebuah firma guaman di Shah Alam. Alhamdulillah, setelah menamatkan pengajian pada akhir 2019, dia akhirnya berjaya juga mendapatkan pekerjaan sebagai seorang peguam. Syukur.

Bila balik rumah macam macam cerita dia sembang. Maklumla, orang baru kerja. Maklumlah orang baru bekerja. Sebenarnya, selepas grad macammacam dia buat sambil mohon sana sini. Part time sana sini. jadi cikgu pusat tuisyen pun ada selama beberapa bulan.

Berpuluh puluh permohonan dan bermacam macam kerja dibuatnya. Ok la tu. Nak hidup memang kena cuba macam macam. Jadi Research Assistant pun ada. jadi translator pun ada dan buat analisa artikel dan buat analisa untuk literature review bagi kerja kerja penyelidikan untuk para pensyarah di IPTA pun ada, buat analisa kajian dan bermacam lagi.

Semua itu dia buat sambil berusaha mendapatkan pekerjaan tetap di mana mana. Entah berapa kali temuramah dan jawab peperiksaan di sistem SPA. Ke Ipoh untuk temuramah pun ada, ke KL banyak kali dan macam macam lagi. Mohon sana sini selagi boleh, Itulah usaha namanya.

Pada waktu yang sama dia buat kerja part time kerana dia ada skil dan kemahiran tertentu. Dia leh mengarang (comprehension), english dia power. Dia cekap buat kerja sebab masa belajar tempohari dia sentiasa terlibat dengan persatuan dan melakukan kerja kerja persatuan LAWSOC dia. Malah dia juga kerja part time. Ini memerlukan pengaturan masa, kemahiran dan asah strategi untuk melunaskan kerja. 

"Kakak....guna lah potensi diri dan kemahiran yang ada untuk cuba buat sesuatu yang boleh dapat pendapatan..." Ujarku. Dia terdiam.

Aku tahu dia stress dan memendam rasa kerana minta sana sini tak dapat kerja. Bahkan kawan kawan rapat dia semua telah bekerja. Hanya dia sahaja yang tersangkut.

"Biasala kak, dalam satu cerita kehidupan mesti ada watak hero, mesti ada watak pelakon sampingan dan juga ada watak mangsa...itu lumrah" Ujarku lagi. 

Ada ketikanya kita kena terima watak kita dalam lingkungan kehidupan ialah jadi mangsa, namun kita perlu bingkas dan bangkit supaya kita jadi hero atau watak utama. 

Malah sekarang dia sedang belajar sendiri Bahasa Korea, dalam tempoh terdekat saya akan usahakan supaya dia ambil exam bahasa Korea. Ni penangan tengok drama Korea (syarat saya-nak tengok boleh, kena ambil kemahiran bahasa dia atau apa apa yang bagus dari bangsa itu - mula mula tu saya suh dia ambil kemahiran memasak menu Korea, dia tak nak)....... 

Alhamdulillah. Itu tentang anak saya. Bukan niat saya nak beritahu anak saya bagus, hebat bagai. Bukan nak promo anak saya. Tidak sama sekali. Saya cerita ini kerana hendak memberitahu latar agar sorotan dan ibrah boleh dibuat. 

Ia tentang bagaimana kita bermula dan apakah persiapan untuk menghadapi hidup ini pada waktu dan zaman ini. Mana lah tahu ia boleh bantu kalian semua. Tak sikit, banyak, tak banyak sikit ler.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Semua orang telah melaluinya terutama saya dan isteri. Generasi baru (ejaan baharu-saya tidak berapa gemar menggunanya) baru sahaja ingin bermula. Sudah pasti latar cerita berubah, senario berubah watak dan cabaran turut berubah. Mana boleh sama keadaan zaman saya dengan zaman sekarang. 

Namun, tidaklah segalanya berubah sama sekali, ada perkara yang temanya masih sama, jalan cerita hampir serupa, cabarannya juga hampir sama cuma watak dan keperluan watak berubah.

Maksud saya, tetap sahaja kita perlu bina kerjaya, sama macam saya dahulu. Perlu buat sesuatu untuk hidup, cuma mungkin kerjaya itu berubah, dahulu keperluannya berbeza sekarang mungkin telah bertambah rumit. Dahulu kemahiran dan skil atau pengetahuan atau latarbelakang para pencari kerjaya hanya sebegitu dan sedemikian namun keadaan perkembangan kemajuan juga hanya sedemikian pula justeru keperluan juga sedemikian.

Zaman sekarang semakin kompleks. Perlu ada semua keperluan dan kemahiran dek kerana persaingan yang memuncak, kena siap siaga ilmu, kemahiran, sikap dan tingkahlaku yang disulami dengan segala macam potensi diri pelbagai sebagai persiapan diri. Tidak boleh lagi mengguna pendekatan lama untuk mendepani zaman baru. Perlu ada kemahiran komunikasi yang mantap, perlu kemahiran IT yang 'above average', perlu ada jaringan 'networking', perlu ada kemahiran sosial, malah ketahap perlu ada kekuatan EQ dan IQ.

Tidak boleh pula menyalahakan keadaan ini. Ini lah kemajuan, dan cenderung kemajuan ialah ia semakin kompleks dari masa ke semasa.

Bak kata Albert Einstein “...the definition of insanity is doing the same thing over and over again, but expecting different results.”

Lama dulu, saya dan isteri saya dah tahu dunia akan lebih rencam. Lebih hebat persaingan. Lebih perlukan pelbagai skil. Lebih perlu orang yang menguasai 'multiskills' dan pelbagai kemahiran serta ilmu. 

Untuk hidup di zaman abad ke 21 ini, bermacam kena sedia dan dipersiapkan. Daripada pengetahuan, sikap, perangai, kemahiran, skil dan pelbagai lagi. Semua itu ialah kebolehupayaan individu yang membentuk potensi diri untuk menguasai samada ilmu, kemahiran, skil dan sikap serta perangai. Majikan pula mencari individu yang sudah dianggap 'siap' dari segenap segi. Siapakah mereka para graduan itu yang sudah 'siap'? Kalian? Cuba tanya diri sendiri. 

Inilah cabaran sebenar pada pandangan saya.

Justeru, bila nampak begini, kami sebagai ibubapa cuba menyiapkan anak anak kami, malah saya sebagai pengajar/pendidik/pensyarah kepada anak anak orang lain juga (kalian lah - para pelajar saya) cuba, atas dasar hebatnya cabaran abad ke 21 ini - mempersiapkan generasi (anak anak saya dan kalian semua antaranya) semampu mungkin dengan pelbagai cara agar persiapan persiapan ini dapat dilaksana, agar generasi baru ini mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan pesaing pesaing mereka dimana jua. Agar kalian jadi graduan 'siap" untuk terjun mendepani gejolak kehidupan di alam pekerjaan dan mampu meladeni setiap cabaran dan menggalas setiap tugasan.


Ia perjalanan jauh dan sukar, ia satu proses yang panjang, ia perlu perubahan minda, ubah cara hiduo, ubah cara fikir, ia perlu disiplin dari kita semua (saya dan kalian), ia perlu komitmen, kreativiti, strategi dan pelasanaan yang jitu untuk menjayakannya, namun apa yang pasti ialah natijah hasilnya jika semua sabar dan konsisten (istiqamah), amatlah bermakna.

