Sunday, June 11, 2017

Nota dakwah...


Nota dakwah.

Sepanjang beratus artikel yang aku tulis di blogku ini, berbagai rasa pengalaman dan pandangan yang aku coretkan. Tiada lain tujuan agar hikmah pengajaran dan kefahaman itu dapat diperolehi oleh kalian para pembaca. Tanpa pengajaran dan kefahaman maka gagal lah sifat individu dan jiwa menjadi manusia yang sebenar. 

Motif utama kehidupan ialah bertaqwa kepada Allah dengan tunduk dan patuh kepadaNya lalu berperanan sebagai khalifah diatas mukabumi ini. Mengakui dan memahami bahawa kewujudan diri itu adalah kerana dengan izinNya. Ini difahami atas prinsip bahawa keadaan kehidupan itu bagai umpama penjara (sebagaimana maksud hadis - dunia itu umpama penjara bagi orang mukmin). 

Aku akui ada komen pintar yang menyentuh rasa bahawa aku dikatakan sebagai penulis picisan. Bahkan ada juga mengatakan bahawa aku ini hanya "syok sendiri" dengan ungkapan "dancing on". Aku akui mungkin tulisanku berbaur sedemikian. Mungkin itu kelemahanku. Namun aku tidak dapat lari dari pentas sedemikian sepenuhnya kerana cara gaya tulisanku lebih kepada usaha menjentik rasa dalam diri pembaca. Ia bukan coretan yang bertujuan untuk  menambah gah ku akan tetapi menghayati kisah pengajaran dalam coretan coretan ku melalui berbagai peristiwa dan pengalaman yang ku lalui. 

Benar, semakin kita melangkah jauh dalam perjalanan ini, semakin dekatlah kita ke pengakhiran kehidupan. Ia mungkin melelahkan bahkan menjerihkan. Ia acuan pelbagai warna pengalaman dan peristiwa. Lalu aku pikir mengapa tidak ku kongsikan sebahagian darinya untuk para pembaca. Mungkin ia bermanfaat atau mungkin ia menjadi sempadan ingatan buat kalian agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah aku lakukan.


Ku lakukan sedemikian kerana aku memahami bahawa ini sebahagian yang diajar oleh Nabi saw. Kalian lihat dalam sirah kehidupan Nabi Muhammad saw, saat diawal waktu kehidupannya di Mekah. Fahami apakah tema yang Nabi saw tunjukkan. Bukankan Nabi saw menunjukkan tema akhlak terpuji sebelum baginda saw diangkat menjadi rasul terakhir? Nabi saw dikenal oleh masyarakatnya dan mencontohkan atau menjadikan dirinya sebagai 'role model' lalu sangat popular dengan gelaran "al-Amin" iaitu yang benar. Bertitik tolak dari itu, boleh kita teladani bahawa akhlak mulia dan motif menjadi yang amanah atau yang benar itu perlu dibina dan dijadikan pembangunan diri. Ia acuan bagi menghadapi kehidupan sebenar.

Lalu kemudiannya tema yang dibawa oleh Nabi saw adalah berupa kesatuan ummah, kepentingan kelompok berbanding kepentingan sendiri. Bahkan bukan jua memenuhkan tembolok sendiri, barulah kejayaan dapat diperolehi. Satu kejayaan yg padu dan memberi manfaat kepada seluruh ummah.

Kisah Badar dan bagaimana ia berlaku, tanpa senjata yang mencukupi bahkan kekurang sumber yang bersangatan. Saat iman diuji bukan dengan bilangan orang dan persenjataan bahkan logik akal menyatakan (jika kita berada disitu pada ketika itu berbanding hanya sekadar mendengar cerita dan membaca sirah) bahawa pasukan ini kalah dan sumbang sekali. Pasti tewas. Akan tetapi sebaliknya pasukan yang sangat kekurangan ini akhirnya menghancurkan ego ego para strategis bahkan pengkaji mahupun pakar peperangan saat itu. Menang moral, iman dan menang perang walau ramai yang syahid. 

Ambillah ibrah dan jadikan ia pengajaran bermakna dalam hidup. Moga kita akan jadi mukmin yang dinamik serta progresif dalam pemikiran dan tindakan..









Sent from my iPhone

Saturday, June 10, 2017

Ruginya ia berlalu...


Salam ukhuwwah.....

Berapa kali kita khatam alQuran sepanjang 33 tahun Ramadhan? 3 kali, atau 10 kali atau setiap kali! Ya benar, apabila masa berlalu begitu, lalu kita tanyakan berapa kali kita khatam alQuran, pasti wujud rasa tersentak pada diri! Ini juga berlaku kepada diriku sendiri...aku hanya mampu mengkhatami alQuran sekitar 10tahun kebelakangan ini! Hakikat bahawa sudah banyak tahun tahun berlalu tanpa apa apa...aku rasakan sangat sedih dan rugi masa yang berlalu! Alangkah bobroknya diri, membiarkan masa masa emas itu berlalu tanpa apa apa, mujur jua DIA berikanku sedikit ruang masa itu aku sedar bahawa, masa yang mendatang itu jangan lah pula dipersiakan!

Friday, June 9, 2017

Getirnya Ramadhan

Para pembaca budiman sekalian...

Sudah bersawang lama blog ini. Kesibukan memelukku erat sekali. Tiada ruang dan peluang untuk aku menulis. Sehingga saat ini saat saat ini, sisa sisa kesibukan itu masih sahaja membaluti ruang masa yang masih tersisa. Kini Ramadhan kembali lagi...

Getirnya Ramadhan kali ini kerana cuacanya yang panas. Benar, sejak berzaman mentari kan terik di bulan yang mulia ini. Saat perangnya Badar juga sebegitu, malah saat peperangan zaman Sallehudin Al Ayubi juga begitu. Ramadhan seolah olah membakar segala dosa dan maksiat dalam diri dan jiwa manusia. Allahuakbar. Kering dan panas. Begitulah aku fikir saat di Mahsyar nanti bahkan berkali ganda lipatnya akan kepanasan itu seperti yang dikhabarkan oleh Allah swt melalui wahyunya.

Ku ukirkan coretan getir Ramadhan kerana ini pertama kalinya aku terkenang Ramadhan tanpa abah. Seolah siri Ceritaku dengan Abah tak mampu kutuliskan lagi. Abah telah pergi menemui Penciptanya tanggal 20 Mac 2017.....aku sunyi. Aku teringatkan abah selalu. Aku sibukkan diriku kerana mahu melupakan ingatan ku terhadap abah. Getirnya Ramadhan kali ini.

Sesekali aku pulang dan ku ziarahi kubur abah. Aku bercakap cakap seorang diri dengan harapan abah mendengar ku. Tiapkalinya airmata bergenang membasahi pipiku tanpa ku sedar. Abah tiada lagi dan telah pergi selamanya. Tiada gantinya akan abah ku ini.

Saat terserempak dengan kawan kawan abah di kampung, aku bergenang air mata pula. Segalanya tentang abah akan ku ingati. Terasa bersangatan bahawa masa telah berlalu dengan pantas sekali dan aku dalam keadaan menyesali dan rugi.....seolah olah terlalu banyak perkara yang belum habis ku bicarakan dengan abah. Cukup banyak cerita yang ingin ku kongsi tapi tiada maknanya kerana abah telah pergi selamanya. Air mataku bergenang lagi.

Getirnya Ramadhan kali ini tanpa abah.....