Saturday, June 27, 2009

Kembara Insan Melalui 3i-Siri 1

Siri 1....

Realiti kehidupan membawa erti yang berbeza buat kita semua.Tiada yang sama...apa jua tetap berbeza bagi semua individu. Melayari kehidupan tidaklah mudah namun ia hakikat yang perlu dihadapi oleh semua insan. Ia adalah proses yang berterusan, ada yang kita fahami dan kebanyakannya tidak kita fahami. Ini kerana ilmu kita sangat cetek untuk memahami hakikat kehidupan secara keseluruhan. Ada yang cuba memahami namun tanpa panduan ataupun pegangan yang mendasari pemahaman dan fikiran ia lebih mendorong insan pergi jauh lebih sesat dari menemui kebenaran dan hakikat kebenaran. Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Insan atau manusia tidak dapat mengetahui hakikat kebenaran jika ia tidak dipandu oleh prinsip luhur. Dan prinsip luhur ini hanya boleh di pelajari dan difahami melalui hakikat insan dan Khaliq, hamba dan Sang Pencipta. Hakikat bahawa manusia itu dicipta dan dilahirkan di atas mukabumi ini dengan tujuan tujuan khusus bukan kerana sembarangan sebab. Justeru, agama @ ad-din @ Islam menjadi pegangan kerana ia adalah wahyu dari Sang Pencipta untuk umat manusia. Insan sangat membutuhkan agama kerana tanpa agama, kebenaran tidak mungkin akan difahami. Ini proses yang asas yang perlu difahami oleh manusia.

Ajaran Islam menggariskan ilmu, hikmah dan proses serta jalan mencari kebenaran untuk umat manusia. Tanpanya manusia akan hanyut dalam melayari kehidupan. Kesannya, apa yang dianggap benar oleh sebilangan orang adalah kesesatan bagi orang lain. Pertembungan pertembungan ini menghasilkan konflik dan percakaran sesama manusia. Oleh itu, benarlah kata Rasulullah, 'aku tinggalkan bagi mu 2 perkara yang kamu tidak akan tersesat buat selamanya jika kamu berpegang kepadanya; iaitu Al-quran dan As-Sunnah'. Jadi kebenaran hanya muncul jika kita sentiasa merujuk kepada Al-quran dan As-sunnah kerana didalamnya terkandung khazanah ilmu dan hikmah untuk seluruh umat manusia...

Tuesday, June 23, 2009

Kembara Insan Melalui 3i-Pengenalan

Coretan ini merupakan sebahagian dari karangan dan initipati dari tajuk tajuk yang sedang saya usahakan untuk projek buku terbaru saya yang secara teknikalnya dalam bentuk cadangan bertajuk 'Kembara Insan Melalui 3i (Iman Islam dan Ihsan).

Ia di'post'kan atau disiarkan disini sebagai 'check point', meter perjalanan untuk saya, juga sebagai stesen maklumbalas setempat untuk anda komen mahupun memberi input yang bersesuaian sebagai panduan buat saya....

Tunjang projek ini ialah untuk menyelongkar semampu saya konsep insaniah dalam mengenali diri melalui gabungjalin kepercayaan, pemahaman dan pelaksanaan iman, islam dan ihsan dalam kehidupan seharian manusia lantas mengiktiraf dan mengakui dengan sebenar benarnya konsep hamba dan khalifah seperti yang dinyatakan oleh PENGUASA dan PEMILIK Alam ini dalam Kitab Teragung 'Al-Quran' melalui pengalaman singkat saya didalam dunia ini....

Moga moga cebisan dari usaha yang kecil ini akan memberi menfaat kepada sebahagian dari kalian atau generasi yang mendatang dan menjadi sesuatu yang dapat saya tinggalkan untuk 'anak-anak' saya.....

Pesanan....Siri 1

Pesan antara manusia tersohor dikalangan sahabat Nabi....

"tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali jika kamu tahu apa yang dicari" UMAR Al-KHATTAB

jika direnung dan diamati pesanan ini, dengan hati yang penuh mengharap pengajaran dan hikmah melalui pemerhatian dan pengalaman....akan jauh terlontar dilubuk hati pengertian yang mendalam dan bererti buat merawat jiwa dalam kembara hidup seorang insan...iaitu ANDA.....