Inilah maksud saya ia proses yang panjang dan berliku. Mudah? Tidak sama sekali. Ia tetap perlu dusahakan. Tiada jalan mudah dalam kehidupan ini.

Untuk anak saya, saya tidak hadkan pendedahan untuk apa apa ilmu dan kemahiran serta skill. Dia perlu jadi multiskil multi set of knowledge dan jadi multitasking (boleh buat macam2 dalam satu masa).....inilah cabarannya sebegitu juga untuk kalian semua.

Kenapa? Bukan senang nak pasangkan set skil ini samada sesuai atau tidak dengan inidividu - perangai sikap dan mood seseorang berbeza. Ada yang mudah cerap, ada yang tak leh 'stress' ada yang mudah sentap, ada yang senyap, ada yang 'low esteem', ada yang ceria, ada yang take things easy dan sebagainya)...setiap satu waktak perlu ditangani dengan bijak, dan atas dasar inilah kena kreatif untuk pasangkan ilmu, kemahiran dan kemahuan.

Namun, untuk kalian semua - apa yang saya buat dalam kelas ERMS DGFLO tu dari mula kelas sampai lah akhir kelas, ia adalah kombinasi semua ilmu+kemahiran+skil+kemahuan = supaya jadi tahu dan pandai buat tanpa perlu terkial kial + sikap dan kemahuan = boss akan tengok dan suka serta nak ambil kalian kerja. Nampak tak kenapa kaedah saya berbeza. Bila kalian masuk kelas saya, kalian menempuh pendekatan berbeza sama sekali. Ada sebab dan tujuannya. Bukan untuk diri saya sendiri tetapi untuk kebaikan kalian semua. Ia proses mempersiapkan kalian.

Yea saya tahu tak semua orang punya jalan kehidupan yang berbeza. Tidak sama dan tidak seragam. Ada juga sampai sekarang masih lagi tak kerja kerja. Jemu dah mohon sana sini. Ya saya faham semua tu. Namun, jangan berhenti mencuba......kena rujuk balik cerita anak saya tadi....buatlah seupaya yang mampu untuk berusaha memulakan hidup. Ia tidak mudah namun hati perlu cekal dan tabah.

Target utama ialah supaya ada ilmu, ada kemahiran, ada skil dan ada kemahuan yang tinggi, sikap dan potensi yang unggul. 

Apapun yang berlaku, jangan mengalah. 

Teruskan perjuangan.....inilah dia orang yang duk sebut sebut teruskan perjuangan itu. Bila melakukannya sendiri, baru lah kita tahu erti teruskan perjuangan. Namun nak berjuang pun kena la bijak. Jangan la guna sifir sondol jer. Mana jadi.

-----------------------------------------------------------------------------

Jadi bila anak saya balik, dia cerita rakan sepejabatnya yang lewat sikit diambil bekerja di law firm dia. Ringkas cerita. Semalam rakan sepejabatnya kena marah oleh boss dia. Terus lepas itu balik. Kena marah kerana buat kerja silap dan tak betul.

Begitulah ringkas cerita dari anak saya. Maaf, saya tiada niat untuk memalukan sesiapa apabila menulis cerita ini. Ini pandangan luaran sahaja. 

Begitulah kalau kerja swasta. Kesilapan kecil atau besar boleh menjejaskan pendapatan syarikat. Justeru kesilapan tidak boleh dibiarkan. Ia perlu ditangani. Sebab itulah boss marah, supaya kesilapan itu tidak berulang.

Inilah benda saya nak kongsi dengan kalian semua. Tajuk, "Hati tisu" versus "Hati Kental".


Organisasi atau syarikat lebih perlukan oramg hati kental berbanding hati tisu. Salah ke ada hati tisu? Tak salah. Hina ke? Tidak! Ia jadi begitu kerana cara didikan dari keluarga. Masing masing.

Namun, hakikat yang tidak dapat dinafikan, orang hati tisu tidak boleh bekerja dengan orang lain dengan baik. Akan sentiasa wujud konflik. Akan sentiasa ada insiden dan peristiwa menyayat hati. 

Orang hati tisu dalam dunia korporat atau organisasi swasta hanya akan lemas dengan arus persaingan. Ini soal persaingan emosi belum lagi persaingan prestasi kerja dan sebagainya.

Boleh tak hati tisu jadi kental? Boleh. Dengan cara kawal fikiran dan hati supaya tidak mudah sentap dan mudah terkesan dengan segala faktor luaran. Jangan mudah "ambil port". Chill je. Bercakap la dengan rakan baik, atau ibu atau mengadu kat sahabat lain di luar untuk sekadar menyalur perasaan. Lagi bagus kalau 'bercakap dengan DIA' iaitu Yang Maha Kuasa. Ngadulah semahunya. 

Jangan zahirkan ketisuan kita dihadapan boss atau rakan sepejabat. Ini pantang utama. Kalau nak sedih pun boleh, tapi sekejap jer, lepas tu rilek macam biasa.

Sebab itu walaupun hati tisu, kalau jiwa kental, akhirnya tetap akan survive dalam dunia pekerjaan dan kehidupan.

Sebegitu juga kalau hati tisu akan mudah lemah dengan sedikit masalah atau cabaran. Akan mudah terganggu dengan insiden kena marah dengan boss. Rugi kalau begitu. Ia menyebabkan kita mudah mengalah dengan segala macam cabaran dan masalah hidup. Kita akan mudah "kalah" dalam kehidupan jika begitu. 

Maksud saya bukan lah kita hendak sentiasa menang dalam kehidupan ini namun ia bermaksud kita terus berjuang atau mudah mengalah. Jika mudah mengalah, ia akan menjadi cabaran dan halangan besar untuk berkerjaya dengan cemerlang atau untuk berjaya dan hidup.

Jiwa dan perasaan kena kental. Bila kental jiwa, ia ampuh dan tidak mudah goyah menghadapi apa jua masalah dan cabaran. Ubahlah jiwa jadi lebih kental. Kena latih diri sentiasa, kena ubah pola pemikiran dan cara fikir dengan melihat sesuatu dalam kehidupan dan kerjaya dalam keadaan positif sentiasa. Dengan itu, ia akan membawa individu untuk terus mara kehadapan. 

Ya benar, ada waktunya kita 'down' atau rasa kecewa dan luluh, namun jadikan ia sebagai medan (saat dan ketika kecewa dan 'down') untuk retrospek diri dan mengadu kepadaNYA. Selalunya peristiwa sebegitu berlaku kerana DIA mahu kita mengadu kepadaNYA di hening malam. 

Begitulah sedikit nasihat yang aku ingin kongsikan buat kalian semua.

Moga kalian semua berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing masing.


#BahagiaBerkongsiCerita

Wednesday, January 15, 2020

Keikhlasan kan mendatangi kebaikan...


Assalam semua dan salam sejahtera.

