Thursday, September 13, 2018

Seadanya.....

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua...

Sudah usang blog ini sejak kali terakhir aku menulis. Banyak perkara yang berlaku dan telah dilalui. Ia rencam dalam hidup. Ada tikanya pelbagai masalah melanda dan ada tikanya berita sedih datang bertalu. Tidak kurang juga khabar gembira.


Itulah hidup kita. Suka atau tidak ia termateri sebagai kehidupan yang fana dan ujian buat diri. Kita lepasi tahap ujian dengan pelbagai keputusan, ada yang gagal, ada yang lulus, ada yang cemerlang ada yang 'cukup cukup makan'.


Bagaimana keputusannya dalam mendepani kehidupan semuanya bergantung kepada diri. Sebab itulah Allah katakan ujian untuk hambaNya ialah untuk meningkatkan darjat dan memberi ibrah. Jika darjat itu tidak naik kerana gagalnya ujian itu, pasti ujian lain pula melanda, jika ujian itu sekadarnya 'cukup cukup makan' maka Allah beri ujian lain sehingga insan itu melepasi tahap yang Allah kehendaki dan jika ia naik tahap dan darjat, maka Allah beri pula modul ujian yang lain.


Semuanya ialah satu proses yang panjang dan berulang ulang buat kita semua. Hanya sanya kita mahu segera mengambil ibrah atau pelajaran dari semua ujian itu atau tidak. Justeru, Allah beri kita panduan dalam menghadapi ujian ujian itu. Satu sahaja kalimah, iaitu SABAR. Sabar pula berkait rapat dengan REDHA, jika hanya sabar sahaja tetapi tidak redha atas ketentuannya, insan akan berpaling dari jalanNya. 


Sebegitu juga dengan bersabar kita pula diingatkan agar segera dan sentiasa mengingati nya iaitu kalimah lain "ZIKRULLAH" yang perlu sentiasa dilakukan. Maka sentiasa lah SABAR, REDHA dan ZIKRULLAH kepadaNYA setiap ketika. Insyaallah, DIA akan permudah segalanya untuk kita.

Jika ini dibuat, nescaya, insan akan melepasi ujian ujian itu dan naik darjatnya. Maka, para pembaca yang budiman sekalian, mengapa tidak kita laksanakan pesanan Illahi dengan SABAR dan ZIKRULLAH? Bahkan sebenarnya dengan melaksana sedemikian, banyak kebaikan kita akan perolehi untuk diri kita sendiri. 


Allah sayangkan para hambaNYA. DIA beri ujian kepada kita supaya kita teguh berpegang kepada taliNYA. 


Image result for seadanya imagesAllah beri ujian dalam kita berurusan dengan insan lain. Ada insan perengus, ada insan pemarah, ada insan ego, ada insan baik hati, ada insan kejam, ada insan zalim, ada insan jahat, ada insan yang bertaqwa, ada insan yang mesra dan pelbagai lagi. Kita bertembung dengan insan insan ini hampir setiap hari.

Pertembungan ini adalah hasil interaksi kita manusia. Ia kerana manusia ialah makhluk  bermasyarakat. Justeru, dalam bermasyarakat perlu ada prinsip dan nilai pelbagai yang perlu kita pegang, antaranya ialah berlapang dada, menerima seadanya.


Ringkas ayatnya, tapi sukar melaksanakannya. Jika mudah untuk dilaksanakan maka sudah tentu tiada persengketaan sesama kita.


Prinsip menerima seadanya perlu dipupuk dan ia melalui proses yang panjang juga. Harus diingat dalam kehidupan manusia, tiada yang sifatnya "kun fayakun" kerana prinsip "kun fayakun" ini hanya milik Allah bukan milik manusia. 


Image result for kun fayakun imagesAkan tetapi, walaupun insan sebenarnya cukup tahu bahawa dalam kehidupan ini, segalanya yang berlaku dalam kehidupan adalah dalam proses atau 'cycle' yang panjang namun nafsu mereka bergejolak mahukan apa apa dalam kehidupan manusia seumpama "kun fayakun". 

Ini konsep yang salah kerana cuba menjadi Tuhan. Walhal Allah menyatakan dalam Surah Yaasin akan ayat kun fayakun ini dengan terangnya bahawa jika DIA mahu maka DIA hanya "kun fayakun". Ini kekuasaan Allah bukan sifat manusia. Justeru, jangan cuba jadi Tuhan atau bersikap tidak sedar diri bahawa diri itu adalah insan@manusia.


Usaha perlu dibuat, ia mesti berterusan, jika tidak menjadi, buat usaha lagi, tukar strategi dan tukar cara sehinggalah ia tercapai. Jangan putus asa.