Zaman ini segalanya dekat walau hakikatnya jauh. Sebegitu juga Whatsapp, WeChat, Telegram dan lain lain lagi mendekatkan kami teman teman persekolahan dahulu. Sehari dua ini, ada perbualan yang menarik diantara teman teman aku. Ada seorang yang bergelar Profesor bercakap dalam satu sidang di IC-BOS di Putrajaya Covention Center pagi ini. Beliau bercakap soal pengurusan korporat. Beliau ialah sahabat karib kami semua, Profesor Azlan Amran dari USM.
Seorang teman pula bertemu secara kebetulan di Kota Kinabalu iaitu Sdra Taqiyuddin Amini ialah Chief Operating Officer di MNZWJ and Associates dan Sdra Dr Ahmad Fadzli yang lebih dikenali sebagai Dr. Afat ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia. Mereka saling memberi maklumbalas di Whatsapp group sekolah kami. Dalam perbualan di Whatsapp, mereka telah berkongsi formula berikut;
Integriti = a(A+C+E)-C
a=alignment
A=Accountability
C=Competency
E=Ethics
c=Corruption

Namun, dalam banyak hal, integriti mungkin dengan mudahnya tergadai. Ia dikorbankan apabila bertembung dengan perkara lain atau tindakan yang memerlukan pengorbanan kepada nilai integriti. Bolehkah sedemikian? Tidak sama sekali jika seseorang itu ialah insan yang punya integriti utuh kerana ia memberi kesan kepada soal amanah dalam pengurusan diri dan organisasi. Lalu mengakibatkan rosaknya seseorang dan organisai lalu akan hilang kepercayaan masyarakat.
Tetapi hari ini, rasukan media dan pelbagai serangan fitnah yang menjalar diruangan siber menerjah masuk ke sempadan pemikiran lalu merubah tanggapan insani. Integriti tergadai. Ia mungkin dimulai oleh sesiapa sahaja akan tetapi kesannya langsung menerjah memusnahkan lingkungan murni kesopanan, kesusilaan, amanah, kepimpinan dan nilai masyarakat.
Justeru, kembalilah kepada asas yang asal. Amalkan semak, tapis dan sebar. Atau semak dan semak dan tidak perlu sebar. Terjahan maya dunia sosial menyebabkan kita suka menyebar. Samada ia berita betul atau tidak, ada kecenderungan besar untuk menyebarnya tanpa usul periksa. Seolah olah insan ingin menjadi juara dengan menjadi penyebar utama atau paling awal. Akhirnya dosa bertimbunan, masyarakat kacau pemikiran walau alasannya ialah untui mencegah kemungkaran atau salah laku, namun ia cara yang sangat salah sama sekali.