"You reap what you sow". Natijah kebaikan hanya mendatangi kehidupan jika kebaikan yang disuburkan maka sebaliknya begitulah.

Image result for you reap what you sow images"Begitulah asas dan cara fikir mahupun kaedah menanggapi dan bertindak dalam kehidupan. Jika yang disemai itu benih kebencian maka yang terhasil ialah kebencian jua malah mungkin lebih dari itu. Bahkan boleh juga yang terhasil bukan sahaja kebencian, tetapi fitnah, mahupun kebobrokan. Walau sekuat mana sekalipun ia cuba dipertahankan atau diperbetulkan, hasilan keburukan tetap dituai. 

Tidak mungkin kaedah keburukan akan mendatangkan kebaikan. Tidak sama sekali.



Lihat bagaimana semulia mulia insan diatas jagat raya alam ini memberi contoh teladan. Tidak lain dan tidak bukan, Rasulullah saw yang tercinta. Dia menebarkan kebaikan, dia menanam benih cinta dan kasih sayang ke seluruh alam. Bahkan Baginda saw mengguna pakai prinsip menyampaikan, dengan penuh amanah dan keikhlasan, akan kebenaran dengan penuh kecerdasan aqal dan emosi kepada kaum Quraisy malah orang orang lain. 

Kejahatan dibalas dengan kebaikan. Kebenaran disampaikan dengan kaedah yang betul. Objektif dakwah dilaksanakan dengan cara dan kaedah yang betul agar misi dan hasilan tercapai.  Ia proses yang panjang, bukan sekaligus.

Image result for you reap what you sow images"

Sebegitu jua dalam kehidupan.....gunalah kaedah dan prinsip yang telah Nabi saw ajarkan dan contohkan kepada kita semua.

Jika mengguna kaedah kaedah lain, atau kaedah yang salah, buruk, menebar fitnah umpamanya, maka hasilan yang dituai ialah yang seumpama dengannya. Saat itu, ketahuilah, bahawa nasi telah menjadi bubur. 

Justeru, laksanakanlah amal mu di atas mukabumi ini dengan penuh keikhlasan, pasti kebaikan akan mendatangi mu dalam kehidupan dunia akhirat dalam apa jua bentuk sekalipun, samada kecil atau besar....

Sayugia itu, hendaklah diingati bahawa "you reap what you sow";

Jika kita menipu, maka kita akan mendapat kesan dan hasil kemudiannya atau mendapat atau melalui peristiwa peristiwa dimana kita pula akan ditipu samada sekali atau berulangkali.

Jika memfitnah, maka kita pula akan difitnah dikemudian hari.

Jika berbohong, maka kita pula akan dibohongi kemudian nanti.

Jika menzalimi maka kita pula akan dizalimi nanti.

Jika menghasut, maka kita pula akan menerima bahana bilamana orang lain pula menghasut untuk memburukkan kita.

Itulah KARMA atau takdir atau putaran roda dalam kehidupan. Ia kerana Allah swt telah mengingatkan manusia dalam wahyunya......balasan setimpal atas apa sahaja yang kita lakukan.

Friday, June 21, 2019

Ceritaku dengan abah: Redha ibu dan ayah...

Assalamualaikum wrt.wbt.

Salam sejahtera buat semua...

Kisah ini ku perap buat beberapa ketika. Aku seolah tidak mahu berganjak dari Ceritaku dengan Abah. Sukar sekali sebenarnya mahu 'move on'. Tapi hakikat tetap hakikat. Aku seolah olah tidak mahu menulis lagi kecuali Ceritaku dengan Abah. Benar, bukan aku sahaja yang merindui abah. Malah adik beradik ku bahkan mak dan saudara maraku. Aidilfitri 1440H yang baru berlalu seakan sunyi dan sepi tanpa abah. Walau abah telah pergi kira kira 4 tahun yang lalu. Namun ia seolah olah baru semalam, perit rasanya mahu meninggalkan kenanganku dengan abah.

Coretan ini suatu ketika dahulu....
Semalam Harimau Malaya mengaum di bumi Rajamangala. Gajah Putih tersungkur lesu. Ah berdebar tak terkata. Tahniah Harimau Malaya.

Petangnya aku mendapat panggilan telefon dari nombor yang tidak ku kenali. Tidak pernah ku menerima panggilan dari nombor itu. Nun jauh di Utara. Kalau mengikut kod kawasan ia dari Pulau Pinang.

Lalu ku jawab. Dari Pulau Pinang. Rupa rupanya ia panggilan dari sahabat lama dan sahabat rapat arwah abah. Alhamdulillah. Setelah bertanya khabar seketika aku pun bertanya apakah hajat beliau yang sebenarnya. Rupa rupanya, Sabtu ini dia akan turun dari Pulau Pinang dan ingin sekali singgah ke rumah dan menziarahi mak. Dia sekadar memaklumkan dan bertanya jika mak ada di rumah ketika itu. 

Pada waktu yang sama, dia hadir untuk menghadiri mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawsan Hilir Perak. Oh, begitu ceritanya. Aku pun lantas menjemput dan mengalu alukan beliau ke rumah. Kebetulan mak memang ada di rumah.

Kemudiannya beliau menyatakan hajatnya yang kedua berkenaan dengan saham beliau di PPK tersebut yang akan ditukar atau tukar nama kepada anak beliau. Namun, gaya ungkapannya agak tersekat sekat. Rupa rupanya, saham milik beliau di PPK itu adalah usaha bersama yang dikongsi dengan arwah abah. Beliau memaklumkan bahawa arwah abah telah menyerahkan saham itu menjadi hak milik beliau sejak dahulu lagi. Setiap kali mendapat dividen hasil saham tersebut, beberapa kali beliau ingin menyerahkan hasilnya kepada arwah abah. Namun menurut beliau, arwah abah tetap menolaknya.

Jadi kali ini, sebelum memindahkan saham tersebut, beliau bertanya aku jika aku punya tuntutan apa apa terhadap saham tersebut. Aduh...aku terasa sedih dan sayu kerana betapa sahabat arwah abah ini begitu meraikan arwah abah dan bimbangkan jika ada tuntutan dari kami warisnya.


Sekonyong konyong itu, aku merasa hiba dan ku ungkapkan ayat ini kepada beliau;


"Minta maaf cikgu, kami anak anak abah sentiasa menghormati dan mematuhi apa apa keputusan yang telah arwah abah buat ketika dia masih hidup. Err, tiada apa apa Cikgu. Bagi kami, keputusan arwah abah itu masih lagi sah dalam menyerahkan saham dan hasilnya kepada Cikgu. Ermmm, sesekali ia tidak berubah. Harap Cikgu faham, kami tiada tuntutan apa apa. Kami tidak berhak mengubah keputusan abah. Takdirnya, jika ada hak abah didalamnya, harap Cikgu ambil maklum, sebagai sahabat abah yang paling rapat sekali, ketahuilah Cikgu, kami anggap ia sebagai sedekah jariah arwah abah buat bekalnya di alam sana...." Mengalir airmataku, dalam keadaan aku juga turut bersedih ketika mengungkap sedemikian. Buat seketika, panggilan itu terasa sunyi. Kami masing masing diam. Aku terdengar sedikit esakan disebelah sana.

