Showing posts with label Imam Al Ghazali. Show all posts
Showing posts with label Imam Al Ghazali. Show all posts

Thursday, April 11, 2013

Akhirnya kutemui al-Ghazzali….oleh Abu Saif @ http://www.saifulislam.com



Saya kongsikan artikel oleh Ustaz Hasrizal (Saifulislam) untuk tatapan kalian...ia penuh informasi!
(artikel ini ditulis pada tahun 2005, dan disiarkan kembali dengan beberapa pembetulan. mohon tunjuk ajar andai berlaku kesalahan dalam penulisan ini)
Pagi itu semasa saya sedang sibuk dengan urusan di pejabat, saya menerima panggilan telefon daripada Encik Saharom, Ketua Editor Majalah I. Beliau meminta supaya saya menulis satu tajuk yang amat membingungkan. Selalunya saya menawarkan diri menulis tajuk-tajuk yang saya mahir, tetapi kali ini Encik Saharom meminta saya mempertahankan seorang tokoh yang tidak saya kenali iaitu Imam Ghazzali!
Terkasima saya seketika… masa yang diberikan untuk menyiapkan artikel tersebut adalah dua minggu.
“Minta maaf Encik Saharom, dua minggu tidak mungkin bagi saya untuk memenuhi permintaan ini”.
Akhirnya dua minggu tersebut berubah menjadi dua bulan!
Saya mula mengetahui tentang Imam Ghazzali semenjak saya di bangku sekolah rendah lagi. Arwah Abah mengumpul duit berbulan-bulan untuk membeli kitab terjemahan Ihya’ Ulumiddin dan saya cuba berkongsi pembacaan dengan arwah Abah.
Namun usia terlalu muda pada masa itu dan arwah Abah kembali kepada Allah ketika saya dengannya baru mula berjinak-jinak dan lunak dengan Ihya’.
Apabila saya melanjutkan pelajaran ke Jordan, saya membina persepsi separa sedar tentang Imam Ghazzali. Saya tahu beliau seorang tokoh agung di dalam Islam, beliau adalah Hujjah al-Islam, beliau adalah nama yang tidak boleh dipinggirkan oleh penuntut ilmu Islam. Namun semasa itu saya kecewa sendiri kerana saya gagal menghayati di manakah sebenarnya kehebatan Imam Ghazzali. Punca utama kegagalan saya pada masa itu adalah berkisah kepada dua persoalan iaitu kelemahan hadith di dalam penulisan Imam Ghazzali dan yang keduanya ialah soal Falsafah.