Thursday, June 18, 2009

Tawakkal si kecil.....mampukah kita!!!

Abu Faidh Thauban atau yang terkenal dengan nama panggilan Zunnun Al-Mishri
adalah seorang ahli Tasawwuf yang besar dari negera Mesir.

Diceritakan bahawa pada suatu hari Zunnun Al-Mishri pergi ke laut untuk
menjala ikan untuk menyara hidupnya dengan disertai oleh anak perempuannya
yang masih kecil.

Zunnun menebarkan jaringnya, tidak berapa lama kemudian jaring itupun
ditariknya. Dia beruntung kerana dapat menangkap seekor ikan. Anak
perempuanya yang ikut turun ke laut, menyaksikan bahawa mulut ikan itu
bergerak-gerak seperti orang berzikir. Apabila Zunnun menghulurkan tangannya
untuk menngambil ikan yang sudah dijangka menjadi rezekinya itu. Tiba-tiba
anaknya menghalangnya. Dengan pantas anaknya mengambil ikan yang masih hidup
itu dan mencampakkannya ke laut semula. Maka bebaslah ikan itu di alamnya.

Zunnun tidak dapat menghalang perbuatan anaknya itu dan hanya melihat dengan
penuh kehairanan.

"Mengapa kau membuang rezeki yang sudah kita perolehi?" Tanya Zunnun kepada
anaknya. Anaknya menjawab: "Saya tidak rela makan makhluk yang berzikir
kepada Allah".

Zunnun hairan terhadap jawapan anaknya itu kerana setiap ikan yang baru
ditangkap sudah tentu bibirnya bergerak-gerak. "Apa yang hendak kia buat?"
tanya Zunun lagi.

Anaknya menjawab: "Kita bertawakal kepada Allah semoga Dia memberi kita
rezeki benda yang tidak berzikir kepada Allah.

Kedua-duanya pun balik tidak meneruskan kerjanya sebagai penangkap ikan dan
mencari kerja lain sambil bertawakal kepada Allah. Setelah bekerja sampai
petang, keduanya belum juga mendapatkan sesuatu rezeki untuk dimakan
sedangkan perutnya sudah mulai lapar.

Apabila waktu Isya' sudah masuk, tiba-tiba Allah menurunkan hidangan dari
langit yang terdiri daripada berbagai jenis makanan, maka makanlah keduanya
dari rezeki itu. Keadaan seperti ini berlaku setiap malam dan berlangsung
lebih kurang dua belas tahun.

Zunnun menyangka bahawa kurnia dari Allah yang sangat istimewa ini adalah
disebabkan dirinya yang sangat rajin beribadah, solat, berpuasa dan berdoa
kepada Allah.

Apabila keaadaan ini sudah berlangsung lebih kurang 12 tahun, anak
perempuannya yang ikut kelaut sudah meninggal. Ternyata hidangan dari langit
tidak turun lagi berikutan kematian anaknya itu. Kini Zunnun menyedari
bahawa kurnia Allah yang turun pada keluarganya berupa makanan dari langit
itu bukan disebabkan kerana dirinya yang rajin beribadah dan berdoa, tetapi
disebabkan kerana ketinggian tawakal anak perempuannya yang sudah
meninggal."

ingatlah,kita yang harus mengawal hawa nafsu bukannya nafsu yang mengawal
diri kita.INGAT!!!KEANGKUHAN HAWA NAFSU TIADA TOLOK BANDINGNYA.

Kenangan.....yg pahit dan terindah

Kenangan itu kadangkala teramat pahit untuk diredah, tetapi ia terlalu manis untuk dikenang. Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan. Andainya hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tak pernah hadir. Kecewa bercinta bukan bermakna dunia sudah berakhir.

Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan.Hidup ini indah jika kita tahu menghargainya...dan jua tahu apa yang SEBENAR-BENARnya dicari didalam kehidupan ini... Tapi ia amat menyakitkan andai kita melaluinya sambil lewa... moga kehidupan anda semua mendapat keredhaan, perlindungan dan keampunan dariNYA...