Akhirnya, dia menjawab, suaranya tersekat sekat, sambil mengucapkan syukur kerana arwah abah dikurniakan anak anak yang baik. Aku terkelu sebentar. Aku bukan baik sangat. Aku cuma berusaha melakukan yang terbaik buat abah dan mak sejak dahulu lagi. Sebegitu juga adik beradikku.


Ku ungkapkan sedemikian dalam keadaan aku tidak merujuk kepada mak atau adik beradikku yang lain. Amatlah tidak beradab sekali jika aku kata aku perlu berbincang dengan mak dan adik beradik yang lain, walhal dia ialah sahabat arwah abah yang paling rapat. Kesana kemari bersama abah. Aku menghargai keakraban mereka.


Malah ketika abah dikebumikan, beliau turut hadir, datang jauh dari Pulau Pinang. Selepas pencen beliau berpindah ke sana. Sebelum ini, beliau bertugas di daerah Bagan Datuk ini berdekatan dengan sekolah abah. Selalu beliau menemani abah kemana sahaja. Beliaulah juga insan paling akhir sekali bingkas bangun dari tepi kubur abah (aku sempat mengambil gambar beliau duduk disisi kubur abah). Beliau menangisi perginya seorang sahabat. Berseorangan beliau disisi kubur abah sambil melontarkan kalimah kalimah suci buat abah. Itulah sahabat abah yang aku kenal sejak kecil.


Peristiwa dulu dan sekarang amat memberi kesan dalam diri dan jiwaku. Aku lihat cara arwah abah menangani pelbagai perkara dalam hidupnya. Dalam banyak ketika, abah banyak diam dan bermenung. Sebenarnya arwah abah sedang berfikir banyak perkara. Dia memilih jalan yang mudah dan sederhana sekali. Antaranya ialah dengan banyak memberi dalam kehidupan ini. Jangan difikir soal imbuhan. Serahkan ia kepada Allah. Kelak, akan Allah kurnia kemudahan yang pelbagai dalam mengharungi hidup.

Sebegitu juga aku pelajari konsep, "jika tiada buat cara tiada, jika ada buat cara tiada bukannya ada buat cara ada...pasti melimpah ruah nanti, dan saat melimpah itu, terus utamakan sedekah kepada yang terdekat dan orang lain yang lebih memerlukan walau kita juga memerlukan ia namun, apa yang penting bantu kepada yang LEBIH MEMERLUKAN...."

Friday, October 26, 2018

Ceritaku dengan abah: Harapan abah

Ceritaku dengan abah...

Suatu hari abah bawa aku naik motor ke pekan kecil di kampungku, sambil itu abah bercerita dengan aku.  Motor Honda Cup buruk C70 bernombor AY3276 abah bawa dengan perlahan....

Abah: Masa kecik kecik dulu, abah naik basikal ke sekolah...tiap minggu ulang alik ke kampung... Sekolah abah tu kat Sg Sumun...SM Khir Johari Sg Sumun. Abah takde duit. Kakak abah (mak saudaraku) selalu bekalkan nasi dan ikan kering atau belacan. Makan nasi dengan ikan kering atau belacan goreng.

Aku: (sambil diam dan mengangguk) aku mendengar celoteh abah antara dengar dengan tidak kerana bercampur suara abah dengan bunyi ekzos pecah Honda Cup abah. Aku lebih enjoy perjalanan itu berbanding cerita abah. hehehe
Abah: Dulu Abah hidup susah. Adik beradik 14 orang (aku pernah cerita kisah ini dengan para pelajarku--terkadang aku silap sebut jumlah adik beradik abah sebabnya ramai dan aku pun terkadang tak ingat nama betul dan hanya ingat nama panggilan)....atuk wasiatkan kepada nenek supaya hantar abah ke sekolah SM Khir Johari (English school). Masa tu orang kampung panggil sekolah kapir.

Aku terus mendengar....isk apahal pulak sekolah orang kapir nya? Ujar ku dalam hati. Ermmm adik beradik abah memang ramai. Sepupu aku berpuluh orang. Yang kat Johor tu kalau tak silap ada 17 orang sepupu...tak semua aku ingat nama. Anak sulung pakcik aku yang di Johor tu pun anak dia dah berbelas.


Abah: Jadi, abah nak Awi belajar rajin rajin rajin sampai universiti. Belajar kuat kuat supaya jadi pandai. Bila dah habis belajar boleh dapat kerja yang bagus. Abah tak nak Awi hidup susah. Tak mengapalah abah habis duit beli buku dan sekolahkan semua anak anak abah, tak mengapa abah tak beli baju baru atau beli kereta atau pergi mana mana asalkan anak abah boleh belajar dan dapat pendidikan yang bagus.


Benarlah harapan itu membangkitkan usaha.

Itu antara yang aku ingati sehingga hari ini. Ia harapan abah kepada aku. Aku tahu abah juga bercakap perkara yang sama kepada adik adikku yang lain. Aku juga mengerti ini juga harapan semua ibubapa kepada anak anak mereka.

Lewat waktu yang lain, abah akan bercakap perkara yang sama kepada ku. Ia suatu bentuk pengulangan supaya berbekas dihati anak anaknya. Terkadang aku merasa cemuh juga mendengar isi cerita yang sama namun itulah sebenarnya yang berbekas dihatiku sehingga hari ini.

Sehinggalah ketikanya aku masuk ke sekolah berasrama di Ipoh. Abah memesan perkara yang sama. "Belajar rajin rajin sehingga berjaya, sampai peringkat tertinggi, abah sokong dan akan bantu" ujarnya. Itulah juga yang berbekas dihatiku dan aku sematkan dihati. Sehinggalah aku habis degree di UIA dan menyambung kemudiannya ke peringkat Master. Abah mengulangi ucapan yang sama.

Sering abah bertanya bagaimana pengajian master aku saat aku pulang ke kampung. AKu katakan selalu kepada abah, "Insyaallah abah, ok jer". Begitulah girangnya dia bila aku serahkan kad konvo master di UiTM pada tahun itu (2000), abah tersenyum bangga. 




Terus dia bertanya "Bila nak buat phd?" ujarnya. "Adusss...sabarlah dulu abah", getusku dalam hati. Namun aku hanya senyum. "Nantilah, Awi sambung", ujarku kepada abah.

Saat abah terbaring lesu akibat sakit dan stroke 5 tahun yang lalu, tiap kali aku balik, abah akan sentiasa tanya soalan yang sama "Bila nak habis phd?" tanya abah. Aku kelu. Bercahaya anak mata abah menantikan jawapanku. Dalam sakit itu dia masih punya "harapan" terhadapku. "Lambat lagi abah, banyak benda nak kena siapkan", ujarku sambil tangannya menggengam erat tanganku. Tanda pengharapan penuh abah terhadapku. 

Tanggal 21 Mac, waktu Maghrib itu abah pergi buat selamanya. Selang sebulan pula aku mendapat surat kelulusan VIVA phd ku. Sungguh surat itu lewat sekali hadirnya untuk hadiah terbesarku buat abah yang ku kasihi. 







