Sudah bersawang lama blog ini. Kesibukan memelukku erat sekali. Tiada ruang dan peluang untuk aku menulis. Sehingga saat ini saat saat ini, sisa sisa kesibukan itu masih sahaja membaluti ruang masa yang masih tersisa. Kini Ramadhan kembali lagi...
Getirnya Ramadhan kali ini kerana cuacanya yang panas. Benar, sejak berzaman mentari kan terik di bulan yang mulia ini. Saat perangnya Badar juga sebegitu, malah saat peperangan zaman Sallehudin Al Ayubi juga begitu. Ramadhan seolah olah membakar segala dosa dan maksiat dalam diri dan jiwa manusia. Allahuakbar. Kering dan panas. Begitulah aku fikir saat di Mahsyar nanti bahkan berkali ganda lipatnya akan kepanasan itu seperti yang dikhabarkan oleh Allah swt melalui wahyunya.
Ku ukirkan coretan getir Ramadhan kerana ini pertama kalinya aku terkenang Ramadhan tanpa abah. Seolah siri Ceritaku dengan Abah tak mampu kutuliskan lagi. Abah telah pergi menemui Penciptanya tanggal 20 Mac 2017.....aku sunyi. Aku teringatkan abah selalu. Aku sibukkan diriku kerana mahu melupakan ingatan ku terhadap abah. Getirnya Ramadhan kali ini.
Sesekali aku pulang dan ku ziarahi kubur abah. Aku bercakap cakap seorang diri dengan harapan abah mendengar ku. Tiapkalinya airmata bergenang membasahi pipiku tanpa ku sedar. Abah tiada lagi dan telah pergi selamanya. Tiada gantinya akan abah ku ini.

Getirnya Ramadhan kali ini tanpa abah.....
No comments:
Post a Comment