Friday, October 26, 2018

Ceritaku dengan abah: Harapan abah

Ceritaku dengan abah...

Suatu hari abah bawa aku naik motor ke pekan kecil di kampungku, sambil itu abah bercerita dengan aku.  Motor Honda Cup buruk C70 bernombor AY3276 abah bawa dengan perlahan....

Abah: Masa kecik kecik dulu, abah naik basikal ke sekolah...tiap minggu ulang alik ke kampung... Sekolah abah tu kat Sg Sumun...SM Khir Johari Sg Sumun. Abah takde duit. Kakak abah (mak saudaraku) selalu bekalkan nasi dan ikan kering atau belacan. Makan nasi dengan ikan kering atau belacan goreng.

Aku: (sambil diam dan mengangguk) aku mendengar celoteh abah antara dengar dengan tidak kerana bercampur suara abah dengan bunyi ekzos pecah Honda Cup abah. Aku lebih enjoy perjalanan itu berbanding cerita abah. hehehe
Abah: Dulu Abah hidup susah. Adik beradik 14 orang (aku pernah cerita kisah ini dengan para pelajarku--terkadang aku silap sebut jumlah adik beradik abah sebabnya ramai dan aku pun terkadang tak ingat nama betul dan hanya ingat nama panggilan)....atuk wasiatkan kepada nenek supaya hantar abah ke sekolah SM Khir Johari (English school). Masa tu orang kampung panggil sekolah kapir.

Aku terus mendengar....isk apahal pulak sekolah orang kapir nya? Ujar ku dalam hati. Ermmm adik beradik abah memang ramai. Sepupu aku berpuluh orang. Yang kat Johor tu kalau tak silap ada 17 orang sepupu...tak semua aku ingat nama. Anak sulung pakcik aku yang di Johor tu pun anak dia dah berbelas.


Abah: Jadi, abah nak Awi belajar rajin rajin rajin sampai universiti. Belajar kuat kuat supaya jadi pandai. Bila dah habis belajar boleh dapat kerja yang bagus. Abah tak nak Awi hidup susah. Tak mengapalah abah habis duit beli buku dan sekolahkan semua anak anak abah, tak mengapa abah tak beli baju baru atau beli kereta atau pergi mana mana asalkan anak abah boleh belajar dan dapat pendidikan yang bagus.


Benarlah harapan itu membangkitkan usaha.

Itu antara yang aku ingati sehingga hari ini. Ia harapan abah kepada aku. Aku tahu abah juga bercakap perkara yang sama kepada adik adikku yang lain. Aku juga mengerti ini juga harapan semua ibubapa kepada anak anak mereka.

Lewat waktu yang lain, abah akan bercakap perkara yang sama kepada ku. Ia suatu bentuk pengulangan supaya berbekas dihati anak anaknya. Terkadang aku merasa cemuh juga mendengar isi cerita yang sama namun itulah sebenarnya yang berbekas dihatiku sehingga hari ini.

Sehinggalah ketikanya aku masuk ke sekolah berasrama di Ipoh. Abah memesan perkara yang sama. "Belajar rajin rajin sehingga berjaya, sampai peringkat tertinggi, abah sokong dan akan bantu" ujarnya. Itulah juga yang berbekas dihatiku dan aku sematkan dihati. Sehinggalah aku habis degree di UIA dan menyambung kemudiannya ke peringkat Master. Abah mengulangi ucapan yang sama.

Sering abah bertanya bagaimana pengajian master aku saat aku pulang ke kampung. AKu katakan selalu kepada abah, "Insyaallah abah, ok jer". Begitulah girangnya dia bila aku serahkan kad konvo master di UiTM pada tahun itu (2000), abah tersenyum bangga. 




Terus dia bertanya "Bila nak buat phd?" ujarnya. "Adusss...sabarlah dulu abah", getusku dalam hati. Namun aku hanya senyum. "Nantilah, Awi sambung", ujarku kepada abah.

Saat abah terbaring lesu akibat sakit dan stroke 5 tahun yang lalu, tiap kali aku balik, abah akan sentiasa tanya soalan yang sama "Bila nak habis phd?" tanya abah. Aku kelu. Bercahaya anak mata abah menantikan jawapanku. Dalam sakit itu dia masih punya "harapan" terhadapku. "Lambat lagi abah, banyak benda nak kena siapkan", ujarku sambil tangannya menggengam erat tanganku. Tanda pengharapan penuh abah terhadapku. 

Tanggal 21 Mac, waktu Maghrib itu abah pergi buat selamanya. Selang sebulan pula aku mendapat surat kelulusan VIVA phd ku. Sungguh surat itu lewat sekali hadirnya untuk hadiah terbesarku buat abah yang ku kasihi. 







Mengenang kembali




Aku konvo tanpa abah pada Oktober tahun itu. Mak pula mungkin terlalu sedih dengan pemergian abah dan dalam keadaan tidak sihat tidak dapat hadir ke konvo ku. Berair mataku tanpa kelibat abah dan mak. Aku tahu mak begitu mengerti dan memahami harapan abah kepada ku, dan mungkin itu jugalah yang akan membuat mak sedih dan pilu untuk menyaksikan aku menerima skrol Phd ku. Mungkin itulah sebab mengapa mak agak reluctant untuk pergi ke konvo ku. Mak beri alasan tidak sihat. Aku memahami perasaan mak.

Hari Ahad lepas aku diminta untuk hadir ke Majlis Konvokesyen UiTM ke 89. Aku update di FB ku tentangnya. 



Tiba tiba notification FB ku masuk dan ku lihat mak memberi komen terhadap post ku ketika konvo tersebut. Bila ku baca komen mak, aku jadi sangat sangat sayu. 

Perjalanan PhD tak mudah. Isteriku memberi nukilannya terhadap cerita PhD ku. Kami bersama sama mengharungi jatuh bangun dan resam dalam perjalanan menggenggam segulung skrol Phd.







Moga Allah kurnia keampunan buat abah dan redhai rohnya serta menempakan abah di syurgaNYA