Mengenang kembali




Aku konvo tanpa abah pada Oktober tahun itu. Mak pula mungkin terlalu sedih dengan pemergian abah dan dalam keadaan tidak sihat tidak dapat hadir ke konvo ku. Berair mataku tanpa kelibat abah dan mak. Aku tahu mak begitu mengerti dan memahami harapan abah kepada ku, dan mungkin itu jugalah yang akan membuat mak sedih dan pilu untuk menyaksikan aku menerima skrol Phd ku. Mungkin itulah sebab mengapa mak agak reluctant untuk pergi ke konvo ku. Mak beri alasan tidak sihat. Aku memahami perasaan mak.

Hari Ahad lepas aku diminta untuk hadir ke Majlis Konvokesyen UiTM ke 89. Aku update di FB ku tentangnya. 



Tiba tiba notification FB ku masuk dan ku lihat mak memberi komen terhadap post ku ketika konvo tersebut. Bila ku baca komen mak, aku jadi sangat sangat sayu. 

Perjalanan PhD tak mudah. Isteriku memberi nukilannya terhadap cerita PhD ku. Kami bersama sama mengharungi jatuh bangun dan resam dalam perjalanan menggenggam segulung skrol Phd.







Moga Allah kurnia keampunan buat abah dan redhai rohnya serta menempakan abah di syurgaNYA

Thursday, September 13, 2018

Seadanya.....

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua...

Sudah usang blog ini sejak kali terakhir aku menulis. Banyak perkara yang berlaku dan telah dilalui. Ia rencam dalam hidup. Ada tikanya pelbagai masalah melanda dan ada tikanya berita sedih datang bertalu. Tidak kurang juga khabar gembira.


Itulah hidup kita. Suka atau tidak ia termateri sebagai kehidupan yang fana dan ujian buat diri. Kita lepasi tahap ujian dengan pelbagai keputusan, ada yang gagal, ada yang lulus, ada yang cemerlang ada yang 'cukup cukup makan'.


Bagaimana keputusannya dalam mendepani kehidupan semuanya bergantung kepada diri. Sebab itulah Allah katakan ujian untuk hambaNya ialah untuk meningkatkan darjat dan memberi ibrah. Jika darjat itu tidak naik kerana gagalnya ujian itu, pasti ujian lain pula melanda, jika ujian itu sekadarnya 'cukup cukup makan' maka Allah beri ujian lain sehingga insan itu melepasi tahap yang Allah kehendaki dan jika ia naik tahap dan darjat, maka Allah beri pula modul ujian yang lain.


Semuanya ialah satu proses yang panjang dan berulang ulang buat kita semua. Hanya sanya kita mahu segera mengambil ibrah atau pelajaran dari semua ujian itu atau tidak. Justeru, Allah beri kita panduan dalam menghadapi ujian ujian itu. Satu sahaja kalimah, iaitu SABAR. Sabar pula berkait rapat dengan REDHA, jika hanya sabar sahaja tetapi tidak redha atas ketentuannya, insan akan berpaling dari jalanNya. 


Sebegitu juga dengan bersabar kita pula diingatkan agar segera dan sentiasa mengingati nya iaitu kalimah lain "ZIKRULLAH" yang perlu sentiasa dilakukan. Maka sentiasa lah SABAR, REDHA dan ZIKRULLAH kepadaNYA setiap ketika. Insyaallah, DIA akan permudah segalanya untuk kita.

Jika ini dibuat, nescaya, insan akan melepasi ujian ujian itu dan naik darjatnya. Maka, para pembaca yang budiman sekalian, mengapa tidak kita laksanakan pesanan Illahi dengan SABAR dan ZIKRULLAH? Bahkan sebenarnya dengan melaksana sedemikian, banyak kebaikan kita akan perolehi untuk diri kita sendiri. 


Allah sayangkan para hambaNYA. DIA beri ujian kepada kita supaya kita teguh berpegang kepada taliNYA. 


Image result for seadanya imagesAllah beri ujian dalam kita berurusan dengan insan lain. Ada insan perengus, ada insan pemarah, ada insan ego, ada insan baik hati, ada insan kejam, ada insan zalim, ada insan jahat, ada insan yang bertaqwa, ada insan yang mesra dan pelbagai lagi. Kita bertembung dengan insan insan ini hampir setiap hari.

Pertembungan ini adalah hasil interaksi kita manusia. Ia kerana manusia ialah makhluk  bermasyarakat. Justeru, dalam bermasyarakat perlu ada prinsip dan nilai pelbagai yang perlu kita pegang, antaranya ialah berlapang dada, menerima seadanya.


Ringkas ayatnya, tapi sukar melaksanakannya. Jika mudah untuk dilaksanakan maka sudah tentu tiada persengketaan sesama kita.


Prinsip menerima seadanya perlu dipupuk dan ia melalui proses yang panjang juga. Harus diingat dalam kehidupan manusia, tiada yang sifatnya "kun fayakun" kerana prinsip "kun fayakun" ini hanya milik Allah bukan milik manusia. 


Image result for kun fayakun imagesAkan tetapi, walaupun insan sebenarnya cukup tahu bahawa dalam kehidupan ini, segalanya yang berlaku dalam kehidupan adalah dalam proses atau 'cycle' yang panjang namun nafsu mereka bergejolak mahukan apa apa dalam kehidupan manusia seumpama "kun fayakun". 

Ini konsep yang salah kerana cuba menjadi Tuhan. Walhal Allah menyatakan dalam Surah Yaasin akan ayat kun fayakun ini dengan terangnya bahawa jika DIA mahu maka DIA hanya "kun fayakun". Ini kekuasaan Allah bukan sifat manusia. Justeru, jangan cuba jadi Tuhan atau bersikap tidak sedar diri bahawa diri itu adalah insan@manusia.


Usaha perlu dibuat, ia mesti berterusan, jika tidak menjadi, buat usaha lagi, tukar strategi dan tukar cara sehinggalah ia tercapai. Jangan putus asa.

Tuesday, November 7, 2017

Susah itu natijahnya senang...

Assalamualaikum wrt wbt.

Sebenarnya, apa yang tidak boleh dinikmati oleh orang susah@tidak mampu@miskin lalu kita nikmati maka itulah tahap senang/kesenangan.
Justeru, jika mahu tahu apa orang yang susah rasai maka kita perlu ‘duduk’ dalam suasana dan keadaan mereka.

Inilah hikmah kepada puasa malah ibrah dalam ibadah ibadah yang lain. Rasa berlapar tanpa makanan itu bagaimana. Ia proses memahami dan mendidik diri dengan mengalami sendiri RASA tersebut. Bagi orang yang susah, mereka apabila ada makanan, maka cukup untuk sekadar mengisi perut tanpa mengira apa menunya atau jenis makanan tersebut asalkan ia halal. Sebegitu jua, sunnah juga dalam bab makanan, berhenti sebelum kenyang. Untuk jaga perut serta kesihatan perut dan jaga kesihatan tubuh badan keseluruhannya.

