ALUMNI ASASIANS ditubuhkan pada November 2015 dengan kesedaran bahawa bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah, Sri Iskandar, Bota, Perak perlu bersatu hati di bawah satu platform rasmi iaitu Pertubuhan Alumni SMKA Sultan Azlan Shah atau Alumni ASASIANS.
Pengerusi, Alwi Mohd Yunus berkata, objektif penubuhan hampir sama dengan persatuan alumni-alumni tersohor yang lain iaitu mengumpulkan kepakaran dalam pelbagai aspek akademik dan profesional sebagai sokongan kepada PIBG dan sekolah dalam aspek kecemerlangan akademik, kerjaya dan pembangunan sekolah serta berfungsi untuk memberi bantuan kepada pihak sekolah dari segi sumber pengajaran, kemudahan pelajar dan apa-apa material yang dilihat dapat membantu kemajuan sekolah.
Selain itu, membantu sesama alumni dan mengukuhkan jaringan profesional Alumni ASASIANS dalam pelbagai kepakaran dan bidang.
Alwi berkata, kebanyakan alumni ASASIANS berlatar belakangkan pelbagai kerjaya, ia secara tidak langsung membantu sekolah dalam berbagai-bagai aspek.
"Hari ini, ramai bekas pelajar SMKA Sultan Azlan Shah yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing. Ada yang menjadi pegawai khas kepada menteri, setiausaha sulit kanan kepada menteri, guru, pensyarah, usahawan, pegawai agama, penceramah bebas, wartawan, chef, pengetua dan bermacam-macam lagi.
"Kita bangga dengan pencapaian bekas pelajar dalam kerjaya masing-masing. Selain dapat membantu sekolah dengan kepakaran yang ada, ia sedikit sebanyak dapat mengharumkan nama sekolah," katanya.
Program menarik
Pihak alumni dengan kerjasama PIBG serta pihak pengetua telah menyusun program sepanjang tahun (ia telah bermula sejak tahun 2003 lagi walaupun ketika itu Alumni ASASIANS belum ditubuhkan secara rasmi) yang melibatkan alumni dalam pelbagai aspek sama ada kecemerlangan akademik, kepimpinan, kerjaya, motivasi dan pelbagai lagi.
Program berkala dibuat setiap bulan dalam memastikan wakil alumni dari pelbagai bidang dan kepakaran dipanggil untuk memberikan ceramah kepada pelajar dari pelbagai peringkat di SMKA Sultan Azlan Shah.
Kursus-kursus mengikut keperluan pelajar juga dianjurkan dengan melibatkan sumbang input dan pengelolaan dibuat oleh Alumni ASASIANS. Ceramah kerjaya dan motivasi juga dibuat oleh pihak alumni khas kepada para pelajar dan lawatan ke universiti awam dan swasta diatur untuk mendedahkan pelajar dengan suasana di universiti dan laluan kerjaya serta pilihan kursus.
Menurut Alwi, perjumpaan dan mesyuarat alumni dibuat secara berkala dua bulan sekali dan bertujuan membincangkan aspek pencapaian akademik, kepimpinan dan kerjaya pelajar-pelajar SMKA Sultan Azlan Shah serta jaringan profesional Alumni ASASIANS.
Pihak Alumni juga mengatur perjumpaan sesama batch dengan mesej dan agenda khusus dalam suasana santai bagi merapatkan ukhuwah. Setiap batch ditugaskan untuk menganjurkan sesama sendiri aktiviti-aktiviti sesama batch dan menjemput batch lain untuk turut terlibat seperti perlawanan Futsal InterBatch, perlawanan persahabatan bola sepak dan boling serta program santai sesama batch agar maklumat dan perkembangan ahli alumni dapat diketahui.
Setiap dua tahun sekali pihak alumni mengatur Alumni Nights yang dianjurkan oleh setiap batch secara giliran dan disertai oleh Alumni ASASIANS, pelajar, guru dan bekas guru SMKA Sultan Azlan Shah.
Alwi amat berharap alumni ASASIANS dapat menjadi wadah memartabatkan ilmu, bangsa dan negara. Tiada yang lebih bermakna melainkan suatu perkongsian dan persaudaraan yang menjadi jambatan kepada hubungan ukhuwah. Setiap daripada Alumni ASASIANS, perlu memahami dan menerima hakikat bahawa kita adalah kita pada hari ini kerana garapan ilmuwan, guru-guru, cikgu-cikgu kita yang telah banyak berjasa. Ada yang telah lama pergi dan yang masih ada menjadi saksi bahawa ASASIANS sememangnya boleh.