Jika mahu tahu betapa susahnya orang ditimpa musibah banjir contohnya, turun lah ke padang dan bantu serta rasai sendiri peritnya mereka yang ditimpa musibah. Barulah nilai kemanusiaan akan terangsang dalam diri. Sebegitu jua menguruskan jenazah saat adanya kematian. Konsepnya sama. Mewujudkan RASA dan mengembalikan NILAI KEMANUSIAAN dalam diri. Ketika inilah boleh dibawa anak anak yang mungkin alaminya terbiasa dengan kehidupan yang mewah, diajak agar merasai sendiri pengalaman menanggapi dan merasai kepayahan orang lain.


Malah dalam aspek kehidupan juga sama. Prinsip yang sama terlaksana. Merasa susah dan bersusah susah supaya senang kemudian. Ia perlu disiplin dan cara fikir yang tertentu dan lurus.

Sebagai contohnya, mengawal nafsu juga salah satu usaha bersusah susah agar senang kemudian. Nafsu mahu makan sedap sedap, dikawal dengan makan sederhana dengan menu yang sederhana. Nafsu berbelanja dan membeli barang itu ini dikawal agar beli yang perlu sahaja pada ketika perlu sahaja. Bukan berbelanja mengikut rasa. Supaya pengurusan kewangan jadi sihat pada masa ini atau akan datang. Supaya generasi seterusnya dapat menjadi contoh kepada apa yang kita lakukan pada hari ini.

Jika boleh berlaku sedemikian dalam diri setiap orang, pasti kegilaan bersenang lenang tiada dalam kamus hidup setiap diri. Bersenang lenang apabila perlu, saat lainnya perlu berusaha (berusaha itu ialah ertinya bersusah payah). Menuntut ilmu itu ialah kepayahan. Jika rasa senang dan menyenangkan diri ketika proses belajar, itu akan menatijahkan kegagalan atau pencapaian yang biasa biasa. Jika orang lain tidur, kita bersengkang mata didinihari untuk belajar dan mentelaah. Itulah peritnya menuntut ilmu lalu akan turunnya keberkatan dalam ilmu dan seseorang itu akan diberkati hidupnya dengan ilmunya.

Bukankah “addunya mazra’atul aakhirah”. Bahkan dunia jua ialah penjara bagi orang mukmin. Ia memenjara nafsu agar tidak buas dan gelojoh. 


Image result for dunia ini penjara bagi orang mukminAkan sampai tikanya kita mampu tersenyum dipenghujung perjalanan kehidupan kerana kita telah bersusah payah mengorbankan usaha, masa, fikiran, tenaga dan segala yang ada untuk menggapainya.

Sebegitu juga akan ada tikanya mereka yang awalnya gembira kesenangan akan menerima imbalan lalu termenung kesedihan dan kesusahan.

Inilah maknanya bahawa hidup ini penuh dengan pelbagai pilihan. Hanya sanya kita perlu berusaha membuat pilihan pilihan yang tepat dan betul berdasarkan manhaj serta fikiran yang betul yang menepati kehensak al Quran dan Sunnah Nabi saw.

Prinsip ini telah dinyata dalam wahyu 1438H yang lalu. Namun, sering kita tidak berdisiplin dalam mengikutinya. Ambillah ibrah dari ayat ini.

Thursday, October 12, 2017

Ku Jelajahi Morocco: Malaga ke Casabalanca Siri 3

ku sambung ceritaku...

Setelah selesai urusan tiket pergi balik ke Morocco dan Madrid di stesen bas Malaga. Oleh kerana perjalananku ini banyak ku lakukan dengan menaiki bas, maka aku telah mengatur urusan tiket bas dengan sebaiknya. Aku memastikan ada langka masa antara bas yang aku perlu naiki dari stesen bas Malaga ke stesen bas Casablanca dan kemudian pulang semula melalui Tangiers dengan menaiki keretapi dari stesen keretapi Casabalanca dan sampai ke pelabuhan Tangiers. Kemudian menaiki feri menuju ke pelabuhan Algeciras di sebelah Sepanyol. Dan setelah itu menaiki bas lain dari Algeciras menuju ke Barcelona dan Madrid. 

Kami memulakan langkah melawat bandar Malaga yang bersih dan cantik. Di dalam bas, kami bersua dengan seorang gadis Sepanyol yang pernah belajar di Amerika dan sekarang bekerja di Malaga. Ia membuat kami mudah mesra kerana dia tahu berbahasa Inggeris. Banyak perbualan yang kami bicarakan sepanjang di dalam bas, malah dia menunjukkan kami pelabuhan dan kawasan pantai di bandar Malaga. Dia juga memberikan tips untuk kami melawat Morocco. 'Berhati hati melawat Morocco-tidak begitu banyak perkara menarik di Morocco' ujarnya. Aku mengangguk kepala tanda memahami. Apapun, aku perlu juga melihat sendiri Casabalanca, Rabat dan Tangiers dengan pengalaman sendiri. 

Di Malaga, aku berkesempatan melawat kubu lama di pelabuhan Malaga yang dibina oleh orang Islam di atas sebuah bukit di pinggi bandar Malaga. Kukuh sehingga hari ini kubu itu. Cantik dipandang dari kejauhan. Sedang asyik bergambar di kubu itu, sarung tangan isteriku telah terjatuh disebalik dinding kubu sebelah luar. Tinggi kubu itu kira kira 10 kaki. Mengenangkan sarung tangan itu adalah sarung tangan kesayangan isteriku, aku memanjat kubu itu dan melompat kesebelah luar ke dalam semak semak pokok renek yang penuh ranting dan mengambil sarung tangan itu. Setelah itu, baru terfikir bagaimana nak memanjat kembali kubu tersebut. hati berdebar debar takut dimarahi oleh pengawal di situ. Kelakar sebenarnya kisah ini. Sudah semacam detik kecemasan menyelamatkan mangsa jatuh lubang pula kisahnya. Akhirnya aku berjaya juga dengan bantuan temanku. Kami kemudian ketawa sesama sendiri mengenangkan kisah ini. 

Setelah itu kami meneruskan perjalanan, kami kembali ke stesen bas Malaga dan menanti bas menuju ke Casabalanca. Sengaja aku memilih menaiki bas ke Casablanca kerana aku fikir aku akan beroleh pengalaman bercampur dengan lebih ramai orang yang bakal ku temui nanti....pesan seorang perempuan muda Sepanyol yang bku temui di dalam bas ketika menuju ke Stesen Bas Malaga-

"You are leaving to Casablanca?" katanya.
"Yes we are..." jawabku.
"Be careful of pick pockets there....don't get yourself ended up being cheated by people around there....anyway nothing much to be seen there" katanya. "Ouch...really, thanks a lot for the reminder" jawabku....

"Aaah begitu pulak yea nanti di Casabalanca" getus hatiku. Aku sudah mula merasa kurang sedap hati lalu menyampaikan pesanan itu kepada isteriku.

Mengapa dia memberikan ku pesanan sedemikian. Aku tiba di Stesen Bas Malaga ketika malam mula menjengah. Suasana sejuk. Sesjuk sedemikian, aku sering mencari tandas. Selalu merasa 'terkucil' untuk buang air. Kemudian aku menuju ke Malaga Station Cafe...menikmati teh panas di situ. Penjualnya kelihatan seperti orang arab yang aku fikir keturunan Morocco. Aku melihat lihat sambil itu di kedai kedai bersebelahan dan membeli seketul kebab buat mengisi perut. Aku makan kongsi dengan isteri. Cuaca sejuk membuat aku lebih cepat lapar.

Tidak lama kemudian bas yang ditunggu sampai dan kami semua menaiki bas sekitar jam 10.00 malam di Malaga menuju ke Casablanca.

Ada benarnya maklumat yang dia berikan. Nanti akan aku ceritakan.....

Sunday, August 20, 2017

Dipandang dan memandang.....

Salah satu tulisan yang sangat mengesankan ditulis oleh Syekh Thanthawi (Grand Syeikh Al Azhar Assyarif):

كُلُّنَا اَشْخَاصٌ عَادِيٌّ فِى نَظْرِ مَنْ لاَ يَعْرِفُنَا
Kita semua adalah orang biasa dalam pandangan orang-orang yg tidak mengenal kita..

وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ رَائِعُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَفْهَمُنَا
Kita adalah orang yang menarik di mata orang yang memahami kita..

، وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ مُمَيِّزُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يُحِبُّنَا
Kita istimewa dalam penglihatan orang - orang yang mencintai kita..

وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ مَغْرُوْرُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَحْسُدُنَا
Kita adalah pribadi yg menjengkelkan bagi orang yang penuh kedengkian..

، وَكُلُّنَا اَشْخَاصٌ سَيِّئُوْنَ فِى نَظْرِ مَنْ يَحْقِدُ عَلَيْنَا
Kita adalah orang-orang jahat di dalam tatapan orang - orang yang iri...

، لِكُلِّ شَخْصٍ نَظْرَتُهُ، فَلاَ تَتْعَبْ نَفْسَكَ لِتُحْسِنَ عِنْدَ الآخَرِيْنَ
Pada akhirnya, setiap orang memiliki pandangannya masing masing, maka tak usah berlelah lelah agar tampak baik di mata orang lain..

، يَكْفِيْكَ رِضَا اللّٰهُ عَنْكَ ، رِضَا النَّاسِ غَايَةٌ لاَ تُدْرَك
Cukuplah dengan redha Allah bagi kita, sungguh mencari redha manusia adalah tujuan yang tak kan pernah tergapai..

، وَرِضَا اللّٰهُ غَايَةٌ لاَ تُتْرَك ، فَاتْرُكْ مَا لاَ يُدْرَكْ ، وَاَدْرِكْ مَا لاَ يُتْرَكْ
Sedangkan Redha Allah, destinasi yang pasti sampai,

Maka tinggalkan segala upaya mencari keredhaan manusia, dan fokus saja pada redha Allah...

Sunday, June 11, 2017

Nota dakwah...


Nota dakwah.

Sepanjang beratus artikel yang aku tulis di blogku ini, berbagai rasa pengalaman dan pandangan yang aku coretkan. Tiada lain tujuan agar hikmah pengajaran dan kefahaman itu dapat diperolehi oleh kalian para pembaca. Tanpa pengajaran dan kefahaman maka gagal lah sifat individu dan jiwa menjadi manusia yang sebenar. 

Motif utama kehidupan ialah bertaqwa kepada Allah dengan tunduk dan patuh kepadaNya lalu berperanan sebagai khalifah diatas mukabumi ini. Mengakui dan memahami bahawa kewujudan diri itu adalah kerana dengan izinNya. Ini difahami atas prinsip bahawa keadaan kehidupan itu bagai umpama penjara (sebagaimana maksud hadis - dunia itu umpama penjara bagi orang mukmin). 

Aku akui ada komen pintar yang menyentuh rasa bahawa aku dikatakan sebagai penulis picisan. Bahkan ada juga mengatakan bahawa aku ini hanya "syok sendiri" dengan ungkapan "dancing on". Aku akui mungkin tulisanku berbaur sedemikian. Mungkin itu kelemahanku. Namun aku tidak dapat lari dari pentas sedemikian sepenuhnya kerana cara gaya tulisanku lebih kepada usaha menjentik rasa dalam diri pembaca. Ia bukan coretan yang bertujuan untuk  menambah gah ku akan tetapi menghayati kisah pengajaran dalam coretan coretan ku melalui berbagai peristiwa dan pengalaman yang ku lalui. 

Benar, semakin kita melangkah jauh dalam perjalanan ini, semakin dekatlah kita ke pengakhiran kehidupan. Ia mungkin melelahkan bahkan menjerihkan. Ia acuan pelbagai warna pengalaman dan peristiwa. Lalu aku pikir mengapa tidak ku kongsikan sebahagian darinya untuk para pembaca. Mungkin ia bermanfaat atau mungkin ia menjadi sempadan ingatan buat kalian agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah aku lakukan.


Ku lakukan sedemikian kerana aku memahami bahawa ini sebahagian yang diajar oleh Nabi saw. Kalian lihat dalam sirah kehidupan Nabi Muhammad saw, saat diawal waktu kehidupannya di Mekah. Fahami apakah tema yang Nabi saw tunjukkan. Bukankan Nabi saw menunjukkan tema akhlak terpuji sebelum baginda saw diangkat menjadi rasul terakhir? Nabi saw dikenal oleh masyarakatnya dan mencontohkan atau menjadikan dirinya sebagai 'role model' lalu sangat popular dengan gelaran "al-Amin" iaitu yang benar. Bertitik tolak dari itu, boleh kita teladani bahawa akhlak mulia dan motif menjadi yang amanah atau yang benar itu perlu dibina dan dijadikan pembangunan diri. Ia acuan bagi menghadapi kehidupan sebenar.

Lalu kemudiannya tema yang dibawa oleh Nabi saw adalah berupa kesatuan ummah, kepentingan kelompok berbanding kepentingan sendiri. Bahkan bukan jua memenuhkan tembolok sendiri, barulah kejayaan dapat diperolehi. Satu kejayaan yg padu dan memberi manfaat kepada seluruh ummah.

Kisah Badar dan bagaimana ia berlaku, tanpa senjata yang mencukupi bahkan kekurang sumber yang bersangatan. Saat iman diuji bukan dengan bilangan orang dan persenjataan bahkan logik akal menyatakan (jika kita berada disitu pada ketika itu berbanding hanya sekadar mendengar cerita dan membaca sirah) bahawa pasukan ini kalah dan sumbang sekali. Pasti tewas. Akan tetapi sebaliknya pasukan yang sangat kekurangan ini akhirnya menghancurkan ego ego para strategis bahkan pengkaji mahupun pakar peperangan saat itu. Menang moral, iman dan menang perang walau ramai yang syahid. 

Ambillah ibrah dan jadikan ia pengajaran bermakna dalam hidup. Moga kita akan jadi mukmin yang dinamik serta progresif dalam pemikiran dan tindakan..









Sent from my iPhone

Saturday, June 10, 2017

Ruginya ia berlalu...


Salam ukhuwwah.....

Berapa kali kita khatam alQuran sepanjang 33 tahun Ramadhan? 3 kali, atau 10 kali atau setiap kali! Ya benar, apabila masa berlalu begitu, lalu kita tanyakan berapa kali kita khatam alQuran, pasti wujud rasa tersentak pada diri! Ini juga berlaku kepada diriku sendiri...aku hanya mampu mengkhatami alQuran sekitar 10tahun kebelakangan ini! Hakikat bahawa sudah banyak tahun tahun berlalu tanpa apa apa...aku rasakan sangat sedih dan rugi masa yang berlalu! Alangkah bobroknya diri, membiarkan masa masa emas itu berlalu tanpa apa apa, mujur jua DIA berikanku sedikit ruang masa itu aku sedar bahawa, masa yang mendatang itu jangan lah pula dipersiakan!

Friday, June 9, 2017

Getirnya Ramadhan

Para pembaca budiman sekalian...

Sudah bersawang lama blog ini. Kesibukan memelukku erat sekali. Tiada ruang dan peluang untuk aku menulis. Sehingga saat ini saat saat ini, sisa sisa kesibukan itu masih sahaja membaluti ruang masa yang masih tersisa. Kini Ramadhan kembali lagi...

Getirnya Ramadhan kali ini kerana cuacanya yang panas. Benar, sejak berzaman mentari kan terik di bulan yang mulia ini. Saat perangnya Badar juga sebegitu, malah saat peperangan zaman Sallehudin Al Ayubi juga begitu. Ramadhan seolah olah membakar segala dosa dan maksiat dalam diri dan jiwa manusia. Allahuakbar. Kering dan panas. Begitulah aku fikir saat di Mahsyar nanti bahkan berkali ganda lipatnya akan kepanasan itu seperti yang dikhabarkan oleh Allah swt melalui wahyunya.

Ku ukirkan coretan getir Ramadhan kerana ini pertama kalinya aku terkenang Ramadhan tanpa abah. Seolah siri Ceritaku dengan Abah tak mampu kutuliskan lagi. Abah telah pergi menemui Penciptanya tanggal 20 Mac 2017.....aku sunyi. Aku teringatkan abah selalu. Aku sibukkan diriku kerana mahu melupakan ingatan ku terhadap abah. Getirnya Ramadhan kali ini.

Sesekali aku pulang dan ku ziarahi kubur abah. Aku bercakap cakap seorang diri dengan harapan abah mendengar ku. Tiapkalinya airmata bergenang membasahi pipiku tanpa ku sedar. Abah tiada lagi dan telah pergi selamanya. Tiada gantinya akan abah ku ini.

Saat terserempak dengan kawan kawan abah di kampung, aku bergenang air mata pula. Segalanya tentang abah akan ku ingati. Terasa bersangatan bahawa masa telah berlalu dengan pantas sekali dan aku dalam keadaan menyesali dan rugi.....seolah olah terlalu banyak perkara yang belum habis ku bicarakan dengan abah. Cukup banyak cerita yang ingin ku kongsi tapi tiada maknanya kerana abah telah pergi selamanya. Air mataku bergenang lagi.

Getirnya Ramadhan kali ini tanpa abah.....  




Friday, March 31, 2017

Integriti = a(A+C+E)-C

Assalamualaikum wrt wbt.

Zaman ini segalanya dekat walau hakikatnya jauh. Sebegitu juga Whatsapp, WeChat, Telegram dan lain lain lagi mendekatkan kami teman teman persekolahan dahulu. Sehari dua ini, ada perbualan yang menarik diantara teman teman aku. Ada seorang yang bergelar Profesor bercakap dalam satu sidang di IC-BOS di Putrajaya Covention Center pagi ini. Beliau bercakap soal pengurusan korporat. Beliau ialah sahabat karib kami semua, Profesor Azlan Amran dari USM.

Seorang teman pula bertemu secara kebetulan di Kota Kinabalu iaitu Sdra Taqiyuddin Amini ialah Chief Operating Officer di MNZWJ and Associates dan Sdra Dr Ahmad Fadzli yang lebih dikenali sebagai Dr. Afat ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia. Mereka saling memberi maklumbalas di Whatsapp group sekolah kami. Dalam perbualan di Whatsapp, mereka telah berkongsi formula berikut;

Integriti = a(A+C+E)-C

a=alignment
A=Accountability
C=Competency
E=Ethics
c=Corruption

Image result for integrity images and quotes from quran and hadithIntegriti ialah suatu nilai. Nilai diri atau organisasi. Ia subjektif mengikut budaya dan aliran sesebuah organisi mengikut acuan pimpinan. Pada diri pula ia suati nilai diri yang dipegang sebagai prinsip. Integriti ilah salah satu nilai yang menentukan tindakan dan pekerti seseorang atau organisasi.

Namun, dalam banyak hal, integriti mungkin dengan mudahnya tergadai. Ia dikorbankan apabila bertembung dengan perkara lain atau tindakan yang memerlukan pengorbanan kepada nilai integriti. Bolehkah sedemikian? Tidak sama sekali jika seseorang itu ialah insan yang punya integriti utuh kerana ia memberi kesan kepada soal amanah dalam pengurusan diri dan organisasi. Lalu mengakibatkan rosaknya seseorang dan organisai lalu akan hilang kepercayaan masyarakat.

Tetapi hari ini, rasukan media dan pelbagai serangan fitnah yang menjalar diruangan siber menerjah masuk ke sempadan pemikiran lalu merubah tanggapan insani. Integriti tergadai. Ia mungkin dimulai oleh sesiapa sahaja akan tetapi kesannya langsung menerjah memusnahkan lingkungan murni kesopanan, kesusilaan, amanah, kepimpinan dan nilai masyarakat.

Image result for integrity images and quotes from quran and hadithMengembalikan integriti ke tahap murni tidak mudah. Membinanya tidak mudah. Menjadikannya suatu nilai yang dipegang oleh semua juga adalah sesuatu yang sangat sukar. Tetapi sekelip mata, ia boleh sahaja diruntuhkan oleh anasir dalaman atau luaran. Siapa yang terlibat? Hakikatnya ialah kita semua. Kita tidak boleh membiarkan anasir fitnah menghancurkan nilai ini. Walaupun diakui bahawa bukan hanya semata mata fitnah bahkan runtuhnya tembok integriti ini boleh terjadi dek kerana ketamakan dan nipisnya iman, akan tetapi faktor penggalak utama dalam konteks dunia siber pada hari ini menjadi sebab mengapa fitnah adalah penyebabnya.

Justeru, kembalilah kepada asas yang asal. Amalkan semak, tapis dan sebar. Atau semak dan semak dan tidak perlu sebar. Terjahan maya dunia sosial menyebabkan kita suka menyebar. Samada ia berita betul atau tidak, ada kecenderungan besar untuk menyebarnya tanpa usul periksa. Seolah olah insan ingin menjadi juara dengan menjadi penyebar utama atau paling awal. Akhirnya dosa bertimbunan, masyarakat kacau pemikiran walau alasannya ialah untui mencegah kemungkaran atau salah laku, namun ia cara yang sangat salah sama sekali.